Macam Mana Nak Berfikir Seperti Sherlock Holmes?

2,080

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Tidak kira versi Sherlock Holmes mana yang anda minati sama ada versi Robert Downey Jr, Benedict Cumberbatch (Sherlock) atau Jonny Lee Miller (Elementary), ada saja hujah yang dikeluarkannya itu membuatkan kita tertanya-tanya bagaimana detektif perunding dari Baker Street itu mengetahui semua maklumat ini. Tetapi jika meneliti sejarah penulisnya Sir Arthur Conan Doyle, Sherlock sebenarnya diinspirasikan daripada seorang pakar dari Hospital Diraja Edinburgh, Joseph Bell.

Rajah 1: Dr Joseph Bell

Bagi pakar neurologi Andrew Lees, tidak lama selepas dia memulakan kerjayanya di University College Hospital di London, salah seorang daripada anggota pengurusan hospital memberinya senarai bahan bacaan yang aneh iaitu keseluruhan siri Sherlock Holmes yang dikarang oleh Conan Doyle. “Apa kejadah dia bagi aku senarai ini?” getus Lees dalam hati. Rupa-rupanya, ia merupakan satu cara halus bagi mana-mana pihak walaupun mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing untuk berfikir dan meneka secara rasional.

Menurut Lees, semua sedia maklum watak Sherlock diinspirasikan oleh Bell ditambah dengan latar belakang Conan Doyle sendiri sebagai doktor. Tetapi apabila kisah Sherlock dikembangkan, dia mengesyaki penulis terkenal itu turut menjadikan doktor-doktor lain sebagai inspirasi sama ada kepada watak protagonis fiksyennya itu atau sebagai asas cerita menarik. Salah seorang daripada mereka ialah pengarang Bible of Neurology, William Gowers. Gowers bukan orang lain di mata Conan Doyle kerana mereka berdua berkongsi rakan yang sama iaitu penulis Rudyard Kipling.

Rajah 2: William Gowers

Gowers selalu mendidik para pelajarnya bahawa diagnosis bukan bermula bila pesakit mengadu simptom-simptom yang dialami mereka tetapi bermula bila mereka melangkah masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Salah satu daripada demonstrasi klinikalnya direkodkan dan diterbitkan di bawah tajuk A Clinical Lecture on Silver and Syphilis.

Dalam demonstrasi itu, beliau berkata, “Adakah anda memerhatikan pesakit bila mereka memasuki bilik? Jika anda tidak melakukannya, anda seharusnya melakukannya. Salah satu tabiat yang harus dimiliki dan tidak patut dibuang ialah memerhatikan pesakit bila memasuki bilik terutama dari segi tubuh badan dan gaya berjalannya. Jika anda memerhatikannya, anda pasti perasan dia berjalan tempang dan anda juga akan terkejut melihat apa yang mengejutkan anda – sedikit perubahan warna pada wajahnya.”

Menariknya, analisis sebegini dilihat hampir sama dengan kesimpulan logik yang dibuat Sherlock walaupun berpandukan petunjuk yang kabur. Anda boleh lihat dua contoh di bawah:

  1. Tekaan dalam Musim Kedua, Episod: The Hounds of Baskerville: https://www.youtube.com/watch?v=0aZOOcTt0E4
  2. Tekaan dalam filem Sherlock Holmes (2009): https://www.youtube.com/watch?v=l6TGERgrXmA

Perkara-perkara yang nampak remeh kadangkala boleh menjadi kunci kepada sesebuah diagnosis. Atau dalam kes Sherlock Holmes, kunci kepada penyelesaian kes jenayah. Ini ditekankan Conan Doyle dalam A Case of Identity. Kedua-dua Gowers dan Sherlock turut memberi amaran sebarang tekaan atau kesimpulan logik yang dibuat mestilah bersifat objektif dan bebas daripada unsur prejudis.

Ini kerana menurut Gowers, apabila tekaan atau kesimpulan yang dibuat dipengaruhi oleh prejudis terutama dalam kes penyakit baru, ia bakal merosakkan diagnosis yang dibuat sekaligus menambah lebih banyak mudarat kepada pesakit.

Tambah beliau, kes-kes penyakit baru yang tidak diketahui seharusnya dilayan secara objektif kerana ini membolehkan pakar-pakar perubatan menganalisis semua faktor yang ada termasuk yang paling remeh bagi mendapatkan diagnosis yang tepat. Atas sebab itulah, perkara ini ditekankan oleh Conan Doyle menerusi teguran yang dibuat Sherlock terhadap regunya, Dr John Watson dalam A Scandal in Bohemia.

Dan kedua-duanya juga boleh menganalisis sesebuah kes secara berundur dengan menganalisis semua cara yang membawa kepada penyakit (Gowers) atau pembvnvhan (Sherlock). Dan ini menimbulkan salah satu kenyataan Sherlock yang terkenal, “Bila engkau menghapuskan perkara yang mustahil, apa saja tinggal, walaupun dianggap tidak mungkin, itulah kebenaran.”

Tetapi satu perkara paling penting semua orang termasuk pakar-pakar boleh belajar ialah kemampuan mengenali kesilapan diri sendiri. Gowers mengakui memang seronok bila kesimpulan dibuatnya betul tetapi bila kesimpulan yang dibuat salah, maka ia jauh lebih berguna.

Ini kerana bila kita mengakui kesilapan sendiri, kita akan memastikan apa saja bentuk prejudis atau bias yang mempengaruhi kesimpulan yang dibuat tidak diulangi pada masa akan datang. Sherlock sendiri mengakui, “Aku mengaku aku kadang-kadang buta macam mole tetapi lebih baik untuk belajar sesuatu biarpun lewat daripada tidak belajar apa-apa.”

Nilai rendah diri yang dimiliki Gowers dan Sherlock merupakan kunci untuk menewaskan ‘sumpahan kepakaran’ yang membelenggu ramai orang termasuk kelompok yang berbakat dan mempunyai kepakaran. Saintis neuron kognitif Itiel Dror dari University College London sudah banyak kali merekodkan pakar-pakar dalam bidang perubatan dan sains forensik membenarkan unsur bias mempengaruhi kesimpulan dan tindakan mereka termasuk dalam situasi hidup dan m4ti.

RUJUKAN:

Robson, David. (2016). What Sherlock Holmes taught us about the mind. BBC Future. https://www.bbc.com/future/article/20160107-what-sherlock-holmes-tells-us-about-the-mind

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.