Moving Forward As One

Makam Bapa Saudara Sultan Melaka Bersemadi Di Dinasti Ming

3,759

PayLater by Grab

Pada tahun 1542 Ferdinand Mendez Pinto dan rakan-rakan Portugisnya telah ditangkap oleh pentadbir ‘chifu’ dinasti Ming tatkala berada di kota Nanjing. Mereka telah digiring ke Beijing dengan pelbagai seksaan di sepanjang jalan namun amat ajaib semangat ingin tahu orang Barat ini apabila mereka cuba merekodkan sebaik mungkin pengalaman mereka di sepanjang perjalanan tersebut.

Mereka telah singgah sebentar di “Pocasser” di mana chifuu tersebut singgah selama tiga hari menziarahi kampung halamannya sebelum melalui kota bernama “Xinligan”. Kota-kota ini berkemungkinan besar terletak di atas laluan ‘Terusan Besar’ (Grand Canal) yang menghubungkan kota Hangzhou di selatan ke Beijing di utara. Berkemungkinan juga kota-kota ini masih berada di dalam aliran sungai Yangtze.

Kisah yang paling menarik adalah apa yang mereka jumpai tatkala singgah di “Junquileu”, iaitu kota ketiga setelah bertolak dari Nanjing beberapa hari yang lepas.
Cerita Pinto:

“..kami tiba pada sebuah kota yang dipanggil Junquilen, diberi tembok bata, namun ia tidak mempunyai pelantar penembak, benteng dan menara, dimana yang lain memilikinya seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini. ”

(..we came to a Town called Junquileu, walled with brick, but without battlements, bulwarks, or towers, as others had, whereof I have spoken before..)

“..di penghujung pinggiran kota ini kami telah melihat pelbagai rumah yang dibina di atas air di atas tiang-tiang yang besar berbentuk kelongsong. Berdekatan gerbang sebatang jalan kecil pula terletak sebuah makam yang diperbuat daripada batu, ditutupi oleh sebuah pintu besi bercat merah dan hijau dan di atasnya terdapat menara yang dihiasi tembikar bermutu tinggi, disokong oleh empat tiang daripada batu yang kukuh. Di atas makam itu terdapat lima buah kubah, dua daripadanya diperbuat daripada besi tempa, yang pada sebahagian permukaannya disurat tulisan emas dalam bahasa Cina, yang isinya berbunyi..”

(..at the end of the suburbs of this town we saw diverse houses built in the water upon great piles, in the form of magazines. Before the gate of a little street stood a tomb made of stone, invironed with an iron gate, painted red and green, and over it a steeple framed of pieces of very fine porcelain, sustained by four pillars of curious stone. upon the top of the tomb were five globes, and two others that seemed to be of cast iron, and on the one side thereof were graven letters of gold, and in the chinese language, words of this substance..)

Apa yang beliau jumpai, dan siapakah pemilik makam yang hebat ini?

Ini maklumatnya yang tersurat pada makam itu:

“Di sini bersemadi Trannocem Mudeliar, ayahanda saudara raja Melaka yang mana kematian membawanya dari dunia ini sebelum ia sempat membalas dendam terhadap Kapitan Alphonso Albuquerque, raksasa penyamun di lautan.”

(Here lyes Trannocem Mudeliar, uncle to the King of Malacca, whom death took out of the World before he could be revenged of Captain Alphonso Albuquerque, the lyon of the robberies of the Sea.)

Apabila ditanya oleh Pinto apa kisahnya di sebalik letak duduk makam ini, seorang Cina telah menyatakan bahawa lebih kurang 40 tahun lampau tuan tubuh makam ini telah datang sebagai wakil seorang putera yang memakai gelaran ‘Raja Melaka’. Beliau telah memohon bantuan daripada Maharaja Ming untuk berhadapan dengan ancaman daripada “orang-orang yang datang dari negeri tidak bernama, yang datang dari seberang lautan, dari penghujung dunia.”

Orang Cina tersebut telah melanjutkan pelbagai kisah lagi antaranya adalah Trannocem Mudeliar itu kemudian berterusan melazimi istana Ming selama tiga tahun sebelum diserang “apoplexie”(strok) secara mengejut dan meninggal pada hari yang kesembilan daripada serangan itu. Wasiat terakhir pada makam beliau itu ditulis atas hasrat beliau sendiri memandangkan beliau menyesali ketidakupayaan beliau untuk hidup lebih lama bagi membalas angkara jahat orang-orang Portugis.

Catatan tersebut diteruskan lagi sehingga mereka sampai ke kota “Sempitay”. Di situ mereka telah berjumpa dengan sosok tubuh yang tidak diduga-duga yakni Inez the Leyria. Inez ialah anak kepada Tome Pirez yang diseksa beberapa tahun lampau dalam tahanan Maharaja Ming sebelum ditahan di kota tersebut. Di sana beliau telah berkahwin dengan seorang perempuan Cina yang kemudian melahirkan Inez.

RUJUKAN:

Kheng, C. (2012). Ming China’s Support for Sultan Mahmud of Melaka and Its Hostility towards the Portuguese after the Fall of Melaka in 1511. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 85(2 (303)), 55-77. Retrieved January 28, 2021, from http://www.jstor.org/stable/24894191

Ruangan komen telah ditutup.