Bila kita berbicara berkenaan Sultan Abu Bakar, pasti imej pertama ialah pemodenan yang dibawa kepada negeri Johor sehingga menjadikan negeri tersebut disegani oleh negeri-negeri Melayu lain pada abad ke-19. Dan baginda juga berjasa kerana berjaya mempertahankan kemerdekaan negeri dari dirobek oleh Britain pada ketika itu. Tetapi siapa sebenarnya Sultan Abu Bakar dan bagaimana semua ini dapat dicapai?

Diputerakan pada 3 Februari 1833 di Istana Lama, Teluk Belanga, Singapura, Sultan Abu Bakar merupakan putera sulung kepada Temenggung Ibrahim di mana moyang baginda ialah Sultan Abdul Jalil Shah IV, Sultan Johor pertama dari keturunan Bendahara. Semasa kecil, baginda diajar berkenaan adat istiadat Melayu dan agama Islam di Teluk Belanga sebelum dihantar ke Sekolah Melayu Teluk Belanga yang dikendalikan oleh Reverend Benjamin Peach Keasberry. Di sinilah, Sultan Abu Bakar membentuk keperibadian sebagai seorang lelaki budiman Inggeris dan fasih berbahasa Inggeris.

Apabila usia Sultan Abu Bakar mencecah 18 tahun, Temenggung Ibrahim menghantar baginda sebagai wakil untuk berunding dengan Sultan Ali yang mahu mendapatkan semula kedudukannya sebagai pemerintah Johor. Dan apabila ayahanda baginda semakin uzur, Sultan Abu Bakar secara perlahan-lahan diberi tugas mentadbir negeri Johor. Pada masa inilah, kemampuan diplomatik baginda mendapat perhatian dan pujian ramai pegawai British termasuklah William Napier, penasihat perundangan baginda. Napier turut mengiringi Sultan Abu Bakar semasa baginda membawa bonda Sultan Mahmud Muzaffar Shah dari Lingga, Tengku Teh ke Johor semasa sultan tersebut cuba mendapatkan kedaulatannya sebagai pemerintah di Pahang.

Apabila perang saudara meletus antara Bendahara Wan Ahmad dengan kekandanya, Tun Mutahir di Pahang, baginda bersekutu dengan Tun Mutahir. Ini dibuktikan dengan pertama, perkahwinan Sultan Abu Bakar dengan anak perempuannya pada tahun 1860 dan kedua, perjanjian persahabatan dan jaminan sokongan antara mereka setahun berikutnya. Selepas Tun Mutahir terbunuh dalam perang tersebut, jenazah beliau dikebumikan di Bukit Timbalan, Johor Bahru. Bagi Sultan Abu Bakar pula, baginda mengisi jawatan Temenggung selepas ayahanada baginda meninggal dunia pada 31 Januari 1862.

Menyedari bahawa kekuatan ekonomi diperlukan untuk mengekang Britain dari mencampuri urusan dalaman Johor, baginda mengembangkan Sistem Kangchu yang diperkenalkan ayahandanya, Temenggung Ibrahim. Menerusi pengembangan dan penyusunan semula penanaman lada hitam dan gambir, ini menarik lebih ramai peladang Cina untuk datang ke Johor. Dan hasil dari ladang mereka membawa kepada kestabilan kewangan negeri Johor. Sultan Abu Bakar juga sedar dengan kehadiran ramai orang Cina, pasti akan ada elemen kongsi gelap. Enggan membenarkan situasi Perang Larut kembali berulang di Johor, baginda mengiktiraf kumpulan kongsi gelap Ngee Ann sebagai satu organisasi sah dan salah seorang daripadanya bernama Tan Hiok Nee dilantik menjadi anggota majlis negeri. Ianya merupakan satu tindakan berani tetapi inovatif demi memastikan keamanan negeri terjamin dan ekonomi negeri terus berkembang.

Selepas Istana Besar Johor siap dibina pada tahun 1866, Sultan Abu Bakar memindahkan ibu negeri Johor dari Singapura ke Tanjung Puteri (Johor Bahru). Istana tersebut dilihat lebih gah berbanding kediaman Gabenor Negeri-Negeri Selat sekaligus menonjolkan lambang kekuasaan politik Johor. Selain itu, baginda turut mewujudkan struktur birokrasi dan majlis penasihat terdiri daripada pemimpin Melayu tempatan dan dua pemimpin Cina. Antara anggota majlis yang banyak membantu baginda ialah Menteri Besar Johor pertama, Dato Jaafar Muhammad, Dato Abdul Rahman Andak dan Dato Muhammad Salleh Perang. Selain penubuhan majlis ini, Sultan Abu Bakar turut mewujudkan Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Polis, Jabatan Tanah dan Kerja Raya, Jabatan Perubatan dan Jabatan Marin. Bagi melicinkan lagi pentadbiran, baginda turut menyemak semula undang-undang negeri agar ianya bersesuaian dengan idea Barat. Menurut Sir Harry Ord, Gabenor Negeri-Negeri Selat pada tahun 1870-an, Sultan Abu Bakar (pada ketika itu memakai gelaran Maharaja) merupakan satu-satunya raja Melayu yang memerintah mengikut negara bertamadun.

Pada tahun 1866, baginda menyifatkan gelaran Temenggung yang digunakan tidak berapa dikenali di negara atas angin. Lalu Sultan Abu Bakar menghantar sepupunya, Ungku Haji Muhammad dan Dato Jaafar bertemu dengan sejarawan Bugis, Raja Ali Haji di Riau. Bila mendengar sebab mereka dihantar, Raji Ali Haji menyokong tuntutan baginda selepas melihat sejarah pemerintah Johor dan susur-galur keturunan baginda. Berikutan itu, Sultan Lingga memperkenan gelaran Maharaja pada Sultan Abu Bakar selepas Ungku Haji Muhammad dan Dato Jaafar berangkat menyampaikan hasrat baginda. Baginda turut mendapat sokongan Gabenor Negeri-Negeri Selat dan baginda dimahsyurkan sebagai Maharaja Johor pada 30 Jun 1868.

Sultan Abu Bakar meneruskan reformasi pemerintahan dengan melantik empat orang komisioner atau pegawai daerah untuk wilayah Endau, Pantai Timur, Pantai Barat dan Muar. Sementara baki kawasan lain ditadbir oleh 13 residen atau penghulu dan dua wakil untuk pulau-pulau di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Walaupun sekali pandang, ia kelihatan seperti sistem pentadbiran koloni, ia sebenarnya diintegrasikan dengan idea pentadbiran tempatan. Menurut sejarawan British, J.M Gullick, pentadbiran Johor dilihat lebih tersusun, sekaligus mematikan peluang Britain masuk campur dalam urusan dalaman Johor. Selain itu, baginda turut membina sekolah-sekolah, hospital, balai polis, memperkenalkan perkhidmatan pos dan Askar Timbalan Setia Johor. Dan Johor turut melakar sejarah sebagai negeri Melayu pertama yang membina landasan keretapi pada tahun 1869 tetapi terpaksa dibatalkan berikutan landasan yang dibina daripada kayu itu diserang anai-anai.

Selepas Sultan Ali mangkat pada tahun 1877, pembesar-pembesar Muar bersetuju Muar dimasukkan dalam negeri Johor selepas berlaku pertelagahan antara dua putera Sultan Ali. Walau bagaimanapun, persetujuan mereka ditolak oleh Tengku Alam, putera sulung baginda. Dan seperti dinyatakan dalam satu entri The Patriots tidak lama dahulu, maka tercetuslah Perang Saudara Jementah antara pasukan Tengku Alam dengan pasukan tentera Sultan Abu Bakar dipimpin Dato Muhammad Salleh Perang untuk merampas semula Muar. Namun pasukan Tengku Alam tewas dan Muar menjadi sebahagian daripada negeri Johor. Selepas peristiwa tersebut, tentera dari kedua-dua belah pihak tinggal di Jementah dan Segamat membuka beberapa petempatan termasuk Pagoh. Kemangkatan Sultan Ali juga turut membuka ruang kepada baginda untuk mendapat pengiktirafan sebagai Sultan Johor.

Namun, kejayaan terbesar Sultan Abu Bakar ialah keupayaan baginda mengekalkan kemerdekaan Johor. Baginda sedar pengaruh Britain di negeri-negeri Melayu tidak dapat dielakkan selepas pemeteraian Perjanjian Pangkor 1874. Tetapi di sinilah kemahiran Sultan Abu Bakar sebagai seorang diplomat terserlah. Sedar kuasa sebenar Britain bukan terletak pada Gabenor Negeri-Negeri Selat tetapi Pejabat Koloni di London, baginda melakukan beberapa siri lawatan ke Eropah termasuk Britain dan mengadakan hubungan persahabatan dengan Ratu Victoria. Buktinya, Sultan Abu Bakar dijemput ke Istana Buckingham dan menjadi tamu Ratu di Istana Windsor.

Semasa di London inilah, baginda diberi pengiktirafan rasmi sebagai Sultan Johor dan mengadakan hubungan formal dengan Britain melalui perjanjian yang dimeterai pada 11 Disember 1885. Sultan Abu Bakar turut menubuhkan lembaga penasihat negeri di mana sesetengah anggotanya ialah pegawai koloni dengan tujuan menjaga kepentingan Johor di London. Antara pegawai koloni yang dilantik baginda pada lembaga tersebut ialah William Fielding dan Cecil Smith. Perjanjian ini juga dapat mematikan sebarang cubaan dari Gabenor Negeri-Negeri Selat dari cuba masuk campur kerana pertama, kedudukan baginda lebih tinggi dari Gabenor dan kedua, baginda berurusan secara terus dengan Pejabat Koloni di London, bukan lagi dengan Gabenor seperti yang dilakukan oleh raja-raja Melayu sebelum ini.

Pada tahun sama, baginda turut mengadakan lawatan ke Itali. Semasa di Rome, Sultan Abu Bakar dibenarkan menghadap Raja Umberto I dan bertemu dengan Paus Leo XIII. Hubungan Itali dengan rantau Asia Tenggara bukanlah sesuatu yang asing kerana pada abad ke-19, Itali menghantar kapal-kapal lautnya di rantau ini atas misi perdagangan, diplomatik dan saintifik. Dan sesetengah daripada komander ini mengadakan lawatan dan pertemuan dengan pemerintah tempatan termasuk sepupu Raja Umberto I, Duke Genoa dengan Sultan Abu Bakar. Pertemuan baginda dengan Raja Umberto mengeratkan lagi hubungan Johor-Itali.

Dan kepentingan menjaga kemerdekaan Johor semakin penting selepas Sultan Abu Bakar melawat Jepun pada tahun 1883. Pada tahun tersebut, baginda diperkenan menghadap Maharaja Meiji dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri serta Menteri Luar Jepun. Di sinilah, baginda diperlihat semua aspek pemodenan yang dilakukan Jepun dalam menghadapi tekanan kuasa Barat. Sebelum berangkat pergi dan pulang dari Jepun, Sultan Abu Bakar singgah seketika di Hong Kong, Shanghai, Hankow dan Nanking. Di sini, baginda melihat kekuasaan Dinasti Qing yang semakin malap dek tidak dapat menahan asakan kuasa-kuasa Barat. Pastinya imej-imej ini menyedarkan Sultan Abu Bakar bahawa Johor tidak boleh leka kerana pada bila-bila masa, ia boleh juga menjadi mangsa seperti China.

Johor turut mempunyai hubungan baik dengan Empayar Turki Uthmaniyyah. Buktinya, pada lawatan pertama Sultan Abu Bakar pada tahun 1866, baginda bertemu dengan khalifah ketika itu, Sultan Abdul Aziz. Hasil dari pertemuan tersebut, baginda dihadiahkan seorang puteri Circassia bernama Ruggyyah Hanum oleh Sultan Abdul Aziz. Ruggyyah kemudian berkahwin dengan adinda Sultan Abu Bakar, Ungku Abdul Majid dan Dato Jaafar selepas kemangkatan Ungku Abdul Majid. Untuk lawatan seterusnya pada tahun 1893, Sultan Abu Bakar turut mengadakan pertemuan dengan Sultan Abdul Hamid II di mana baginda diraikan dengan sambutan jamuan negara dan menaiki dua kereta kuda sambil diiringi satu pasukan tentera kavalri. Baginda turut mendapat pingat Imperial Order of the Osmans. Walaupun hubungan ini dilihat tidak signifikan pada pandangan Barat tetapi ia sebenarnya mengukuhkan lagi kuasa baginda dan menaikkan rasa hormat rakyat pada baginda.

Selain taktik diplomatik, satu lagi perkara yang membantu Johor mengekalkan kemerdekaannya ialah penggubalan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor pada tahun 1895. Draf perlembagaan tersebut dilakukan oleh Dato Abdul Rahman Andak. Perlembagaan ini dicadangkan oleh Sultan Abu Bakar sendiri yang bimbang akan keadaan kesihatannya. Baginda sedar jika baginda tidak bertindak pantas, pasti Britain akan mencari ruang untuk campur tangan di Johor. Menurut ramai cendekiawan, perlembagaan ini merupakan asas kepada sistem pentadbiran Johor dan negeri Melayu pertama yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Dan bagi sejarawan negara, Tan Sri Khoo Kay Khim menyifatkan penggubalan perlembagaan tersebut mencerminkan sikap progresif yang dimiliki baginda dan menjadikan Johor lebih ke hadapan berbanding negeri-negeri lain. Dan perlembagaan ini juga menjadi asas kepada perlembagaan-perlembagaan di negeri-negeri Melayu lain.

Dan apa yang dibimbangi Sultan Abu Bakar menjadi kenyataan. Pada awal Mei 1895, baginda kembali bertolak ke London ditemani oleh putera dan pewaris takhta, Tunku Ibrahim dengan hasrat mendapatkan sokongan dan pengiktirafan London. Baginda yang sudah gering sejak dari awal lawatan akhirnya tiba di London pada 10 Mei dan menginap di Bailey’s Hotel. Keadaan Sultan Abu Bakar yang gering menyebabkan baginda tidak boleh menerima ramai pelawat tetapi Putera Arthur, Duke of Connaught and Strathearn menziarahi baginda sebanyak dua kali. Ratu Victoria turut menghantar doktor peribadi baginda, Douglas Powell merawat Sultan Abu Bakar selepas mendengar khabar baginda gering. Semasa di Bailey’s Hotel inilah, baginda terkena penyakit pneumonia dan mangkat pada 4 Jun 1895. Jenazah Sultan Abu Bakar dibawa pulang ke Johor oleh sebuah kapal perang British dari Pulau Pinang. Baginda dikurniakan pemakaman negara dan dimakamkan di Makam Mahmoodiah pada 7 September 1895. Selepas itu, Tunku Ibrahim menaiki takhta dan ditabalkan sebagai Sultan Johor baru pada November 1895.

SUMBER

  1. Lim Hui Puen, P. (2011). Malaysia History. Standing tall in the shadow of an empire. http://www.malaysiahistory.net/index.php?option=com_content&view=article&id=125:standing-tall-in-the-shadow-of-an-empire
  2. Abd Razid, Mohd Ayob. (2015). Berita Harian. Kesultanan Johor pencetus amalan birokrasi moden. https://www.bharian.com.my/node/44028
  3. Augustin, Robin. (2017). Free Malaysia Today. Sultan Abu Bakar: Pemerintah mendahului zaman. http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/01/15/sultan-abu-bakar-pemerintah-mendahului-zaman/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.