Maksud Nama-Nama Firaun

2,226

Mesir Purba merupakan tamadun yang terawal di benua Afrika Utara. Tamadun di sepanjang Sungai Nil itu diperintah oleh seorang pemerintah berkuasa mutlak serta dianggap suci yang dikenali sebagai Firaun. Firaun berperanan sebagai ketua agama dan politik kepada orang Mesir pada masa tersebut dan memegang dua gelaran iaitu “Tuan Dua Tanah” dan “Imam Besar Kuil”. Artikel ini membincangkan tentang maksud nama peribadi yang diberikan kepada para Firaun.

Antara Firaun yang terdapat di Mesir Purba adalah Menes (3201 – 3101 SM). Baginda yang dipercayai Narmer merupakan pemerintah pertama yang berjaya menyatukan dua tanah iaitu Atas dan Bawah serta menjadi pengasas kepada Dinasti Pertama (3150 – 2890 SM). Dalam Bahasa Mesir Purba (Egyptian), Menes dikenali sebagai [maˈnij] ataupun [maˈneʔ] yang bermaksud “Baginda yang bertahan”.

Patung Firaun Djoser

Selain itu, Djoser (2650 – 2575 SM) adalah antara Firaun yang terdapat di Mesir Purba. Baginda yang dikenali sebagai “Netjerikhet”, “Tosorthros” dan “Sesorthos” itu merupakan pemerintah dalam Dinasti Ketiga (2686–2613 SM). Dalam Bahasa Mesir Purba, Djoser dikenali sebagai [d͡ʒɛsɛr] yang bermaksud “untuk menjadi suci”.

Pating Firaun Khufu

Di samping itu, Khufu (2620 – 2566 SM) adalah antara Firaun yang terdapat di Mesir Purba. Baginda yang dikenali sebagai “Cheops”, “Suphis”, “Chnoubos” dan “Sofe” itu merupakan pemerintah kedua dalam Dinasti Keempat (2613–2498 SM). Dalam Bahasa Mesir Purba, Khufu dikenali sebagai [xuːʔɛf wi] ataupun [xuːfuː] yang bermaksud “Dia melindungi saya”.

Hatshepsut

Kemudian, Hatshepsut (1507 – 1458 SM) adalah antara Firaun yang terdapat di Mesir Purba. Baginda yang merupakan seorang perempuan itu adalah merupakan pemerintah kelapan dalam Dinasti Ke-18 (1550 – 1292 SM). Dalam Bahasa Mesir Purba, Hatshepsut dikenali sebagai [ħɑt ʃɛpsuːt] yang bermaksud “Para Wanita Mulia”.

Thutmose III: Titan of the Sands

Seterusnya, Thutmose III (1481 – 1425 SM) adalah antara Firaun yang terdapat di Mesir Purba. Baginda yang dikenali sebagai “Manahpirya” di dalam surat Amarna itu merupakan pemerintah keenam dalam Dinasti Ke-18 (1550 – 1292 SM). Dalam Bahasa Mesir Purba, Thutmose dikenali sebagai “Thothmes” yang bermaksud “Thoth telah lahir”. Untuk pengetahuan semua, “Thoth” merupakan dewa bulan yang melambangkan kebijaksanaan, pendidikan dan sihir.

Amenhotep III (1411 – 1353 SM)

Amenhotep III (1411 – 1353 SM) adalah antara Firaun yang terdapat di Mesir Purba. Baginda yang dikenali sebagai “Nibmu`wareya” itu merupakan pemerintah kesembilan dalam Dinasti Ke-18 (1550 – 1292 SM). Dalam Bahasa Mesir Purba, Amenhotep dikenali sebagai “Amāna-Ḥātpa” yang bermaksud “Amun telah puas”. Untuk pengetahuan semua, “Amun” merupakan dewa yang bergabung dengan “Ra” (Matahari) iaitu Amun-Ra.

Akhenaten (1380 – 1336 SM)

Akhenaten (1380 – 1336 SM) adalah antara Firaun yang terdapat di Mesir Purba. Baginda yang dikenali sebagai “Ikhnaton” itu merupakan pemerintah dalam Dinasti Ke-18 (1550 – 1292 SM). Dalam Bahasa Mesir Purba, Akhenaten dikenali sebagai [ɑx ɛn itɛn] yang bermaksud “Berkesan untuk Aten”. Untuk pengetahuan semua, “Aten” ataupun “jtn” merupakan nama Tuhan dalam agama monoteis (satu Tuhan) yang disembah Akhenaten.

Tutankhamun (1341 – 1323 SM)

Tutankhamun (1341 – 1323 SM) adalah antara Firaun yang terdapat di Mesir Purba. Baginda merupakan pemerintah dalam Dinasti Ke-18 (1550 – 1292 SM) yang memerintah dari tahun 1332 sehingga 1323 SM. Dalam Bahasa Mesir Purba, Tutankhamun dikenali sebagai [taˈwaːtəʔ ˈʕaːnaχ ʔaˈmaːnəʔ] yang bermaksud “Imej hidup Amun”. Untuk pengetahuan semua, “Amun” merupakan dewa yang bergabung dengan “Ra” (Matahari) iaitu Amun-Ra.

Rameses II (1303 – 1213 SM)

Rameses II (1303 – 1213 SM) adalah antara Firaun yang terdapat di Mesir Purba. Baginda merupakan pemerintah ketiga dalam Dinasti Ke-19 (1292 – 1189 SM) yang memerintah dari tahun 1279 sehingga 1213 SM. Dalam Bahasa Mesir Purba, Ramses dikenali sebagai [ˈɾiːʕaʔ məˈsiːˌsuw] yang bermaksud “Ra yang melahirkannya”. Untuk pengetahuan semua, “Ra” ataupun [rˤ] merupakan nama dewa Matahari pada masa tersebut.

Akhir sekali, Cleopatra VII (69 – 30 SM) adalah antara Firaun yang terdapat di Mesir Purba. Baginda yang adalah seorang perempuan itu merupakan pemerintah terakhir dalam Dinasti Ptolemaik (323 – 30 SM). Dalam Bahasa Yunani, Cleopatra dikenali sebagai “Kleopátrā (Κλεοπᾰ́τρᾱ)” yang bermaksud “Kemuliaan Bapanya”. Untuk pengetahuan semua, baginda mangkat kira-kira 600 tahun sebelum keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Kesimpulannya, itu adalah antara nama Firaun dalam lipatan sejarah. Menurut Pakar Mesir Purba, terdapat 170 Firaun telah memerintah Mesir Purba sebelum jatuh ke tangan Empayar Rom (27 SM – 1453). Gelaran “Firaun” sendiri berasal daripada Bahasa Mesir Purba iaitu [ˌpaɾuwˈʕaʀ] yang bermaksud “Rumah Besar”.

RUJUKAN:

Egyptian Pharaohs – Penn Museum. Retrieved August 1, 2019 from https://www.penn.museum/documents/education/pennmuseum_egypt_previsit_combined.pdf

Royster, Francesca T. (2003), Becoming Cleopatra: The Shifting Image of an Icon, New York: Palgrave MacMillan, ISBN 9781403961099

“Akhenaten”. dictionary.com. Archived from the original on 14 October 2008. Retrieved 2008-10-02.

Moran, William L. (1992). The Amarna Letters. Baltimore: Johns Hopkins University Press.

Clayton, Peter (1994). Chronicle of the Pharaohs. Thames & Hudson. p. 104.

Edwards, IES (1971), “The early dynastic period in Egypt”, The Cambridge Ancient History, 1, Cambridge: Cambridge University Press

Loprieno, Antonio (1995). Ancient Egyptian: A linguistic introduction. Cambridge University press. ISBN 0-521-44384-9.

Edwards, IES (1971), “The early dynastic period in Egypt”, The Cambridge Ancient History, 1, Cambridge: Cambridge University Press

Beck, Roger B; Black, Linda; Krieger, Larry S; Naylor, Phillip C; Shabaka, Dahia Ibo (1999), World history: Patterns of interaction, Evanston, IL: McDougal Littell, ISBN 0-395-87274-X

List of the Most Famous Pharaohs. Retrieved August 1, 2019 from https://www.myenglishpages.com/site_php_files/reading-famous-pharaohs.php

Pharaoh: Lord of the Two Lands. Retrieved August 1, 2019 from http://www.ancientegypt.co.uk/pharaoh/home.html

1.3 Nota Ringkas: Tamadun Mesir Purba. Retrieved August 1, 2019 from  https://spmflix.com/courses/316395/lectures/4876833

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.