Lukisan Tertua Di Dunia Ditemui Di Indonesia!

890

Pra-tempah hanya di Shopee

Pada tahun 2017, sekumpulan saintis menemui lukisan gua yang diiktiraf sebagai antara yang tertua di dunia. Lukisan gua ini ditemui oleh sekumpulan pakar dari Universiti Griffith, Australia diketuai Basran Burhan di Gua Leang Tedongnge, Sulawesi, Indonesia. Gua ini terletak di sebuah lembah terlindung yang dikelilingi kawasan tebing tinggi yang diperbuat daripada batu kapur.

Selepas membuat pentarikhan berdasarkan kiraan deposit kalsit pada lukisan yang ditemui, ia dikatakan berusia 45,500 tahun. Menariknya, lokasi ini langsung tidak diketahui orang luar terutama dari Barat kecuali penduduk tempatan. Menurut penduduk tempatan yang berdarah Bugis, kawasan lembah ini hanya boleh diakses pada musim kering kerana ia dipenuhi air semasa musim banjir.

Lukisan gua yang ditemui nyata mengejutkan pasukan penyelidik kerana masih dalam keadaan baik. Anda boleh melihat gambar lukisan gua yang dinyatakan di bawah.

Lukisan babi hutan ini berukuran 54 cm panjang dan 136 cm lebar dan dicat menggunakan hartal pigmen merah gelap. Terdapat cap tangan pada bahagian atas lukisan berkemungkinan dibuat oleh pelukis lukisan tersebut. Terdapat juga dua lukisan babi hutan dengan sebahagian daripadanya sudah dimamah masa tetapi menunjukkan ciri subjek haiwan itu.

Dalam catatan yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances, terbitan Universiti Griffith. Salah seorang penulis rencana, Adam Brumm menyifatkan lukisan tersebut mewakili situasi yang dihadapi babi hutan dalam persekitaran habitatnya termasuk berlawan. Babi hutan menjadi buruan manusia pra-sejarah sejak ribuan tahun yang lalu dan menjadi subjek utama lukisan-lukisan gua terutama Zaman Ais.

Lukisan gua yang ditemui para penyelidik di seluruh dunia dilihat dapat mengisi jurang maklumat tentang penghijrahan awal manusia. Selain lukisan gua di Gua Leang Tedongnge, terdapat satu lagi lukisan gua di Sepanyol yang didakwa sebagai lukisan gua tertua di dunia.

Bagaimanapun, kedua-dua lukisan ini tidak boleh didakwa sebagai lukisan gua tertua di dunia. Rekod ini masih dipegang oleh satu lukisan gua yang ditemui pada serpihan batu di Afrika Selatan. Berdasarkan kiraan para saintis, lukisan tersebut berusia 73,000 tahun.

Mengikut rekod, manusia terawal tiba di Australia sejak 65,000 tahun yang lalu. Begitupun, sebelum mereka dapat tiba di situ, mereka perlu merentasi kepulauan Indonesia yang ketika itu dikenali dengan nama Wallacea[1]. Ini menjadikan kawasan gua ini sebagai antara lokasi bukti terawal kehidupan manusia di Wallacea.

Para saintis berharap dengan menjalankan kajian yang lebih lanjut di tapak berkenaan, ia dapat merungkai pelbagai persoalan untuk tempoh berkenaan. Ini termasuk merungkai teka-teki petempatan manusia terawal di Australia.

Begitupun, wujud perdebatan siapa yang bertanggungjawab melukis lukisan babi hutan itu. Sesetengah berpandangan ia dibuat oleh kelompok manusia terawal yang sudah pupus dikenali sebagai Denisova[2]. Ada pula berpandangan ia dibuat oleh kelompok terawal Homo sapien.

Yang pasti, pelukis lukisan ini perlu meletakkan tangan mereka pada permukaan sebelum meludahnya dengan pigmen basah. Bagi menjawab persoalan identiti pelukis ini, pasukan penyelidik cuba mengekstrak sampel DNA daripada sisa air liur yang terdapat pada cap tapak tangan yang terdapat pada lukisan berkenaan.

NOTA KAKI:

[1] Kumpulan pulau Indonesia yang dipisahkan oleh selat-selat laut dalam dari bahagian benua Asia dan Australia. Selain Sulawesi, Wallacea turut dianggotai oleh  Lombok, Sumbawa, Flores, Sumba, Timor, Halmahera, Buru, Seram dan pulau-pulau kecil lain. Ia berkeluasan 342,000 km persegi.

[2] Kumpulan manusia purba yang muncul di serata Asia semasa Zaman Paleolitik. Turut dirujuk dengan nama lain iaitu Homo denisova, H. altaiensis, atau H. sapiens denisova. Kumpulan spesies ini menjalin hubungan dengan manusia moden. Ini dibuktikan penemuan 3-5% DNA orang Melanesia dan Aboriginal serta 7-8% orang Papua mengandungi DNA Homo denisova.

RUJUKAN:

AFP. (2021). World’s ‘oldest known cave painting’ found in Indonesia. The Guardian.

Childs, M. L. (2021). Warty Pig Cave Painting Discovered in Indonesia is a Game Changer. Ancient-Origins.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.