Selepas mengukuhkan kedudukan Bani Umayyah sebagai pengganti kerajaan Khulafa’ Ar-Rashidin, tumpuan Muawiyah bin Abi Sufian r.a seterusnya ialah merealisasikan berita penak-lukan Constatinople.

Bagi sahabat Nabi Muhammad s.a.w itu, beliau berharap angkatan yang diutusnya itu mendapat kemuliaan masuk syurga kerana menakluk ibu kota Empayar Byzantine itu. Antara ten-tera yang menyertai ekspedisi itu ialah seorang sahabat bernama Abu Ayyub al-Ansari r.a.

Abu Ayyub atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Qulaib bin Thaalba berasal dari Bani Najjar yang merupakan sebahagian daripada kabilah Khazraj di Yathrib[1]. Semasa Perjanjian Aqabah Pertama, beliau merupakan sebahagian daripada rombongan yang mengisytiharkan keislaman mereka di hadapan Rasulullah s.a.w. Selepas baginda berhijrah ke Yathrib, kedua-dua golongan Muhajirin[2] dan Ansar[3] dipersaudarakan bagi mengukuhkan perpaduan umat Islam ketika itu.

Menariknya, ada satu anekdot yang ada kaitan dengan Abu Ayyub dan peristiwa hijrah. Apabila Nabi s.a.w tiba di Madinah, ramai penghuninya berlumba-lumba menawarkan kediaman mereka sebagai kediaman sementara baginda. Bagi berlaku adil kepada semua, baginda membiarkan untanya berjalan dan rumah di mana untanya berhenti ialah kediaman yang dipilihnya.

Selepas beberapa lama berjalan, unta Rasulullah s.a.w berhenti di hadapan rumah Abu Ayyub r.a. Beliau merasa gembira dengan penghormatan yang dikurniakan kepadanya. Pada awalnya, baginda menetap di ruang bawah rumah manakala Abu Ayyub sekeluarga menetap di tingkat atas rumahnya. Begitupun, beliau merasa tidak senang membiarkan Rasulullah s.a.w menetap di ruang bawah kerana bimbang menghinanya.

Walaupun baginda memberi jaminan itu tidak menjadi masalah, Abu Ayyub masih merasa susah hati. Tidak berapa lama selepas itu, sebuah bejana milik mereka pecah dan air tumpah semasa mereka tidur. Bila mereka melihat apa yang berlaku, mereka memastikan lantai kekal kering kerana tidak mahu air menitis ke bawah.

Pada waktu pagi, beliau menceritakan apa yang berlaku dan meminta Rasulullah s.a.w mempertimbangkan semula permintaannya untuk tinggal di bahagian atas rumahnya. Selepas mendengar penjelasan sahabatnya itu, barulah baginda bersetuju dengan permintaan Abu Ayyub r.a.

Hubungan kedua-duanya amat erat dan banyak hadis menjadi saksi hubungan baik mereka. Dalam satu riwayat, pada satu ketika Abu Bakar dan Umar r.a keluar dari kediaman mereka dan bertemu dengan Rasulullah s.a.w di masjid. Kedua-duanya mengadu mereka merasa lapar yang teramat sehingga memaksa mereka keluar dari rumah.

Lalu, baginda membawa dua sahabatnya itu bertandang ke rumah Abu Ayyub r.a. Rasulullah s.a.w tahu sahabatnya itu ada menyimpan makanan untuk baginda sekiranya baginda bermalam atau mengunjunginya. Jika baginda tidak berbuat demikian untuk satu tempoh tertentu, makanan tersebut akan diberi kepada keluarganya.

Abu Ayyub kemudiannya membawa keluar kurma separuh masak dan kurma masak sebagai hidangan untuk para tetamunya. Beliau turut menyembelih seekor kambing untuk dipanggang dan meminta isterinya membuat roti. Sebaik semua hidangan dihidangkan kepada para tetamu, Nabi s.a.w berdoa dan membahagikannya kepada semua yang ada.

Mengikut riwayat, makanan yang dihidangkan beliau dan isterinya bukan sekadar cukup untuk menjamah mereka sekeluarga, Rasulullah s.a.w, Abu Bakar dan Umar r.a. Malah, ramai orang di kawasan kejiranan mereka turut mendapat bahagian yang dibahagikan dan menikmatinya sehingga habis. Peristiwa ini merupakan salah satu mukjizat Rasulullah s.a.w.

Bagi membina asas Negara Islam Madinah (NIM), baginda melihat ada satu tapak sesuai untuk dijadikan sebagai masjid. Tanah tersebut dimiliki oleh dua orang anak yatim bernama Sahl dan Suhail. Sebaik mendapat tahu minat baginda terhadap tanah mereka, kedua-duanya menawarkan tanah tersebut sebagai hadiah.

Tetapi Rasulullah s.a.w menolak hasrat mereka dan bersedia membeli tanah mereka mengikut harga yang dipersetujui. Setelah itu, satu perjanjian dicapai dan tanah tersebut kemudiannya ditukar sebagai tanah wakaf untuk kegunaan masjid. Menariknya, Abu Ayyub r.a bersetuju membiayai pembelian tanah tersebut dengan beliau dilantik baginda sebagai pengurus wakaf masjid yang kita kenali hari ini sebagai Masjid Nabawi.

Rajah 1: Abu Ayyub merupakan pengurus wakaf Masjid Nabawi yang pertama.

Seperti para sahabat lain, Abu Ayyub turut turun di medan per-ang dan berperanan sebagai pemegang panji ten-tera. Beliau terlibat dalam siri pertempuran bersama Rasulullah s.a.w seperti Badar al-Kubra, Uhud, Khandak, Hunain dan Tabuk. Dan khidmatnya itu diteruskan semasa era Khulafa’ Ar-Rashidin termasuk membantu operasi penaklukan Mesir yang diketuai Amru bin al-As r.a.

Selepas Mesir jatuh ke tangan NIM, beliau berpindah ke ibu kota baru Mesir, Fustat dan tinggal di sebuah rumah bersebelahan Masjid Amru bin al-As. Selain Abu Ayyub, beberapa lagi sahabat turut memilih menetap di situ termasuk Zubair bin Awwam, Abdullah bin Umar dan putera Amru, Abdullah r.a. Semasa era pemerintahan Ali bin Abi Talib r.a, beliau dilantik sebagai Gabenor Madinah.

Semasa era pemerintahan Muawiyah r.a, Abu Ayyub menyahut seruan menjadi sebahagian daripada ketumbukan ten-tera menggempur Constantinople walaupun sudah berusia lanjut. Tetapi sebelum sempat beliau menyertai ten-tera lain dipimpin putera Muawiyah, Yazid[4] di medan per-ang, Abu Ayyub jatuh sakit dan terpaksa mengundur diri dari medan pertem-puran.

Apabila khabar tersebut diketahui Yazid, baginda melawatnya dan bertanyakan apa yang diperlukannya. Lalu, sahabat Nabi s.a.w yang mulia itu hanya meminta agar salamnya disampaikan ke barisan hadapan, pihak ten-tera mara sejauh mungkin dan mengebumikannya di kawasan tembok Constantinople. Selepas mengucapkan pesanan tersebut, beliau menghembuskan nafas terakhir dan kembali menemui Penciptanya. Sempat juga ditanyakan kepada sahabat nabi itu kenapa memilih tembok Constatinople. Jawabnya:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda seorang lelaki soleh dikuburkan di bawah tembok itu dan aku juga ingin mendengar derap tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera seperti disabdakan baginda.”

Sebelum operasi penaklukan Constantinople bermula, pasukan Uthmaniyyah berjaya menemui semula makamnya di bawah bimbingan ulama Uthmaniyyah terkenal, Akshamsaddin[5]. Selepas kejatuhan Constantinople di tangan angkatan Mehmed II pada Mei 1453, sebuah masjid dikenali sebagai Masjid Eyup Sultan dan makam dibina di atas kubur beliau atas arahan baginda.

Rajah 2: Makam Abu Ayyub al-Ansari di Masjid Eyup Sultan, Istanbul, Turki.

Dari situ, kawasan tersebut dikenali sebagai Eyup atau Eyupsultan. Memandangkan kawasan tersebut menempatkan makam Abu Ayyub r.a., ramai pembesar Uthmaniyyah mahu dikebumikan berhampiran dengan makamnya itu. Makam tersebut kemudiannya dibina semula pada tahun 1882 atas arahan Sultan Mahmud II. Masjid Eyup Sultan turut berperanan sebagai tempat upacara pertabalan tradisional pemerintah Uthmaniyyah diadakan.

NOTA KAKI:

[1] Nama lama Madinah. Selepas penghijrahan Rasulullah s.a.w, nama Yathrib ditukar kepada Madinah al-Rasul atau bandar/kota Nabi.

[2] Golongan pertama yang memeluk Islam yang berasal dari Makkah.

[3] Golongan pertama yang memeluk Islam yang berasal dari Madinah dan terdiri daripada kabilah Aus dan Khazraj.

[4] Khalifah kedua kerajaan Bani Umayyah. Memerintah dari 680 hingga 683.

[5] Ulama, tutor dan penasihat Mehmed II. Orang pertama yang menyentuh perihal mikrob menerusi kitabnya Maddat ul-Hayat (Bahan Kehidupan) dua abad sebelum penemuan pertama mikrob dibuat oleh Antonie Van Leeuwenhoek.

RUJUKAN:

Companions of The Prophet”, Vol. 1, By: Abdul Wahid Hamid.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.