Taman permakaman pertama yang dibina di India ialah Makam Humayun yang didedikasikan kepada Maharaja Mughal kedua. Begitu megahnya monumen ini hinggakan ia menginspirasikan sejumlah inovasi seni bisa agung dalam sejarah Empayar Mughal, termasuklah Taj Mahal di Agra yang dibina sekurun selepas pembinaan Makam Humayun ini. Pembinaan monumen tersebut menyimbolkan kemuncak seni bina taman-permakaman Mughal.

Sebuah monumen yang dibina pada tahun 1572 oleh Bega Begam demi memperingati suaminya, Humayun


Pada tahun 1569/1570, iaitu 14 tahun selepas kemangkatan Humayun, isteri pertamanya yang bernama Bega Begum melancarkan pembinaan sebuah makam di Delhi, khusus buat suaminya. Lelaki yang bertanggungjawab mereka bentuk makam ini ialah Mirak Mirza Ghiyas, seorang jurutera Parsi yang dipilih sendiri oleh Bega Begum. Menerusi sentuhan Ghiyas inilah makanya makam tersebut mempunyai pengaruh seni bina Parsi yang bukan sedikit.

Maharaja Humayun hidup pada kurun ke-16 Masihi. Menjelang kemangkatannya pada tahun 1556 Masihi, Humayun merupakan insan pertama yang disemadikan di Purana Quila, sebuah kubu di Delhi. Apabila kubu ini dit4kluk oleh maharaja Hindu yang bernama Hemu, jasad Humayun digali semula oleh pihak Mughal dan dipindahkan ke Kalanaur di Punjab.

Lukisan yang menggambarkan Humayun
Potret Bega Begum (Hamida Banu Begum), yang membina makam buat suaminya, Humayun

Taman-taman yang mengambil pengaruh daripada Parsi dan mengelilingi makam Humayun ini dibahagikan kepada empat bahagian menerusi kewujudan jalan atau laluan khusus. Di tengah-tengah setiap laluan ini pula terdapat saluran air cetek yang dihubungkan dengan sejumlah kolam. Gerbang masuk ke taman ini terletak di sebelah selatan dan barat, dalam bentuk gerbang dua tingkat.

Taman tempat makam ini dibina menyimbolkan Taman di Syurga, dan ia berasal-usul daripada char bagh Parsi (bermaksud ‘empat kebun’). Pada era pemerintahan Humayun, pelan rekaan taman yang juga dikenali sebagai taman Mughal ini merupakan rekaan yang baru di India, hinggakan rekaannya direplikakan di seluruh Empayar Mughal.

Selain itu, terdapat juga sebuah baradari (astaka) dan sebuah hamman (dewan mandi) yang masing-masing menempati bahagian tengah tembok timur danutara. Di tengah-tengah taman ini terdapat sebuah platform teres berbentuk petak setinggi 7 meter yang dinaikkan dari sejumlah kamar. Kamar-kamar ini boleh dimasuki melalui gerbang kecil di sepanjang sisinya. Pada platform inilah ditempatkan makam sebenar Humayun.

Tapak permakaman sebenar di mana jasad Humayun disemadikan

Makam ini sendiri berbentuk sebuah struktur dua tingkat yang dibina daripada batu pasir berwarna merah. Walaupun pelan bangunan ini berbentuk petak, sisi-sisinya yang berbentuk chamfer membuatkannya kelihatan seperti berbentuk oktagon-tidak-sekata  dengan empat sisi panjang dan empat sisi pendek.

Bangunan ini diatapi oleh dua buah kubah Parsi (monumen India pertama yang menggunakan teknik seni bina sedemikian) yang setinggi 42.5 meter. Kubah ini diapit oleh chhatris (balai-balai bertiang yang diukir) yang menjadi ciri menonjol seni bina India. Namun, elemen-elemen seni bina daripada dua budaya berbeza ini wujud secara harmoni dalam bangunan ini, sekaligus ia menjadi salah satu contoh persenyawaan (sintesis) antara seni bina Parsi dan India.

Pada bahagian dalam struktur ini terdapat sebuah ruangan besar berbentuk oktagon. Di tengah-tengah ruang inilah letaknya makam Humayun, yang boleh dimasuki menerusi sebuah laluan di selatan. Di bahagian atas ruangan ini terdapat atap kekubah yang bersambungan dengan ruangan-ruangan galeri dan koridor.

Selain makam Humayun, makam-makam ahli kerabat diraja lain juga boleh ditemui di dalam struktur ini. Ianya terletak di ruang-ruang sudut di sisi-sisi diagonal dari kamar tengah. Diandaikan bahawa terdapat sekitar 150 buah makam secara keseluruhan di situ, justeru ia dipanggil sebagai ‘permakaman dinasti Mughal’.

Kerabat Humayun juga dimakamkan di sini

Namun pada tahun 2007, sebuah projek jalan raya enam lorong dari Lebuhraya Kebangsaan-24 diusulkan oleh pihak penguasa. Projek ini mengancam keadaan Makam Humayun memandangkan ia meningkatkan pencemaran sekaligus menarik trafik semakin menghampiri monumen bersejarah itu.

Sebagai susulan daripada bantahan demi bantahan yang dilakukan, projek ini pun ditinggalkan. Pada tahun sama, usaha pemulihan lanjut dijalankan ke atas Makam Humayun sekaligus mengembalikan monumen ulung kepada keadaan terbaiknya.

Menjelang separuh kedua kurun ke-20 Masihi, Makam Humayun berada dalam keadaan yang kurang baik lantaran batu-batunya sudah pecah dan merekah. Taman-tamannya pula tidak terbela. Pada tahun 1997, kerja-kerja pemulihan taman di sekeliling makam ini dijalankan oleh Aga Khan Trust for Culture dan disiapkan pada tahun 2004.

Pada Jun 2018, terbit keriuhan dalam kalangan ahli arkeologi dan tenaga-tenaga pemuliharaan lantaran mereka menemukan khazanah tersembunyi berhampiran Makam Humayun.

Antara yang ditemukan ini termasuklah lukisan-lukisan yang berwarna biru, kuning, merah, putih dan emas yang tersembunyi di sebalik lapisan-lapisan di bahagian syiling berkubah Sabz Burj, sebuah monumen Mughal kurun ke-16 yang terletak berhampiran Makam Humayun. Lukisan ini merupakan lukisan dinding pertama dari awal kurun ke-16 yang pernah ditemui di sebuah monumen bersejarah di Delhi.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (15 Julai 2018). The Tomb of Humayun: The Garden Tomb that Inspired the Taj Mahal. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/tomb-humayun-garden-tomb-inspired-taj-mahal-003222


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.