“Kassim Selamat? Siapa dia Kassim Selamat? Lawyer? Majistret?”

“Ahli muzik”

“Ahli muzik? Memang pantang datuk nenek aku ahli muzik. Anak tak mengenang jasa!”

Begitulah bait-bait dialog yang dilafazkan oleh Mak Dara di dalam filem Ibu Mertua Ku (1962) arahan P. Ramlee. Apabila berbicara tentang pelakon hebat ini, kita tidak boleh lari untuk memperkatakan tentang lakonannya di dalam filem tersebut. Beliau telah berjaya membawa peranan sebagai ibu mertua yang kejam dan tidak bertimbang rasa dengan sangat baik. Lakonan Mak Dara di dalam filem itu boleh dikatakan setaraf dengan mutu lakonan pelakon antarabangsa dan paling dikenang sepanjang zaman.

Mak Dara atau nama sebenarnya Dara binti Ali merupakan seorang pelakon bangsawan sebelum terjun ke dalam dunia perfileman Melayu. Beliau menjadi pelakon bangsawan sejak zaman remaja lagi. Selain daripada berlakon di pentas bangsawan, Mak Dara juga merupakan seorang penari joget dan penyanyi.

Seperti pelakon-pelakon bangsawan yang lain, Mak Dara menjadi rebutan tauke-tauke kumpulan bangsawan seawal tahun 1920-an lagi. Antara kumpulan bangsawan yang pernah disertai oleh Mak Dara ialah City Opera, Maha Opera, Sri Noran Opera, Peninsular Opera dan banyak lagi. Semasa  bergiat aktif bersama kumpulan-kumpulan bangsawan, beliau telah mengelilingi seluruh Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei, dan sekitar kepulauan Borneo dan Sumatera. Nama Mak Dara ketika itu setanding dengan pelakon-pelakon bangsawan yang lain seperti Shariff Medan, Yem, Khairuddin, Udo Omar, Malek Sutan Muda, Puteh Lawak, Habsah dan Siti Tanjong Perak.

Pada awal dekad 1940-an, Mak Dara telah berpeluang untuk berlakon di dalam filem. Filem pertama lakonan Mak Dara berjudul Ibu Tiri (1941) terbitan Shaw Brothers di Singapura. Namun, aktiviti lakonan Mak Dara di layar perak dan pentas bangsawan terhenti semasa Perang Dunia Kedua. Selepas tamat peperangan, Mak Dara kembali bersama kumpulan bangsawan dengan membuat persembahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Pada tahun 1950-an, ramai tokoh-tokoh bangsawan telah beralih angin untuk menceburkan diri dalam dunia perfileman termasuklah Mak Dara. Di zaman itu hiburan bercorak filem lebih popular dan digemari masyarakat berbanding bermain wayang bangsawan. Mak Dara telah berlakon di dalam filem Berdosa (1951) arahan S. Ramanathan. Antara pelakon bangsawan yang turut diambil berlakon bersama Mak Dara di dalam filem itu ialah Yem, Daeng Idris, Siti Tanjong Perak dan A.R. Tompel. Selepas itu, Mak Dara berlakon di dala filem Norma (1951) yang diterbitkan oleh Nusantara Film. Filem yang diarahkan oleh Armaya (A.R. Tompel) ini turut dibintangi oleh Salmah Ismail (Saloma), Bahar Said, Salbiah Harun, S. Kadarisman dan Daeng Idris.

Ketika P. Ramlee ingin menyelenggarakan filem Ibu Mertua Ku (1962), beliau mahu Mak Dara sendiri yang melakonkan watak Nyonya Mansur. Pada mulanya Mak Dara enggan menerima tawaran itu kerana dia enggan menyusahkan P. Ramlee dan khuatir tidak dapat membawa watak tersebut dengan baik. Namun sebagai pengarah, P. Ramlee tetap berkeras ingin mengambil Mak Dara berlakon di bawah arahannya. Beliau mengatakan bahawa hanya Mak Dara sajalah yang mampu melakonkan watak itu dengan sempurna.

Oleh kerana melihat P. Ramlee bersungguh-sungguh mahukan khidmat lakonannya, Mak Dara bersetuju untuk menerima tawaran itu. Filem Ibu Mertua Ku adalah filem arahan P. Ramlee yang paling lama untuk disiapkan. Ia mengambil masa lebih kurang 6 bulan untuk disiapkan.

Kehebatan lakonan Mak Dara amat teserlah dalam filem tersebut. Beliau telah menjadi salah satu watak cult di dalam sejarah perfileman Melayu. Apabila disebut saja nama Mak Dara atau Nyonya Mansur, pasti ramai yang terbayangkan sikapnya yang kejam dan sanggup melakukan apa saja asalkan kemahuannya dipenuhi. Tentu saja ramai di antara kita yang ingat akan babak lakonannya di pusara dan dialog “Ala Kassim..!” sentiasa dikenang antara babak terbaik sepanjang zaman.

Menurut P. Ramlee, beliau sangat kagum dengan kebolehan Mak Dara dalam membawa watak sebagai ibu mentua yang kejam dan tidak berhati perut. Mak Dara adalah bintang yang dapat menggayakan wataknya dengan kesempurnaan yang sukar ditandingi oleh pelakon lain yang sebaya dengannya.

Mak Dara adalah seorang pelakon bebas yang tidak terikat dengan mana-mana studio. Beliau turut berlakon untuk studio Cathay-Keris Film (Singapura) dan Merdeka Film Studio (Kuala Lumpur). Filem terakhir lakonannya ialah Mat Toyol (1969) terbitan Cathay-Keris Film.

Mak Dara meninggal dunia pada 16 Februari 1970 akibat sakit tua di Hospital Besar Singapura. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tarikh lahirnya yang ke 63. Ramai sahabat-sahabat seperjuangannya seperti Siti Tg. Perak, Ahmad Nisfu, Saamah, Malek Sutan Muda, Shariff Medan dan S. Sudarmadji yang turut menyatakan kesedihan mereka di atas pemergian Mak Dara.

FILEM-FILEM LAKONAN MAK DARA

  • Ibu Tiri (1941)
  • Berdosa (1951)
  • Norma (1951)
  • Perkahwinan Rahsia (1951)
  • Penarek Becha (1955)
  • Anak-Ku Sazali (1956)
  • Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang (1961)
  • Sri Mersing (1961)
  • Yatim Mustapha (1961)
  • Puteri Gunong Ledang (1961)
  • Siti Zubaidah (1961)
  • Jalak Lenteng (1961)
  • Ibu Mertua Ku (1962)
  • Tun Fatimah (1962)
  • Siti Payong (1962)
  • Tangkap Basah (1963)
  • Ibu Ayam (1963)
  • Rumah Itu Dunia Aku (1963)
  • Darah Muda (1963)
  • Budi dan Dosa (1963)
  • Jeritan Batin (1964)
  • Aksi Kuching (1966)
  • Mat Toyol (1969)

Sumber

  • Bulanan Gelanggang Filem
  • Ramlee: Erti Yang Sakti oleh Tun Ahmad Sarji
  • Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah oleh Jamil Sulong
  • Layar Perak dan Sejarahnya oleh M. Amin & WAHBA
  • Daftar Filem Melayu (1933-1993) oleh Jamil Sulong, Hamzah Hussin & A. Malek Mokhtar
  • Berita Harian, 18 Februari 1970
  • Berita Harian, 19 Februari 1970
  • Utusan Malaysia, 19 Disember 1999
  • Mohammad Hashim (pengumpul maklumat bintang-bintang lama)
  • Dato’ Ahmad Fauzee Samad
  • Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Comments are closed.