Muhammad Ali merupakan suatu nama yang terkenal dalam dunia tinju. Digeruni rakan mahupun lawan, Ali terkenal dengan mantera “Bergerak seperti rama-rama, menyengat seperti sang lebah” (float like a butterfly, sting like a bee).

Pelbagai jenis perlawanan pernah ditempuhi oleh Ali. Dia pernah mewakili negaranya dalam sukan olimpik, dia sendiri merupakan juara dunia tinju kategori heavyweight, bahkan dia amat terkenal dengan ‘perjuangan’ beliau menentang perang di Vietnam, yang kemudian menyebabkan dirinya dilucutkan gelaran juara, dan lessen tinju beliau ditarik balik.

Namun begitu, tulisan hari ini tidak akan fokus kepada aspek hidup beliau sewaktu beliau sedang ternama, dan dalam keadaan terbaik (in his prime). Sebaliknya tulisan hari ini merupakan tulisan mengenai kekalahan terbesar dalam hidup Muhammad Ali, dalam satu perlawanan tinju pada tahun 1980, menentang Larry Holmes.

Figure 1: Poster pertarungan Muhammad Ali menentang Larry Holmes.

Pertarungan yang digelar “The Last Hurrah” itu merupakan pertarungan antara Muhammad Ali dengan Larry Holmes. Untuk pengetahuan semua, Muhammad Ali dan Larry Holmes satu ketika dahulu merupakan rakan sepasukan; mereka pernah berlatih bersama, sebelum Ali memulakan kerjaya professional beliau lebih dahulu dari Larry Holmes.

Sebelum memutuskan untuk bertarung dengan Larry Holmes, Muhammad Ali telahpun memutuskan untuk bersara dari sukan tinju. Dia memutuskan untuk bersara atas beberapa faktor, antaranya kerana dia sudah tidak berada dalam keadaan fizikal seperti sewaktu dia masih muda (out of shape), dan orang ramai juga kelihatan sudah tidak memberikan perhatian kepada perlawanan-perlawanan Ali.

Antara faktor penting kenapa Muhammad Ali memutuskan untuk bertarung dengan Larry Holmes adalah atas faktor kewangan. Meskipun Ali merupakan seorang peninju yang berjaya, dia tidak mampu menguruskan kewangan beliau dengan baik, dan menyebabkan dia berada dalam kesempitan wang.

Pada asalnya, Muhammad Ali tidak dijadualkan untuk bertarung dengan Larry Holmes. Sebaliknya, lawan asal Ali adalah John Tate, juara bagi tali pinggang heavyweight WBA. Namun begitu, disebabkan John Tate gagal mempertahankan tali pinggang beliau dalam satu perlawanan kepada Mike Weaver, hal ini menyebabkan Tate tidak lagi menjadi Juara WBA, dan perkara ini yang menyebabkan Muhammad Ali menukar lawannya dari John Tate kepada Larry Holmes.

Disebabkan Muhammad Ali tidak berada dalam keadaan yang begitu bagus untuk bertinju, Nevada State Athletic Commission telah bertindak menyuruh Muhammad Ali diperiksa di Minnesota’s Mayo Clinic sebelum lesen kebenaran bertinju diberikan kepada Ali. Ketika diperiksa oleh Dr. Frank Howard, seorang ahli neurologi, beliau mengeluarkan laporan perubatan berbentuk seperti ini:

  • Ali menunjukkan beberapa kesukaran sewaktu ingin menyentuh hidungnya menggunakan jarinya.
  • Ali mempunyai sedikit masalah dalam mengawal pergerakan ototnya sewaktu bercakap.
  • Ali tidak mampu bergerak dengan kepantasan yang diharapkan.

Meskipun laporan tersebut menunjukkan ada suatu ‘masalah’ dengan Ali, namun Dr. Frank Howard tidak menganggap ia perkara yang serius, dan membenarkan Ali untuk bertarung. Lesen pertarungan kemudian dikeluarkan oleh Nevada State Athletic Commission bersandarkan kepada kebenaran yang diberikan oleh Dr. Frank.

Pada tanggal 2 Oktober 1980, malam kesedihan Muhammad Ali muncul.

Menurut anggaran, perlawanan Muhammad Ali menentang Larry Holmes menarik minat seramai 2 billion penonton di seluruh dunia. Dari perlawanan ini sahaja, Larry Holmes membawa pulang sebanyak 6 juta USD, manakala Muhammad Ali membawa pulang sebanyak 8 juta USD.

Namun wang bukanlah segala-galanya, kerana sekiranya anda berada dalam gelanggang dan menonton pertarungan itu pada waktu itu, anda mungkin berharap perlwanan tersebut tidak pernah berlangsung.

Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua peninju berada ditepi gelanggang. Muhammad Ali, yang pada waktu itu merupakan orang yang akan bertarung, dilihat tidak mampu untuk mengawal pergerakan badannya sendiri! Dia bergerak dalam keadaan terhuyung hayan walaupun perlawanan belum bermula!

Figure 2: Boleh dilihat ketakutan dalam mata Muhammad Ali (kanan). Perlawanan ini amat tragis.

Apa yang terjadi sewaktu perlawanan tersebut sedang berlangsung amat meluluhkan hati. Muhammad Ali, pada kebanyakan masa, hanya mampu berdiri di tengah gelanggang, mengambil tmbukan daripada Larry Holmes, tanpa mampu membuat s3rangan balas. Bahkan ada ketikanya dia tidak mampu mengelak pun tmbukan tersebut.

Muhammad Ali yang ada pada tanggal 2 Oktober itu bukanlah Muhammad Ali yang pernah dikenali oleh Larry Holmes sewaktu mereka berlatih bersama. Tidak, itu bukan Ali. Itu adalah orang lain,tapi bukan dia.

Dapat dilihat dalam beberapa keadaan di mana Larry Holmes sendiri berhenti dan sepertinya ingin menjerit kepada orang disekelilingnya, “biar betul?” dan “hentikan perlawanan ini!”.

Perlawanan tersebut amat menyedihkan sehinggakan Sylvester Stallone, pelakon yang memainkan watak ‘Rocky Balboa’ dan turut menonton perlawanan tersebut di luar gelanggang, juga mengatakan bahawa perlawanan itu kelihatan seperti melihat autopsy dilakukan kepada orang yang sedang hidup.

Penulis sukan tinju, Richie Giachetti sendiri mengatakan bahawa perlawanan tersebut merupakan perlawanan tinju paling teruk yang dia perlu hadapi.

…awful…the worst sports event I ever had to cover”

Sekiranya anda ingin melihat perlawanan yang meruntun jiwa, perlawanan yang kelihatan seperti seorang peninju professional menentang seorang anak-anak ini, anda boleh klik link ini atau lihat link yang telah disediakan di bawah.

Setelah berakhir 10 pusingan yang menyeksakan penonton, jurulatih Ali mengambil keputusan untuk menamatkan perlawanan. Kegilaan apakah agaknya yang membelenggu kem Ali sehingga mereka membenarkan 10 pusingan berlangsung dengan keadaan Ali seperti itu?

Menurut Ferdie Pacheco, bekas doktor peribadi Muhammad Ali, “kesemua orang yang terlibat dalam pertarungan ini patut ditangkap! Perlawanan ini merupakan sesuatu yang jijik, ia satu jenayah!”.

Dr. Pacheco sebelum itu bertindak berhenti dari kem Ali 3 tahun sebelum perlawanan tersebut berlangsung, dan ketika beliau dan Ali bertemu pada 2012, Ali mengatakan “kau benar”, yang mungkin merujuk kepada kondisi Ali yang tidak mengizinkan beliau bertarung, namun beliau berdegil dan terus bertarung meskipun tidak mendapat kebenaran Dr. Pacheco.

Muhammad Ali kemudiannya disahkan menghidap penyakit Parkinson. Hal ini menjelaskan segala masalah yang dia hadapi – masalah pertuturan yang dia hadapai, masalah dia untuk mengawal pergerakan badannya. Rupa-rupanya, pertarungan Muhammad Ali dan Larry Holmes itu bukanlah pertarungan juara dengan bekas juara, namun ia sebenarnya pertarungan juara dengan pesakit Parkinson.

RUJUKAN:

“The night when Ali screamed in pain.” –  Thomas Hauser, The Guardian (2007). https://www.theguardian.com/sport/2007/jan/07/boxing.features

“The Greatest falls to Holmes, Father Time…” – Heritage Auctions (2015). https://sports.ha.com/itm/boxing-collectibles/memorabilia/1980-muhammad-ali-fight-worn-trunks-from-larry-holmes-bout/a/7145-80044.s

“Day when time finally beat Ali.” – Gareth A Davies, Telegraph (2006). https://www.telegraph.co.uk/sport/othersports/boxing/2352160/Day-when-time-finally-beat-Ali.html

“Muhammad Ali vs Larry Holmes.” https://www.youtube.com/watch?v=DAjFEyoOZcI

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Universe in a Nutshell, salah satu video yang membuka minda pemikir muda ini untuk mula meminati fizik. Setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, dia kini sedang berusaha untuk merakyatkan sains kepada pelajarnya dan masyarakat umum. Minat utamanya adalah fizik moden, termasuk relativiti dan teori kuantum, di samping falsafah, ekonomi dan tasawuf

Comments are closed.