Malaysia Truly Asia adalah antara kempen paling panjang dan paling berjaya anjuran Kementerian Pelancongan. Jingle unik kempen ini telah banyak kali diulang-ulang dan kempen ini telah benar-benar sebati dan meresap di dalam fikiran dan hati warga Eropah, terutamanya rakyat UK dan Ireland.

Antara keistimewaan dan kelebihan kempen ini ialah ia memegang prinsip KISS, atau Keep It Simple, Stupid atau ada doktrin menulisnya sebagai Keep It Simple and Sweet. Satu prinsip asas yang menjadi pegangan ramai pengamal media terutama sekali pakar-pakar penjenamaan.

Pensyarah kami di Ireland dahulu ada menggunakan kajian kes kempen Malaysia Truly Asia yang pernah memenangi anugerah penjenamaan antarabangsa ini sebagai bahan pengajarannya tentang jenama dan pemasaran.

Sepanjang kelas, berkali-kali jingle “Malaysia Truly Asia” ini disiul, dinyanyi dan dimainkan oleh beliau. Beliau mengakui bahawa promosi, poster, logo, jingle dan apa-apa yang berkaitan dengan kempen ini melekat kuat dalam ingatannya sehingga terngiang-ngiang jingle tersebut di dalam kepalanya.

Sedangkan pendapatnya secara peribadi dia sedikit hairan bagaimana iklan dan jingle itu boleh melekat kuat, malah menyatakan juga bahawa beliau sendiri mahu ke Malaysia kerana Malaysia dan keunikan Malaysia semata-mata, dan bukan kerana tarikan ciri-ciri Asia di Malaysia, seperti yang dimainkan jingle tersebut.

Namun, kejayaan kempen Malaysia Truly Asia tidak dapat dinafikan. Ia diakui melalui statistik pelancong ke Malaysia yang hadir mendadak sehingga 43-46% peratus ketika tahun pertama ia dilancarkan sekitar 1999, setahun selepas dunia kembali pulih dari Krisis Ekonomi dan di Malaysia, gesaan dan rusuhan dalam Reformasi akibat krisis politik tanahair yang ketika ia berlaku, meletakkan Malaysia sebagai kecaman media Barat dan Eropah.

Pensyarah kami juga menyatakan bahawa ia adalah tarikan utama bagi pelancong Eropah yang mahukan kepelbagaian, destinasi ‘one stop centre’ juga ‘semua dalam satu’ yang pastinya dilihat wujud dalam kempen tersebut. Kempen ringkas tetapi berkesan ini memastikan pengalaman seorang warga Eropah yang lebih murah, semuanya pengalaman yang mudah, menyeronokkam dan dilihat boleh mewakili kononnya pengalaman terbaik tentang Asia, seperti yang dikatakan sendiri oleh pensyarah kami; “The comfort and hospitality of Asia, without ever leaving Malaysia. A strange yet very promising campaign!”

Di saluran RTÉ, iaitu saluran TV utama Ireland sendiri, kempen yang telah dilancarkan sejak tahun 1999 masih lagi ditayangkan sehingga tahun terakhir kami di sana pada 2013. Untuk kempen yang panjang sebegitu, adalah tidak mustahil ada warga Ireland misalnya menonton iklan Malaysia Truly Asia, membesar dengan melihat kehijauan tropika, keunikan warna-warni sosiobudaya dan warisan Malaysia, kemudian memasang angan-angan untuk datang sendiri ke Malaysia apabila dewasa kelak berdasarkan tarikan kempen tersebut di kaca TV mereka semata-mata.

Di bawah adalah inisiatif terbaharu kempen ini. Melantik bintang Barcelona FC, Luis Suarez sebagai duta pelancongan, mempromosi Malaysia melalui kempen Malaysia Truly Asia sejak Oktober 2017 lalu. Ini adalah serampang tiga mata dengan kumpulan sasarannya ialah pelancong terutama dari kalangan peminat bolasepak dari Uruguay (perhatikan warna latar gambar di bawah yang sinonim dengan bendera dan jersi Uruguay) juga seluruh Amerika Latin, Eropah terutama sekali dari wilayah Catalan dan Sepanyol, juga semua negara yang berbahasa Sepanyol, salah satu bahasa utama dunia. Inisiatif dan kempen bijak dari kerajaan melalui Kementerian Pelancongan.

Selain poster, ada juga iklan acah tentang kempen Malaysia Truly Asia ini di laman FB Luis Suarez sendiri.

Jadi adalah sedikit pelik apabila kementerian yang sama dengan menterinya kini tidak belajar dan mendalami kesan kejayaan dan potensi kempen Malaysia Truly Asia yang telah terbukti berjaya sejak sekian lama.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.