Maharaja Wu: Maharaja Teragung Dinasti Han

0
1966
views

China mempunyai sejarah yang berusia lebih daripada lima ribu tahun yang penuh dengan seribu keagungan yang tidak mampu dicapai kebanyakan tamadun yang pernah berdiri di atas muka bumi ini. Tetapi adalah tidak lengkap berbicara tentang keagungan itu kalau kita tidak bercakap tentang seorang maharaja yang tidaklah keterlaluan kalau saya nobatkan sebagai maharaja teragung untuk era Dinasti Han (206 Sebelum Masihi – 220 Masihi) yang pernah memerintah China beribu ribu tahun yang lampau.

Saya perkenalkan kepada tatapan kalian Maharaja Wu (nama lahirnya Liu Che) yang merupakan Maharaja Ke-Tujuh Dinasti Han yang memerintah daripada 140-87 Sebelum Masihi. Zaman pemerintahan Maharaja Wu di Dinasti Han ini ialah sezaman dengan zaman kerajaan Melayu Kedah Tua.

Apa hebatnya Maharaja Wu sehingga saya menobatkan beliau sebagai maharaja teragung dalam zaman Dinasti Han? Sebab itu anda harus bersama saya mengembara dalam artikel ini. Sebelum kita melangkah lanjut, perlu saya beritahu bahawa tempoh pemerintahan beliau adalah dalam sekitar 54 tahun menurut sejarawan, menjadikan beliau ialah maharaja yang memerintah kedua paling lama dalam sejarah China, hanya kalah kepada Maharaja Kangxi dari Dinasti Qing (Manchu) yang memerintah selama 61 tahun.

China sejak zaman berzaman sentiasa menerima ancaman daripada puak-puak gasar berkuda yang bermukim di utara China. Maharaja-maharaja sebelum ini walaupun mengetuai empayar sebesar Dinasti Han, namun tetap tunduk pada kekuataan puak gasar dari Utara China yang dipanggil sebagai Xiongnu oleh bangsa Cina Han ketika itu. Maharaja Wu yang memerintah terkemudian merasakan langkah mengahwinkan setiap puteri raja dengan ketua-ketua puak Xiongnu yang diamalkan sebelum itu hanyalah rancangan yang bersifat sementara.

Maka mahu memenangi perang ke atas Xiongnu yang merupakan sebuah puak yang handal berperang di atas kuda itu, maka Maharaja Wu membuat reformasi ke atas pasukan tenteranya yang ketika itu lebih gemar menggunakan pedati kuda (chariot) yang sebenarnya lebih berat dan tidak mampu menangani penggerakkan pantas askar berkuda Xiongnu yang lebih menggunakan tentera penunggang kuda (cavalry). Maka prinsip baru dalam menghadapi Puak Xiongnu ialah dengan menghantar askar berkuda juga melawan askar berkuda daripada menghantar pedati yang lebih bersifat defensif dan lembab.

Bermula daripada penukaran penggunaan kpedati kuda kepada tentera berkuda, maka buat pertama kalinya Dinasti Han berjaya mengalahkan orang Xiongnu lalu menghalau bangsa Xiongnu jauh ke pedalaman Siberia sehinggakan mereka ditinggalkan kebulur sampai mati di pendalaman Siberia kerana kesejukan yang melampau. Kemudian selepas keadaan di sempadan China aman, Maharaja Wu telah membina tembok besar kedua dalam sejarah China, selepas pernah cuba dibuat oleh Shi Huang Di sebelum itu ketika zaman pemerintahan Dinasti Qin, dinasti yang berdiri sebelum naiknya Han.

Dinasti Qin terus memerintah China sebelum kejatuhannya mewujudkan era Persengketaan Chu-Han yang kemudian dimenangi oleh Han. Kejayaan reformasi ketenteraan yang dibuat oleh Maharaja Wu ini sebenarnya telah membuatkan Empayar Han dibawahnya melebar sehingga mencecah sempadan negara Kyrgyzstan moden hari ini, sehingga ke Semenanjung Korea dan di wilayah Sungai Merah di utara Vietnam.

Bukan unit ketenteraan Dinasti Han sahaja yang menjadi sasaran reformasinya bahkan Maharaja Wu turut melaksanakan dasar pembaharuan dalam bidang politik dengan mengharamkan falsafah Tao dan kepercayaan lain di China kecuali falsafah Confucius sahaja yang diikitraf. Hiptotesis saya berkaitan dengan pengharaman kepercayaan lain adalah mungkin menurut Maharaja Wu, kepercayaan yang berbeza akan membawa kepada perpecahan rakyat China. Impaknya, falsafah kepercayaan Confucius terus menjadi falsafah kepercayaan rasmi empayar China sehinggalah ke zaman Dinasti Qing (Manchu) iatu dinasti terakhir China.

Reformasi lain dalam bidang pentadbiran yang digerakkan oleh Maharaja Wu ialah memerintahkan semua kaum bangsawan dan gabenor kerajaan untuk kembali ke wilayah yang diperintah oleh mereka. Sebelum itu, terdapat tradisi kaum-kaum bangsawan dan gabenor kerajaan akan berkumpul dan tinggal di Chang’an, pusat pemerintahan Dinasti Han ketika itu dan mereka sentiasa mengeksplotasikan belanjawan kerajaan untuk menampungkemewahan hidup mereka di Istana meski ketika itu, mereka sudah diberi wilayah dan rakyat untuk dikutip cukai darinya. Maharaja Wu merasakan tradisi ini akan membuatkan korupsi semakin menebal dalam pemerintahan Dinasti Han lalu menghalau seorang demi seorang keluar dari Chang’an melainkan mereka ada sebab-sebab yang kukuh untuk terus tinggal di Chang’an.

Bahkan untuk mengekalkan prinsip ketelusan dalam pemerintahan Dinasti Han, Maharaja Wu juga telah membuat kempen menggalakkan rakyat melaporkan tentang salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh bangsawan kepada kerajaan pusat. Sesiapa dari kalangan kaum bangsawan yang berbuat jenayah, akan dilucutkan jawatan atau kedudukan mereka, dan kemudian segala harta kekayaan mereka akan dirampas dan menjadi hak milik kerajaan.

Rakyat biasa yang hidup pada zaman pemerintahan Maharaja Wu ketika itu pasti bersyukur kerana pemerintahan Dinasti Han buat pertama kalinya telah membuka tawaran untuk rakyat biasa untuk menjawat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan dan tidak terhad kepada kaum bangsawan sahaja. Ini amat penting kerana Maharaja Wu mahu menyekat penyalahgunaan kuasa dari kalangan kaum bangsawan, dalam masa yang sama menerapkan konsep “sesiapa yang berusaha, maka dialah yang akan dapat habuannya” di kalangan rakyat negaranya.

Bahkan Laluan Sutera (The Silk Road) yang terkenal dalam sejarah itu diwujudkan juga adalah kerana jasa beliau yang menghantar Zhang Qian, untuk mengembara ke negara-negara luar yang terletak di sebelah barat China. Perjalanan panjang Zhang Qian inilah yang membawa pembukaan Jalan Sutera darat yang menghubungkan China dan Eropah serta Asia Tengah. Laluan Jalan Sutera ini bermula dari Chang’an, ibu kota Dinasti Han sendiri melalui wilayah Asia Tengah sehinggalah ke Turki dan berakhir di Rome di Eropah. Penemuan jalan sutera darat ini kemudiannya telah membawa kepada perkembangan ekonomi Dinasti Han yang melimpah-ruah ketika itu, sehinggakan banyak barang baru dari dunia luar China masuk ke dalam negara mereka manakala bandaraya Chang’an pula menjadi antara bandaraya termasyhur di dunia dan pusat ekonomi Asia ketika itu.

Atas kecintaannya pada ilmu juga telah membuatkan Maharaja Wu mengarahkan Sima Qian seorang sejarawan ketika itu untuk merekodkan dan menyimpan sejarah China yang ketika itu sudah berusia lebih daripada 3 ribu tahun. Maka kemampuan kita untuk membaca sejarah China sebelum zaman pemerintahan beliau adalah berkat langkah reformasi beliau sendiri. Bahkan atas kecintaannya pada sastera, dilantiknya Sima Xiangru, seorang ahli sastera, sarjana dan ahli muzik terkenal ketika itu menerima jawatan “Zhoglang Jiang” ataupun maksudnya “General of the Gentlemen of the Household” iatu antara jawatan tertinggi dalam sejarah China.

Maharaja agung Dinasti Han ini akhirnya meninggal dunia pada tarikh 29 Mac tahun 87 Sebelum Masihi ketika beliau berusia 69 tahun dan dimakamkan di sebuah makam piramid berwarna putih yang besar dinamakan sebagai Maoling, terletak kira kira 40 kilometer dari barat Xi’an kini. Baginda digantikan oleh anak bongsunya, Maharaja Zhao yang meneruskan kembali kegemilangan empayar yang dirintis oleh ayahnya. Kegemilangan empayar China di bawah Dinasti Han diteruskan dan bertambah makmur di bawah pemerintahan maharaja-maharaja selepasnya.

Berkat langkah reformasi-reformasi yang dibuat oleh Maharaja Wu inilah membuatkan seorang sejarawan, H.G. Wells, seorang sarjana terkenal Britain berkata, hanya Empayar Rom sahaja yang mempunyai kekuatan setanding dengan Dinasti Han China pada masa itu di dunia.

Previous articleJatuhnya Ryukyu Kerana Kejatuhan Melaka
Next articleKisah Salib Yang Digunakan Untuk Memburu Penganut Kristian Di Jepun
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here