Macau Scam: Penipuan Licik Yang Menyusahkan Rakyat

1,161

https://bit.ky/kombowww

Sebut saja skim penipuan, kita sudah terbayang nama skim cepat kaya, skim Pak Man Telo atau skim piramid. Skim sebegini selalunya menawarkan peluang cepat kaya kepada peserta dengan tukaran wang mencecah ratusan atau ribuan ringgit tetapi berakhir dengan kerugian. Kini, satu lagi skim penipuan timbul di Malaysia iaitu skim penipuan Macau atau Macau Scam.

Orang mungkin anggap skim sebegini sebagai satu lagi skim penipuan biasa. Tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan baru-baru ini sindiket ini ‘mencuci’ ratusan juta ringgit yang diraih daripada kegiatan penipuan mereka menerusi perniagaan yang diusahakan selebriti terkenal tempatan.

Sumber enggan dikenali mendedahkan dalang utama sindiket berkenaan dipercayai warga China, tetapi menggunakan ‘ejen’ di Malaysia untuk menguruskan ‘pelaburan’ termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform ‘pembersihan’ wang hasil penipuan.

Sindiket terbabit menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi atau pusat panggilan kegiatan haram berkenaan dengan menyasarkan mangsa di China dan Taiwan.

“Ejen sindiket akan mendekati selebriti tanah air dan menyatakan minat melabur dalam perniagaan atau menyuntik modal untuk selebriti berkenaan memulakan perniagaan,” kata sumber berkenaan, semalam. Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dihidu pihak berkuasa yang menahan beberapa individu disyaki ada kaitan dengan jenayah berkenaan untuk siasatan.

Jadi secara ringkas, apa itu Macau Scam? Macau Scam ialah sindiket penipuan telekomunikasi yang memperdaya mangsa dengan panggilan palsu dan ada ketikanya boleh mengakibatkan kerugian sehingga berjuta ringgit.

Skim penipuan ini didalangi oleh didalangi sindiket penipuan Taiwan dan China yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong dan tempatan.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia KPN, Datuk Asmawati Ahmad berkata, sindiket ini beroperasi dengan cara menawarkan cabuan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, spoofing pegawai polis atau agensi kerajaan serta pegawai bank negara atau bank komersial. Bagi mengelak identiti dan lokasi mereka diketahui, sindiket ini menggunakan teknik ‘spoofing’.

‘Spoofing’ ialah teknik di mana pemanggil berkomunikasi menggunakan platform Voice Over Internet Protocol (VoIP) bagi membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor telefon untuk memperdaya pemenerima bahawa pemanggil adalah dari nombor.

Modus operandi sindiket seperti:

  • Cabutan bertuah

Mangsa menerima panggilan telefon yang mendakwa mangsa telah memenangi pertandingan cabutan bertuah bernilai jutaan dolar dari syarikat Hong Kong dan Macau. Pemanggil kemudiannya memberikan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya pengadu mahu menuntut hadiah berkenaan.

Setelah bersetuju, pengadu dikehendaki membayar cukai dan insuran dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun tertentu bagi menuntut hadiah tersebut. Tetapi setelah transaksi selesai, pemanggil gagal dihubungi dan wang hadiah yang dijanjikan tidak diterima.

  • Menyamar sebagai pegawai polis / agensi kerajaan

Pengadu menerima pangilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai mahkamah/polis dan mendakwa bahawa pengadu terlibat dalam kegiatan haram (seperti ah long, kongsi gelap dan pengedaran d4d4h).

Mangsa kemudiannya diminta untuk memindahkan wang dari akaunnya ke dalam akaun tertentu, kononnya bagi mengelakkan akaun mangsa dibekukan oleh pihak berkuasa.

  • Menyamar pegawai bank negara atau bank komersil (kad kredit)

Mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai bank, dengan dakwaan bahawa mangsa gagal membuat bayaran kad kredit. Pengadu kemudiannya diarah untuk menghubungi seseorang kononnya dari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau akaun bank dibekukan.

Mangsa akhirnya diperdaya untuk membuat pemindahan wang ke nombor akaun tertentu melalui perbankan secara dalam talian atau melalui mesin deposit tunai (CDM).

  • Tipu culik dan minta wang tebusan

Mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa anak atau saudaranya diculik. Mangsa diperdaya untuk memindahkan wang tebusan ke nombor akaun pihak ketiga yang diberikan oleh pemanggil.

Terdapat variasi helah dan taktik lain yang digunakan oleh ahli-ahli sindiket untuk memperdayakan mangsa. Ini termasuklah dakwaan langgar lari dan gagal membayar hutang pinjaman bank / institusi kewangan.

Justeru, apa yang patut dilakukan sekiranya berdepan situasi-situasi sebegini? Berikut panduan yang disediakan oleh PDRM:

– Sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak-pihak tertentu;

– Jangan sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil, tanpa terlebih dahulu menghubungi pihak polis atau institusi kewangan terbabit;

– Jangan hubungi semula nombor telefon yang anda terima. sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut;

– Jangan dedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit anda kepada orang yang tidak dikenali, dan;

– Layari portal rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan seperti ini.

Berikutan pendedahan bagaimana skim penipuan ini berleluasa, ramai mahukan BNM memperketatkan syarat ke atas individu yang mahu membuka akaun bank. Perkara ini dinyatakan Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said semasa di Dewan Negara baru-baru ini.

Pihak Kementerian Dalam Negeri juga berharap syarikat telekomunikasi bekerjasama menyalurkan segera identiti dan maklumat pemilik akaun melibatkan pemanggil yang melakukan jenayah penipuan.

Beliau berkata, “Kita selalu hadapi masalah identiti pemanggil kerana menggunakan nombor telefon didaftarkan di negara kita atau luar negara dan pemiliknya tidak dapat dikenal pasti. Kedua, mereka ini selalu berhubung melalui internet dan VoIP sehingga sukar dikenal pasti. Perkara ini dalam perhatian serius PDRM kerana jenayah penipuan semakin meningkat, pastinya melibatkan dan menjejaskan sedikit sebanyak ekonomi negara kita,”

RUJUKAN:

Rahman, Abdul Hakim. (2020). Macau Scam: Baca ini kalau tak nak ditipu!. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/macau-scam-baca-ini-kalau-tak-nak-ditipu-159882

Bernama. (2020). BNM diminta memperketat syarat buka akaun bank. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bnm-diminta-memperketat-syarat-buka-akaun-bank-257867

Affendy Razali, Safeek. (2020). SPRM siasat sindiket disyaki ‘cuci’ ratusan juta ringgit. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/737909/sprm-siasat-sindiket-disyaki-cuci-ratusan-juta-ringgit

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.