Lubna: Wanita Muslim Dari Seorang Hamba Kepada Penasihat Raja

702

Lubna merupakan satu contoh yang baik untuk menampilkan seorang wanita yang berupaya membina namanya sendirian. Jika anda tidak pernah mendengar tentang beliau, mari luangkan masa sejenak untuk menambahkan lagi pengetahuan. Lubna merupakan seorang wanita kurun ke-10 yang kompeten dalam pelbagai lapangan. Beliau berkhidmat di istana diraja Andalusia pada zaman pemerintahan Dinasti Umayyah. Lubna adalah seorang penyair, pustakawati, ahli matematik dan juga setiausaha istana.

Walaupun ahli intelek wanita yang memegang kedudukan di istana diraja bukanlah suatu perkara yang aneh pada zaman Umayyah di Andalusia, akan tetapi ia juga bukanlah perkara kebiasaan. Lubna bukanlah satu-satunya wanita yang berkhidmat di istana sultan, akan tetapi beliau tergolong dalam kumpulan yang kecil itu.

Dalam erti kata lain, beliau merupakan seorang wanita yang berperibadi kuat dan mampu berdikari dengan keluasan pengalaman yang setara dengan mana-mana ahli politi atau pentadbir yang kita kenali pada hari ini. Jika beliau hidup di zaman moden, mungkin beliau berupaya melakukan sebarang pekerjaan.

Lubna hidup pada kurun ke-10 Masehi dan meninggal dunia pada tahun 984 Masehi. Beliau merupakan setiausaha istana peribadi Sultan Abd al-Rahman III dan puteranya. Beliau dilahirkan sebagai hamba perempuan yang berbangsa Sepanyol. Namun, beliau berupaya meningkat tangga prestij dan hidup di istana diraja Andalusia.

Memandangkan beliau tidak memiliki latar belakang kerabat diraja mahupun bangsawan, kedudukannya sebagai setiausaha peribadi sultan mengisyaratkan betapa tingginya kepercayaan dan penghormatan yang diberikan kepadanya. Beliau juga digalaskan tanggungjawab untuk menyelia perpustakaan diraja. Sebahagian sejarahwan menyebutkan bahawa beliau adalah pakar perolehan, dengan menguruskan lebih 500 000 buah buku di perpustakaan berkenaan. 

Beliau turut dilaporkan pernah mengembara ke seluruh Timur Tengah demi mendapatkan buku untuk ditambahkan ke dalam koleksi perpustakaannya. Antara lokasi yang pernah dikunjunginya adalah Kaherah, Damsyik dan Baghdad. Lubna merupakan salah seorang pengembara solo wanita yang pertama. Lebih daripada itu, perpustakaan yang diselia olehnya itu merupakan salah satu perpustakaan paling penting dan masyhur di zaman itu.

Menggalaskan tugas berkenaan di bahu seorang wanita menjadi bukti betapa besarnya kepercayaan yang diletakkan terhadap Lubna. Hal ini juga boleh menjadi hujah balas terhadap dakwaan yang mengatakan bahawa wanita Islam tidak diberikan penghormatan yang selayaknya sepanjang sejarah.

Sebagai seorang jurutulis, Lubna sempat menambahkan beberapa buah karya untuk dimasukkan ke dalam koleksi perpustakaan diraja Cordoba. Selain menyalin manuskrip, beliau turut menterjemahkan sejumlah teks sejarah Yunani yang amat penting, yang kalau bukan kerana sumbangannya itu, berkemungkinan ia hilang ditelan zaman.

Terdapat kisah yang menceritakan bagaimana beliau meluangkan masa di jalan-jalan di bandar Cordoba untuk mengajarkan kanak-kanak tentang persamaan matematik. Tidak dapat diragukan lagi bahawa beliau merupakan seorang guru yang sangat hebat dan berpengaruh memandangkan kanak-kanak yang diajarnya itu seringkali kembali bertemu dengannya untuk menuntut lebih banyak ilmu.

Lubna adalah seorang wanita yang amat unik kerana beliau mencapai kedudukan yang sangat tinggi walau berasal-usul daripada latar belakang sebagai seorang hamba. Beliau sesuai dijadikan sebagai ikon inspirasi buat Muslimah masa kini.

RUJUKAN:

Mvslim. (2 Julai 2017). This Muslim Woman was Born a Spanish Slave, Then Became a Royal Advisor. https://mvslim.com/muslim-woman-born-spanish-slave-became-royal-advisor/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.