Makin Tua Umur Kita, Makin Panjang Bulu Hidung Kita

523

Bagi kaum hawa, masalah bulu hidung panjang ini tak begitu ketara untuk mereka. Namun, perkara ini berbeza untuk kaum Adam. Mencabut bulu hidung yang panjang ni boleh dikatakan rutin harian mereka. Sudahlah bulu hidung mereka ni panjang, tebal, susah nak cabut pula tu.

Tapi, itulah…kenapa lelaki yang selalu ada masalah ini? Kenapa perempuan hanya ada masalah bulu hidung bila dah tua? Untuk memahami perkara ini, kita perlu lihat dahulu kitaran pertumbuhan bulu badan.

Bulu hidung, sebagaimana bulu bulu badan yang lain, diperbuat daripada sejenis protein bernama keratin. Semua bulu yang ada pada badan ini fungsinya adalah memerangkap sesuatu. Sebagai contoh, bulu roma bertindak sebagai pemerangkap udara yang bertindak memerangkap haba badan daripada senang terbebas keluar.

Bulu di hidung pula bertindak memerangkap debu dan habuk halus daripada memasuki sistem respirasi manusia. Bulu bulu ini juga mempunyai fungsi lebihan lain. Misalnya, bulu yang panjang seperti misai kucing mampu mengesan pergerakan objek lain semasa memburu.

Ok, cukup tentang fungsi bulu. Berbalik kepada kitaran pertumbuhan bulu, ia boleh dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertamanya ialah fasa menumbuh (anagen), kedua ialah fasa berhenti (katagen, atau fasa bulu gugur) dan terakhir ialah fasa berehat (telogen). Selepas itu, kitaran ini akan terus bersambung ke anagen kembali.

Apa yang membuatkan lelaki mempunyai masalah bulu hidung panjang adalah kerana kesan sampingan testosterone terhadap sistem badan lelaki. Hormon lelaki ini membuatkan fasa anagen menjadi lebih lama berbanding biasa.

Akibatnya, bulu hidung tumbuh lebih panjang, tebal dan kasar berbanding asalnya. Bulu hidung ini menjadi lebih panjang apabila lelaki tersebut mencapai umur matang mereka. Pada saat ia hendak gugur (katagen), barangkali bulu hidung lelaki ini sudah mencapai misai mereka. Kalau bernasib baik, mungkin perempuan akan ingat itu sebahagian daripada misai mereka.

Kalau testosterone menyebabkan bulu hidung panjang dalam kalangan lelaki, macam mana pula dengan perempuan? Sekiranya perempuan mengalami bulu hidung panjang, ia disebabkan gangguan hormon dalam badan mereka. Wanita secara normalnya akan mempunyai bulu hidung panjang apabila mereka tua.

Hal ini disebabkan kurangnya hormon perempuan mereka yakni estrogen. Kekurangan hormon estrogen yang berpunca daripada menopaus akan menyebabkan hormon testosteron dalam badan mereka lebih menonjol. Akhirnya, bulu hidung dan bulu badan pun mula menumbuh pada badan mereka.

Oleh itu, untuk lelaki, mempunyai bulu hidung yang panjang adalah normal dan ia juga menunjukkan sistem badan anda dalam keadaan optimum. Untuk perempuan, ia menunjukkan tanda tanda menopaus ataupun gangguan hormon.

Tapi apa apa hal, cabutlah bulu hidung panjang tu sebelum sebelum ia menjadi sebahagian daripada misai anda.

RUJUKAN:

Jenkins, J. S., & Ash, S. (1973). The metabolism of testosterone by human skin in disorders of hair growth. Journal of Endocrinology59(2), 345-351.

Schweikert, H. U., & Wilson, J. D. (1974). Regulation of human hair growth by steroid hormones. I. Testosterone metabolism in isolated hairs. The Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism38(5), 811-819.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.