Majzub: Antara Makrifat & Matlipat

3,779

Jika ada yang bertanya, “Ada ke orang gila yang menjadi Wali?”. Maka jawapan aku, “Tidak ada!”.

Tapi jika ada yang bertanya, ”Ada ke Wali yang seperti orang gila?”. Maka jawapannya, “Ya, ada.”

Walaubagaimanapun, barang harus diingat bahawa tak usahlah kita beranggapan asal orang itu gila, mesti dia wali. Atau, asal nak jadi wali, mesti kena berperwatakan gila. Pakaian perlu compang-camping, rambut kusut masai, cakap ayat bunga-bunga. Tidak!

Jika orang tu benar-benar gila (Majnun), maka dia tidak ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) dengan syariat. Tiada dosa pahala pada mereka. Kerana syarat mukalaf antaranya adalah waras akal fikiran. Maka mustahil Allah mengangkat orang yang jahil apatah lagi tidak waras akalnya untuk menjadi WaliNya. Namun, jika ada kata-katanya yang selari dengan tuntutan syarak, maka dibolehkan mengambil pelajaran darinya. Ini kerana kita perlu mengambil Hikmah dari mana sahaja kita menjumpainya. Lihat apa yang dikata, bukan siapa yang berkata.

Sesungguhnya, yang dinamakan orang Sufi atau orang Tasawwuf atau orang Tarekat itu bukannya terletak pada perwatakan ala-ala gila itu. Hakikatnya, lebih ramai lagi orang Sufi itu orang yang waras-waras sahaja. Berpakaian kemas, wangi, bersih dan sebagainya.

Sufi itu adalah golongan yang amalan batinnya (hati) selari dengan amalan zahir (syariat). Tidak dinamakan Sufi bagi orang yang meninggalkan syariat tetapi berbicara soal batin hati konon syariat itu hanya perkara “luaran”. Orang Sufi sesekali tidak akan melanggar syariat lalu mencaci “Mereka itu orang Fekah, tak faham perbahasan orang Hakikat Makrifat macam kita”.

Apatah lagi jika acah-acah berkelakuan pelik, buat video live, sembang ayat-ayat tinggi melangit, lelaki memakai skirt menampakkan paha kemudian menari dengan lagu nasyid selawat. Itu bukanlah golongan Makrifat, tetapi Matlipat yang dihukum Zindiq oleh para ulama. Orang sebegini adalah dilarang untuk kita “menuntut ilmu” dari mereka jika mereka membelakangi syariat.

Berkata pemimpin orang Sufi di zaman Salafus Soleh, Sayyidul Taifa al-Imam Junaid al-Baghdadi, “Jikalau kamu melihat seseorang mampu terbang di atas angin dan mampu berjalan di atas air, tetapi dia melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat, maka ketahuilah bahawa sebenarnya dia itu adalah Wali Syaitan”.

Adapun Wali Allah yang kelihatan seperti orang gila itu diistilahkan sebagai Wali Majzub. Wali Majzub ini adalah orang yang Jazbah dan Fana’ (lebur). Dirinya tidak mampu menampung Bukaan-Bukaan yang Allah berikan padanya. Wali Majzub ini sesekali tidak akan meninggalkan syariat walau mereka kelihatan tidak waras.

Bahkan, mereka ini selalunya akan menjauhi masyarakat. Mereka ingin menjauhi dunia, harta, penguasa layaknya seperti Bahlul. Mereka ini Mastur (tersembunyi), dan tidak suka menjadi Masyhur. Jauh sekali nak buat live untuk menunjukkan keMajzubannya. Mereka ini seboleh-bolehnya ingin menyembunyikan apa rahsia yang ada dalam hati mereka, kecuali jika termelatah keluar dari mulut (syatahat).

Walaupun mereka ini Wali, namun kita dilarang juga untuk mengambil pelajaran dari mereka sekiranya kata-kata syatahat mereka yang secara zahirnya membelakangi syariat tidak dapat kita fahami. Biarkan mereka dengan ahwal mereka. Jika mereka sendiri tidak mampu menampung Bukaan (Futuhat) yang diberi, bagaimana mereka mampu sampaikan pada kita dan bagaimana pula kita boleh belajar dari mereka yang tidak dapat difahami?

Sesungguhnya, masih terlalu ramai mursyid-mursyid yang dapat membimbing dengan penuh kewarasan. Maka amatlah lebih afdhal kita mendatangi guru-guru yang dapat menyampaikan faham ilmu kepada kita. Hanya golongan ahmaq (amat bodoh) dan sufastaiyyah sahaja yang suka menggali cari pandangan-pandangan syaz, pelik dan berlawanan dengan jumhur ulama demi meraih populariti serta kelainan.

Jika nampak orang gila, tepuk dada tanya diri. Adakah orang itu benar-benar gila (Majnun), atau hanya kelihatan gila (Majzub). Maka janganlah kita kecam atau sakiti hamba Allah itu. Risau jika sekiranya orang itu sebenarnya Wali, maka Allah akan perangi sesiapa yang memerangi Walinya. Dan jika dia memang orang gila, maka kita tetap diharamkan untuk menyakiti hamba Allah tanpa hak. Apatah lagi orang gila itu bersih dari sebarang dosa, yang tiada dikenakan azab kubur, bahkan dijamin syurga. Disini, kita diajar untuk berhusnu zhan (sangka baik), iaitu salah satu ajaran kesufian yang mendidik perihal penyakit hati.

Syaitan begitu bijak untuk menyesatkan Bani Adam. Semakin tinggi maqam seseorang itu, semakin tinggi pula tipu daya Iblis. Hatta, Sultanul Awliya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani sendiri pun telah diuji dengan ujian yang besar. Namun, beliau mampu mengatasinya kerana beliau berpegang pada SYARIAT.

* Jemput follow penulis : https://instagram.com/khairiasyraf_17

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.