Maharaja Babur – Pengasas Empayar Mughal India

149

Babur atau dikenali sebagai Zahir ud – Din Muhammad merupakan Maharaja Mughal yang pertama mengasaskan Empayar Mughal yang terkenal dalam sejarah India. Baginda merupakan putera Umar Sheikh Mirza yang merupakan Gabenor Fergana (Uzbekistan sekarang). Babur juga merupakan cicit Timurlink dari sebelah ayahnya, seorang tokoh penakluk Islam yang digeruni dari Mongol. Manakala, dari sebelah ibu pula merupakan keturunan Genghis Khan yang merupakan Penakluk dan pembina Empayar Mongol. Pada tahun 1494, Babur telah menggantikan kedudukan ayahnya sebagai Gabenor Fergana yang wafat akibat kemalangan yang berlaku.

Walaupun Babur ketika itu masih lagi berusia mentah, namun pemikiran baginda lebih matang daripada usianya. Ini kerana baginda sedar bahawa musuh dalaman mahupun luar sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan Babur kerana faktor – faktor usia baginda yang masih lagi muda dan mentah. Oleh itu, Babur tahu baginda mestilah seperti seorang Raja yang bijak dalam bermain percaturan. Namun begitu, Fergana merupakan sebuah negeri yang kurang strategik dan tidak mempunyai banyak sumber mentah yang boleh menjanakan kekayaan demi merealisasikan impian Babur untuk menjadi seorang Raja yang terbilang.

Pada tahun 1497, Babur telah melancarkan serangan keatas Samarkand, pusat pemerintahan Uzbekistan dengan harapan untuk menjadi seorang penguasa seperti moyangnya, Timurlink. Setelah berjaya menakluki Samarkand selama beberapa bulan, telah berlakunya pengkhianatan beberapa golongan bangsawan di Fergana telah menyebabkan Babur telah kembali ke situ untuk menghukum beberapa pengkhianat. Walaubagaimanapun, beberapa tentera Babur telah berpaling tadah telah menyebabkan baginda kehilangan Samarkand. Pada tahun 1501, Babur telah berjaya menakluki Samarkand kembali. Walaubagaimanapun, Khan Muhammad Syaibani, seorang Khan dari Uzebkistan telah berjaya menewaskan Babur sehingga terpaksa berundur diri ke Afghanistan. Babur sedar bahawa baginda tidak mampu untuk merealisasikan impian baginda untuk membina Empayar Mongol di Asia Tengah.

Babur dan beberapa pengikutnya telah melarikan diri ke Afghanistan setelah mendapat jaminan adik perempuan baginda, Khazanda Begum untuk dikahwinkan kepada Khan Muhammad Syaibani. Disitu, Babur telah memikirkan kembali untuk membina kekuatan tentera dengan merekrut beberapa kaum Tajikistan untuk menyertai tentera Babur. Babur telah berjaya membina kekuatan tentera kembali selama tiga tahun dengan perancangan yang begitu teratur dan terancang. Pada tahun 1504, Babur telah berjaya menguasai Kabul dan Kandahar setelah berjaya melalui kawasan bersalji Hindu Kush. Kejayaan menguasai Kabul menjadikan Babur sebagai Raja Afghanistan dan memperolehi kekayaan yang melimpah ruah. Penguasaan Babur keatas Kabul telah membuka ruang kepada baginda untuk membina sebuah Empayar dan menjadikan India sebagai asas untuk membina sebuah Empayar. Kekayaan yang baginda perolehi selepas berjaya menguasai Kabul telah melayakkan Babur digelar “Padishah” yang bermaksud Raja segala Raja dalam Bahasa Parsi.

Bagi mengukuhkan kekuasaan Babur, baginda bekerjasama dengan saudara dari kaum kerabat Timur iaitu Husayn Bayqarah, Penguasa Herat. Ini kerana Husayn Bayqarah merupakan musuh ketat Khan Muhammad Syaibani dan Babur amat memerlukan sekutu bagi menumpaskan musuh ketat baginda. Walaubagaimanapun, Husayn Bayqarah telah mangkat pada tahun 1506 dan ini telah merencat sedikit sebanyak rancangan Babur untuk menguasai India dan juga menumpaskan musuh ketat baginda, Khan Muhammad Syaibani. Namun begitu, Babur telah mengambil kesempatan diatas kemangkatan Husayn Bayqarah dengan menguasai Herat. Semasa berada disitu, Babur telah tertarik dengan budaya intelektual telah berkembang dengan begitu pesat sekali sehingga baginda telah mengambil kesempatan untuk menulis biografi pemimpin Islam yang pertama, “Baburnama”. Semasa berada Herat, Babur juga telah memperolehi beberapa meriam yang canggih dari negara – negara asing bagi memperkukuhkan kekuatan tentera.

Tidak lama kemudian, salah seorang jeneral kepercayaan Babur yang telah dipertanggungjawabkan menjaga Kabul semasa ketiadaan Babur telah bangkit untuk memberontak. Ini memaksa Babur telah kembali ke Kabul untuk menghapuskan pemberontakan jeneral tersebut. Walaubagaimanapun, Babur telah berjaya ditewaskan oleh pemberontak dan ini telah memaksa baginda untuk kembali ke Herat. Dua tahun kemudian, Babur berjaya menawan kembali Kabul dan berjaya mengukuhkan kekuasaan baginda di Afghanistan kembali.

Pada tahun 1507, Babur telah merancang untuk menakluki Qandahar dengan membawa kekuatan bala tentera seramai 2000 orang. Baginda sedar bahawa kekuatan penguasa Mongol di Qandahar mempunyai kekuatan bala tentera seramai 7000 orang. Namun begitu, tahap disiplin tentera Babur begitu tinggi sekali. Beberapa ketumbukan tentera telah terbahagi kepada beberapa bahagian sehingga menyukarkan musuh untuk menembusi pertahanan tentera Babur. Tahap disiplin dan kebijaksanaan Babur mengatur strategi telah menjadi kunci kemenangan baginda di Qandahar.

Pada tahun 1510, kebangkitan Dinasti Safawiyyah dibawah pimpinan Shah Ismail I telah berjaya menakluki seluruh wilayah Khurasan dan menggunakan gelaran Shah Parsi setelah berjaya menewaskan Khan Muhammad Syaibani. Babur telah melihat kekalahan Khan Muhammad Syaibani sebagai satu peluang untuk mengambil kembali saki baki wilayah – wilayah Timurid di Asia Tengah. Shah Ismail I telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Babur bagi membantu baginda untuk mendapatkan wilayah – wilayah Timurid di Asia Tengah. Tepat pada 2 Disember 1510, Khan Muhammad Syaibani telah terkorban ketika pertempuran dengan gabungan tentera Babur dan Shah Ismail I. Sebagai balasan, Babur bersetuju untuk bernaung dibawah kekuasaan Safawiyyah. Sebagai bukti dibawah naungan Safawiyyah, Samarkand telah menggunakan matawang syiling yang mempunyai nama Shah Ismail I. Namun begitu, nama Babur masih lagi disebut dalam Khutbah Jumaat. Selain itu, Shah Ismail I juga telah menghantarkan kembali adik perempuan Babur, Khazanda Begum ke pangkuan Babur.

Walaubagaimanapun, Babur tidak pula seorang pemimpin yang lemah dan tunduk dengan desakan Shah Ismail I dengan memaksa rakyatnya untuk memeluk Mazhab Syiah Imamiyyah. Babur merupakan pemimpin yang sentiasa bijak menggunakan peluang yang sedia ada untuk mencapai matlamat yang diinginkan. Walaubagaimanapun, Babur sedar bahawa baginda tidak mempunyai peluang dan masa depan yang cerah di Asia Tengah dan terus mengintai nasib dan peluang yang ada di India. Babur juga mengetahui India merupakan sebuah tanah yang mempunyai kekayaan yang mungkin tidak akan pernah putus. Selain itu, Babur beranggapan baginda berhak keatas benua India kerana Timur telah melantik Khizr Khan untuk mentadbir benua India. Khizr Khan telah menabal dirinya sebagai Sultan Delhi dan seterusnya mengasaskan Dinasti Sayyid di India. Tidak lama kemudian, Dinasti Sayyid pula digulingkan oleh Bahlul Khan Lodi yang mengasas Dinasti Lodi di India. Oleh itu, Babur menginginkan India kembali kepada pemerintahan Timurid.

Pada tahun 1526, Babur telah merancang untuk menakluki India dengan harapan untuk membina sebuah empayar. Oleh itu, Babur telah menjadikan Panipat sebagai kunci untuk baginda memasuki benua India. Selain itu, Babur telah dilengkapi dengan pelbagai senjata ketenteraan yang canggih dan mempunyai kekuatan bala tentera yang disiplin. Kekurangan kelengkapan tentera Sultan Ibrahim Lodi dengan ketiadaan senjata api dan meriam yang canggih memberi kelebihan kepada Babur dan seterusnya menewaskan Sultan Ibrahim Lodi dengan mudah. Faktor – faktor kemenangan Babur adalah atas bantuan Putera Alam Lodi yang turut membantu Babur untuk menumpaskan Sultan Ibrahmi Lodi disebabkan dendam kesumat beliau terhadap Sultan Ibrahim Lodi. Kemenangan Babur telah memberi ruang kepada baginda untuk memasuki kota Delhi dan baginda diisytihar sebagai Maharaja Hindustan dan secara rasminya tertubuhnya Empayar Mughal yang amat terkenal dalam sejarah Islam di India. Pada tahun berikutnya, Babur dan putera baginda, Humayun telah bersama – sama menyertai kempen penaklukan ke Agra bagi mengukuhkan kedudukan Empayar Mughal yang baru ditubuhkan.

Kebangkitan Mughal di India telah memberi ancaman yang serius terhadap kerajaan – kerajaan kecil Islam dan Hindu di India. Oleh itu, Raja – Raja Islam dan Maharaja – Maharaja Hindu telah mengadakan satu pakatan untuk memerangi Babur dan seterusnya mengusir Babur dari Benua India. Sultan Ibrahim Lodi juga termasuk dalam pakatan menentang Babur. Walaubagaimanapun, Babur berjaya menewaskan pakatan Raja – Raja India yang diketuai oleh Raja Rana Sanga, Raja Rajasthan. Ini kerana kecanggihan peralatan perang yang dimiliki oleh Babur telah menyukarkan pakatan Raja – Raja India untuk menewaskan Babur. Pada tahun 1528, Babur telah menyerang kubu Chandiri, kubu Raja Rana Sanga telah menamatkan pakatan Raja – Raja India. Kemenangan tersebut telah mengukuhkan lagi kedaulatan Empayar Mughal di India. Sehingga kemangkatan Babur pada tahun 1530, Empayar Mughal meliputi Asia Tengah, Kabul, Punjab, Delhi, Bihar dan Gwalior. Humayun telah menggantikan Babur sebagai Maharaja Mughal yang kedua.

Rujukan:

Babur (n.d.) Babur Nama: Journal of Emperor Babur

De la Garza, A. (2016). The Mughal Empire at War: Babur, Akbar and the Indian Military Revolution, 1500-1605. Routledge.

Gupta, A. (2008). Babur and Humayun: Modern Learning Organisation. Lulu. com.

HAMKA, A. (1976). Sejarah Umat Islam IV. Jakarta: Bulan Bintang.

Rapson, E. J., Haig, W., Burn, R., Dodwell, H., & Wheeler, M. (Eds.). (1922). The Cambridge     History of India: Ancient India, edited by EJ Rapson (Vol. 1). University Press.

Richards, J. F. (1995). The Mughal Empire (Vol. 5). Cambridge University Press.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.