Satu berita tergempar menggegarkan seluruh Malaysia. Tidak cukup dengan kedatangan buruh tanpa izin… dan asap jerebu, dikhabarkan kini datang pula babi hutan tanpa izin dari Indonesia. Perkhabaran sedemikian mungkin boleh dipandang serius jika pengumuman dibuat oleh ahli bidang.

Malang sekali apa yang boleh menjadi ancaman telah bertukar ke bahan jenaka hanya kerana Norhizam Hassan Baktee mengatakan Pulau Besar, Melaka, dijadikan destinasi pilihan utama. Lebih mengejutkan, beliau menambah bahawa populasi babi hutan boleh mengatasi jumlah penduduk di pulau tersebut jika isu ini tidak ditangani dengan baik.

Kenyataan sedemikian barangkali dikeluarkan ekoran tersebarnya desas-desus daripada para nelayan yang melihat moncong babi di permukaan laut. Maka banyak persoalan bermain dalam fikiran berkenaan kemampuan babi untuk merentasi Selat Melaka.

Jarak antara Malaysia dan Indonesia secara biologi tidaklah jauh. Pulau Rupat hanya terletak 66 kilometer sahaja daripada Pulau Besar, lebih jika dikira dari Sumatera sendiri. Antara Pulau Besar dan Semenanjung Malaysia pula tidak sampai empat kilometer pun.

Bermakna pergerakan babi hutan ini, jika benar, boleh sahaja membadai pantai-pantai Melaka pun. Tidak boleh bayangkan – keseronokan mandi di pantai yang selama ini hanya perlu diawasi kedatangan jerung dan obor-obor, kini perlu dilihat jika ada babi hutan pula.

Namun pencerobohan babi hutan tidak boleh dijadikan bahan jenaka. Alam semulajadi mempunyai kitaran yang teratur, melainkan jika wujud cetusan tertentu yang mengganggu imbangan. Itu yang dirisaukan di sebalik kisah dianggap lucu ini. Jika hutan ditarah, haiwan akan lari mencari habitat baharu. Jangankan aktiviti penggondolan hutan di seberang datang pula babi ke tanah ini. Namun migrasi babi mempunyai faktor-faktor lain juga.

Babi memang merupakan haiwan yang mampu berenang. Pada tahun 2013, seekor babi berjaya merentasi 11 kilometer di laut antara Perancis ke Alderney. Dalam YouTube pun, ada juga penampakan sekumpulan babi berenang di Laut Hitam dari Sozopol, Bulgaria.

https://youtu.be/2v3QfJoAQO0

Jauh ke Hong Kong pula, babi hutan dilihat berenang bagaikan tikus di atas air:

https://www.scmp.com/video/hong-kong/2186133/hong-kong-wild-boar-swim-video-makes-another-splash-social-media

Persamaan dengan tikus pun tidaklah bersifat keterlaluan. Ini kerana pergerakan babi hutan melalui rentasan sejauh 66 kilometer mempunyai asas barangkalinya. Dalam abad ini sahaja, populasi babi hutan meningkat secara berganda oleh kerana keupayaan spesies ini untuk menyantuni dengan habitat semasanya. Seperti haiwan lain, babi hutan menyukai makanan yang membekalkan tenaga, rata-ratanya tumbuh-tumbuhan dan serangga. Babi hutan juga memakan bangkai.

Namun tidak sama seperti haiwan lain, babi hutan mempunyai tabiat yang merosakkan alam sekitar. Bagaikan tikus yang merosakkan imbangan semulajadi, babi hutan suka menyondol tanah untuk mencari serangga. Pulau Besar memanglah destinasi terbaik untuk babi hutan kerana kaya dengan tumbuh-tumbuhan dan mempunyai perlindungan daripada ancaman seperti pemburu.

Sondolan ke atas tanah sedalam 15sm pula boleh merosakkan akar bagi pokok-pokok tertentu. Kegiatan berpanjangan boleh menyebabkan kepupusan pun. Di Poland, sondolan babi hutan telah mengurangkan ketumpatan pembenihan pokok oak, linden dan hornbeam antara 1.5-6 kali ganda.

Maka kedatangan babi hutan boleh mengganggu taburan spesies lain, sekaligus mengucar-kacirkan rantaian makanan. Dengan memakan tumbuh-tumbuhan secara terus, alam semulajadi tidak dapat menggantikan dengan mudah apabila akarnya sendiri dirobek. Sondolan juga melonggarkan tanah, sekaligus menyebabkan hakisan. Cacing-cacing dan siput yakni makanan ruji mudah ditemui dalam tanah.

Di Queensland, babi hutan telah mengurangkan populasi cacing tanah pada kadar 62%-93%. Tidak cukup dengan itu, kambing-kambing di Pulau Besar juga berdepan dengan ancaman. Statistik menunjukkan 32% anak-anak kambing mudah dijadikan sasaran haiwan agresif ini. Dengan kerosakan alam semulajadi serta peluang tinggi tentang bangkai pula, sektor pelancongan Melaka juga boleh menerima impak.

Maka rentasan 66 kilometer ini tidak seharusnya diketepikan sebagai jenaka semata-mata. Pulau Besar sangatlah kondusif untuk babi hutan, dulu berkaki dua yang mengamalkan pelbagai jenis khurafat. Kini dengan jelmaan kaki empat yang mempunyai kadar kesuburan paling tinggi dalam kalangan mamalia kuku telapuk, tidak menghairankan pun jika populasinya menandingi jumlah penduduk di Pulau Besar.

RUJUKAN:

Alderney wild boar that swam from France shot over disease fear. https://www.bbc.com/news/world-europe-guernsey-24932170

Rentas Selat Melaka, babi hutan Indonesia ceroboh Melaka. https://www.malaysiakini.com/news/490754

‘Seaborne invasion’ of wild boar swamps mystical Malaysian island. https://www.theguardian.com/world/2019/sep/06/sea-borne-invasion-of-wild-boar-swamp-mystical-malaysian-island

The Environmental Impact of Wild Boar. https://pdfs.semanticscholar.org/1717/da1dd916df958802589654700bf80045029c.pdf


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.