Mada’in Saleh – Kota Umat Nabi Salleh?

817

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Walaupun runtuhan-runtuhan arkeologi mungkin bukanlah hal pertama yang akan terlintas dalam fikiran seseorang apabila membayangkan tentang Arab Saudi, pada hakikatnya ia memiliki banyak tapak bersejarah yang amat mengagumkan.

Mada’in Saleh, yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO mengandungi banyak monumen dan makam. Ia merupakan lokasi pertama di Arab Saudi yang meraih signifikasi sebegini. Mada’in Saleh pernah menjadi kota kedua paling penting bagi ketamadun Arab pra-Islam yang paling penting, iaitu tamadun Nabatea.

SEJARAH MADA’IN SALEH

Keadaan di Arab Saudi tidaklah sentiasa gersang sebagaimana pada hari ini. Tamadun-tamadun purba berupaya berkembang sehingga mencapai kegemilangan. Pada suatu masa sekitar tahun 800SM, bangsa Assyria menyedari kebangkitan sebuah masyarakat Arab yang dikenali sebagai Tsamud, yang dipercayai telah menubuhkan petempatan pertama di Mada’in Saleh.

Menurut al-Qur’an, mereka adalah masyarakat pagan. Allah mengutus Nabi Saleh untuk memberikan peringatan kepada kaum Tsamud. Namun, mereka enggan mendengar. Lantaran itu, mereka pun dibinas4kan dan hanya golongan yang beriman dengan kepercayaan yang benar sahaja terselamat.

Tarahan-tarahan di batu pasir yang terdapat di Mada’in Saleh, Arab Saudi

Kaum Nabatea menghuni kota ini pada kurun pertama Sebelum Masehi. Mereka pada asalnya adalah kaum nomad yang menubuhkan sebuah kerajaan yang berkuasa di Sinai dan sebahagian daripada Jordan moden di barat laut Semenanjung Arab. Di bawah pemerintahan kaum Nabatea, petempatan Mada’in Saleh berkembang menjadi sebuah kota yang megah. Mereka membangunkan sebuah sistem pengairan yang berasaskan pengumpulan hujan di dalam tangki-tangki.

Hal ini membantu perkembangan sektor pertanian mereka.Pada kurun ke-3 dan ke-2 Sebelum Masehi, kebudayaan Dedan (juga dikenali sebagai Lihyan) menghuni tapak ini dan meninggalkan banyak contoh pertukangan batu di kawasan tersebut. Mereka mengubah Mada’in Saleh menjadi sebuah kota kafilah di mana para pedagang berhenti berehat dan menjual barangan yang dibawa oleh mereka.

Mada’in Saleh menjadi kota kedua paling penting bagi kerajaan Nabatea, yang ibu kotanya adalah kota masyhur Petra di Jordan. Kaum Nabatea merujuk Mada’in Saleh sebagai Hegra dan ia berkembang begitu mewah lantaran ia memonopoli perdagangan rempah dan setanggi.

Tapak arkeologi Mada’in Saleh, Arab Saudi


Menjelang Zaman Pertengahan, Mada’in Saleh ditinggalkan. Namun, Uthmaniyah kemudiannya membina sebuah kubu di kawasan berkenaan. Pun begitu, kubu ini musnah semasa Perang Dunia Pertama. Ahli-ahli arkeologi mula meneroka tinggalan kota ini pada kurun ke-19.

Pada tahun 106M, pasukan legion Rom di bawah kepimpinan Maharaja Trajan menguasai kerajaan tersebut dan mengubahnya menjadi wilayah naungan mereka di Semenanjung Arab. Mengubah laluan-laluan perdagangan membawa maksud kota kafilah Mada’in Saleh mula mengalami keruduman.

Pada zaman awal Islam, populasi kota lama itu sudah pun berkurangan dan ia hanya berfungsi sebagai salah sebuah pos berehat dalam laluan jemaah haji.

KEINDAHAN MADA’IN SALEH, ARAB SAUDI

Kota kafilah ini secara kasarnya terletak di titik tengah antara Mekah dan Petra. Ia berlokasi di dataran rata, berhampiran sebuah oasis. Kawasan ini turut ditandakan dengan batu-batu pasir yang menjadi sebahagian daripada Pergunungan Hijaz.

Ruangan yang berfungsi sebagai rak yang ditarak di makam-makam yang terdapat di Mada’in Saleh

Kebanyakan makam sudah pun mengalami hakisan yang teruk akibat tiupan angin gurun. Namun, ruangan dalam masih boleh dilihat dengan sempurna memandangkan ianya kosong. Sebuah kawasan keagamaan di mana dewata Nabatea, iaitu Dushara dipuja. Kawasan ini ditutup oleh sebuah tembok bata-jemur.

Sebuah koridor sempit yang diperindah dengan sejumlah kuil purba turut ditarah pada dua buah batu tinggi dan koridor ini membawa pengunjung menuju ke sebuah balairung.

Mada’in Saleh yang sering dirujuk sebagai al-Hijri oleh warga Arab Saudi tempatan, memiliki runtuhan-runtuhan yang sama seperti yang terdapat di Petra. Terdapat empat buah necropolis di kawasan yang meliputi kawasan seluas lebih 8 batu (12km).

Lebih 130 buah makam diukir pada batu terdapat di sana, dengan setiap satunya dihiasi secara terperinci dengan tulisan Nabatea yang menandakan status sosial serta pangkat ketentaraan yang dimiliki oleh si mati.

Sebahagian daripada makam-makam yang lebih terkemudian mempunyai inskripsi dalam bahasa Latin. Teks-teks ini amat berharga memandangkan kaum Nabatea tidak meninggalkan sebarang catatan sejarah bertulis yang terperinci tentang tamadun mereka sendiri.

Deretan makam di Mada’in Saleh

MERASAI PENGALAMAN DI MADA’IN SALEH, ARAB SAUDI

Terdapat sejumlah perigi yang dahulunya pernah menjadi sebahagian daripada sistem pengairan kaum Nabatea yang membantu kota kafilah itu berkembang pesat walau berada di tengah-tengah gurun. Daripada sekitar 60 buah perigi yang ada, sebahagian daripadanya memiliki ketinggian yang mencecah 20 kaki (7m) dan ditarah pada batu.

Sebilangan yang lain pula dibina di permukaan tanah dan disokong dengan bongkah-bongkah batu yang membentuk dinding di sekelilingnya. Di tengah-tengah tapak ini terdapat sejumlah rumah batu jemur yang sudah pun musnah.

Oleh kerana visa bagi orang-orang bukan Islam untuk memasuki Arab Saudi amat sukar didapatkan, maka tapak Mada’in Saleh tidak dikunjungi oleh pelancong yang datang secara bergerombolan sekaligus menjadi faktor ianya terpelihara dengan baik, di samping faktor cuaca yang kering.

Mada’in Saleh terletak berhampiran al-‘Ula di Wilayah Madinah. Pengunjungi boleh menempah pakej pelancongan ke tapak bersejarah tersebut, namun bagi para pengembara yang lebih berani dan gemarkan cabaran, mereka juga boleh menyewa kenderaan dan mengembara sendiri ke lokasi itu. Sejumlah bayaran turut dikenakan untuk meneroka tapak bersejarah ini dan maklumat-maklumat yang diperlukan ada disediakan oleh para petugas untuk para pengunjung.

TERJEMAHAN:

Ed Whelan. (20 Januari 2020). Mada’in Saleh: Saudi Arabia’s Abandoned Nabatean City. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mada-saleh-0013171

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.