Kunci kebebasan negara mundur daripada kemiskinan sebenarnya terletak pada pendidikan anak-anak lebih-lebih lagi anak perempuan. Berilah pendidikan pada perempuan dan lihat kesannya kepada masyarakat. Adat perkahwinan muda dapat dicegah, kerahan terhadap kerja buruh terutamanya buruh kanak-kanak dapat dikurangkan. Dengan kemahiran melalui pembelajaran, sumber pendapatan semakin bertambah dan seterusnya membuatkan ekonomi makin stabil. Begitulah yang Malala mahu realisasikan dan suarakan kepada dunia. 9 Oktober 2011 mencatatkan tragedi terburuk yang pernah berlaku dalam hidup gadis dari Pakistan ini namun merupakan pembuka mata buat dunia bagi menyaksikan Malala tetap teguh menuntut ilmu walaupun dalam keadaan bergolak.

Malala Yousafzai yang bangkit dari serangan puak Taliban dan memepertahankan hak pendidikan. (Foto Kredit : media-channel.nationalgeographic.com)

Malala lahir pada tahun 1997 di Lembah Swat Pakistan. Ayahnya, Ziauddin Yousofzai pula seorang guru merangkap aktivis tempatan yang berhasil membuka sekolah di tengah masyarakat yang masih berfikiran mundur manakala ibunya wanita biasa yang buta huruf. Betapa banyak kepayahan yang Ziauddin lalui sehinggakan dituduh merancang untuk melatih kanak-kanak menjadi pemberontak melalui sekolah ini serta tindakannya dianggap menyimpang daripada ajaran Islam. Sudah menjadi hajat terbesar Ziauddin untuk memberikan pelajaran terbaik untuk semua termasuk anaknya supaya dapat mengembangkan potensi diri masing-masing.

Penaklukan Taliban di Lembah Swat sekitar tahun 2007 mengekang aktiviti harian penduduk tempatan seperti kebebasan kepada dunia luar melalui radio dan televisyen serta melarang kanak-kanak perempuan bersekolah. Malala yang ketika itu merupakan salah seorang anak murid di sekolah ayahnya turut kesal apabila pihak Taliban mengarahkan semua sekolah ditutup. Rintihan Malala yang terpaksa hidup dalam ketakutan dan kekecewaan di bawah pemerintahan pengganas dinukilkan dalam blog BBC melalui nama penanya Gul Makai.

Peperangan yang semakin dahsyat antara askar Pakistan dan Taliban memaksa lebih sejuta penduduk Lembah Swat berpindah ke negeri lain. Keluarga Yousafzai memutuskan untuk pindah ke Peshawar. Di daerah ini, Malala dapat berbicara secara terbuka melalui wawancara radio serta menemukannya dengan Richard Holbrooke iaitu pegawai diplomat Amerika yang menyokong perjuangan Malala. Pada masa yang sama, penulisan Malala di blog BBC mula mendapat perhatian daripada The New York Times dan sekaligus membuka mata dunia terhadap kesan penaklukan ekstrimis kepada masyarakat.

Malala bersama ayahnya, Ziauddin Yousofzai (Foto Kredit : ameliatorres.files.wordpress.com)

Menjelang tahun 2011, usaha tentera Pakistan di Lembah Swat mula membuahkan hasil apabila kelompok Taliban mula mengundurkan diri daripada kawasan tersebut. Kemenangan ini membolehkan sekolah Ziauddin dibuka semula. Kepulangan mereka sekeluarga ke kampung menerbitkan semangat buat Malala untuk terus bersuara bagi mendapatkan hak pendidikan untuk kanak-kanak perempuan setempat sehingga melayakkannya untuk dianugerahi Anugerah Keamanan Belia Pakistan yang pertama. Pengaruh kuat Malala di negaranya serta seluruh dunia membuatkan pihak Taliban berang dan mencetuskan dendam pada gadis ini. Pada 9 Oktober 2011 seorang pengganas bertindak secara mengejut dan menyerang Malala ketika dalam perjalanannya pulang ke sekolah. Malala ditembak pada muka dan leher. Beliau digegaskan ke hospital Peshawar dan mendapatkan rawatan selanjutnya di England. Walaupun Malala memerlukan rawatan rapi pada muka belah kirinya yang lumpuh, beliau cukup bernasib baik kerana tidak mengalami pencederaan teruk pada otak.

Selepas beberapa sesi rawatan intensif dan pembedahan, akhirnya Malala meneruskan hidup baru bersama keluarganya dan sambung persekolahan di Birmingham, England. Seperti diberikan peluang kedua, kebangkitan semula Malala daripada tragedi tersebut menjadi batu loncatan baginya untuk makin lantang bersuara untuk semua perempuan. Kemunculannnya di Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 12 Julai 2013 membuat jasanya mendapat sanjungan seluruh dunia. Memetik kata Malala pada ketika itu “Pengganas menyangka ugutan mereka dapat menghentikan cita-cita dan matlamat kita, namun tiada apa yang berubah kecuali kelemahan, ketakutan dan putus asa digantikan dengan kekuatan, kuasa serta keberanian.” PBB juga mengisytiharkan Hari Malala pada hari jadinya iaitu 12 Julai setiap tahun bagi memperingati jasa gadis ini.

Malala berucap di sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Foto Kredit : mtv.com.au)

Malala kian giat berkempen melalui ‘Malala Fund’ iaitu organisasi yang mendukung matlamatnya pada hak pendidikan sehingga berjaya mengumpul dana bagi membuka sekolah perempuan buat pelarian Syria di Lubnan . Pada Disember 2014, Malala sekali lagi mencatatkan sejarah dengan meraih Anugerah Keamanan Nobel dan sekaligus menjadikannya penerima anugerah termuda sepanjang zaman.

Malala menerima Aungerah Nobel pada Disember 2014 (Foto Kredit : mtv.com.au)

Pengalaman beliau diabadikan dalam buku biografi yang bertajuk ‘I am Malala’ hasil nukilannya sendiri dengan bantuan penulis Christina Lamb dan menjadi buku ‘bestseller’ pada tahun 2014. Pada tahun berikutnya pula, filem dokumentari ‘He Named Me Malala’  turut diterbitkan dan berjaya pecah panggung di 175 negara.

Malala dalam filem dokumentarinya (Foto Kredit : dailytexanonline.com)

Malala kemudiannya menjalankan misi ‘Girl Power Trip’ ke serata negara seperti Timur Tengah, Afrika dan Benua Amerika Latin. Dalam misi ini, beliau dapati kebanyakan perempuan tidak berpeluang menuntut ilmu kerana terpaksa akur dengan adat yang memaksa untuk kahwin pada usia muda dan konflik lain seperti kemiskinan. Segala maklumbalas yang Malala terima kemudiannya dibawa ke peringkat yang lebih tinggi. Malala berpeluang berjumpa dengan para pemerintah bagi membincangkan isu ini dan menekankan kepentingan sokongan kerajaan dalam memberikan peluang pendidikan buat kanak-kanak perempuan.

Malala bersama buku biografinya (Foto Kredit: mtv.com.au)

Kisah hidup Malala wajar dijadikan teladan supaya kita lebih hargai peluang pendidikan yang tersedia di negara kita yang aman ini.  Malala menunjukkan kepada dunia sifat perjuangan perempuan yang luarbiasa apabila dicabar oleh kuasa dominan yang menyekat kebebasan.

Walaupun perempuan tidak mampu untuk syahid di medan perang, tetapi perempuan masih dapat berjihad di jalan Allah melalui pendidikan. Rasulullah s.a.w bersabda : “ Siapa yang keluar menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali”. (HR Muslim).  Petikan hadis ini menyokong kepentingan menuntut ilmu bagi mengubah nasib diri serta masyarakat.

Oleh itu, belajarlah selagi hayat dikandung badan. Pembelajaran tidak berhenti sekadar di sekolah atau universiti sahaja, malah lebih luas daripada itu. Lengkapilah diri dengan ilmu dunia dan akhirat agar dapat kembali berjasa kepada agama dan bangsa.

SUMBER RUJUKAN

https://www.malala.org/malalas-story

https://www.biography.com/people/malala-yousafzai-21362253

http://www.mtv.com.au/malala-yousafzai/news/18-amazing-facts-about-malala-yousafzai-to-celebrate-her-18th-birthday


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pencinta sastera dan perfileman tempatan dan antarabangsa. Mempunyai minat yang mendalam pada kesenian, sejarah dan tradisi lokal. Tak akan berhenti menulis selagi masih ada budaya dan seni nusantara yang belum dibicarakan.

Comments are closed.