Malaysia Dawn Raid: Dari Sudut Pandang Tan Sri Khalid Ibrahim

0
7046
views

Menurut Tan Sri Khalid, Guthrie menjadi sasaran kerajaan Malaysia kerana beberapa faktor. Faktor pertama adalah PNB telah memiliki 25% saham Guthrie (yang diperoleh daripada Sime Darby daripada percubaan pertama ‘Dawn Raid’). Kedua, pemilikan Guthrie melibatkan sebilangan blok saham yang mudah dikenalpasti dan boleh terus dirunding oleh pihak PNB.

Guthrie mempunyai saham yang dimiliki oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), Genting Berhad, Kuwait Investment Office, dan OCBC Group yang berpangkalan di Singapura. Pengambilalihan ‘friendly shares’ akan membolehkan PNB mempunyai pegangan lebih daripada 40%.

Saham ini disebut sebagai ‘friendly shares’ kerana BSN berada dibawah kawalan Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh. Pemilik Genting Berhad, Tan Sri Lim Goh Tong pula mempunyai hubungan ‘istimewa’ dengan Tun Mahathir dan Tun Ismail Ali merupakan pengerusi kepada Malaysia-Kuwaiti Investment. OCBC merupakan pemegang ‘neutral’ dalam operasi ini.

Tun Ismail dan Tan Sri Khalid telah banyak belajar daripada percubaan ‘Dawn Raid’ yang pertama. Menurut Tan Sri Khalid, perkara paling sukar adalah memilih broker terbaik untuk bertindak bagi pihak PNB. Akhirnya, Rowe & Pittmann dipilih, mereka menempatkan seramai 30 hingga 40 kakitangan semasa serangan.

Antara perkara yang merisaukan adalah jika berlaku kebocoran maklumat, kerana harga pembelian saham telah ditetapkan pada £2 seunit. Butiran terperinci hanya diketahui oleh Pengerusi PNB, pengurus pelaburan di Kuala Lumpur – Evelyn de Rothschild, dan eksekutif muda Rothschild di London – Jack Green Armitage.

Berdasarkan prinsip ‘China Wall’, Pengarah Urusan PNB – Tan Sri Desa Pachi dikecualikan daripada mengetahui tentang butiran operasi ini.

Disamping itu, sebelum bertugas sebagai pengurus pelaburan di PNB, Tan Sri Khalid pernah berkhidmat sebagai kakitangan di Barrings, London. Barrings merupakan penasihat kewangan kepada Guthrie. Maklumat ‘dalam’ daripada Tan Sri Khalid ternyata amat berharga pada September 1981.

Waqaf Saham

Wang sebanyak £282 juta diperlukan untuk menjayakan ‘Dawn Raid’. Bagi mengelakkan London Stock Exchange mengesan sebarang agenda nasionalisasi, satu akaun Bank Swiss telah dibuka atas nama Tan Sri Khalid. Seakan-akan beliau tidak mewakili mana-mana entiti kerajaan.

Tan Sri Khalid berada di Malaysia semasa ‘Dawn Raid’ manakala Tun Ismail berlepas ke Singapura bagi membeli ekuiti yang dipegang oleh OCBC. Di London, Rowe & Pittmann diarah untuk membeli 1.6 juta saham manakala PNB akan membeli 3.8 juta saham.

Jika ini berjaya, keseluruhan saham yang dipegang akan meningkat kepada 13,155,500 saham bersamaan dengan 42%.

Di Malaysia, setelah berjaya mendapatkan ‘friendly shares’, notis penerimaan harus diserahkan kepada Tan Sri Khalid yang berada di bangunan MIDF. Bangunan BSN berada di Jalan Ampang, namun sesuatu yang tidak diduga berlaku-kesesakan jalan!

Tan Sri Khalid tidak boleh mengambil notis itu secara sendiri kerana beliau diperlukan di telefon.

Dengan kuasa yang ada, Tun Ismail mengarahkan Aziz Taha (kemudiannya menjadi Gabenor Bank Negara) untuk keluar dari pejabat dan menyampaikan notis penerimaan tersebut kepada Tan Sri Khalid.

Walaupun rundingan di Singapura gagal, notis penerimaan ‘friendly shares’ tersebut cukup untuk membawa pulang Guthrie ke Malaysia.

Rujukan/Bacaan lanjut:

1. Shakila Yacob & Nicholas J. White.
The ‘Unfinished Business’ of Malaysia’s Decolonisation: The Origins of the Guthrie
‘Dawn Raid’. February 2014.

2. Temuramah bersama Tan Sri Khalid oleh The Edge.