Tidak sah berbicara tentang Era Pemulihan Meiji tanpa menyebut Maharaja Meiji. Ini kerana pada zaman inilah, kuasa baginda sebagai maharaja dipulihkan semula menerusi penyingkiran Keshogunan Tokugawa dan permulaan aktiviti pemodenan Jepun.

200 tahun sebelumnya, Ieyasu Tokugawa diangkat sebagai shogun (diktator tentera) oleh maharaja sekaligus menjadi pemerintah secara tidak langsung Jepun. Bagi memastikan kedudukan beliau tidak dicabar, Ieyasu turut mewartakan kod tingkah laku bukan saja untuk daimyo (golongan bangsawan) tetapi untuk maharaja pada tahun 1605.

Menerusi kod tersebut, maharaja diwajibkan untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti pengajian ilmu dan kesenian. Semasa era Tokugawa, maharaja-maharaja amat mematuhi kod ini dengan mempelajari teks-teks Confucius, kesusasteraan dan kaligrafi. Baginda juga hanya diajar asas sejarah dan geografi China dan Jepun. Dan paling penting, shogun tidak memerlukan sebarang input daripada maharaja dalam membuat sebarang tindakan.

Situasi maharaja tidak dibantu dengan tidak semua maharaja hidup lama sebelum mengambil keputusan untuk turun takhta. Daripada lima maharaja sebelum Maharaja Meiji, hanya nenda baginda saja yang sempat mencecah usia 40-an sebelum mangkat pada usia 46 tahun. Malah, keluarga diraja Jepun merekodkan kadar kematian membabitkan waris mereka yang tinggi. (Gordon, 2009)

Dalam kes Maharaja Meiji, kesemua lima kekanda dan adinda baginda mangkat semasa masih bayi lagi. Dan daripada 15 orang putera dan puteri baginda, hanya lima sahaja yang menginjak usia dewasa. Keadaan ini berlaku akibat perkahwinan sesama kerabat diraja dengan tujuan memelihara susur galur keturunan diraja.

Tetapi tindakan ini mengakibatkan ramai anggota kerabat diraja menderita pelbagai jenis penyakit dan kecacatan genetik. Malah, semasa Meiji diputerakan pada 3 November 1852, baginda sebenarnya berdepan isu prognatisme mandibel dan kecacatan pada tulang belakang. Meiji juga turut berdepan isu beriberi yang menjejaskan pergerakan baginda termasuk berjalan.

Ayahanda baginda ialah Maharaja Komei dan bondanya ialah gundiknya Yoshiko Nakayama. Bonda baginda bukan calang-calang kerana Yoshiko merupakan puteri seorang bangsawan Jepun bernama Tadayasu Nakayama. Selepas diputerakan, Meiji diberi nama sebenarnya sebelum bergelar maharaja iaitu Sachinomiya atau Putera Sachi. (Keene, 2002)

Rajah 1: Maharaja Komei

Baginda muncul dalam era di mana Keshogunan Tokugawa sedang meniti tahun-tahun akhirnya. Kekuasaan mereka mula tercabar lebih-lebih lagi selepas ketibaan kapal perang Amerika Syarikat yang diketuai Komodor Matthew C. Perry pada 1852. Dengan ketibaan kapal tersebut, ia turut menandakan keruntuhan sistem sakoku (negara tertutup) yang dilaksanakan oleh Ieyasu pada akhir hayatnya.

Kehadiran kapal perang ini memaksa shogun ketika itu, Iemichi Tokugawa untuk meminta pandangan Maharaja Komei tentang situasi ini. Baginda menasihati Iemichi agar membenarkan pihak AS berdagang di Jepun. Ini membawa kepada pemeteraian Perjanjian Kanagawa pada 1854.

Bagaimanapun, tindakan Iemichi memeterai Perjanjian Harris pada 1858 mengundang kemurkaan Komei. Ini kerana menurut hemat baginda, perjanjian tersebut bersifat berat sebelah dan langsung tidak menguntungkan Jepun dalam banyak segi. Dan ini menjadi benih kepada permulaan Era Pemulihan Meiji dan kejatuhan Keshogunan Tokugawa.

Meiji tahu lambat laun Keshogunan Tokugawa akan tumbang gara-gara kekacauan politik yang tercetus pada 1850-an dan 1860-an. Semasa di istana, baginda mempelajari teks kesusasteraan Waka bersama ayahandanya sebelum ia diteruskan bersama dengan sasterawan-sasterawan istana. Pengajian klasik Meiji diteruskan tatkala shogun terakhir Yoshinobu Tokugawa berkuasa pada 1866.

Rajah 2: Yoshinobu Tokugawa

Menjelang tahun 1860-an, kedudukan shogun semakin tergugat lebih-lebih lagi dengan daimyo-daimyo mula membina semula kekuatan dan membentuk pakatan masing-masing. Ada yang masih setia dengan Keshogunan Tokugawa. Tetapi bagi puak-puak yang pernah kalah di Sekigahara pada 1600 seperti Mori, Shimazu dan Chosokabe, keturunan-keturunan mereka menyimpan dendam membara terhadap rejim berkenaan.

Atas sebab itulah, puak-puak ini kemudiannya membentuk pakatan rahsia yang kemudiannya dikenali sebagai pakatan Choshu-Satsuma. Puak-puak ini pernah berdepan dengan kuasa-kuasa asing dalam kempen berasingan sekitar 1863 dan 1864 di Kagoshima dan Shimonoseki. Bagi mereka, satu-satunya cara untuk mengelak Jepun diperhambakan oleh orang asing ialah dengan memodenkan Jepun. Ini termasuklah menyingkirkan shogun dan memulihkan kuasa maharaja.

Pada Januari 1868, tidak lama selepas kemangkatan Maharaja Komei dan Meiji menaiki takhta, pakatan Choshu-Satsuma nekad menyingkirkan Keshogunan Tokugawa dengan bertindak menawan Istana Diraja di Kyoto. Di sini, mereka mengumumkan dekri pemulihan semula kuasa maharaja. Pakatan yang kemudiannya membentuk kerajaan Meiji turut mendesak Yoshinobu agar meletak jawatan dan memulangkan semua tanah yang dikawalnya kepada pihak istana.

Pakatan ini menyangka Yoshinobu akan termakan perangkap dan mengisytiharkan perang terhadap mereka. Tetapi beliau sedar itu satu perangkap dan memilih berundur ke Istana Osaka untuk memerhatikan keadaan. Berang perangkap mereka tidak terusik, mereka menghantar sekumpulan samurai Satsuma dipimpin Takamori Saigo untuk mencetuskan kekacauan di Edo.

Kumpulan pro-shogun yang tidak berpuas hati membakar banyak rumah milik Satsuma di Edo. Yoshinobu yang tidak dapat mengawal amarah penyokongnya bersetuju membenarkan mereka mara ke Kyoto. Ini merupakan pencetus kepada konflik Perang Boshin antara kedua-dua belah pihak dengan pertempuran pertama tercetus di Toba-Fushimi, selatan Kyoto. Dalam pertempuran tersebut, tentera kerajaan berjaya mengatasi angkatan shogun dan Yoshinobu terpaksa melarikan diri ke Edo.

Bagi menambah tekanan terhadap beliau, kerajaan menggerakkan 50,000 orang tentera ke Edo. Tetapi kebijaksanaan wakil perunding dari kedua-dua belah pihak iaitu Takamori (rejim Meiji) dan Katsu Kaishu (wakil Tokugawa) berjaya mengelakkan kota tersebut daripada musnah akibat peperangan. Hasilnya, Yoshinobu bersetuju untuk tunduk kepada pihak kerajaan sebagai tukaran kepada jaminan keselamatan dan kebenaran untuk berpindah ke Shizuoka.

Di sebalik persetujuan yang dicapai, masih ada daimyo yang enggan tunduk kepada kerajaan Meiji. Perang Boshin hanya berakhir apabila Takeaki Enomoto menyerah diri kepada armada Meiji di Hokkaido pada 27 Jun 1869 dan mengakui kekuasaan baginda. Perang saudara ini menyaksikan 8,200 orang terbunuh dan 5,000 lagi cedera. (Gordon, 2009)

Bagi memastikan keabsahan kerajaan termasuk kedudukan maharaja tidak digugat oleh sesiapa, satu piagam yang dipanggil Piagam Sumpah digubal. Menerusi piagam ini, ia menjadi asas bukan saja kepada pemansuhan feudalisme di Jepun. Malah, ia membuka jalan kepada asas pemodenan Jepun dari segi perundangan. (Jensen, 1995)

Edo kemudiannya ditukar nama kepada Tokyo dengan baginda berpindah ke Istana Edo sekaligus menjadikan ia sebagai Istana Diraja yang baru. (Gordon, 2009) Sebagai tanda keseriusan Meiji terhadap pemodenan Jepun, baginda turut menyertai pelbagai mesyuarat dan majlis kerajaan ketika itu. Tetapi sehingga akhir hayatnya, baginda jarang bercakap semasa mesyuarat berlangsung kecuali jika ada keperluan. (Keene, 2002)

Rajah 3: Rombongan Maharaja Meiji semasa berpindah dari Kyoto ke Tokyo pada 1868.

Dengan kebanyakan tentera kembali ke wilayah-wilayah masing-masing, kerajaan Meiji kelihatan seperti tidak mempunyai angkatan tentera sendiri. Enggan membenarkan pisang berbuah dua kali, wilayah-wilayah yang menyokong kerajaan segera membuat penambahbaikan dari segi ketenteraan. Di Kishu, daimyonya mengarahkan kerahan tentera diperkenalkan mengikut model Prussia sekaligus membina ketumbukan seramai 20,000 orang.

Tetapi bagi figura-figura utama di sebalik Pemulihan Meiji seperti Takayoshi Kido (Choshu) dan Toshimichi Okubo (Satsuma), itu masih tidak mencukupi. Hasilnya pada tahun 1871, semua wilayah lama dibubarkan dan digantikan dengan takrifan 72 wilayah baru yang mengikut arahan daripada kerajaan pusat. Semua daimyo lama turut diarah berpindah ke Tokyo.

Kido dan Okubo menyangka usaha mereka akan ditentang sekeras-kerasnya oleh para daimyo. Tetapi itu tidak berlaku terima kasih kepada kompromi yang ditawarkan kepada mereka berbentuk penyelesaian hutang wilayah dan pampasan kepada golongan samurai. Dengan merealisasikan usaha ini, Jepun akhirnya bersatu dari segi politik. Reformasi ini turut membawa kepada penghapusan kelas masyarakat dengan semua warga diberi hak sama rata. (Gordon, 2009)

Kebanyakan samurai pada dasarnya menerima era mereka sebagai pahlawan sudah berakhir. Ini kerana mereka mudah beradaptasi dan bersedia menerima idea-idea baru termasuk dari Barat. Ini sekaligus memudahkan mereka beralih sebagai birokrat kerajaan, petani, pedagang mahupun guru.

Begitupun, ada juga yang enggan tunduk seperti kes Takamori. Beliau kemudiannya melancarkan Pemberontakan Satsuma pada 1877 tetapi pemberontakan tersebut berjaya ditamatkan oleh kerajaan Meiji pada tahun yang sama. Dengan tamatnya Pemberontakan Satsuma, ia turut menandakan pengakhiran ancaman ketenteraan terhadap kerajaan Meiji.

Bagi mengelak mana-mana rakyat yang tidak berpuas hati bangkit memberontak, satu perlembagaan baru digubal pada tahun 1889. Menerusi Perlembagaan Meiji ini, ia memberi kuasa kepada penubuhan Diet Jepun. Tetapi kuasa sebenar terletak di tangan Genro, kelompok oligarki Jepun yang berpengaruh dalam bidang ekonomi, politik dan ketenteraan. Kebijaksanaan Meiji mengimbangi pengaruh Genro membenarkan baginda bertahkta lama sebagai maharaja.

Pada tahun tersebut, baginda sudah mencecah usia 50-an. Bagi ramai sejarawan, ia merupakan satu pencapaian yang hebat. Ini kerana baginda merupakan maharaja Jepun pertama yang berjaya mencecah usia 50-an dan kali terakhir ia dicapai berlaku pada tahun 1586.

Pada tahun tersebut, moyang baginda iaitu Maharaja Ogimachi turun takhta pada usia 50 tahun selepas berjaya mengekalkan pengaruh takhta Jepun. Ia berlaku dengan bantuan dua figura penyatuan Jepun sebelum Ieyasu iaitu Nobunaga Oda dan Hideyoshi Toyotomi.

Pada akhir hayatnya, bukan sedikit ekstremis yang cuba membunuh Meiji pada 1910. Akibatnya, ramai aktivis berhaluan kiri ditahan dan dihukum mati oleh kerajaan kerana terlibat dalam plot sebegitu rupa. Baginda akhirnya mangkat pada tahun 1912 pada usia 59 tahun akibat penyakit uremia. Takhta kemudiannya diambil alih oleh Maharaja Taisho pada 30 Julai tahun yang sama.

Rajah 4: Upacara pemakaman Maharaja Meiji pada 1912.

RUJUKAN:

Gordon, Andrew (2009), A Modern History of Japan: From Tokugawa Times to the Present (Edisi Kedua). Oxford University Press. Halaman 2-4. 59, 63 dan 68.

Kawai, Atsushi. (2018). The Meiji Restoration: The End of the Shogunate and the Building of a Modern Japanese State. Nippon.com.

Keene, Donald (2002), Emperor of Japan: Meiji and His World, 1852–1912, Columbia University Press. Halaman 14, 73, 78 dan 168,

Jensen, Marius B. (1995). The Emergence of Meiji Japan. Cambridge University Press. Halaman 195.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.