Malam Jahanam Bulungan 1964

0
2404
views

“Lapar, tinggal menangkap udang sebesar lengan anak-anak dan memancing ikan patin sebesar guling di Sungai Kayan. Hewan dan buah-buahan sangat gampang ditemui saat itu,” – Datu Abdul Hamid, Pemangku Sultan Bulungan  –

INI merupakan antara kenyataan yang diucapkan oleh salah seorang waris kerajaan yang pernah wujud di bumi Borneo atau lebih mengkhusus di Kalimantan Timur suatu ketika dahulu.  Kerajaan Kesultanan Bulungan mungkin namanya tidak begitu dikenali namun hakikatnya kemakmuran sebuah kerajaan kuno ini terungkap dengan bukti-bukti kekayaannya baik dari segi minyak mahupun berlian yang pernah dieksplorasi oleh Koloni Belanda.  Dek kerana kekayaan itu juga menyaksikan satu kerajaan besar yang mana wilayah jajahannya mencakupi sehingga ke Tidung, Malinau, Nunukan, Tarakan malah Tawau, Borneo Utara (Sabah) suatu ketika dahulu dikatakan tidak pernah mengenakan cukai ke atas rakyat di sepanjang kewujudannya.

Disebalik kemegahan Kerajaan Bulungan yang menurut sejarah lamanya diasaskan oleh seorang bernama Kuwanyi dari kalangan golongan bangsawan kaum Kayan Uma Apan di Usun Apau tidak mempunyai raja secara mengkhusus.  Sebaliknya corak pemerintahannya adalah dipegang oleh para pahlawan atau kesatria kaum Kayan. Kuwanyi sendiri pada ketika itu amatlah digeruni kerana ketangkasannya di perang-perang kayau di Borneo yang pernah menjadi igauan ngeri apabila mendengar sejarahnya.  Dari keturunan Kuwanyi ini akhirnya ada seorang puteri yang bernama Asung Lawan yang telah menikahi seorang putera dari Kerajaan Brunei yang bernama Datu Mencang yang mana pada kurun ke-17 menyaksikan ianya bertukar menjadi sebuah kerajaan Islam yang dinamakan Kerajaan Kesultanan Bulungan.

Walaupun sudah mempunyai pengaruh Islam di dalam pemerintahannya iaitu sejak tampuk pemerintahan diungguli oleh Datuk Mencang yang memerintah dari tahun 1555 hingga 1594 masih belum ada gelaran Sultan yang digunapakai kerana ianya tetap meneruskan gelaran lama kepada pemerintahnya iaitu gelaran Kesatria atau Wira.  Hanya diketika Wira Amir yang naik takhta pada tahun 1731 barulah gelaran Sultan digunakan iaitu dengan menggelar dirinya Sultan Amirul Mukminin.

Apabila kita menyoroti sejarah lama berdiri dan jatuhnya kerajaan-kerajaan kuno di Kalimantan, penyebab kepada keruntuhan mereka adalah samada dek kerana permainan “bijak” Koloni Belanda mahupun ketika pendudukan Jepun pada Perang Dunia Kedua berlangsung.  Peristiwa Mandor Berdarah misalnya menyaksikan Kerajaan Kubu “hilang” dari peta kerajaan lama di Kalimantan dek kerana pembantaian tentera Jepun.  Untuk konteks Kerajaan Kesultanan Bulungan pula biar sewaktu era Koloni Belanda kemudian Jepun malah tatkala Republik Indonesia ditubuhkan, ianya masih utuh berdiri serta mendapat hak istimewa sebagai sebuah wilayah autonomi beraja di dalam Indonesia sehingga tahun 1964.

Hanya selepas tahun 1964 atau untuk lebih mengkhusus pada tanggal 3hb Julai 1964, sedikit demi sedikit Kerajaan Kesultanan Bulungan turut hilang dari radar peta Indonesia dan menurut sejarah “ghaibnya” Kerajaan Bulungan sebenarnya mempunyai perkaitan secara langsung dengan penubuhan Malaysia yang dimuktamarkan pada tanggal 16 September 1963.  Dan umum mengetahui bahawa di awal penubuhan Malaysia itu sendiri mempunyai cerita gelap yang penuh onak nan berduri iaitu adanya satu konfrontasi yang dinamakan Konfrontasi Indonesia/Malaysia atau “Ganyang Malaysia” yang berlangsung dari tahun 1962 hingga 1965.

Dari hanya perdebatan lisan seorang Presiden yang memegang tampuk kepimpinan Indonesia pada masa itu akhirnya sudah berani menginjak-nginjak sempadan Malaysia iaitu samada di bumi Sabah mahupun Sarawak itu sendiri dengan provokasi atau tembakan secara langsung.  Dan dikatakan Kerajaan Bulungan walaupun berada di wilayah Indonesia menjadi “mangsa” kerana Sultan Maulana Muhammad Jalaluddin, sultan Kerajaan Bulungan pada masa itu adalah seorang warganegara Malaysia.  Keberadaan adanya kerabat diraja yang menjadi rakyat Malaysia tetapi mendukung sebuah kerajaan autonomi di Indonesia dilihat oleh tampuk kepimpinan Indonesia seumpama gunting di dalam lipatan yang mana pengaruhnya harus dihapuskan secara total pada ketika itu.

Tanggal 2hb Julai 1964 menyaksikan Presiden Indonesia telah menghantar dua panglima tertinggi Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) ke istana Bulungan.  Kedatangan anggota tentera berpangkat tinggi sudah tentu disambut baik oleh istana pada masa itu.  Menurut ceritanya pihak istana Bulungan telah mengadakan jamuan makan malam untuk mereka dan tiada agenda yang mengkhusus melainkan hanya lawatan biasa sahaja sehinggalah para tetamu memohon diri untuk pulang.

Tetapi kedamaian istana Bulungan bertukar saat menjelang subuh 3hb Julai 1964 iaitu di ketika para penghuni istana Bulungan dan kawasan sekitarnya sedang lena diulit mimpi, segerombolan ABRI telah mengepung istana Bulungan.  Mereka merempuh istana Bulungan lantas menangkap dengan kasar kesemua kaum kerabat Bulungan tanpa mengira lelaki atau wanita mahupun anak-anak kecil pada masa itu.  Menambahlagi duka apabila ABRI turut bertindak membakar istana serta menjarah apa jua bukti sebuah kerajaan yang pernah ada di bumi Kalimantan pada masa itu.

Pada hari itu sahaja dikatakan ramai yang terkorban mempertahankan istana Bulungan baik dari penjaga istana mahupun kaum kerabat diraja Bulungan.  Yang ditangkap hidup-hidup langsung dibawa ke Tarakan tanpa bicara.  Dan hari-hari seterusnya mana-mana keluarga diraja yang tidak tinggal di Bulungan turut diburu dan akhirnya menyebabkan Kerajaan Bulungan lenyap di peta Indonesia.  Menurut rekod tidak rasmi yang dikeluarkan menyatakan hampir 80 orang kerabat diraja Bulungan termasuk golongan sufi di istana ditangkap dengan lebih kurang 30 orang daripada mereka “hilang” dan ini termasuklah pewaris Kerajaan Bulungan seterusnya yang dikenali sebagai Raja Muda Datu Mukemat.  Matinya sehingga sekarang masih tidak diketahui dimanakah pusaranya.

Tindakan Presiden dengan menghantar segerombolan ABRI ke atas Kerajaan Bulungan adalah atas dakwaan Kerajaan Bulungan bersekongkol menentang Indonesia. Mereka didakwa telah mengetuai gerakan bawah tanah agar rakyat di wilayah Bulungan menyokong usaha pembentukan Malaysia.  Dan ada pihak lain yang mendakwa bahawa tindakan itu juga atas dasar untuk membanteras adanya usaha-usaha komunisme dari Parti Komunis Indonesia yang sedang mekar berkembang di dalam pemahaman Kerajaan Bulungan. Namun sehingga sekarang masih belum ada cukup bukti bagi menoktahkan setiap dakwaan tersebut bagi memperjelaskan apakah punca yang sebenarnya Kerajaan Bulungan dihukum sedemikian rupa sehingga “nyah” dari bumi Kalimantan. Tragedi yang menimpa kaum kerabat Bulungan yang bermula pada tanggal 3hb Julai 1964 inilah yang dikenali sebagai “Malam Jahanam Bulungan” 1964.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

  1. Menyingkap Tragedi Malam Jahanam http://weekly.prokal.co/read/news/326-menyingkap-tragedi-malam-jahanam.html

2.  Bulungan, Kerajaan Besar di Kalimantan yang Terlupakan. http://regional.liputan6.com/read/2391683/bulungan-kerajaan-besar-di-kalimantan-yang-terlupakan

3.  Tragedi Pembantaian Bulungan di Perbatasan Malaysia https://tirto.id/tragedi-pembantaian-bulungan-di-perbatasan-malaysia-cu4N

4.  Sejarah Asal Usul dan Kebudayaan Suku Bulungan Kalimantan Timur http://dunia-kesenian.blogspot.my/2015/05/sejarah-asal-usul-kebudayaan-suku-bulungan.html

  1. Kerajaan Bulungan, Kalimantan Timur, Borneo – Borneo Oracle