Makam Diraja Ur merupakan sebuah kompleks permakaman Sumeria yang berusia 4800 tahun, terdiri dari kira-kira 2000 buah kubur yang bertempat di kota Ur, selatan Mesopotamia.

Enam belas buah kubur daripadanya dipercayai sebagai makam diraja memandangkan ia mengandungi barangan-barangan mewah seperti manik-manik emas, relik-relik gangsa, meterai-meterai silinderi, alat-alat muzik dan seramik, serta artifak-artifak yang mempunyai kaitan dengan upacara keagamaan.

Kerja-kerja ekskavasi ke atas kompleks permakaman ini dilakukan oleh seorang ahli arkeologi British, Leonard Woolley pada tahun 1920an dan 1930an. Memandangkan usaha tersebut dijalankan oleh pihak British, maka kebanyakan relik yang terkandung di dalam kompleks berkenaan diangkut ke Muzium British London dan disimpan di sana, bukannya di Iraq. Muzium Kebangsaan Iraq di Baghdad hanya menempatkan sebilangan kecil sahaja sambil baki yang lain pula disimpan di Muzium Arkeologi dan Antropologi Universiti Pennsylvania di Philadelphia.

Leonard Woolley memegang sebuah artifak yang dipercayai sebagai kecapi milik ratu Sumeria

PENEMUAN MAKAM-MAKAM UR

Leonard Woolley memulakan eskavasi ke atas Kompleks Permakaman Diraja Ur pada tahun 1922 dan menamatkan tinjauan awal pada tahun berikutnya untuk mula menjalankan kerja-kerja penggalian sebuah parit berhampiran kawasan runtuhan ziggurat. Di situ dan ketika itulah para petugas Woolley menemui barang-barang persemadian, perhiasan emas, dan batu-batu berharga sekaligus membuatkan parit tersebut dipanggil sebagai ‘parit emas’.

Walau bagaimanapun, Woolley menundakan penggalian parit tersebut memandangkan beliau dan pasukannya tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk mengendalikan kerja-kerja ekskavasi di tanah perkuburan langka. Oleh kerana itu, Woolley hanya menumpu pada kerja-kerja penggalian bangunan, sebelum kembali mengusahakan ‘parit emas’ pada tahun 1926.

Runtuhan kota Ur, selatan Iraq

Hasil daripada usaha Woolley itu, sebuah kompleks perkuburan yang mengandungi kira-kira 2000 buah kubur berjaya ditemui sedikit demi sedikit. Kebanyakan kubur tersebut hanyalah sekadar sebuah lubang biasa, yang di dalamnya dibaringkan sekujur jasad yang dimuatkan ke dalam sebuah keranda tanah liat atau sekadar dibalut dengan anyaman rumput mensiang. Sebahagian kubur malahan mempunyai beberapa buah barang persemadian, seperti bekas seramik, barangan peribadi, dan barang perhiasan.

MAKAM-MAKAM DIRAJA

Woolley turut menemukan 16 buah kubur yang agak menonjol berbanding kubur-kubur lain. Di kubur-kubur tersebut, jasad si mati tidaklah dibaringkan di dalam lubang, sebaliknya disemadikan di dalam makam batu dan ditemani sejumlah besar barang persemadian yang mewah. Dijumpai juga bukti yang mengisyaratkan berlakunya upacara-upacara tertentu yang diadakan khusus untuk si mati. Hal ini mendorong pihak penyelidik untuk menyimpulkan bahawa ia adalah makam raja-raja Mesopotamia.

Antara makam diraja yang kelihatan paling unggul adalah makam PG 800 milik seorang ratu yang bernama Puabi, Nama pemilik makam tersebut dapat diketahui menerusi sebuah meterai silinder yang disemadikan bersamanya, di mana menterai silinder berkenaan ada mencatatkan nama beliau (dalam bahasa Sumeria dan diukir dalam tulisan kuneiform). PG 800 dianggap unik bukan semata-mata kerana nama pemiliknya diketahui, akan tetapi kerana ia berada dalam keadaan yang sempurna dan bebas dari menjadi mangsa rompakan.

Replika kelengkapan kepala dan rantai leher Sumeria yang ditemui di makam Puabi, disimpan di Muzium British
Kecapi ‘Kepala Kerbau dari makam Ratu Puabi, Muzium British
Meterai silinder ratu Puabi

Puabi ditemui di atas sebuah rangka keranda kayu (disebut sebagai bier) yang ditempatkan di dalam sebuah bilik kebal. Antara barang persemadian yang ditemui bersamanya adalah kelengkapan kepala yang dihiasi dedaunan emas, reben-reben emas, kepingan lapis lazuli dan manik-manik akik, sepasang anting-anting berbentuk bulan sabit yang bersaiz besar, dan cincin-cincin pada jemarinya.

Ditemui juga sebuah lubang yang di dalamnya terdapat rangka lima orang lelaki bersenjata, empat orang penjaga kerbau, tiga orang pelayan lelaki, dan dua belas orang pelayan wanita. Pakar meyakini bahawa kesemua mereka adalah mangsa ritual yang dikorbankan khusus untuk ratu Puabi.

KOTAK METERAI UR

Dalam sebuah makam lain, dijumpai sebuah objek yang dianggap signifikan walaupun kefungsian sebenarnya masih belum dikenal pasti. Artifak ini dikenali sebagai Kotak Meterai Ur. Artifak ini berbentuk sebuah kotak kayu yang dipercayai sebagai mohor ketenteraan.

Selain diperindah dengan lapis lazuli, cengkerang, dan batu kapur berwarna merah, kotak itu juga dihiasi dengan lukisan yang menggambarkan sekumpulan manusia sedang mengangkut barangan dan menuntun haiwan-haiwan gembalaan menuju ke seorang individu penting yang sedang duduk bersemayam dalam sebuah jamuan sambil ditemani oleh beberapa orang pelayan dan ahli muzik.

Di sebelah lain kotak itu pula menggambarkan sekumpulan lelaki yang menaiki pedati menginjak di atas tubuh-tubuh manusia yang sedang tunduk sujud dan sekumpulan tentera yang sedang menghambat tawanan perang ke arah seorang lagi individu penting. Walau bagaimanapun, kefungsian dan kandungan kotak tersebut masih belum diketahui.

Gambaran pada Kotak Meterai Ur

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (1 Januari 2017). Where Sumerian Rulers Lie: The Royal Tombs of Ur. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/where-sumerian-rulers-lie-royal-tombs-ur-007294


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.