“Zaman di mana lelaki adalah lelaki. Tidak gentar sedikit pun berhadapan dengan sesuatu yang mustahil, dan akhirnya membuktikan tiada yang mustahil.” Itulah yang dapat digambarkan tentang anime Gurren Lagann.

Beberapa tahun kebelakangan ini, semakin hari semakin banyak anime bersiri dan movie dihasilkan tidak ubah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pengarah dan penerbit industri anime sememangnya berlumba-lumba untuk mengaut keuntungan hasil dari revolusi anime yang sedang berapi-api momentumnya di seluruh dunia ketika ini.

Sebelum bermula dengan lebih lanjut, marilah kita lihat dahulu statistik industri animasi aka anime di peringkat global. Menurut dapatan statistik yang dikeluarkan The Association of Japanese Animation (2017), “pasaran animasi menampakkan perkembangan berterusan dengan jualan tertinggi direkodkan selama 4 tahun berturut-turut manakala saiznya pula telah melepasi sempadan 2 trillion yen disebabkan jualan animasi ke luar negara.”

Tambahnya lagi, “Pasaran animasi Jepun yang mengalami kemerosotan pada tahun 2009 dan seterusnya bangkit pada tahun 2010, telah merekodkan perkembangan selama 7 tahun berturut-turut. Movie anime pula menyaksikan jualan yang memberangsangkan hasil daripada tayangan pecah panggung ‘Kimi no Na Wa’.”

Kemudian, bagi jumlah kontrak yang dimuktamadkan bagi lesen penyiaran anime pula, China berada di carta teratas dengan 355 kontrak. Korea Selatan di tempat kedua dengan 308 kontrak. Taiwan dan Amerika Syarikat masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat.

Jangan terkejut kerana Malaysia berada di tempat ke-21. Dengan 81 kontrak yang dimuktamadkan, Malaysia berada di belakang Thailand dan Singapura tetapi berada di depan negara-negara ASEAN yang lain. Malaysia juga berada di depan Ireland, Portugal, Malta, Mexico, India, Belgium, negara Scandinavia, Rusia dan banyak lagi negara lain. Di sini bolehlah dilihat kesan signifikan anime dalam kalangan negara ASEAN itu sendiri sebenarnya lebih berpengaruh berbanding di Eropah.  

Baik, ada antara anime yang dihasilkan berkualiti, ada yang so-so dan ada juga yang agak teruk kualitinya secara umum bergantung pada minat masing-masing. Tetapi, apakah yang membezakan anime yang bagus dengan tidak bagus?

Dari satu perspektif, isi kandungan dan plot yang dipersembahkan adalah sangat penting bagi melabelkan sesuatu anime itu hebat atau tidak. Dari perspektif lain pula, mungkin kualiti animasi yang menjadi kriteria utama bagi sesetengah peminat. Bagi yang lain, mungkin juga musik yang mengiringi anime itulah yang paling penting sekali. Dalam artikel ini pula, aspek falsafah akan diberi penekanan.

Falsafah dan Anime   

Code Geass merupakan antara karya anime yang sarat dengan falsafah

Menariknya, anime dan ilmu falsafah sering kali digandingkan bersama sebagai elemen yang tersurat dan tersirat dalam satu-satu karya, secara langsung atau tidak langsung, di mana elemen ini diselit rapi oleh pengarah serta penulis skrip dalam skrip watak, tidak kurang juga oleh penata bunyi dalam lagu pembukaan, penutup ataupun musik latar (BGM) yang digubah. Dalam musik anime pun boleh ada falsafah? Sudah tentu. Sebagai contoh, berbagai-bagai ritma seni yang didengari mungkin mencerminkan perjalanan seseorang karakter itu.

Entah mengapa, mereka suka benar untuk meletakkan falsafah dalam anime. Kadangkala dengan sengaja dan kadangkala tidak sengaja. Bagi peminat anime pula, dari dulu sehinggalah sekarang, ramai yang cuba untuk menyahkod ilmu falsafah yang tersirat ini. Kiranya sudah jadi satu hobi bagi segelintir otaku dan wibu (weaboo) ini. Maka, janganlah kita cepat memandang rendah golongan ini. Bukan mudah untuk memahami sesuatu falsafah. Nampak saja seperti nerd, namun diam-diam, ubi berisi.

Bagi peminat setia anime terutamanya mereka yang veteran, anime Gurren Lagann ataupun juga dikenali sebagai Tengen Toppa Gurren Lagann (TTGL) bukanlah sesuatu yang aneh lagi. TTGL dihasilkan oleh Studio Gainax pada tahun 2007. Sudah tentu, watak-watak seperti Simon, Nia, Kamina, Yoko, Kittan, Viral dan Lordgenome terus mekar dalam ingatan peminat.

Latar Belakang Karakter

Barisan karakter Gurren Lagann. Di belah kanan yang berambut biru itu Kamina, di bawah kirinya ialah Simon. Di belah atas kiri Simon ialah Mia yang berambut putih. Yoko pula yang berambut merah dan berseluar pendek. Rossiu di belakangnya, berjubah putih.

Secara ringkas, Gurren Lagann merupakan sebuah cerita tentang pengembaraan penuh kemustahilan yang ditunjangi dua watak utamanya, Simon dan Kamina. Simon menganggap Kamina sebagai seorang abang dan kadangkala, figura seorang ayah kerana Kamina sentiasa memberikan kata-kata semangat dan pedoman kepadanya untuk terus mara. Hubungan ‘brotherhood’ mereka sangat akrab.

Kamina, seorang yang ‘reckless’ dan idealis pula menonjol sebagai seorang lelaki sejati. Gagah dan sedikit pervert, Kamina tidak sesekali berputus asa. Kedua-dua mereka tinggal di kampung Giha yang terletak di bawah tanah. Ketika asyik menggali dengan gerudi tangan (untuk meluaskan lagi kawasan kampung), Simon terjumpa dengan sebuah robot bernama Gurren. Dengan robot inilah, macam-macam perkara akan berlaku. Simon pun jadilah pengendali Gurren.

Selepas keluar dari kampung Giha, ternyata permukaan itu wujud. Kerana sebelum ini, Simon dan seluruh penduduk Giha tidak percaya dengan kewujudan permukaan kerana sudah lama tinggal di bawah tanah. Tetapi tidak bagi Kamina yang pernah menjejakkan kaki ke permukaan bumi. Kamina kerap kali cuba meyakinkan penduduk kampung namun digelarnya gila. Akhirnya selepas satu insiden, mereka bertemu dengan karakter lain iaitu Yoko.

Baik, selama ini, atas sebab tertentu, Lordgenome merupakan karakter jahat yang memaksa semua manusia untuk tinggal di bawah tanah ataupun mereka akan dibunuh oleh skuad penghapus yang dianggotai watak beastmen seperti Viral. Beastmen inilah yang sesuka hati membunuh manusia dengan izin Lordgenome. Beastmen tiada DNA dan ‘Spiral Power’. Perihal Spiral Power ini akan diterangkan dengan lebih lanjut.

Simon dan Kamina kemudiannya bekerjasama dengan Yoko, salah satu watak paling hot sepanjang zaman. Yoko berperanan sebagai teman seperjuangan yang mahir menggunakan senapang dan serangan hendap. Yoko pernah jatuh cinta dengan Kamina. Dalam Anti-Spiral Arc, Yoko pernah bertugas sebagai guru, mengajar budak-budak kecil sambil dari jauh, memerhatikan pentadbiran Simon yang kini bebas tanpa cengkaman Lordgenome.

Watak seperti Rossiu pula akan muncul. Rossiu menyertai Team Dai-Gurren (team yang diketuai Kamina dan kemudiannya, Simon) dan berjuang bersama-sama untuk membebaskan manusia dari ancaman Lordgenome dan beastmen. Rossiu merupakan seorang yang pragmatik dan berhati-hati dalam membuat keputusan. Rossiu akan memainkan peranan yang sangat penting dalam Anti-Spiral Arc apabila dia menjadi seorang pemerintah dan seterusnya, membuat beberapa keputusan yang tidak popular demi kebaikan sejagat seperti memenjarakan Simon.

Selepas kematian Kamina dalam episod 8, Simon mengalami kemurungan yang teruk kerana hilangnya orang kesayangan yang selama ini sentiasa berada di depannya sebagai pemimpin. Waktu ini, Simon mengalami kecelaruan identiti sehingga tidak tahu siapa dan apa tujuan hidupnya. Ketika ini, watak Nia (anak perempuan buangan Lordgenome) amuncul membantu Simon menyelesaikan masalahnya serta memberi kesedaran dan nafas baru untuk terus hidup.

Sehinggalah ke episod terakhir, gabungan kesemua karakter ini menampakkan satu hasil yang cantik.

Terkenal sebagai sebuah karya anime yang memberi inspirasi, unik dan berpengaruh, Gurren Lagann sebenarnya telah mendapat tempat di hati ramai peminat anime di seantero dunia. Mungkin salah satu faktornya kerana TTGL membuatkan sesiapa yang menontonnya merasakan nyalaan api kekuatan yang baru dalam diri untuk menghadapi apa pun cabaran yang mendatang.

Sebagai contoh, “Just who the hell do you think I am?” ialah salah satu ungkapan yang paling bermakna dan paling diingati dalam anime Gurren Lagann. Inilah juga ungkapan ‘signature’ bagi watak Kamina, iaitu watak terpenting dalam anime ini.  

Kesannya sangatlah mendalam sehinggakan ada peminat yang sanggup mencacah tatu berbentuk gerudi Simon, iaitu salah satu alat paling signifikan dalam TTGL di lengan semata-mata untuk dijadikan motivasi dan penghargaan kepada karya ini. Ada juga yang menjadikan TTGL sebagai tajuk esei ilmiah yang panjangnya mencecah ribuan patah perkataan.

Anime bersiri TTGL buat setakat ini berada di tangga ke-42 dalam pangkalan data MyAnimeList (MAL). Movie satu (Gurren-hen) dan movie dua (Lagann-hen) pula masing-masing berada pada tangga ke-309 dan ke-72. Ini adalah satu pencapaian yang bukan senang untuk dicapai walaupun bunyinya seperti nombor yang besar. Sesungguhnya, dengan berada di Top 100 carta MAL bermakna anime itu bukanlah calang-calang karya.

Simbolisme Gerudi dan ‘Spiral Power’: Antara Tekad dan Usaha

Simon dan gerudi tangannya.

Dalam anime Tengen Toppa Gurren Lagann (TTGL), gerudi adalah alat yang amat signifikan. Pada dasarnya, ia tertumpu pada konsep ‘Spiral Power’ yang digunakan dalam anime ini.

Apa kebendanya ‘Spiral Power’ (SP) ataupun Kuasa Spiral ni? Senang cerita, SP ni adalah kuasa evolusi, dijana oleh makhluk yang mempunyai DNA termasuklah manusia. Struktur Heliks Ganda Dua yang ada dalam DNA ini boleh membuatkan manusia berevolusi menjadi lebih kuat apabila masa berlalu. SP yang dijana oleh setiap individu berbeza-beza, ada yang sedikit dan ada yang banyak. Dalam keadaan yang mendesak, SP akan terjana dengan lebih banyak.

Fungsi SP juga sebenarnya tidak terhad dari segi potensi dan aplikasi sebab SP boleh menghasilkan jirim dalam sekelip mata. Kalau diperhatikan dalam TTGL, babak pertempuran yang disertai Simon dan Kamina mesti ada melibatkan senjata gerudi yang dihasilkan oleh SP. Bukan itu saja, SP juga mampu buat terowong masa di angkasa berfungsi seperti teleportasi. Kuasa Spiral ini juga boleh menghasilkan letupan yang sangat dahsyat, melebihi kuasa nuklear.

Namun, bukan konsep rumit yang artikel ini mahu tekankan, tetapi cuba berhenti sejenak.

SP yang dikatakan ini ialah tekad ataupun dalam bahasa Inggeris, determination. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, tekad bermaksud kemahuan yang kuat untuk mencapai sesuatu. Azam dan kesungguhan hati. Dengan tekad, tiada yang mustahil. Tekad hadir dalam setiap manusia, banyak atau sedikit itu bergantung pada diri masing-masing.

Apabila seseorang itu betul-betul berazam, maka segala halangan insya-Allah dapat ditempuhi. Menempuhinya mungkin tidak mudah, tetapi mencari makna dalam hati untuk tidak berputus asa dan terus bangkit demi mencapai sasaran itulah yang sukar. Tekad inilah yang jelas ditunjukkan karakter penting dalam karya Gurren Lagann.

Sebagai contoh, Simon tidak pernah berhenti dalam cubaannya menyelamatkan Nia dari golongan Anti-Spiral. Tanpa sebarang petanda di mana lokasinya, segala pelosok galaksi sanggup dijejakinya bersama Team Dai-Gurren. Semuanya dilakukan Simon kerana tekadnya untuk menyelamatkan cinta hati dan seterusnya umat manusia dengan menghapuskan golongan Anti-Spiral ini.

Kamina, sudah tentu tidak pernah berputus asa. Dari awal lagi, Kamina bertekad untuk keluar dari Kampung Giha kerana tahu, permukaan sentiasa ada. Namun, dia tahu, tekad sahaja tidak cukup. Dia berkomplot pula dengan Simon untuk keluar dari kampungnya itu. Menggunakan segala kemahirannya, Kamina berusaha untuk mencapai kemahuannya. Walaupun usahanya gagal kerana dihidu oleh penghulu kampung, di sini kita lihat, dengan adanya tekad, usaha akan menyusul.

Kenapa? Kerana dengan mengatakan, “Aku mahu!” atau “Taknaklah” sahaja tidak cukup. Apatah lagi jikalau dipendamkan kemahuan itu jauh-jauh dalam hati serta diucapkan pula, “It’s okay” tetapi sebenarnya tak okay langsung. Menipu diri sendiri itu bukan penyelesaian. Maka, tekad inilah yang menjadi pemangkin kepada perbuatan dan usaha seterusnya. Sebagai contoh, kalau anda bertekad untuk memiliki sesuatu yang sudah lama diidam-idamkan, pastinya anda akan cuba buat sesuatu. Sesuatu seperti menabung, kerja lebih masa dan sebagainya.

Samalah juga seperti lelaki yang kemaruk cinta, ingin menyunting bunga di taman. Mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang. Walau sedahsyat mana pun persaingan untuk mendapatkan kunci hati wanita yang diidamkan itu, walau dengan berpuluh pesaing lain pun ditambah pula dengan ibunya yang cengil, pastinya menyerah kalah itu bukanlah sesuatu yang berada dalam fikiran, bukankah begitu wahai lelaki sejati sekalian? Macam-macam pula usaha yang sanggup dilakukan demi mendapatkan approval dari bakal mak mertua. Itulah tekad. Tekad dan usaha.

Jangan salah faham, tekad yang dikatakan ini bukanlah setakat mahu yang biasa-biasa, tetapi mahu yang sebenar-benarnya. Walau sekecil ataupun sebesar mana pun usaha itu, tekad (determination) akan membuka jalan kepada usaha. Dan usaha yang disertai doa akan membawa kepada hasil yang lumayan. Jika tidak berhasil juga, percayalah bahawa Tuhan akan memberikan yang lebih baik. 

Rossiu telah melakukan sesuatu yang tidak langsung disangka-sangkakan peminat.

Tekad ini juga dapat dilihat pada karakter Rossiu dalam Anti-Spiral Arc. Semasa mana lautan manusia di Kamina City (dinamakan sempena watak Kamina) melakukan demonstrasi besar-besaran dengan teriakan lantang mendesak kerajaan yang diketuai Simon untuk ‘bertanggungjawab’ atas kegagalan pasukan pertahanan dalam beberapa pertempuran menentang Robot Mugann puak Anti-Spiral, Rossiu telah melakukan satu tindakan yang agak mengejutkan.

Rossiu yang juga pegawai utama pentadbiran telah bertindak mengarahkan penangkapan Komander Agung Simon dan seterusnya, kudeta. Selepas dibicarakan, Simon telah disumbatkan ke dalam penjara. Sudah tentu, ahli kumpulan Dai-Gurren yang lain bengang dengan tindakan Rossiu. Tindakan ini jugalah yang menyebabkan Rossiu menjadi salah satu watak karakter paling dibenci selain Sakura dalam Naruto. Bijaknya pengarah Gurren Lagann kerana mampu menyerlahkan ciri-ciri jahat Rossiu sekali gus menimbulkan amarah peminat.

Namun, tindakannya itu bersebab. Seperti yang dinyatakan dalam bahagian latar belakang karakter sebelum ini, Rossiu merupakan seorang yang pragmatik. Dia tahu jika Simon tidak dijatuhkan, rakyat akan menggunakan cara yang lebih keras dan ganas untuk mendesak kerajaan.

Akibatnya, insiden yang tidak diingini serta kehilangan nyawa mungkin berlaku. Tambahan pula, rakyat sedang dicengkam ketakutan dan panik dengan ancaman puak Anti-Spiral yang jauh lebih kuat berbanding skuad robot kumpulan Dai-Gurren. Perpecahan dan perbalahan sesama manusia adalah benda yang sangat berbahaya kepada umat manusia kesuluruhannya.

Maka, Rossiu buat demikian agar Simon tidak lagi boleh dipersalahkan jika selepas ini ada sebarang kekurangan (mishap) yang dibuat kerajaan. Dia mengambil alih pentadbiran dengan harapan segala kemarahan rakyat akan ditumpukan Rossiu sahaja. Bukan itu sahaja, Rossiu juga tahu satu rahsia yang Simon tidak tahu. Dengan kerjasama ke atas Lordgenome (yang kini hanya tinggal kepala), Rossiu akhirnya dapat tahu hakikat sebenar mengapa Lordgenome memaksa manusia untuk tinggal di bawah tanah.

Hakikatnya ialah, puak Anti-Spiral akan menghapuskan umat manusia jika populasi manusia melebihi satu-satu angka. Bagi puak Anti-Spiral, umat manusia mempunyai SP, dan SP ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan alam dan malapetaka kepada seluruh alam. Lohong hitam akan terhasil akibat daripada penggunaan SP yang berleluasa menyebabkan kehancuran seluruh alam. Malapetaka ini dinamakan Spiral Nemesis.

Demi greater good, Lordgenome telah membunuh manusia yang lari ke permukaan. Kesannya, manusia tinggal di bawah tanah.

Konsep yang sama juga digunakan Rossiu apabila dia mengarahkan manusia untuk menaiki kapal angkasa untuk meninggalkan bumi dengan meninggalkan sebahagian manusia yang lain. Maklumlah, bukan semua boleh muat. Sebenarnya, Anti-Spiral juga menggunakan konsep pragmatisme dan greater good ini. Cuma skalanya lebih besar, lebih tertumpu pada konsep keselamatan sejagat dan keseimbangan alam semesta demi menghalang Spiral Nemesis.

Adakah Rossiu gembira berbuat demikian? Tidak. Malahan dalam satu episod, dia mahu membunuh diri kerana segala apa yang telah dilakukan. Nasib baik Simon sempat tiba dan ‘menyedarkannya’ dengan satu tumbukan padu sebagai seorang sahabat. Adakah Lordgenome gembira membunuh manusia? Tidak. Lordgenome sebenarnya serupa seperti Simon, salah seorang puak penentang yang menentang Anti-Spiral pada mulanya. Adakah puak Anti-Spiral gembira mengancam penghapusan total umat manusia? Tidak. Mereka sebenarnya antara puak Spiral pertama (seperti manusia) yang menggunakan teknologi canggih untuk membuang SP dan menghentikan evolusi mereka. Kesannya, mereka menjadi seperti tidak bernyawa.

Kalau begitu, apa pula kena mengena dengan gerudi padahal artikel ini cuma cerita fasal tekad (SP)? Gerudi itulah usaha. Dan gerudi yang berputar, merupakan usaha yang berterusan, istiqamah. Sehinggalah pada satu detik, lubang akan terhasil. Lubang itulah yang telah memecahkan dinding kemustahilan.

Kesimpulan

Barangkali ada yang menyoalkan mengapa Gurren Lagann ini special sangat sebab anime lain pun ada juga cerita pasal determination, konsep never give up dan yang seumpama dengannya. Jawapannya mudah, kerana tema tekad inilah yang paling dominan, ditonjolkan dengan konsisten dalam setiap episod, sehingga dapat memberi kesan yang mendalam, tepat kepada mereka yang menontonnya.

Mungkin kerana majoriti yang menonton juga terdiri dari kalangan remaja dan kanak-kanak justeru, emosi dan pemikiran remaja dan kanak-kanak ini lebih mudah terpengaruh dengan elemen determination yang ditonjolkan. Pengaruh yang baik menjadi benih yang baik dalam diri. Akhirnya berakar dan tumbuh menjadi pohon yang kukuh, tidak takut dibadai ribut ataupun taufan.

Apabila selesai ditonton TTGL ini, auranya lain macam. Perasaannya seolah-olah macam berada di puncak alam selepas segala rantai belenggu telah terlerai. Nak terangkan dalam artikel ini bukan mudah kerana bukan semua benda boleh dihuraikan dengan perkataan semata-mata. Kalau nak tahu juga, kena tengok TTGL ni terlebih dahulu, baru ada feeling.

Inilah juga sebab mengapa Gurren Lagann layak diberikan gelaran mahakarya (masterpiece) sebagai perintis dalam industri anime. Kejayaannya menjadi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia layak dipuji dan diamati.  

Kesimpulannya, dengan perkaitan tekad dan usaha ini, akan lahirlah manusia yang berusaha yang mampu melakukan apa-apa sahaja. Tanamlah tekad dalam diri, nescaya tiada lagi pihak yang akan menggelarkan dirimu pemalas. It is all in your head.   

Penulis akhiri dengan kata-kata hikmah oleh Simon yang berbunyi,

“Mark my words! This drill will open a hole in the universe! And that hole will be a path for those behind us! The dreams of those who’ve fallen! The hopes of those who’ll follow! Those two sets of dreams weave together into a double helix! Drilling a path towards tomorrow! And that’s Tengen Toppa! That’s Gurren Lagann!! My drill is the drill…that creates the heavens!!!”

Rujukan

Aniplexusa. (n.d.). Gurren Lagann. Retrieved February 4, 2019, from http://aniplexusa.com/gurrenlagann/

Scott, J. C. (2017, August 19). Spiral Power — The Wisdom of Gurren Lagann. Retrieved February 4, 2019, from https://thecreative.cafe/spiral-power-the-wisdom-of-gurren-lagann-2785d5dc64c6

Tengen Toppa Gurren Lagann Wiki. (n.d.). Retrieved February 4, 2019, from https://gurrenlagann.fandom.com/wiki/Main_Page

The Association of Japanese Animation. (2018). Anime Industry Data. Retrieved February 4, 2019, from http://aja.gr.jp/english/japan-anime-data


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Fariz Fujiwara merupakan seorang Feudalis Nasionalis Konservatif yang menggemari perihal tawarikh, bahasa dan politik. Penulisannya acap kali tertumpu kepada sejarah Jepun khususnya zaman keagungan feudalisme. Hobinya seperti menonton anime, menelaah manga, manhua serta novel fantasi wuxia China banyak mempengaruhi hasil tulisannya. Kini merupakan mahasiswa UiTM yang sedang menyambung pelajaran dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Comments are closed.