Apabila berbicara tentang lagu yang sedap sehingga menjadi malar segar, pasti nama penulis lirik dan komposernya kurang didendang. Namun, perkara ini berbeza buat satu pasangan penulis lirik dan komposer yang sangat berpengaruh di Malaysia. Memperkenalkan Loloq dan M.Nasir yang banyak mencorakkan industri seni tanah air. Siapa mereka berdua ini?

Rosli bin Khamis atau lebih dikenali sebagai Loloq dilahirkan di Singapura pada sekitar tahun 1958. Perjalanan awal Loloq dalam mendaki kerjaya sebagai seorang penulis lirik bermula dengan hanya melepak bersama Zaen Kasturi, Rashdan Baharom dan Aru Perruza di Central Market.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Buat pengetahuan anda semua, Zaen Kasturi merupakan seorang penulis yang sangat terkenal dengan penghasilan cerpen-cerpen eksprimental. Rashdan pula merupakan vokalis kumpulan Punisher dan Aru Perruza adalah vokalis Koffin Kanser. Ketiga-ketiga individu ini ada memberikan pengaruh kepada Loloq untuk hasilkan lirik yang cukup bagus. Loloq bernasib baik apabila berjumpa dengan M.Nasir. Sejak itu mereka menjadi game changer bagi industri muzik tanah air.

Loloq juga dikenali dengan nama pena Nurbisa dan Cenderawasih. Loloq dikatakan banyak memasukkan unsur sufisme dalam karya tulisannya tetapi dakwaan ini masih belum lagi dapat dibuktikan. Menurut Budhi Hekayat (2011), terdapat sebilangan penulis lirik yang mencuba mengangkat darjat karya mereka ke harakat tasawuf dan sufisme. Situasi sedemikian dapat dilihat melalui lagu-lagu yang ditulis oleh Loloq. Unsur-unsur sufisme yang diterapkan dalam penulisan beliau kadang kala sangat sukar untuk difahami oleh pendengar kerana mengunakan laras bahasa lama.

Dalam penghasilan lirik menggunakan bahasa lama, Loloq mendapat banyak tips daripada Zaen Kasturi. Malah Loloq juga turut memasukkan teknik naratif klasik cerpen dan puisi dalam lirik beliau hasil pengaruh Zaen Kasturi. Sebagai contoh anda boleh kesan aksara yang kurang difahami dalam lagu beliau seperti “kelodan” melalui lagu Julia dan “gita kama” dalam lagu Di Ambang Wati. Kedua-dua frasa membawa maksud tahi bintang dan lagu cinta . Oleh sebab itu beliau pernah berkata, adalah menjadi kepuasan apabila berjaya memaksa kumpulan rock membuka kembali kamus bahasa Melayu (Zainuri Misfar dan Rozdan Mazalan, 2008).

Bukan itu sahaja, Loloq juga banyak menghasilkan lirik yang agak keras dan penuh dengan bahasa pasar. Kalau tidak percaya, anda boleh dengarkan lagu Zen Bikin Wilayah dan Kacap Terlabik. Sekarang kita beralih pula kepada sifu M.Nasir.

Mohamad Nasir bin Mohamad atau lebih dikenal sebagai M.Nasir merupakan antara komposer yang paling berjaya di Malaysia. M.Nasir mula terdedah dengan muzik apabila abangnya seringkali memainkan lagu daripada Bob Dylan, Pink Floyd dan The Beatles ketika kecil. Hal ini mendorong M.Nasir meminati muzik dan berjaya memiliki album pertama iaitu Mohamad MN pada 1979. Walau bagaimanapun, album ini gagal mendapat tempat di pasaran. M.Nasir tidak mengalah apabila berjaya membentuk kumpulan folk rock marhaen iaitu Kembara dengan gabungan beliau bersama A.Ali, S.Sahlan, Abby Ali dan Eddie Ali. Kumpulan ini tampaknya agak berjaya dengan album sulung mereka terjual sebanyak 25,000 unit. Antara lagu kumpulan Kembara yang paling terkenal adalah Ekspres Rakyat.

Selepas pembubaran Kembara, M.Nasir mula serius dalam penulisan lirik dan penghasilan lagu. Sebenarnya M.Nasir sudah terlibat lebih awal dengan penulisan lirik dan penghasilan lagu melalui Hujan nyanyian Sweet Charity. Bermula sejak itu M.Nasir berjaya menghasil lirik dan lagu yang dianggap sebagai mahakarya. Salah satunya adalah Srikandi Cintaku dendangan kumpulan Bloodshed. Bagi penulisan lirik pula, Tiara nyanyian kumpulan Kris boleh dikatakan antara yang terbaik. Frasa “Jika kau bertemu aku begini, berlumpur tubuh dan keringat membasah bumi” cukup membuktikan lirik yang dihasilkan oleh beliau sangat berkualiti. Sehingga ke hari ini, sukar untuk kita melihat lirik seumpama itu wujud dalam lagu.

Menurut Samilah Ibrahim (n.d), lagu ciptaan M.Nasir memiliki kualiti tinggi dan puitis walaupun liriknya ditulis oleh individu lain seperti Loloq. Beliau juga boleh dianggap sebagai penggubah lagu paling berpengaruh di Malaysia dan Singapura melalui 2000 buah lagu yang telah dihasilkannya (Azlan Mohamed Said, 2015). Salah satu mahakarya terunggul M.Nasir adalah lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud. Lagu ini mengambil inspirasi daripada Musyawarah Burung karya Faraduddin Attar.

Lagu ciptaan beliau seperti Di Sebalik Cermin Mimpi dikatakan memiliki pengaruh daripada Hamzah Fansuri melalui aliran sufi Wahdatul Wujud. Namun begitu, dakwaan ini masih tidak mampu lagi dibuktikan oleh mana-mana pengkaji. Bukan itu sahaja, karya beliau juga banyak dipengaruhi oleh gagasan sufisme Ibnu Arabi melalui buku Al-Futuhat al-Makkiyah dan Fushush al-Hikam (Hanim Mohd Salleh, 2018). Gandingan mantap antara M.Nasir dan Loloq telah menghasilkan pelbagai lagu yang boleh dianggap sebagai mahakarya seperti Kias Fansuri.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Penulis lirik seperti Loloq, M.Nasir dan S.Amin Shahab adalah pelopor kepada penghasilan lirik lagu sufisme di Malaysia. Lagu ciptaan mereka seperti Di Ambang Wati nyanyian Wings dan Umpama Mimpi Dalam Mimpi nyanyian Damasutra masih lagi menjadi perdebatan sama ada memiliki unsur sufisme atau tidak. Sehingga kini mereka tidak pernah mendedahkan bahawasanya lagu itu dipengaruhi oleh sufisme. Unsur sufisme yang telah dimasukkan itu menyebabkan lagu-lagu yang berasal daripada era 80-an sehingga 90-an terus kekal relevan.

Walau bagaimanapun, pemergian Loloq membuatkan M.Nasir menjadi sedikit perlahan dalam industri muzik. Mungkin juga M.Nasir belum menjumpai gandingan sebagus Loloq. Apa-apapun perjuangan M.Nasir dalam muzik masih lagi diterusan dengan adanya Luncai Emas. Syarikat rakaman ini merupakan penaung pemuzik indie berbakat seperti Iqbal M, Margasatwa dan Ramayan. Bayangkan jika Loloq masih ada, mungkin ketiga-tiga kumpulan ini mampu ulangi kejayaan Spider di awal era 2000an.

RUJUKAN:

Azlan Mohamed Said. (2015). Yang Terukir Bahasa dan Persuratan Melayu. Dipetik dari https://www.mbms.sg/en/-/media/mlc/documents/yang-terukir-ebook-master—23-nov-2015.pdf.

Buddhi Hekayat. (2011). Loloq- Lirik ata Puisi, Tuhan atau Manusia. Dipetik dari http://jalantelawi.com/2011/04/loloq-lirik-atau-puisi-tuhan-atau-manusia/.

Hanim Mohd Salleh. (2018, Julai 8). Tarekat seni M.Nasir perlu didokumentasikan. Berita Minggu Singapura. Dipetik dari https://www.nafa.edu.sg/media/2018/BeritaMinggu08Jul18.pdf.

Zainal Rashid Ahmad. (2020, Mei 25). KLWBC: Loloq si narator lirik seribu cerita. Dipetik daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/klwbc-2020-loloq-si-narator-lirik-seribu-cerita-244178

Zainuri Misfar & Rozdan Mazalan. (2008, Januari 31). Belasungkawa Loloq (1957-2008): Hilangnya penulis kreatif. Berita Harian.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang marhaen dari UITM Puncak Perdana yang meminati sejarah, sastera, falsafah, sukan, muzik dan ekonomi. Mata pena lebih tajam daripada mata keris dan menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa sahaja.

Comments are closed.