Maksud Cogan Kata Bersekutu Bertambah Mutu

5,125

Jika ditanya pada rakyat Malaysia, apakah makna “Bersekutu Bertambah Mutu” pasti ramai yang tak dapat menjawab dengan tepat. Apatah lagi makna “Bersekutu” pun belum tentu mereka tahu. Tahukah anda frasa ini diabadikan pada jata negara Malaysia? Dan tahukah anda asalnya ia sebuah peribahasa?

Kita telusuri semula di peringkat awal sebelum penubuhan Malaysia pada 1963. Ketika British menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu atau dinamakan “Malaya” dalam Bahasa Inggeris pada 1 Februari 1948, jata seperti di atas telah diperkenalkan dengan elemen penggabungan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat kecuali Singapura.

Figure 1 Jata Persekutuan Tanah Melayu sebelum pembentukan Malaysia

Perhatikan juga cogan kata di bawah yang ditulis dalam tulisan Jawi dan Rumi iaitu

برسكوتو برتمبه موتو

Atau dalam tulisan ruminya “Unity is Strength” di dalam Bahasa Inggeris. “Bersekutu Bertambah Mutu” atau dalam Bahasa Inggerisnya “Unity is Strength” adalah merupakan sebuah peribahasa Inggeris (proverb) yang mana jika kita terjemahkan secara terus ke dalam Bahasa Melayu sebagai “Perpaduan Sendi Kekuatan”

Frasa “Unity is strength” ini berasal daripada perkataan Latin iaitu “concordia res parvae crescent” (small things flourish by concord) yang dicatat di dalam sebuah monograf ditulis oleh penulis Rom bernama Sallust bertajuk Bellum lugurthinum bersempena Peperangan Jugurthine pada 112 – 106 SM.

Jata lama Republic of The Seven United Netherlands (1581-1795)

Pertama kali frasa ini digunakan sebagai motto bagi Republic of the Seven United Netherlands (1581-1795) yang mana konsep mereka ketika itu seperti persekutuan antara daerah di Negeri Sembilan. Negara lain yang pernah menggunakan frasa “Unity is Strength” adalah seperti Belgium, Bulgaria, Kanada, Georgia, Greece, Haiti, Afrika Selatan dan juga Amerika Syarikat sebelum ada negara yang menukar motto mereka mengikut perubahan zaman.

Frasa “Unity is strength” juga dikaitkan dengan kisah pengajaran yang diceritakan oleh seorang penglipurlara Greek iaitu Aesop di dalam sebuah cerita beliau bertajuk “The Old Man and His Sons”. Kisahnya bermula dengan seorang lelaki tua yang mempunyai beberapa anak lelaki yang sentiasa bertengkar antara satu sama lain.

Di penghujung hayatnya, dia memanggil mereka dan memberi nasihat kenapa pentingnya perpaduan sesama mereka. Setelah mengikat satu tongkat bersama (atau ada yang lain mengatakan tombak atau anak panah), dia meminta anak-anaknya memecahkannya. Apabila mereka gagal, dia membuka ikatan tersebut dan memecahkan setiap satu daripadanya. Dengan cara itu, dia mengajar mereka, apabila mereka bergabung mereka akan menjadi lebih kuat, jika berpecah mereka akan lemah. Seperti peribahasa Melayu, “Bersatu teguh, bercerai roboh”.

Definisi ‘Bersekutu’ menurut Kamus Bahasa Melayu DBP adalah berkongsi untuk melakukan sesuatu; bersatu antara satu dengan yang lain supaya menjadi lebih kuat; atau bahasa mudahnya – bergabung. Inilah asasnya yang membentuk pentadbiran negeri-negeri Melayu Bersekutu yang terawal iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan, bilamana ketua negeri masing-masing (Sultan dan Yang Di-Pertuan Besar) duduk semeja membincangkan hala tuju bersama dan bergabung menjadi satu entiti persekutuan kemudian bertambah penyertaannya kepada lima buah negeri yang asalnya tidak bersekutu. Sebelum akhirnya menjadi lebih besar dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura.

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Bersekutu dalam konteks kenegaraan kita adalah bagaimana dalam kepelbagaian ras dan etnik serta budaya Nusantara sendiri yang berbagai ragam itu menjadi sebuah kesatuan untuk membentuk sebuah negara-bangsa Melayu itu sendiri. Kita sedia maklum, Melayu Kedah mungkin sedikit berbeza dengan Melayu Johor namun atas semangat bersekutu itulah yang menjadi elemen penyatuan kita dalam negara.

Apabila kita bersatu atas nama “Melayu” kita akan lebih merasakan kebersamaan kerana bahasa dan agama kita yang sama. Walaupun di Indonesia, istilah “Melayu” itu dikecilkan maknanya sebagai salah satu etnik, tetapi mereka disatukan atas nama Bangsa Indonesia yang mana terasnya masih lagi mengangkat Bahasa Melayu yang dijenamakan sebagai Bahasa Indonesia.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, walau apapun cabaran dan dugaan yang melanda negara kita ini, ketepikan soal remeh-temeh yang cuba diperbesarkan. Sudah lama kita berpecah hanya kerana isu yang tidak penting. Hayati semangat pejuang-pejuang dahulu yang bersusah payah memastikan anak bangsa tidak terleka.

Dirgahayu Malaysia!

Sayangi Malaysiaku!

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-62.

Artikel disumbangkan oleh Razif Abdul Rahman untuk The Patriots.

RUJUKAN:

En.wikipedia.org. (2019). Unity makes strength. [online] Available at: https://en.wikipedia.org/wiki/Unity_makes_strength [Accessed 24 Aug. 2019].

Barnes-Murphy, F., Aesop, & Barnes-Murphy, R. (1994). The fables of Aesop. New York: Lothrop, Lee & Shepard Books.

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.