Luahan Hati Seorang Doktor Tentang Dunia Perubatan

456

Sebagai seorang rakyat Malaysia, kita selalu terdengar aduan, komplen, kritikan dan kutukan daripada kalangan pesakit yang menjadikan topik/ masa menunggu sebagai fakta utama penulisan kecaman ini.

Masa menunggu nak berjumpa dengan doktor lama, masa nak ambil darah lama, masa ambulans ke tempat kejadian lama, masa nak mendapatkan ujian CT scan/MRI lama, segalanya lama, lambat dan lembab. Ya, senanglah kita menulis sedemikian tanpa mengetahui perihal yang berlaku di balik tabir.

Daripada perasaan kecewa, geram dan penuh kebencian kerana menunggu terlalu lama, mereka mulai menyerang staf secara personal. Memalukan mereka, menular kan wajah-wajah mereka dengan tuduhan dan fitnah mengatakan mereka makan gaji buta, suka melepak, berborak waktu kerja dan lain-lain.

Tapi, apakah sebabnya hal seperti ini terjadi? Setiap minggu, pasti ada beberapa kerat insan yang menularkan isu berkenaan hospital, klinik kesihatan, klinik gigi, inspektor kesihatan dan pejabat kesihatan daerah. Ini bermakna kementerian kesihatan Malaysia bermasalah bukan? Tetapi, jika dikira bermasalah, mengapa pula kementerian kesihatan Malaysia menjadi perkhidmatan kesihatan terbaik di dunia? Tak selari dengan komplen dan aduan bukan?

Ya, saya berkata, terbaik di dunia. Bukan terbaik di Asia tenggara, bukan terbaik di Asia, tetapi, terbaik di dunia! Mengapa? Mengapa tak selari dengan aduan? Jawapannya satu, iaitu disebabkan perkhidmatannya percuma.

Apabila sesuatu itu percuma, orang akan ambil mudah. Akan ‘take for granted’, dan mula misuse sistem yang diberikan ini. Saya tidak mahu ulas kes beberapa pihak yang memanggil ambulans untuk tukar tiub kencing pesakit, mahupun yang menyalahgunakan perkhidmatan ambulans untuk menghantar pesakit ke rawatan susulan, terutama yang mempunyai waris terdekat dan berkereta, dan dengan mudah mengatakan mereka sibuk.

Memandangkan benda percuma, semua salah anggap dan mulai salahguna. Namun, percuma ini pada pesakit, bukan pada kerajaan. Kerajaan membelanja jutaan ringgit setahun untuk membiayai kos perubatan, pembelian alat, pengambilan staf dan gaji pekerja. Apa yang berlaku kini adalah lambakan doktor dan graduan bidang kesihatan. Bukan lambakan dalam hospital, tetapi lambakan di luar kerana mereka tidak mampu menampung untuk membayar gaji pekerja-pekerja kesihatan.

Mereka tidak mampu membeli aset alatan-alatan diagnostik seperti CT Scan, MRI dan lain-lain. Alatan seperti itu memerlukan maintenance, dan memerlukan wang ringgit lagi. Ada pesakit perlu dipindahkan dan dihantar ke hospital lain untuk membuat prosedur kerana tiada kemudahan atau mesin-mesin untuk mendiagnos penyakit mereka di beberapa tempat.

Pemindahan pesakit semata-mata untuk membuat prosedur ini menambah lagi risiko penglibatan dalam kemalangan jalan raya. Pesakit perlu ditemani dengan Medical Assistant atau jururawat, sebuah ambulans beserta pemandunya dan masa yang diperuntukkan untuk memindahkan pesakit menyebabkan hospital kelihatan seperti tidak cukup staf. Namun, apa tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk membantu mengurangkan bebanan ini supaya pesakit lain yang lebih memerlukan, dapat rawatan yang sebetulnya?

Jawapannya, makanlah ubat yang diberikan. Ikutlah aturan dan pesanan doktor supaya penyakit tidak menjadi semakin teruk. Saya terkesan dengan satu gambar yang dikongsikan oleh seorang MA daripada klinik kesihatan kerajaan, MA Shazree (https://www.facebook.com/shazree.atan). Begini, biar saya cerita sedikit dahulu.

Pesakit ini mempunyai beberapa penyakit seperti tekanan darah tinggi dan tahap kolesterol yang tinggi. Penyakit ini dikaitkan dengan serangan jantung dan angin ahmar, justeru doktor memberi preskripsi beberapa jenis ubat bagi mengawal tekanan darah dan kolesterol. Malangnya, setiap kali rawatan susulan, pesakit kata dia makan ubat mengikut aturan, dan doktor pun percaya, dan mulai melihat bacaan tekanan darah dan keputusan ujian darah yang menunjukkan tahap kedua-duanya masih tinggi. Jadi, doktor menambah jumlah dos ubat berkenaan, dengan harapan dapat mengawal semula penyakit ini.

Setelah berbulan pesakit diberi ubat ini, masih lagi tiada perubahan pada tekanan darah dan bacaan lemak dalan darah. Apabila ditanya, kedua-dua pesakit dan waris ya mengaku mengambil ubat mengikut waktu yang ditetapkan. Doktor jadi bingung, dan akhirnya, satu hari, ketika itu, kempen pemulangan ubat jika tidak digunakan dimulakan, dan pesakit ini memulangkan ubat yang diberi doktor beberapa bulan lepas, sehinggakan ada yang telah melepasi tarikh luput. Daripada situ, maka pecahlah tembelang bahawa sememangnya pesakit sebenarnya langsung tidak mengambil ubat-ubatan yang diberikan.

Apa kesan dan implikasinya? Satu, ubat yang melepasi tarikh luput rugi begitu sahaja. Dua, waktu konsultasi seorang doktor yang digunakan untuk pesakit ini terbazir begitu sahaja (ingat, masa itu emas, masa itu ada kosnya yang tersendiri). Tiga, pesakit akan mempunyai risiko tinggi untuk mendapat komplikasi, dan jika terkena angin ahmar atau serangan jantung, pihak hospital perlu menyediakan rawatan yang memakan kos yang jauh lebih tinggi seperti angiogram untuk pesakit jantung mahupun rehabilitasi yang melibatkan ahli fisioterapi, occupational therapist, dan lain-lain sekiranya pesakit terkena angin ahmar.

Tiga benda ini untuk satu pesakit pun dah memakan jumlah masa dan wang yang tinggi, inikan pula sekiranya puluhan, ataupun ratusan pesakit yang bersikap sebegini. Apa yang mereka jangkakan dengan perlakuan ini?

Duit pembelian ubat boleh disalurkan ke bahagian lain untuk membeli alatan terbaru, mesin diagnostik terbaru serta pengambilan staf yang baru untuk mengatasi masalah overwork pekerja-pekerja kesihatan ini. Walhal, apa yang harus dilakukan oleh pesakit dan waris hanyalah bersikap jujur, kalau tak mahu makan ubat, cakaplah. Kalau tak perlu follow up dan nak jadi doktor sendiri, apa sebab anda nak ke klinik dan hospital? Kenapa anda nak buang masa staf kesihatan.

Apabila lambat, anda marah-marah, walhal, kelewatan ini, salah satu punca utamanya adalah kerana lambakan pesakit. Bilangan ratio pesakit dan perawat yang jauh. Siapa anda harus marah jika anda menunggu lama? Doktor? MA? Jururawat? PPK? Tidak! Anda nak cepat, anda marah pesakit lain. Ya, silakan marah mereka.

Anda sakit perut dan ke rawatan kecemasan. Doktor lambat melihat anda kerana ada kecemasan di zon merah. Seorang pesakit tua muntah darah. Ya, pergi lah ke pesakit tersebut, marah dia. Mengapa dia mengambil masa doktor semua dan time anda sakit perut tu jugalah dia nak muntah darah. Inilah analogi dan perumpamaan untuk mereka yang marah-marah dan tak tahu sabar untuk mendapatkan rawatan.

Seperti mana and semua menyalahkan pekerja kesihatan kerana lembab, mereka boleh menyalahkan anda, seorang pesakit kerana tak makan ubat, datang temu janji bukan pada tarikhnya, menipu pekerja kesihatan dan lain-lain. Ya, saya kini tidak berada di sektor ini, cuma saya rasa terpanggil dan sakit hati melihat perangai sesetengah pesakit yang memang ambil mudah, ambil kesempatan terhadap benda percuma. Bukan semua, bukan kebanyakkan, tetapi segelintir sahaja yang bersifat sebegini mengakibatkan semua pesakit terpaksa menanggung kelewatan dalam menerima rawatan.

Jadi, makan ubat mengikut masa yang ditetapkan. Anda nak mudahkan lagi, saya ada sediakan borang untuk and print dan isi untuk memudahkan lagi proses menerima rawatan bagi waris anda atau pesakit sendiri. Boleh ambil di pautan ini

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=152836979097891&id=100031147681156

Kita tolong-menolong para doktor dan staf, kerana pertolongan kita ini akan menjadi pertolongan untuk pesakit lain juga. Jadi, itu sahajalah yang saya ingin kongsikan dalam penulisan kali ini. Anda ada apa-apa cadangan dan teguran? Silakan ke peti aduan di setiap hospital, tinggalkan nama dan nombor telefon anda supaya and boleh menerima update daripada aduan anda. Jangan marah pula aduan tak diambil tindakan sekiranya anda tidak meninggalkan nombor telefon and untuk dihubungi.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.