Mungkin ramai yang tidak seberapa mengenali Ludwig Wittgenstein, namun nama ini tidak asing bagi para peminat falsafah serta ahli bahasa dan komunikasi. Wittgenstein (disebut dengan Fitkenstein) bukan sahaja seorang ahli dalam falsafah kemanusiaan, namun beliau juga terlibat dalam lapangan falsafah matematik dan falsafah komunikasi.

Wittgenstein merupakan seorang ahli falsafah kelahiran kota terkenal; Vienna, Austria.  Beliau lahir dalam keluarga yang kaya namun tiga orang saudara lelakinya telah mati dengan membunuh diri. Benarlah, harta bukan segalanya. Wittgenstein juga seorang yang bijak. Beliau merupakan seorang pelajar kejuruteraan mekanikal di Technische Hochschule, Berlin.

Setelah itu, Wittgenstein merasakan dirinya amat berminat dengan bidang aeroangkasa, oleh itu beliau menyambung pengajian dalam peringkat kedoktoran di Victory University of Manchester (kini University of Manchester) dalam projek aeronautik dan mendesain pesawat terbang beliau sendiri. Sesudah itu, Wittgenstein berminat pula dalam ilmu matematik, lalu beliau menyambung pengajian beliau di Cambridge di bawah seliaan Bertrand Russell.

Wittgenstein ada menulis sebuah buku bertajuk Tractus Logico-Philisophicus (Risalah Logika-Falsafah) pada tahun 1921. Nah disinilah di mana kita akan menelusuri pendapat Wittgenstein tentang apakah sebab-sebab yang menjadi titik permulaan dalam kewujudan konflik komunikasi.

Wittgenstein menganggap bahawa bahasa-bahasa yang dituturkan oleh manusia akan menggambarkan suasana-suasana seperti realiti dalam minda manusia bersandarkan maklumat-maklumat yang diterima melalui bahasa-bahasa yang disampaikan tersebut. Beliau mendapat idea ini apabila membaca akhbar Paris di mana mahkamah meminta kemalangan itu didemonstrasikan semula dengan menggunakan model-model seperti model kereta dan pejalan kaki.

Untuk memahaminya, saya akan berikan contoh. Jika saya berkata seorang lelaki sedang duduk di atas kerusi. Secara spontan, minda anda akan membayangkan seorang lelaki sedang duduk di atas kerusi. Namun, lelaki, kerusi, cara duduk, pemandangan dan objek-objek lain dalam suasana itu mungkin berlainan bergantung dengan pengalaman masing-masing dan daya fantasi seseorang namun adegan yang digambarkan sudah tentu sama.

Itulah yang dimaksudkan oleh Wittgenstein; kata-kata yang dituturkan oleh manusia akan menggambarkan suasana-suasana seperti realiti dalam minda manusia bersandarkan maklumat-maklumat yang diterima melalui kata-kata yang disampaikan tersebut.

Masalah komunikasi boleh terjadi disebabkan oleh perkara ini. Yang pertama, boleh jadi bahawa kata-kata yang digunakan untuk menerangkan sesuatu itu terlalu rumit sehinggakan gambar yang terhasil dalam minda kedua-dua pihak tidak sama. Itulah sebabnya mahkamah di Paris itu menggunakan kaedah pendemostrasian semula menggunakan model supaya sidang mendapat gambaran yang sama.

Seterusnya, boleh jadi juga gambar yang tercipta di minda agak kabur dan tidak jelas. Ini membawa kepada kelahiran prasangka-prasangka akibat gambar yang tidak jelas. Hal ini kerana maklumat-maklumat yang disampaikan adalah tidak mencukupi untuk melengkapkan gambar tersebut. Itulah mengapa kita harus menyampaikan sesuatu dalam bentuk yang mudah difahami namun sarat dengan maklumat yang mencukupi (maaf sekiranya rencana ini tidak sedemikian rupa).

Akhir sekali, Wittgenstein mengatakan bahawa masalah komunikasi juga terjadi apabila orang menambah sendiri elemen-elemen dalam gambar tersebut. Ini tidak jauh lari daripada sebab yang kedua tadi. Ini selalu terjadi dalam penafsiran karya-karya seni oleh masyarakat.

Masyarakat sering sahaja menafsirkan perkara-perkara yang bombastik terhadap sesuatu karya tersebut sedangkan pengkaryanya hanya berperasaan biasa-biasa sahaja sewaktu menciptakan karya tersebut. Namun, kata Sapardi : kemenjadian sesuatu karya itu adalah apabila banyak interpretasi bermacam rupa yang dilontarkan oleh masyarakat sendiri.

Jika digabungkan ketiga-tiga punca ini, disimpulkan bahawa pokok kepada masalah komunikasi ini ialah salah faham. Salah faham dalam menggambar suasana yang sepatutnya hanya dengan berbekalkan maklumat-maklumat yang disampaikan.

Oleh itu, Wittgenstein hadir dengan satu penyelesaian iaitu kepentingan penguasaan bahasa. Kita dapat melahirkan lebih banyak rasa dan membantu manusia dalam penggambaran suasana mereka dengan baik apabila teknik penyampaian, penguasaan bahasa dan penggunaan kosa kata yang luas.

Dalam teknik studi Feynman juga, satu daripada elemennya ialah dapat menyampaikan sesuatu perkara dengan budak-budak dan mereka memahaminya adalah petanda bahawa kita sudah memahami sesuatu perkara tersebut. Ini menunjukkan bahawa penggunaan bahasa merupakan aspek penting juga  “Had kepada bahasa aku, ialah had kepada dunia aku,” kata Wittgenstein.

RUJUKAN:

1) Kisah 25 Filsuf Barat, Matluthfi, 2017

2) Wikipedia

3) Channel Youtube The School of Life

Artikel disumbangkan oleh Naiem Zikri untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.