Makan Jering Banyak-Banyak Boleh Bikin Sakit Buah Pinggang

600

Sedang saya menelaah pelajaran malam tadi, saya terlihat akan satu seksyen kecil di dalam buku perubatan bertajuk Sarawak Handbook of Medical Emergencies mengenai satu penyakit yang berkaitan dengan jering yang dipanggil sebagai jering nephopathy. Apakah itu jering nephropathy dan bagaimanakah penyakit yang berkaitan dengan pemakanan jering terjadi?

Daripada segi perubatan, nephropathy bermaksud penyakit yang berlaku kepada buah pinggang. Jering merupakan salah satu makanan yang menjadi kegemaran masyarakat yang tinggal di Asia Tenggara. Ia kadangkala dimakan mentah-mentah, dan ada yang merebus mahupun membakarnya sebelum dimakan.

Punca penyakit ini adalah disebabkan oleh kandungan sejenis protein (asid amino) yang dipanggil sebagai asid Djengkolic. Untuk 100 gram jering, kandungan asid Djengkolicnya adalah diantara 0.3 hingga 1.3 gram. Masalah dengan asid ini adalah kerana perbentukkannya yang menjadi seakan-akan jeli apabila berada di dalam persekitaran yang berasid.

Syukur, dalam kes ini, asid ini tidak bertukar menjadi jeli di dalam darah kerana secara normalnya, darah manusia mempunyai pH diantara 7.35 hingga 7.45. Akan tetapi, secara puratanya, air kencing manusia berada di dalam keadaan sedikit berasid iaitu 6.0, dan daripada sinilah masalah akan terjadi.

Sebelum itu, kita harus mempunyai pemahaman asas mengenai bagaimana air kencing manusia terbentuk. Air kencing terbentuk hasil daripada penapisan darah di dalam struktur yang dipanggil sebagai glomerulus, yang merupakan satu bahagian dalam unit asas buah pinggang yang dipanggil sebagai nefron. Selepas itu, darah akan ditapis menjadi air kencing di dalam tubul.

Apabila seseorang itu memakan jering dengan kuantiti yang banyak, asid amino (asid Djengkolic) ini akan memasuki dalam darah dan akhirnya dibuang melalui air kencing. Di sinilah masalah akan terjadi. Amino asid ini akan menjadi sesuatu yang tidak larut di dalam air kencing, dan akan menyumbat saluran tubul yang kecil ini pada peringkat mikroskopik.

Penyakit ini akan menjadi seperti bagaimana batu karang menyebabkan kerosakan pada buah pinggang, iaitu kondisi yang dikenali sebagai obstructive nephropathy. Juga, terdapat banyak lagi mekanisma kerosakan yang berlaku, namun, kebanyakkannya masih lagi di dalam kajian seperti acute tubular necrosis dan glomerular injury. Secara asasnya, pesakit akan mengalami kegagalan buah pinggang akut, atau Acute renal failure.

Pesakit akan mulai merasai sakit pada bahagian pinggang. Hal ini adalah kerana buang pinggang seperti namanya, terletak pada bahagian pinggang. Juga, pesakit akan mengalami kencing berdarah dan ada juga yang merasai sakit pada bahagian perut dan muntah-muntah.

Jika pesakit tidak mengalami pendarahan di dalam air kencingnya, para doktor akan dapat memerhatikan sifat air kencing pesakit menjadi seperti warna air susu dan keruh. Pesakit yang mengalami masalah ini akan mempunyai sejarah memakan jering kurang 48 jam daripada gejala ini berlaku.

Disamping itu, para doktor juga boleh mengesan bau nafas pesakit dan bau air kencing juga menjadi tengik, seperti bau jering andai kata pesakit buat-buat lupa atau betul-betul terlupa menceritakan hal ini kepada doktor.

Rawatannya adalah dengan cuba menukarkan sifat air kencing ini kepada alkali, dalam rawatan yang dipanggil sebagai urine alkalinization dan juga ke masukkan air ke dalam saluran darah. Penyakit ini jarangkali membawa maut, akan tetapi, pesakit boleh menghidapi batu karang kerana asid Djengkolic ini boleh menjadi punca dan pencetus (nucleus) kepada pembentukan batu karang di dalam buah pinggang.

Jadi, nasihat saya di sini adalah bukanlah anda langsung tidak boleh memakan jering, tetapi, pemakanan ulam ini haruslah dalam kuantiti yang tidak terlalu banyak. Sebenarnya, apa jua jenis makanan pun, jika dimakan sehingga tak ingat dunia, akan menyebabkan penyakit berlaku, termasuklah makan hati kawan-kawan yang lain.

Inilah dia penerangan mengenai masalah penyakit yang berkaitan dengan salah satu ulam di negara kita, iaitu jering. Sekiranya ada soalan, anda bolehlah bertanya di ruangan komen, dan insha Allah saya akan membalasnya sekiranya ada masa, dan sekiranya tidak, saya akan membalasnya dengan senyuman. Sekian.

RUJUKAN:

Urinary Tract Infection. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK470195/

Djenkolism: case report and literature review. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3998865/#!po=1.25000

Sarawak Handbook of Medical Emergencies, 3rd Edition (Unit 3.6)

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.