Magna Carta – Perjanjian Yang Mengikat Rakyat Dan Raja

780

Pra-tempah hanya di Shopee

Falsafah dan prinsip undang-undang yang kita lihat pada hari ini bukannya muncul secara tiba-tiba. Malah ia telah melalui suatu proses yang amat panjang seiring dengan kemajuan tamadun manusia.

Magna Carta (sebutan Magna Karta) atau juga dikenali sebagai The Great Charter merupakan antara dokumen yang paling penting dalam sejarah peradaban manusia. Dokumen yang ditulis dalam bahasa Latin ini mempunyai 63 klausa yang menetapkan hak dan tanggungjawab masyarakat feudal ketika itu. Magna Carta telah dimeterai pada tahun 1215.

Walaupun usia dokumen ini telah melebihi 800 tahun, ianya masih dianggap sebagai simbol keadilan kepada sistem perundangan seluruh dunia. Magna Carta dilihat sebagai peletakan batu asas kepada kelahiran prinsip undang-undang moden di mana semangat yang diambil daripada dokumen ini menjadi inspirasi kepada perkembangan falsafah undang-undang.

Amalan Tradisi Keluarga Diraja

Sepanjang abad ke-12, telah menjadi satu amalan tradisi bagi Raja-Raja England dimana suatu pemeteraian secara bertulis akan dilakukan bagi mengabsahkan pertabalan seseorang raja. Sebagai contoh, Raja Henry I telah memeterai sebuah perjanjian yang dikenali sebagai Charter of Liberties pada 1100 sejurus menaiki takhta.

Amalan ini terus diikuti oleh para penggantinya dengan pemeteraian Solemn Charter oleh Stephen pada 1135 dan Henry II pada 1154. Kesemua pemeteraian ini mengandungi peraturan dan hak-hak yang perlu dipatuhi oleh raja dan masyarakat pada ketika itu. Dokumen ini juga menjadi simbolik kepada legitimasi kedudukan raja sebagai pemerintah kerajaan England pada ketika itu.

Pada zaman tersebut, masyarakat hidup dalam suasana feudalistik dimana rakyat dikelaskan kepada beberapa golongan. Golongan yang paling bawah adalah golongan hamba yang berkhidmat bagi tuan mereka yang dikenali sebagai baron. Baron merupakan golongan bangsawan dimana mereka perlu membayar cukai kepada raja sebagai tanda taat setia.

Setelah kemangkatan Richard the Lionheart yang terkenal itu, ia telah menyebabkan kekosongan takhta pada kerajaan England. Yang lebih parah, Richard tidak sempat meninggalkan wasiat siapa yang bakal menggantikan tempatnya. Hal ini telah menimbulkan perebutan takhta dalam kalangan kerabat diraja England.

John yang merupakan adik kepada Richard telah ditabalkan sebagai Raja England yang baru. Baginda juga dikenali sebagai John Lackland. Hal ini kerana baginda dianggap kerabat yang tidak mungkin dapat menaiki takhta Raja England memandangkan baginda merupakan anak bongsu dalam kalangan adik-beradiknya. Namun takdir telah mengubah segala-segalanya.

Raja John berjaya mengukuhkan kedudukannya apabila berjaya menewaskan anak saudaranya Arthur yang pada sama menuntut takhta kerajaan. Tidak seperti amalan sebelumnya, Raja John tidak memeterai sebarang bentuk perjanjian bagi mengabsahkan pertabalannya. Hal ini tentunya membuka ruang bagi dirinya untuk bertindak sesuka hati.

Sikap Raja John

John Lackland

England menganggap John I antara raja paling teruk dalam lembaran sejarah mereka. Hal ini kerana baginda telah melakukan pelbagai salah laku yang tidak menggambarkan peribadi seorang raja. John terkenal dengan sifat k3jam di mana baginda telah memberi layanan yang sangat teruk kepada para tahanan dibawahnya. Arthur, anak saudaranya merupakan antara mangsa kekej4man baginda.

Bagi menampung dasar luarnya yang mengisytiharkan per4ng ke atas Perancis, baginda telah mengenakan cukai yang tinggi ke atas para baron. Hal ini sangat menekan golongan baron apabila ada antara mereka yang hartanya disita akibat gagal membayar cukai. Malah per4ng ke atas Perancis hanya memalukan England apabila John kalah teruk dengan kehilangan Normandy dan Anjou.

John juga dikenali sebagai seorang yang sangat keras kepala. Baginda merupakan monarki England pertama yang mendapat hukuman excommunication daripada pihak gereja atas perbalahan dengan Pope Innocent III tentang calon Archbishop Canterbury. Bukan itu sahaja, John juga pernah didakwa cuba mer0gol anak perempuan kepada salah seorang baronnya.

Raja John juga pernah satu ketika bertindak menarik janggut salah seorang wakil Irish yang menghadap baginda. Baginda juga telah bertindak memenjarakan bekas isterinya. Peristiwa-peristiwa ini telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan baron yang sangat terkesan kerana dikenakan cukai yang sangat tinggi.

P3rang saudara meletus

Pada 1214, John telah mengambil keputusan untuk menyerang wilayah Bouvines yang dikuasai oleh Perancis. Namun usaha tersebut telah menemui kegagalan. Situasi ini telah menjatuhkan reputasi John dan menyebabkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan baron yang rugi besar kerana merekalah yang menampung dana peper4ngan.

Illustrasi menunjukkan baron mengepung Kota London

Para baron telah membentuk pakatan dalam kalangan mereka dan menuntut agar John melakukan sebuah rundingan. Gerakan ini bermula pada April 1215 dan berlanjutan sehingga bulan Mei apabila para baron yang diketuai oleh Robert Filtzwalter berjaya menguasai London.

John yang pada mulanya tidak mengendahkan ancaman baron tersebut mula bertindak apabila mengetahui para baron telah meminta Putera Louie dari Perancis untuk menjadi Raja England yang baharu. John tiada pilihan selain tunduk kepada tuntutan para baron yang mahu berunding. Jika baginda enggan, maka p3rang saudara akan meletus dan baginda akan kehilangan takhta.

Pemeteraian Magna Carta

Maka pada 15 Jun 1215, kedua-dua pihak iaitu John dan para baron yang memberontak telah bertemu di Runnymade yang terletak bersebelahan dengan Sungai Thames. Dalam pertemuan tersebut, John dituntut agar menurunkan cap mohor diraja sebagai tanda pengesahannya terhadap sebuah dokumen yang dikenali sebagai Articles of Barons.

John menandatangani Magna Carta sambil disaksikan para baron

Empat hari kemudian, dengan beberapa perubahan yang dibuat, kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat dengan pemeteraian sebuah dokumen rasmi yang dikenali sebagai Magna Carta. Dokumen yang mengandungi 63 klausa ini menetapkan undang-undang yang mengikat raja terhadap kedaulatan undang-undang.

Raja yang Tersakiti

Magna Carta pada awalnya berfungsi sebagai perjanjian damai antara raja dan baron bagi mengelakkan p3rang saudara daripada terus meletus. Namun, John I mempunyai agendanya yang tersendiri di mana baginda tetap tidak mahu menurut apa yang telah dijanjikan dalam Magna Carta. Magna Carta hanya dihormati selama beberapa bulan sahaja.

John I telah meminta bantuan Pope Innocent III bagi mengisytiharkan bahawa Magna Carta adalah tidak sah di sisi undang-undang. Maka dengan itu, pada September 1215, Pope Innocent III telah mengisytiharkan bahawa Magna Carta adalah tidak sah, tidak adil, berbahaya kepada institusi diraja dan suatu bencana besar buat rakyat Inggeris.

John telah menggunakan pengisytiharan Pope sebagai sebab yang kukuh bagi membatalkan Magna Carta seterusnya melancarkan p3rang ke atas baron yang sebelumnya memberontak.  Pada Oktober, baginda telah bertindak menyerang Kubu Rochester hingga menghancurkan kubu pertahanan tersebut. Kubu-kubu lain di seluruh England juga menjadi sasaran baginda.

Salah satu babak dalam filem Ironclad yang menunjukkan tentera John siap menyerang kubu baron

Namun, kempen baginda dalam menentang baron terhenti dengan kemangkatannya di Kubu Newark, Nottinghamshire. Terdapat spekulasi yang mengaitkan kematian baginda akibat diracun namun majoriti sejarawan berpendapat baginda mangkat kerana penyakit disentri.

Kepentingan Magna Carta

Walaupun Magna Carta pada awalnya gagal dalam membendung p3rang saudara, namun ia telah memberi kesan signifikan dalam sistem perundangan Inggeris. Setelah kemangkatan John I, anaknya Henry III telah menitahkan semula Magna Carta dengan beberapa klausa kontroversi telah dipinda supaya ianya lebih fleksibel.

Magna Carta kemudiannya distruktur semula dari semasa ke semasa pada tahun 1217 dan kali terakhir pada tahun 1225.

Magna Carta merupakan antara dokumen yang paling penting bukan sahaja dalam sejarah perundangan British malah ia menjangkaui seantero dunia. Magna Carta menjadi perintis kepada kelahiran akta baru di England seperti Liberty of Subject Act (1354), Petition of Right (1628), Habeas Corpus Act (1679), Bill of Right (1689) dan The Great Reform Act (1832).

Kesemua seksyen perundangan ini berasal daripada semangat klausa-klausa yang termaktub dalam Magna Carta.

Magna Carta sebagai perintis kepada pengiktirafan hak asasi manusia

Antara klausa yang masih dipraktikkan sehingga kini ialah klausa 39 yang menyatakan bahawa setiap manusia yang bebas berhak mendapat pengadilan yang adil. Selain itu, klausa 40 yang menyatakan setiap manusia yang bebas berhak ke atas keadilan.

Bukan itu sahaja, klausa-klausa yang masih bertahan dalam perundangan British adalah hak gereja, hak dan kebebasan mengamalkan adat di London dan kawasan lain serta memastikan kesemua rakyat British mendapat hak ke atas keadilan dan perbicaraan adil.

Betapa berpengaruhnya Magna Carta apabila ia menjadi rujukan bagi Eleanor Roosevelt dan pasukannya dalam meluluskan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR). Malah Eleanor merujuk UDHR 1948 sebagai ‘Magna Carta untuk semua umat manusia’.

Malah dalam proses kemerdekaan Amerika Syarikat, para pengasasnya merujuk Magna Carta sebagai tuntutan kepada pihak penjajah. Magna Carta juga menjadi perintis kepada kewujudan sistem demokrasi berparlimen yang berakar dari Inggeris. Kelahiran perlembagaan negara-negara lain juga mengambil semangat yang ada di dalam Magna Carta.

Terima kasih Magna Carta.

RUJUKAN:

Doris Mary Stenton. Mar 16, 2020. Magna Carta ENGLAND [1215]. https://www.britannica.com/topic/Magna-Carta

Magna Carta. History. https://www.history.com/topics/british-history/magna-carta.

Magna Carta: What is it – and why is it still important today? https://www.independent.co.uk/news/uk/magna-carta-what-is-it-and-why-is-it-still-important-today-10017258.html

What is Magna Carta? The British Library. https://www.youtube.com/watch?v=7xo4tUMdAMw

The Story of Magna Carta. GuyFoxTV https://www.youtube.com/watch?v=9zT4hkAxzLg&t=640s

How bad was King John? | 7 Minute History. History Hub https://www.youtube.com/watch?v=tGFfxra5st4

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.