Seluruh nasib Dinasti Qing akhir 1890-an berada di dalam genggaman nenek tua itu. Mula-mula, dia memasuki istana sebagai calon gundik yang manja dan manis. Nasib menyebelahinya, menaikkannya ke atas takhta keemasan setelah dia menjadi kesayangan maharaja. Daripada ayam belanda yang berwajah biasa, dia bertukar kepada phoenix!

Wanita ini melontarkan arahan di balik tirai, menundukkan maharaja di atas takhta sebagai boneka bisu di hadapan beribu-ribu orang pegawai istana. Maharani Ci Xi ialah pemerintah autokratik yang memegang nasib maharaja bahkan nasib seluruh Dinasti Qing negara China. Maharani Ci Xi juga sering dilaung-laungkan sebagai wanita kuku besi yang telah mempercepatkan keruntuhan Dinasti Qing sehingga terbentuklah Sistem Republik negara China sekarang.

Siapakah Ci Xi yang kita bicarakan? Ci Xi ialah maharani yang berlindung di balik tirai, menjadi penasihat maharaja dua zaman, iaitu Maharaja Tong Zhi (zaman pemerintahan: tahun 1861—1875) dan Maharaja Guang Xu (zaman pemerintahan: tahun 1875—1908) pada akhir Dinasti Qing. Wanita luar biasa ini lahir pada tahun 1835 dan mangkat pada tahun 1908— setelah melayari kemewahan kehidupan selama 73 tahun. Maharani Ci Xi dari etnik Manchu, permaisuri Maharaja Xian Feng. Anaknya pula bernama Maharaja Tong Zhi. Wanita besi itu merupakan sebuah keajaiban kerana telah mengawal tali nasib dua orang maharaja; menjadi “maharaja di balik tirai” dua kali.

Maharani Ci Xi boleh diibaratkan pemain boneka berkuku besi selama pentadbiran Maharaja Guang Xu.[i] Memanglah Maharaja Guang Xu, pada tahun 1875 pada luarannya sebagai maharaja Dinasti Qing tetapi baginda hanyalah boneka yang bergelar “maharaja”. Di balik tirai, tersergamlah bayang yang lebih besar dan berkuasa dan arahan bayang itu cukup menggentarkan pegawai-pegawai, sida-sida, dayang-dayang yang menghadapnya.

Setiap saat bersama Ci Xi menghadirkan malaikat maut. Perintah Maharani Ci Xi melambangkan perintah maharaja. Demikian besarlah kuasanya. Maharani Ci Xi ingin menggenggam seluruh Dinasti Qing. Selepas Maharaja Xian Feng, suaminya mangkat, Maharani Ci Xi mengangkat Maharaja Tong Zhi, puteranya sebagai maharaja baharu. Pada masa itu, Maharaja Tong Zhi masih budak, maka dinasihati oleh kedua-dua orang bekas permaisuri Maharaja Xuan Feng, iaitu Maharaja Ci An dan Maharaja Ci Xi.[ii]

Malangnya, nasib cepat meragut nyawa Maharaja Tong Zhi. Pada usia pemuda, Maharaja Tong Zhi menghidap penyakit “Bunga Langit” yang disebut “tian hua” dalam bahasa Mandarin.[iii] Bintik-bintik merah yang merebak ke atas tubuh naga Maharaja Tong Zhi telah melayangkan nyawa pemuda itu pada tahun 1875. Sebagai susulan, Maharani Ci Xi menaikkan Guang Xu sebagai maharaja pula. Maharaja Guang Xu itu anak adik mendiang Maharaja Xian Feng (suami Ci Xi). [iv] 

Gambar 2.0: Maharaja Xian Feng

 

Gambar 3.0: Maharani Ci An

Kerinduan kepada kuasa tetap berkobar-kobar, tidak pernah padam antara dua zaman pemerintahan Maharaja Tong Zhi dan Maharaja Guang Xu. Maharani Ci Xi masih menikmati kemegahan bersuara lantang di balik tirai semasa Maharaja Tong Zhi bertakhta.

Inginlah ia melaratkan nikmat membonekakan maharaja itu ke zaman pemerintahan Maharaja Guang Xu pula. Semasa Maharaja Guang Xu dimahkotakan pada tahun 1875, Maharani Ci An pula telah mati, maka tiadalah orang yang berkongsi kuasa pentadbiran dengan Maharani Ci Xi. Maharani Ci Xi telah menjadi pasak utama Dinasti Qing. Kelangsungan dan keruntuhan Dinasti Qing terperangkap dalam percaturan Maharani Ci Xi. Maharaja Guang Xu yang masih pada usia budak itu hanya ditempatkan kaku di atas takhta, menjadi boneka bingung mengadap beribu-ribu orang pegawai yang berlutut, menyampaikan perutusan lalu mendengar kata putus yang tegas daripada Maharani Ci Xi yang duduk di tepi baginda[v]

Walaupun Maharaja Guang Xu itu anak saudara Maharani Ci Xi, Maharani Ci Xi tidak pernah melayannya baik. Pertalian darah dan pekatnya persaudaraan terus dikelamkan dalam alur kemanusiaannya ketika ia bangga mengenang nasib seluruh negara China yang ditakluk dalam arahannya. Selepas Revolusi Guang Xu berlaku (akan diterangkan kemudian), Maharani Ci Xi terus mengurung baginda di dalam balai yang terletak di pulau “Yin Tai”[vi]; memberi baginda nasi suapan haiwan; menyediakan selimut yang kotor dan usang untuk baginda.

Setiap kali menonton opera, Maharani Ci Xi akan membisikkan kepada Maharaja Guang Xu yang sudah dilanda kemurungan ke panggung opera, mendudukkan baginda di tepi. Ketika opera sedang dimainkan, dengan sinisnya, Maharani Ci Xi akan menuding kepada watak opera itu sambil memaki watak sebagai isyarat memaki Maharaja Guang Xu sambil diam-diam; menyumpah Maharaja Guang Xu cepat mangkat.[vii]

Secara berterusan, Maharani Ci Xi mengurung malah mendera jiwa Maharaja Guang Xu. Kerana itulah maharaja dilanda kemurungan setelah lama keputusan sinar dalam kekelaman bilik yang hanya bercahayakan tingkap kecil penjara. Maharani itu begitu benci akan Maharaja Guang Xu kerana orang Barat dan sesetengah pegawai istana menyokong Revolusi Guang Xu/Revolusi Wu Xu yang bertujuan menumbangkan pemerintahan kolotnya. Penentang-penentang itu mengingini penyingkiran Maharani Ci Xi dan penyerahan kuasa sepenuhnya kepada Maharaja Guang Xu untuk era pemerintahan moden yang menerima teknologi Barat.

Gambar 4.0: Maharaja Guang Xu

Gundik-gundik maharaja sangat gerun akan Maharani Ci Xi. Sekiranya mereka tersalah bercakap sewaktu bermain catur dengannya, Maharani Ci Xi akan memenggal kepalanya tanpa penangguhan. Maharani Ci Xi memang menghapuskan orang kebenciannya untuk menghindari kebengkakan hati yang berlarutan kelak. Gundik Zhen kesayangan Maharaja Guang Xu dalam kalangan gundik. Kecerdasan , kepintaran dan keberanian Gundik Zhen memang sifat comel yang tidak dapat diusir daripada angan-angan Maharaja Guang Xu siang dan malam. Mula-mula, Maharani Ci Xi memang menyukai Gundik Zhen atas kepetahan dan kecerdasannya tetapi lama-kelamaan, ia berasa terancam apabila Gundik Zhen berani menegur kekejamannya terhadap gundik dan dayang istana.

Tidak pernah adalah orang yang seberani Gundik Zhen yang membangkang perbuatan Maharani Ci Xi. Maharani Ci Xi bagai kepala singa yang tidak berani didekati semua gundik dan dayang. Sebagai tambahan, Gundik Zhen menyokong Revolusi Guang Xu yang bermaksud menentang pentadbiran Maharani Ci Xi. Maka itu, sebelum lari dari Beijing setelah Beijing ditawan Tentera Perikatan Lapan Buah Negara pada tahun 1901, Maharani Ci Xi mengarahkan seorang sida-sida yang bernama Cui Yu Gui  menolak Gundik Zhen ke bawah telaga untuk membalas dendam berdasarkan catatan buku “Rakaman Perbualan dengan Dayang-dayang”.

Menurut pendedahan Cui Yu Gui sendiri, sebelum ditolak ke dalam telaga, Gundik Zhen masih menjerit untuk mempertahankan diri: “Aku tak patut mati! Aku tidak berdosa!” Maharani Ci Xi yang keras hati itu bukan sahaja tidak berterima kasih atas jasa Cui Yu Gui, malah menggantungkan belenggu “pembunuh” ke atas leher sida-sida itu di hadapan khalayak.

Gambar 5.0: Gundik Zhen
Gambar 6.0: Sida Cui Yu Gui
tersayang Maharaja Guang Xu
Gambar 7.0: Maharaja Guang Xu dan Gundik Zhen

Maharaja Guang Xu benar-benar kehilangan haknya sebagai manusia, hanya layak menjadi boneka tanpa pikiran, perasaan dan kebebasan. Isterinya juga dipilih oleh Maharani Ci Xi. Sepatutnyalah maharaja berhak mengadakan pengujian gundik untuk calon gadis yang telah dipilih oleh maharaja. Gadis yang terpilih akan menjadi gundik (isteri kedua maharaja) atau dayang (gadis pelayan istana).

Namun begitu, Maharaja Guang Xu tidak memunyai tuah itu. Ya, Maharaja Guang Xu telah memiliki bulan di langit, iaitu Gundik Zhen yang paling disayanginya. Hampir sahajalah Maharaja Guang Xu menghadiahkan kedudukan permaisuri sebagai lambang kecintaannya yang tertulus kepada Gundik Zhen. Namun begitu, Maharani Ci Xi telah mendahului Maharaja Guang Xu dengan memilih anak saudaranya/anak adik sendiri, iaitu Permaisuri Long Yu sebagai permaisuri dan isteri baharu untuk baginda.

Maharaja Guang Xu tidak berhak membantah putusannya sekalipun tidak menyukai pilihan maharani. Selain parasnya yang tidak dapat dibandingkan dengan Gundik Zhen, Maharaja Guang Xu juga tidak menyukai Permaisuri Long Yu kerana mahligai percintaan itu diasaskan atas persaudaraan Maharani Ci Xi dengan adiknya. Tiadalah jalinan kasih yang tulis antara hati Maharaja Guang Xu dengan hati Gundik Long Yu. Maharaja Guang Xu hanya berkulitkan maharaja namun “isi” maharaja itu telah dicuri oleh Maharani Ci Xi.

Gambar 8.0: Permaisuri Long Yu

Tampaknya yang benar-benar memuliakan Maharani Ci Xi hanya keutuhan pegangannya akan warisan nenek moyang Dinasti Qing. Ia pernah bertegas: “Teknik baharu boleh diterima dalam pentadbiran tetapi adat nenek moyang tidak boleh diubah.”[viii] Dalam 1800-an, negara Barat sudah membangkitkan Revolusi Perindustrian yang memajukan cara bekerja dunia dengan menggunakan jentera sebagai ganti buruh. Revolusi Perindustrian telah menaikkan negara Jepun yang negara kecil pada asalnya kepada kuasa besar, yang  mampu bersaing dengan kuasa-kuasa besar Barat sehingga berani mencabar negara besar seperti negara China dalam Perang China-Jepun dari 1894 ke tahun 1895. Namun demikian, Tembok Besar China yang tinggi dan tebal itu kebal kepada sebarang kemasukan anasir Barat yang dianggap menggugat adat moyang Cina yang turun-temurun untuk mengekalkan kecinaan negaranya. Kerana itulah negara China mundur dan kolot.

Kerana tidak menyenangi keselesaan Maharani Ci Xi di takuk mundur yang pada pandangan Ci Xi, melestarikan kemewahan jati diri negara China, bangkitlah Liang Qi Chao dan Kang You Wei yang menganjurkan Revolusi Guang Xu, iaitu gerakan membaharukan sistem pemerintahan negara.[ix] Kedua-dua orang sarjana ini hendak mengubah negara China seperti negara Jepun yang juga bangkit kerana menyahut Revolusi Perindustrian[x] lalu maju dengan teknologi canggih Barat. Dalam Revolusi Guang Xu, mereka hendak menaikkan Maharaja Guang Xu sebagai kuasa tunggal yang mutlak yang membangunkan negara China berwajah moden tanpa campur tangan Maharani Ci Xi yang telah degil memegang tampuk pemerintahan selama 40 tahun lebih itu.

Gambar 9.0: Liang Qi Chao           (tahun 1873—1929)
Gambar 10.0: Kang You Wei (tahun 1858—1927)

Maharani Ci Xi berasa terancam oleh gerakan Qi Chao dan You Wei itu. Gerakan itu berkemampuan menumbangkan kuasanya sebagai “maharaja di balik tirai”. [xi] Maharani Ci Xi juga menyangka bahawa Maharaja Guang Xulah yang mencetuskan gerakan ini kerana adalah nama baginda dalam gerakan itu walhal Maharaja Guang Xu tidak mampu menyaingi kuasa unggul Maharani Ci Xi pun. Kuasa tentera, adik-adik diraja Maharaja Xian Feng yang sangat berpengaruh pun sudah berpihak kepada Maharani Ci Xi; apatah yang dapat dibuat oleh Maharaja Guang Xu untuk baginda menamatkan riwayat perempuan yang telah melenyapkan sinar harap seluruh hayatnya itu?

Dalam Revolusi Guang Xu itu, Maharani Ci Xi menyimpan angkara hendak menumbangkan Maharaja Guang Xu. Kerana hubungan yang akrab dengan Raja Zai Yi, Maharani Ci Xi hendak melantik anak Raja Zai Yi sebagai maharaja baharu. Oleh itu, baginda menanyakan pendapat negara-negara besar melalui utusannya, seperti Amerika Syarikat, Perancis, England dengan mengutus Panglima Li Hong Zhang. Namun begitu, negara-negara besar tidak setuju. Kerana tergesa-gesa ingin menyaksikan berlabuhnya punggung anaknya di atas takhta yang bertatahkan emas, Raja Zai Yi mencipta surat palsu daripada negara-negara besar bahawa mereka bersepakat meminta Maharani Ci Xi menuruni takhta. Khabar palsu itu telah meletuskan bibit dendam Maharaja Ci Xi sehingga Maharani Ci Xi mengisytiharkan perang terhadap semua negara besar itu.[xii]

Sebagai padah, 8000 orang tentera Jepun, 4800 orang tentera Rusia, 3000 orang tentera England, 2100 orang tentera Amerika Syarikat, 800 orang tentera Perancis, 58 orang tentera Austria dan 53 orang tentera Itali telah membentuk pasukan Tentera Perikatan Lapan Buah Negara yang mencerobohi dan mencemarkan  kota Beijing dengan darah rakyat pada tahun 1901.

Maharani Ci Xi terpaksa lari dengan Maharaja Guang Xu, gundik-gundik baginda, dayang-dayang istana dan sida-sida istana. Gundik Zhen hendak ikut untuk lari bersama tetapi mendapat bantahan Maharani Ci Xi. Marahani Ci Xi sangat membenci Gundik Zhen yang suka membangkang perbuatannya malah menyokong Revolusi Guang Xu yang mengancam mahkota di atas kepalanya itu. Oleh hal demikian, sebelum meninggalkan istana, Maharani Ci Xi memerintah sida-sida Cui Yu Gui menolak Gundik Zhen ke dalam perigi untuk melenyapkan bara dendam yang selalu meresahkan hatinya.

Sepandai-pandai Ci Xi memainkan sandiwara boneka ini, ia yang berasal daripada tanah tetap kembali ke tanah juga. Kegemilangan Maharani Ci Xi telah berakhir dengan tragedi kemangkatannya yang menyusuli kemangkatan Maharaja Guang Xu. Namun begitu, yang mengajaibkan penyiasat bahawa Maharani Ci Xi mangkat sehari selepas Maharaja Guang Xu mangkat.[xiv] Tidak pelikkah kebetulan itu? Adalah pihak yang meragui bahawa Maharani Ci Xi telah meracuni Maharaja Guang Xu yang sedang sakit dan lemah setelah mengetahui bahawa ajalnya sudah dekat. Adakah ramalan itu benar? Hanya ALLAH yang Maha Tahu.


Nota Kaki:

[i] “Guang Xu” bukan nama sebenarnya maharaja itu. Itu hanya nama zaman pemerintahan maharaja. Setiap zaman pemerintahan maharaja ada nama tentu. Nama sebenarnya Maharaja Guang Xu itu Ai  Xin Jue Luo Zai Tian; namanya Zai Tian manakala nama keluarganya Ai Xin Jue Luo. Orang yang bermula dengan nama keluarga Ai Xin Jue Luo pasti keturunan diraja.

[ii] Wujudlah keadaan pemerintahan setara dua orang maharani kerana Maharaja Xian Feng telah melantik tiga orang permaisuri pada zaman pemerintahannya. Permaisuri Maharaja Xian Feng Permaisuri Xiao De Xian (hayat: tahun 1831—1850), Permaisuri Xiao Zhen Xian (Maharani Ci An; hayat:1837—1881) dan Permaisuri Xiao Qin Xian (Maharaja Ci Xi). Kerana sepangkat dengan Maharani Ci An, Maharani Ci Xi harus membahagikan kuasa penasihat maharaja dengan Maharani Ci An semasa Maharaja Tong Zhi (putera Maharani Ci Xi) menaiki takhta (Qiu Lian, 2015).

[iii] Penyakit “Bunga Langit” itu penyakit kuno di negara China yang amat digeruni maharaja kerana tidak dapat diubati pada zaman dulu. “Bunga Langit” penyakit kulit berjangkit yang mengakibatkan penjajahan bintik-bintik merah ke atas kulit. Pada zaman pemerintahan Maharaja Kang Xi pada Dinasti Qi (zaman pemerintahan: tahun 1661—1722), dayang yang banyak telah menghidap penyakit “Bunga Langit” sehingga penyakit itu merebak kepada Maharaja Kang Xi. Demi membasmi penyakit itu, Maharaja Kang Xi mengarahkan pembakaran hidup dayang-dayang tersebut. Pesakit akan lemah longlai, demam, menggigil. Kebarangkalian kematian 30%. Maharaja Tong Zhi juga mati kerana kepantasan merebak “Bunga Langit”. Penyakit ini telah pupus (Laman Kesihatan 33, 2015).

[iv] Maharaja Guang Xu bukan cucu Maharani Ci Xi dan Maharaja Xuan Feng. Baginda anak kepada adik Maharaja Xuan Feng. Adik Maharaja Xuan Feng bernama Raja Ai Xin Jue Luo Yi Xuan (Ai Xin Jue Luo= nama keluarga diraja; Yi Xuan=nama sendiri). Maharaja Guang Xu itu anak Raja Yi Xuan. Raja Yi Xuan anggota keluarga diraja yang bertugas sebagai panglima. Maharani Ci Xi sepahaman dengan Yi Xuan dalam pentadbiran, jadi memilih anaknya sebagai maharaja. Catatan: ”Raja” gelar bagi adik- adik maharaja.

[v] Shun Yong Gang et al. (2013). Sejarah China abad ke-20 [19001910]. Fu Zhou. The Straits  Publishing & Distributing Group, 39.

[vi] Jin Man Lou. (2018). Setelah revolusi gagal, Guang Xu dikurung di Yin Tai; Maharani Ci Xi   mengisyaratkan Guang Xu membunuh diri dengan emas. Dimuat turun pada 16 Jun 2018, daripada https://www.xuehua.us//2018/06/15/变法失败后,光绪被困瀛台:慈禧太后一度暗示其/zh-tw/

[vii] Wu Feng Que Qi Nian. (2017). Maharani Ci Xi pernah menggunakan opera, hobi “dahsyat”nya untuk menyumpah Maharaja Guang Xu cepat mangkat?. Dimuat turun pada 16 Jun 2018, daripada https://kknews.cc/zh-my/history/5mpbao3.html

[viii] Wang Rong Sheng. (t.t.). Ci Xi: daripada penghapusan Revolusi Wu Xu kepada pengasasan sistem pentadbiran baharu. Dimuat turun pada 15 Jun 2018, daripada http://www.yhcqw.com/15/239.html

[ix] Revolusi Guang Xu juga disebut Revolusi Wu Xu dan Pembaharuan 100 Hari. “Wu Xu” itu nama tahun. Revolusi Guang Xu, dengan meminjam nama Maharaja Guang Xu sebagai maharaja merdeka yang baharu (tanpa pembonekaan Maharani Ci Xi), tercetus pada tahun 1898 dan tahun 1898 itulah bernama tahun Wu Xu dalam sejarah negara China. “Pembaharuan 100 hari” pula dinamakan kerana gerakan itu berlangsung selama 100 hari pada tahun 1898.

[x]Revolusi Perindustrian era penggunaan jentera sebagai ganti tenaga  \buruh. Jentera mempercekapkan pekerjaan. Pada ketika itulah kereta api berwap dicipta (Laman Pencarian Sou Hu, 2017).

[xi] Shun Yong Gang et al. (2013). Sejarah China abad ke-20 [19001910]. Fu Zhou. The Straits Publishing & Distributing Group, 72.

[xii] Gelar “Raja” dikurniakan kepada adik-adik maharaja dalam sejarah negara China. Raja Zai Yi itu saudara Maharaja Guang Xu; anak Raja Yi Cong yang merupakan adik Maharaja Xian Feng. Raja Zai Yi pembelot punca penjajahan Tentera Perikatan Lapan Buah Negara. Pada suatu kali, setelah mendengar bahawa Maharani Ci Xi ada rancangan hendak menumbangkan Maharaja Guang Xu, Raja Zai Yi memimpin pasukan Yi He, pasukan penentang orang Barat itu mengepung istana, hendak menikam Maharaja Guang Xu (Shun Yong Gang et al., 2013:50). Maharaja Guang Xu anak Raja Yi Xuan; Raja Zai Yi anak Raja Yi Cong. Raja Yi Xuan dan Raja Yi Cong anak Maharaja Xuan Feng. Maka itu, Raja Zai Yi dan Maharaja Guang Xu sepupu. Maka daripada peristiwa menikam maharaja itu, dapat dirasailah kedinginan dan ketipisan hubungan persaudaraan yang mengalir dalam sanubari Raja Zai Yi.

[xiii] Shun Yong Gang et al. (2013). Sejarah China abad ke-20 [19001910]. Fu Zhou. The Straits Publishing & Distributing Group, 50.

[xiv] Menurut Ensiklopedia Bai Du (ensiklopedia Mandarin), Maharaja Guang Xu mangkat pada 14 November 1908 manakala Maharani Ci Xi mangkat pada 15 November 1908.


Rujukan

Jin Man Lou. (2018). Setelah revolusi gagal, Guang Xu dikurung di Yin Tai;           Maharani Ci Xi mengisyaratkan Guang Xu membunuh diri dengan emas.      Dimuat turun pada 16 Jun 2018, daripada https://www.xuehua.us// 2018/06/15/变法失败后,光绪被困瀛台:慈禧太后一度暗示其/zh-tw/

Laman Kesihatan 33. (2015). Apakah penyakit Bunga Langit?. Dimuat turun         pada 15 Jun 2018, daripada http://jbk.39.net/th/150312/4589952.html.

Laman Pencarian Sou Hu. (2017). Revolusi Perindustrian Dunia sebanyak tiga kali         dan masa revolusi tersebut. Dimuat turun pada 16 Jun 2018, daripada             http://www.sohu.com/a/137478857_604477

Mi Ai Ni. (2014). Bagaimanakah Ci Xi membunuh Gundik Li: dayang kepercayaan             menendangnya ke dalam telaga malah membaling batu. Dimuat turun pada          15 Jun  2018, daripada http://news.ifeng.com/history/zhongguojindaishi/detail _2014_04/05/35508480_0.shtml

Qiu Lian. (2015). Siapakah permaisuri Maharaja Xian Feng? Apakah akhir cerita mereka?. Dimuat turun pada 15 Jun 2018, daripada http://www.todayon             history.com/people/201507/10019.html

Shun Yong Gang, He Qian & Dong Ya. (2013). Sejarah China abad ke-20 [1900          1910]. Fu Zhou. The Straits Publishing & Distributing Group.

Wang Rong Sheng. (t.t.). Ci Xi: daripada penghapusan Revolusi Wu Xu kepada   pengasasan sistem pentadbiran baharu. Dimuat turun pada 15 Jun 2018,             daripada http://www.yhcqw.com/15/239.html

Wu Feng Que Qi Nian. (2017). Maharani Ci Xi pernah menggunakan opera, hobi             “dahsyat”nya untuk menyumpah Maharaja Guang Xu cepat mangkat?.       Dimuat turun pada 16 Jun 2018, daripada https://kknews.cc/zh-my/history/5mpbao3.html

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pui Wen Hang guru pelatih IPG Kampus Bahasa Melayu. Dia meminati tatabahasa Melayu dan mengkaji Tatabahasa Dewan untuk mengukuhkan asas bahasanya sejak sekolah menengah lagi. Sejak melanjutkan pengajian ke peringkat IPG, Wen Hang bermula menceburi kesusasteraan dan menulis beberapa sajak, cerpen dan rencana. Wen Hang berpegang teguh pada kepercayaan bahawa, dengan menerapkan tatabahasa dalam sastera, di samping mengadunkan pelbagai gaya bahasa, seseorang pengarang mampu melahirkan bahasa yang kemas, indah dan bertaraf bahasa bertamadun.

Comments are closed.