Maharani Ki: Maharani Terakhir Dinasti Yuan

5,175

Siapa menyangka, gadis Goryeo yang dibawa ke tanah asing pada usia 18 tahun ini bakal ditabalkan sebagai maharani bagi sebuah dinasti dan seterusnya menjadi maharani terakhir dalam dinasti berkenaan. Ini adalah kisah mengenai Maharani Ki, seorang gadis Goryeo yang dipaksa meninggalkan tanahairnya sebagai satu habuan buat Dinasti Yuan.

Sejarah Awal

Secara asasnya, kisah Maharani Ki ini kebanyakannya ditemui dalam catatan sejarah dalam Dinasti Ming, iaitu kerajaan yang berjaya menumbangkan Dinasti Yuan pada sekitar tahun 1368. Apa yang menariknya, kisah wanita ini sebenarnya tidak begitu digemari oleh kebanyakan sejarawan di Korea Selatan sendiri, kerana dia dianggap sebagai pengkhi4n4t negara.

Malah, Dinasti Ming sendiri dalam catatan sejarah mereka turut melabelkan Maharani Ki sebagai penyebab bagi kejatuhan Dinasti Yuan kerana sikapnya yang gemar makan rasuah serta boros. Catatan ahli sejarah pada zaman Dinasti Joseon pula menggambarkan ahli keluarganya sebagai terlalu mengejar nama dan pangkat serta gemarkan kemewahan.

Berdasarkan sejarah awal, Maharani Ki merupakan anak perempuan kepada Ki Ja Oh, seorang pegawai bawahan di Goryeo. Nama sebenarnya tidak dapat dipastikan dan dia dilahirkan di Haengju (pada hari ini dikenali sebagai Goyang), Goryeo pada sekitar tahun 1315, dan turut mempunyai seorang abang yang bernama Ki Cheol. Tidak banyak yang diketahui mengenai zaman kanak-kanaknya, namun kisah tentang dirinya banyak dicatatkan setelah dia dihantar ke Dinasti Yuan.

Pada waktu itu, kerajaan Goryeo menghantar ramai sida-sida, gadis serta barangan lain seperti burung falcon, ginseng, bijirin, kain, emas dan perak sebagai suatu persembahan untuk Dinasti Yuan.

Keadaan ini berlaku apabila Dinasti Yuan men4kluk kerajaan Goryeo pada sekitar abad ke-13, dan Goryeo menjadi negara di bawah lindungan Dinasti Yuan. Dalam tempoh t4klukan ini, proses pertukaran atau pemindahan yang berlaku antara kedua-dua buah kerajaan bukan sahaja melibatkan barangan, malah turut melibatkan pertukaran budaya antara kedua-duanya.

Malah, amalan perkahwinan antara kerabat diraja Yuan dengan kerabat diraja Goryeo yang berlaku pada sekitar abad ke-13 dan 14 dianggap sebagai suatu amalan yang cukup unik. Dan disebabkan oleh hubungan perkahwinan dengan Dinasti Yuan ini, kerajaan Goryeo mendapat layanan ‘lebih istimewa’ berbanding negara-negara t4klukan Yuan yang lain, sekaligus menjadikan Goryeo mempunyai lebih kuasa terhadap urusan pentadbiran kerajaan.

Raja-raja Goryeo masih mengekalkan kuasa bagi mentadbir dan memerintah (sejoguje), sama ada dalam urusan pelantikan pegawai mahupun pelaksanaan undang-undang. Cukai yang dikutip juga tidak dihantar kepada Yuan, tetapi digunakan untuk urusan pentadbiran kerajaan Goryeo sahaja.

Berbalik kepada kisah Maharani Ki, pada sekitar tahun 1333, gadis ini telah dihantar ke Khanbaliq (ibu negara Yuan) bersama ratusan gadis yang lain sebagai suatu hadiah gundik buat Maharaja Dinasti Yuan. Gadis-gadis yang menjadi hadiah hantaran buat Maharaja ini dipanggil sebagai kongnyŏ (tribute women).

Ini kerana syarat yang dikenakan buat Raja Goryeo adalah baginda perlu menghantar gadis-gadis remaja yang cantik menawan sebagai gundik buat Maharaja Yuan, sekali dalam tiga tahun. Pada mulanya Ki dikatakan enggan meninggalkan keluarganya di Goryeo dan pemergiannya bukanlah atas kehendak dirinya.

Para gadis yang dipilih menjadi gundik Maharaja Yuan sebenarnya lebih kepada menjadi hamba buat Maharaja, dan mereka harus bersaing demi kedudukan sebagai gundik. Namun, lain pula kisahnya dengan Ki. Setelah sampai ke Yuan, Ki telah berjanji dengan dirinya sendiri untuk menjadi gundik yang terbaik buat Maharaja Yuan.

Dengan kecantikan serta kebolehan yang dimilikinya dalam tarian, nyanyian, puisi dan kaligrafi, Ki telah menggunakan segala bakatnya bagi menarik perhatian Maharaja Yuan pada ketika itu, iaitu Toghon Temür. Ki akhirnya berjaya membuatkan Maharaja Toghon Temür jatuh hati kepadanya dan dikatakan bahawa Maharaja lebih banyak menghabiskan masanya bersama Ki berbanding bersama Maharaninya, iaitu Danashiri.

Kehidupan sebagai Gundik

Toghon Temür, yang turut dikenali sebagai Maharaja Huizong, telah mengahwini Danashiri, iaitu anak perempuan kepada Perdana Menterinya, iaitu El Temur atas dasar politik semata-mata. Perkahwinan mereka hanyalah demi untuk mendapatkan pewaris, namun anak Danashiri akhirnya meninggal dalam kandungan. Keadaan lebih buruk apabila Gundik Ki mula menjadi gundik kesayangan Maharaja, dan Danashiri dikatakan telah mengarahkan Ki agar dipukul.

Setelah Danashiri dihukum b4n4h dengan meminum r4cun pada tahun 1335,  Toghon Temür telah mencuba untuk menjadikan Gundik Ki sebagai Maharani rasminya, namun baginda telah melalui satu lagi perkahwinan atas dasar politik dengan Bayan Khutuk. Gundik Ki masih tidak mampu untuk mencapai kedudukan yang tinggi, sehinggalah dia melahirkan anak lelakinya pada tahun 1340, yang dinamakan Ayushiridara. Setahun setelah kelahiran anaknya, Gundik Ki telah dilantik sebagai Maharani kedua dalam Dinasti Yuan.

Setelah Bayan Khutuk meningg4l dunia, Ki akhirnya berjaya mencapai impiannya dan dilantik sebagai Maharani rasmi bagi Dinasti Yuan pada sekitar tahun 1365. Dan perlantikannya sebagai Maharani ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai wanita pertama dalam kerajaan apabila Maharaja mula memberikan kuasa untuk dia mengambil alih sebahagian daripada tugas pentadbiran dalam negara.

Peranan Maharani Ki dalam Dinasti Yuan

Berdasarkan catatan sejarah Ming, Toghon Temür telah menukar minatnya daripada mempelajari astronomi, astrologi dan objek mekanikal kepada wanita, arak dan ritual-ritual lain. Berbeza dengan Ki, maharaninya ini pula begitu serius dalam menjalankan peranannya sebagai seorang maharani, hasil pemerhatiannya terhadap maharani-maharani yang terdahulu.

Maharani Ki digambarkan sebagai seorang wanita yang mempunyai bakat dan kebolehan yang luar biasa. Ki dikatakan gemar membaca buku-buku sejarah, bagi mempelajari kisah silam dan memperbaiki dirinya dalam persediaan untuk menjadi seorang maharani yang lebih berkuasa dalam kerajaan.

Menyedari akan kebolehan Ki dalam aspek pentadbiran, Maharaja telah memberikan jawatan kerajaan kepadanya, iaitu kuasa dalam kutipan cukai, yang akhirnya telah digunakannya bagi melaksanakan beberapa projek termasuklah membina jambatan dan membaikpulih kuil-kuil. Apabila kebuluran melanda rakyat pada sekitar tahun 1358, Ki telah mengarahkan agar bubur dibahagikan buat penduduk yang miskin dan membiayai urusan pengebumian lebih 10,000 orang rakyat Yuan.

Ki turut membiayai upacara-upacara keagaamaan, termasuklah upacara menyalakan lilin serta menjemput sami Buddha Goryeo bagi memberi ceramah di Yuan. Ki menggunakan sepenuh kuasa yang dimilikinya untuk menjadikan gadis Goryeo sebagai orang suruhannya di istana dan menggunakan popularitinya untuk mempengaruhi gaya dan fesyen golongan di istana.

Ki turut mengembangkan kuasanya kepada ahli keluarganya di Goryeo, malah ibu bapanya telah diberikan pangkat yang menyamai pangkat raja dan permaisuri Goryeo. Berdasarkan catatan sejarah Joseon, keluarga Ki, terutama abangnya, Ki Cheol telah menyalahgunakan kuasa yang mereka miliki dan tidak menunjukkan rasa hormat terhadap Raja Goryeo yang memerintah.

Pengaruh Maharani Ki dalam penyebaran budaya Goryeo ke dalam Yuan

Seperti yang disebutkan sebelum ini berkaitan dengan pertukaran budaya antara Dinasti Yuan dengan Goryeo, keadaan ini sebenarnya melibatkan dua situasi yang berbeza. Pertama, ia boleh digambarkan melalui penyebaran budaya kelas atasan, yang diwakili oleh Maharani Ki yang mana dia sendiri telah mengubah status dirinya daripada kongnyŏ kepada Maharani yang merupakan status tertinggi dalam dinasti.

Manakala, situasi kedua pula boleh digambarkan melalui penyebaran budaya rakyat, yang diwakili oleh kongnyŏ dan sida-sida daripada Goryeo. Meskipun hanya bergelar kelas bawahan, kongnyŏ dan sida-sida ini memainkan peranan besar dalam membawa budaya Goryeo kepada masyarakat di Yuan. Mereka mempengaruhi Yuan dengan mengekalkan ciri-ciri Goryeo dalam kehidupan yang meliputi cara pemakaian, makanan dan budaya lain.

Maharani Ki telah membawa gaya pakaian Goryeo dengan fesyen yang lebih anggun ke dalam istana Yuan. Sebagai contohnya, pakaian wanita asal dalam Dinasti Yuan tidak dibahagikan kepada bahagian atas (tops) dan bawah (bottoms), dan keadaan ini berubah beberapa tahun selepas itu dengan fesyen pakaian masyarakat Yuan mula dipengaruhi oleh fesyen pakaian Goryeo. Pada tahun-tahun terakhir kekuasaan Dinasti Yuan, sebahagian besar daripada gadis suruhan istana Yuan adalah gadis Goryeo, dan pakaian Goryeo menjadi suatu kebiasaan dalam istana.

Selain daripada gaya pakaian, perubahan budaya yang dibawa juga merangkumi gaya solekan wanita Goryeo. Wanita Yuan dikenali dengan gaya solekan yang tebal dan berona merah, berbanding wanita Goryeo yang lebih banyak menggunakan warna-warna muda dalam solekan mereka serta melukis kening secara halus. Keadaan ini telah mengubah gaya solekan wanita Yuan yang mula menggemari warna-warna muda berbanding gelap dan merah dalam alat solekan mereka. Penggunaan minimal alat solekan oleh wanita Goryeo ini pada asalnya adalah bagi mengelakkan diri mereka daripada menjadi kongnyŏ, namun ia akhirnya turut menjadi pilihan wanita Yuan.

Pengkhianat Goryeo

Kisah bagaimana Ki dilabelkan sebagai pengkhianat Goryeo ini bermula apabila Raja Gongmin (Raja Goryeo pada sekitar abad ke-14) yang telah mengahwini seorang puteri dari Yuan ingin mengubah kembali kerajaan dan menghalau keluar para penyokong Dinasti Yuan. Dalam hal ini, baginda melihat keluarga Ki yang mempunyai pangkat yang tinggi dalam masyarakat kerana kedudukan Maharani Ki dalam Dinasti Yuan sebagai suatu ancaman.

Sekitar tahun 1358, Raja Gongmin telah menjemput Ki Cheol dan para pengikutnya ke majlis makan diraja dan memb4n4h kesemua mereka. Maharani Ki yang mendengar berita tersebut telah menghantar puteranya, Ayushiridara yang juga merupakan pewaris takhta Yuan dan b4l4 tentera ke Goryeo bagi membalas d4nd4m di atas kemati4n abangnya. Namun, Ayushiridara bersama bala tenteranya berjaya dikalahkan, dan Ki telah dilabelkan sebagai seorang pengkhi4n4t di tanahairnya sendiri akibat terlalu menjaga kepentingan ahli keluarganya.

Kejatuhan Dinasti Yuan dan kehilangan Maharani Ki

Apabila Dinasti Yuan akhirnya runtuh pada sekitar tahun 1368, Toghon Temür telah melarikan bersama Maharani Ki dan ahli keluarganya ke Yingcheng (iaitu bahagian dalaman Mongolia). Toghon Temür telah meningg4l dunia pada tahun 1370, dan Ki yang menjadi Maharani Balu setelah Ayushiridara dilantik semula sebagai Khan di Mongol akhirnya lenyap daripada sejarah tanpa sebarang kesan.

Kesimpulan

Kisah Maharani Ki yang turut dikenali sebagai Öljei Khutuk dalam kalangan orang Mongol, meninggalkan persepsi berbeza dalam catatan sejarah kedua-dua buah negara. Rakyat Goryeo memanggilnya pengkhi4n4t, manakala kerajaan Ming menganggapnya sebagai punca kepada kejatuhan sebuah dinasti. Kisahnya pernah dizahirkan di layar kaca pada tahun 2014 melalui siri televisyen MBC, Empress Ki lakonan Ha Ji Won.

Walau apa jua perspektif yang diberikan buat figura ini sama ada seorang pengkhi4n4t, mahupun seorang yang gil4 kuasa, Ki tetap kekal dalam lipatan sejarah sebagai salah seorang wanita yang paling berkuasa di Asia pada sekitar abad ke-13 dan 14. Malah, Ki akan terus diingati sebagai wanita Goryeo yang telah banyak membawa masuk budaya tanahairnya ke tanah asing dan sekaligus mempopularkan budayanya sendiri.

RUJUKAN:

Kim, J., Lee, J., & Lee, J. (2015). Goryeoyang and Mongolpung in the 13 th –14 th centuries. Acta Orientalia Academiae Scientiarum Hungaricae, 68(3), 281–292.

Lee, L. (2019). Ki – The Tarnished Image of the Last Mongolian Empress. Retrieved February 5, 2020, from https://www.historyofroyalwomen.com/the-royal-women/ki-the-tarnished-image-of-the-last- mongolian-empress/

MacDonald, J. V. (2018). Redeeming Empress Gi: The Korean woman who once ruled China. Retrieved February 5, 2020, from https://chinachannel.org/2018/06/15/redeeming-empress-gi/

Zhao, G. Q. (2001). Marriage as Political Strategy and Cultural Expression: Mongolian Royal Marriages from World Empire to Yuan Dynasty. University of Toronto.

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.