https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Main Biola Semasa Dibedah?

297

Pada musim luruh 2019, pemain biola Dagmar Turner mendapat kejutan paling buruk dalam kehidupannya: tumor yang semakin besar selama bertahun-tahun dan berpotensi meng4ncam nyawanya. Dan tumor itu terletak di lobus frontal sebelah kanan yang mengawal pergerakan tangan kiri.

Jika pembedahan dibuat, ia berpotensi menjejaskan keupayaan Turner mengendalikan biola dengan baik. Justeru, pemain biola dari  Isle of Wight Symphony Orchestra itu memberi satu idea: benarkannya bermain biola tatkala pasukan doktor melakukan pembedahan membuang tumor.

Jika anda fikir ini mengarut, ia boleh dilakukan. Dan buktinya boleh dilihat di bawah:

Video yang dikongsikan ialah rakaman sebenar Turner bermain biola tatkala pasukan bedah dari King’s College Hospital di London bertungkus-lumus untuk membuang tumornya. Sambil itu, dia menggesek muzik Gustav Mahler, George Gershwin dan Julio Iglesias.

Prosedur yang dikenali sebagai pembedahan kraniotomi sedar ini bukan saja memerlukan pesakit berada dalam keadaan sedar semasa dibedah. Malah, ia hanya dibuat apabila tumor atau bahagian yang mencetuskan epilepsi yang perlu dibedah terletak berhampiran dengan bahagian otak yang mengawal fungsi seperti penglihatan, pergerakan dan ucapan.

Apabila pesakit memberi maklum balas bila disoal, membuat pergerakan atau mengenalpasti imej, ini membolehkan pakar bedah saraf memeta bahagian otak pesakit dan mengelak merosakkan bahagian yang mengawal fungsi-fungsi ini.

Pemetaan ini boleh dibuat menerusi satu teknik yang dikenali sebagai MRI berfungsi. Kaedah ini mengukur perubahan kecil dalam aliran darah semasa aktiviti otak. Ini membolehkan pakar bedah saraf memeta otak pesakit secara terperinci sebelum melakukan pembedahan.

Dalam kes Turner, pasukan bedah saraf diketuai Prof Keyoumars Ashkan memeta otaknya selama dua jam untuk mengenalpasti bahagian otak yang aktif semasa dia bermain biola. Dari situ, barulah mereka merancang pelan pembedahan pembuangan tumor dengan teliti.

Semasa mereka membuat proses kraniotomi, Turner diberi anastesia semasa proses itu berlaku. Apabila pasukan pembedahan diketuai Prof Ashkan bersedia mengeluarkan tumor, dia disedarkan dan mula bermain biola.

Mungkin ada menganggap prosiding sebegini sebagai tidak masuk akal tetapi otak tidak merasa kesakitan dan tisu di kawasan sekitarnya telah dikebaskan. Pakar-pakar anastesia dan terapi memantau keadaan Turner semasa dia menggesek biola.

Hasilnya, pasukan pembedahan saraf yang diketuai Prof Ashkan berjaya membuang 90% daripada tumor yang dinyatakan sambil mengekalkan fungsi penuh pada tangan kirinya.

Tetapi kes Turner bukanlah kes pertama di mana pesakit bermain alat muzik semasa dibedah. Pada tahun 2016, guru muzik Dan Fabbio bermain saksofon semasa pasukan pembedahan saraf membuang tumor pada bahagian otaknya. Malah, ada satu kes di mana seorang pesakit menyelesaikan permasalahan matematik semasa dia dibedah.

Minat Turner terhadap muzik turut dikongsi oleh Prof Ashkan. Pakar bedah otak itu mempunyai ijazah dalam bidang muzik dan merupakan seorang pemain piano yang berbakat.

Bagi pemain biola Isle of Wight Symphony Orchestra, memikirkan kemungkinan tidak lagi bermain biola amat merungsingkan hatinya. Justeru, Turner berterima kasih kepada pasukan pembedahan diketuai Dr Ashkan atas apa yang dilakukan dan berharap kembali bermain biola bersama Isle of Wight Symphony Orchestra tidak lama lagi.

RUJUKAN:

  1. Hsu, Andrea. (2017). This Music Teacher Played His Saxophone While In Brain Surgery. NPR. https://www.npr.org/sections/health-shots/2017/08/25/545710598/this-music-teacher-played-his-saxophone-while-in-brain-surgery
  2. Katz, Brigit. (2020). Watch a Musician Play Violin During Brain Surgery. Smithsonian Magazine. https://www.smithsonianmag.com/smart-news/watch-musician-play-violin-during-brain-surgery-180974246/
Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.