Malaria Dan Sejarahnya

0
170
views

Malaria adalah sebuah penyakit yang telah memporak-perandakan tamadun manusia sejak beribu-ribu tahun yang lalu. Malaria telah dikenali lebih 4000 tahun di dalam sejarah. Perkataan malaria itu dari bahasa itali yang membawa maksud “udara yang tidak baik” atau “bad air”. Berdasarkan catatan sejarah, malaria telah mempengaruhi populasi serta sejarah peradaban manusia itu sendiri.

Penyakit malaria adalah disebabkan jangkitan oleh sebuah parasit protozoa unisel dari genera Plasmodium. Kini, terdapat 5 spesies parasit Plasmodium yang diketahui menjangkiti manusia dan ianya adalah seperti berikut;

Jetpack Langkawi

  • Plasmodium falciparum dijumpai diseluruh dunia terutama bagi kawasan tropika atau subtropika. Walaubagaimanapun, spesies ini, lebih banyak berada di Benua Afrika. Spesies ini juga merupakan yang paling bahaya diantara kesemua spesies Plasmodium lain.
  • Plasmodium vivax dijumpai di Asia, Amerika Latin serta beberapa bahagian di Benua Afrika. Oleh kerana ketumpatan penduduk di Asia, ini menjadikan spesies ini, spesiss yang paling banyak menjangkiti manusia. Spesies ini, seperti Plasmodium ovale, mempunyai tahap dorman dimana ia mampu kekal didalam badan manusia tanpa memberi jangkitan. Dan turut terdapat kes dimana hanya bertahun kemudian, jangkitan diaktifkan.
  • Plasmodium malariae dijumpai di seluruh dunia. Jika dibiarkan tanpa dirawat, spesies ini mampu menyebabkan jangkitan kronik malaria yang dapat menjangkiti individu tersebut seumur hidup. Spesies ini juga mampu mengakibatkan komplikasi serius seperti sindrom nefrotik.
  • Plasmodium ovale hanya terdapat di Benua Afrika terutama Afrika Barat serta Kepulauan Pasifik. Secara biologi atau morfologi (bentuk), P.ovale menyerupai P.vivax.
  • Plasmodium knowlesi ditemui di serata Asia Tenggara. Spesies ini merupakan patogen kepada beruk berekor panjang (macaque). Spesies ini merupakan antara salah satu sebab penyakit zoonotik (penyakit dari haiwan yang boleh menjangkiti manusia). Terdapat kes malaria dari spesies ini dilaporkan di Malaysia
Perbezaan spesies parasit Plasmodium yang menjangkiti sel darah merah manusia dan tahap-tahapnya.
Kredit: https://basicmedicalkey.com/wp-content/uploads/2017/02/image01906.jpeg

Malaria ini adalah penyakit bawaan vektor, yang bermaksud disebarkan atau dijangkiti daripada gigitan haiwan atau serangga. Malaria disebarkan atau dijangkiti daripada gigitan nyamuk betina daripada genera Anopheles yang mengandungi parasit Plasmodium infektif.

*Funfact: Nyamuk jantan, hanya memakan nektar dari bunga, manakala nyamuk betina juga makan nektar bagi tenaga, tetapi perlukan darah untuk nutrien tambahan bagi menghasilkan telur-telurnya.

Nyamuk dari spesies Anopheles gambiae.
Kredit: http://www.sciscape.org/wp-content/uploads/2017/07/Anopheles-gambiae-678×381.jpg

Malaria kini merupakan penyakit berjangkit yang paling berbahaya didunia, berikutan jumlah penghidap yang meningkat saban tahun, dan angka kematian disebabkan malaria dianggarkan 500,000-1 Juta kematian setiap tahun. 90% daripada kes malaria adalah di Benua Afrika, manakala selebihnya di Amerika Selatan, Asia Tengah, Asia Tenggara serta China dan India.

Berdasarkan angka diambil dari laman sesawang CDC (Central Disease Control), pada tahun 2016 dianggarkan terdapat sejumlah 216 juta kes malaria di seluruh dunia serta terdapat 445,000 kematian direkodkan pada tahun yang sama dan majoritinya adalah golongan kanak-kanak dari Benua Afrika.

Kawasan endemik malaria. Merah=Kerap. Kuning=Di sesetengah tempat, Hijau=Tiada jangkitan diketahui berlaku.
Kredit: https://www.cdc.gov/malaria/images/graphs/geodistribution2.jpg

Sejarah Kuno Malaria

Simptom atau gejala malaria mula disebut-sebut di dalam kitab perubatan kuno tamadun cina. Pada tahun 2700 SM, beberapa ciri simptom yang kini dikenal pasti sebagai malaria dijelaskan di dalam Kitab Nei Ching, ‘The Canon of Medicine’. Kitab Nei Ching ini telah disunting oleh Maharaja Huang Ti.

Kemudian malaria menjadi terkenal di dalam tamadun Yunani di Greece menjelang kurun ke-4 SM. Malaria dipertanggungjawabkan keatas kemerosotan populasi penduduk di bandar-bandar Greek. Menjelang zaman Pericles, terdapat  rujukan menyeluruh ke atas malaria di dalam kesusasteraan Greek serta pengurangan populasi penduduk juga telah direkodkan.

Di dalam kitab ‘Sushruta Samhita’, iaitu sebuah kitab perubatan purba teks Sanskrit, simptom demam malaria telah dinyatakan serta diketahui berpunca akibat gigitan serangga.

Funfact: Tahukah anda bahawa Firaun Tutankhamun juga merupakan seorang penghidap penyakit malaria yang teruk? Penemuan ini adalah berdasarkan ujian DNA keatas mumia Tutankhamun turut menemukan DNA parasit malaria dari spesies Plasmodium falciparum.

Peristiwa penting penemuan malaria.

Parasit malaria pertama kalinya ditemukan oleh pakar bedah tentera Perancis Charles Louis Alphonse Laveran pada 6 November 1880. Laveran yang ketika itu ditempatkan di Constantine, Algeria yang merupakan koloni kepada Perancis. Hasil penelitian Laveran pada darah pesakit, menemui parasit Plasmodium. Laveran memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1907 berdasarkan penemuan ini.

Pengenalpastian bahawa malaria disebarkan oleh nyamuk adalah hasil kajian kumpulan pengkaji dari Itali iaitu Giovanni Batista Grassi, Amico Bignami dan Giuseppe Bastianelli. Mereka mengumpul nyamuk dari spesies Anopheles claviger dan memberi mereka “hidangan darah” dari pesakit yang diketahui mempunyai malaria. Pada tahun 1899, nyamuk yang dijangkiti oleh malaria dari Rome, dihantar ke London untuk menjangkiti dua sukarelawan. Hasilnya, kedua-dua sukarelawan telah menghidap malaria. (Mujur sekarang ada tikus makmal dan bukannya manusia).

Kitaran Hidup Parasit Plasmodium Dan Bagaimana Seseorang Dijangkiti Malaria?

Ekologi malaria adalah berdasarkan kebolehan parasit Plasmodium itu menjangkiti dua kumpulan hos “perumah” kepada jangkitan, iaitu nyamuk betina dari genera Anopheles dan manusia. *Sila baca perlahan-lahan sebab agak rumit*

Manusia (Kitaran Hati)

  • Setelah manusia digigit oleh nyamuk yang membawa parasit Plasmodium tahap infektif, iaitu ‘sporozoite’, parasit Plasmodium itu kemudian akan menuju ke hati (liver). Sporozoite akan membesar dan bertambah-jumlah (multiply) di dalam sel-sel hati tersebut (hepatocyte).
  • Seterusnya, sporozoite parasit Plasmodium akan menuju masuk ke dalam sel darah merah itu dan kemudian melalui proses tumbesaran ke tahap seterusnya iaitu ‘schizonts’.

Manusia (Kitaran Darah 1)

  • Setelah matang sepenuhnya, schizonts tersebut, akan melepaskan sel zuriatnya ‘trophozoite’. Sel trophozoite ini akan memasuki saluran darah yang bebas mengalir ke seluruh badan dan berubah kembali menjadi ‘schizont’.
  • Schizont akan menjangkiti sel darah merah lain dan matang di dalam sel darah merah tersebut. Perkara ini, akan menyebabkan lebih banyak sel darah merah termusnah dari dalam justeru menyebabkan simptom kepada pesakit.

Manusia (Kitaran Darah 2)

  • Sel trophozoite parasit Plasmodium itu tadi akan melalui tahap matang seterusnya di dalam saluran darah manusia dan berubah kepada tahap yang dipanggil ‘gametocyte’. Gametocyte ini ada jantan dan ada betina.

Bagi Nyamuk.

  • Nyamuk Anopheles betina yang inginkan darah manusia bagi membekalkan nutrien kepada telur-telur, menghisap darah manusia yang telah dijangkiti malaria serta mempunyai gametocyte di dalam darah mereka.
  • Selepas 10-18 hari melalui proses tumbesaran didalam badan nyamuk (gametocyte jantan dan betina akan disenyawakan menukar bentuk kepada ookinete, kemudian ke oocyst) oocyst ini ia akan pecah dan berubah kepada bentuk infektif iaitu sporozoite. Ketika ini, sporozoite tersebut akan menetap di kelenjar air liur nyamuk Anopheles betina.
  • Seterusnya, jika nyamuk Anopheles betina tersebut ingin menghisap darah manusia, ia akan menyuntik sporozoite itu ke dalam saluran darah manusia lain. Seterusnya memulakan kitaran hidup baru. (*Baca dari mula tahap manusia).
Kitaran hidup parasit Plasmodium. Terdapat 4 Peringkat.
Manusia (Hati), Manusia (Darah 1), Manusia (Darah 2) & Nyamuk
Kredit; https://www.cdc.gov/malaria/images/graphs/life_cycle/Malaria_LifeCycle_1.gif

Simptom Manusia Yang Dijangkiti Malaria:

  • Demam
  • Berpeluh kesejukan
  • Sakit kepala
  • Kesakitan serta lemah otot.
  • Muntah
  • Batuk
  • Cirit-birit
  • Sakit pada bahagian abdomen

Simptom yang lain adalah;

  • Kegagalan buah pinggang
  • Pengumpulan cecair paru-paru
  • Sawan
  • Kegagalan sistem peredaran darah
  • Koma dan mati.
Kredit: https://consortiumha.org/wp-content/uploads/2017/10/C-OybjuXsAESgcG-958×675.jpg

 

Ujian Diagnostik Malaria.

 

Ujian diagnostik adalah dilakukan melalui pemerhatian sel darah merah melalui mikroskop menggunakan teknik lumuran darah yang diwarnakan oleh perwarna Giemsa. Pemerhatian ini dilakukan bagi mengesan kehadiran organisma parasit Plasmodium itu tadi. Pengenalan atau perbezaan spesies parasit Plasmodium sangat penting, berikutan rawatan atau ubatan berbeza diperlukan bagi spesies tertentu.

 

Selain itu, ujian berdasarkan PCR (polymerase chain reaction) bagi mengesan asid nukleik parasit Plasmodium serta ujian ELISA (enzyme linked immunosorbent assay) bagi mengesan protein spesifik parasit Plasmodium juga turut digunakan.

 

Seterusnya, terdapat ujian ringkas/cepat menggunakan kit. Ia memerlukan serum darah. Jika positive +, bermaksud pesakit mempunyai malaria. Walaubagaimanapun, ujian tambahan dilakukan bagi memastikan pesakit benar-benar mempunyai penyakit malaria.

 

 

Lumuran darah yang telah diwarnakan dengan pewarna Giemsa.

Lumuran darah yang telah diwarnakan dengan pewarna Giemsa.
Kredit: http://www.malwest.gr/Portals/0/smear.jpg

 

 

 

Ubatan Malaria & Sejarah Penemuannya

 

Artemisinin.

Pada kurun ke-4 SM, tumbuhan yang dikenali sebagai Qinghao atau bahasa saintifiknya (Artemisia annua) telah dinyatakan di dalam kitab perubatan ‘52 Remedies’. Kitab ini dijumpai di dalam sebuah makan dari tapak arkeologi di China yang dinamakan Mawangdui. Sifat “anti-demam” tumbuhan ini pertama kalinya dinyatakan oleh Ge Hong pada zaman Dinasti Yin Timur.

 

Bahan aktif tumbuhan Qinghao iaitu artemisinin pertama kali diekstrak oleh saintis China Tu Youyou pada tahun 1971 yang telah direkrut bersama-sama 499 orang saintis lain oleh kerajaan China ketika Perang Vietnam untuk “Project 523” bagi mencari penawar kepada penyakit malaria berikutan kematian ramai anggota tentera akibat malaria berbanding Perang Vietnam itu sendiri. Artemisinin kini menjadi ubat anti-malaria yang kuat dan efektif terutama sekali apabila digunakan dengan ubatan anti-malaria yang lain.

 

Tu Youyou memenangi Hadiah Nobel kategori Fisiologi dan Perubatan pada tahun 2015 diatas pembabitan beliau dalam menemui antara ubatan terpenting dalam sejarah manusia.

 

Quinine

Menjelang kurun ke-17, berikutan penemuan “Dunia Baru” oleh pihak Sepanyol di Amerika Selatan, Mubaligh Jesuit mempelajari dari orang asli tentang kulit kayu berubat yang digunakan dalam rawatan menyembuhkan demam.

 

Dengan kulit kayu berubat ini, Countess Chinchón, isteri kepada Wizurai Peru, telah disembuhkan dari demamnya. Kulit kayu berubat tersebut dinamakan sebagai Kulit Kayu Peruvian manakala pokoknya dinamakan Pokok Chinchon, berdasarkan nama Countess itu tadi. Bahan aktif yang diekstrak daripada kulit kayu tersebut dinamakan Quinine. Bersama-sama Artemisinin, Quinine merupakan antara ubatan anti-malaria yang paling efektif bagi manusia.

 

Chloroquine

Chloroquine telah dijumpai oleh penyelidik dari Jerman iaitu Hans Andersag pada tahun 1934 di makmal perubatan Bayer. Hanya selepas Perang Dunia ke-2, chloroquine akhirnya diperkenalkan sebagai ubatan anti-malaria yang selamat serta efektif pada tahun 1946 oleh para saintis dari Amerika Syarikat serta England.

 

Tu Youyou, Ahli kimia dari Qinghaosu Research Center, China. Beliau menemukan ubatan anti-malaria Artemisinin. “Happy Birthday Tu Youyou”

Tu Youyou, Ahli kimia dari Qinghaosu Research Center, China. Beliau menemukan ubatan anti-malaria Artemisinin. “Happy Birthday Tu Youyou”
Kredit: https://cdn2.i-scmp.com/sites/default/files/styles/landscape/public/2015/10/07/tu_you_you_0.jpg?itok=c5-YJg-7

Penutup

Walaupun terdapat pelbagai ubatan serta rawatan efektif untuk malaria, pencegahan itu lebih baik dari rawatan. Maka dengan itu, kawalan populasi vektor iaitu nyamuk itu tadi, harus dititikberatkan. Bersihkan kawasan rumah dari segala takungan air yang dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk. Pemakaian baju berlengan panjang serta seluar panjang wajib dikenakan. Penggunaan kelambu serta semburan nyamuk juga berkesan. Oleh kerana nyamuk aktif dari waktu senja sehingga malam, perlindungan ketika waktu malam sangat penting.

Rujukan:

Blood & Tissue Protozoa, Chapter 52, Page 360~363. Review of Medical Microbiology and Immunology by Warren Levinson. Tenth Edition. McGraw Hill/Lange.

Malaria History

https://www.cdc.gov/malaria/about/history/index.html

Laveran and Discovery of Malaria

https://www.cdc.gov/malaria/about/history/laveran.html

Malaria Biology

https://www.cdc.gov/malaria/about/biology/index.html

Malaria Laboratory Diagnosis

http://www.malwest.gr/en-us/malaria/informationforhealthcareprofessionals/laboratorydiagnosis.aspx