Lisan Al-Din Al-Khatib: Ulama Yang Dibunuh Dua Kali, Dikubur Dua Kali

6,544

Tragis, cukup tragis, itulah perkataan yang mampu kita katakan apabila mendengar kisah kematian seorang ulama Sepanyol (Al-Andalus) yang tersohor iaitu Lisanuddin Al Khatib.

Sedikit Pengenalan

Nama beliau yang sebenar ialah Muhammad bin Abdullah bin Said bin Ali bin Ahmad Al Salmani.  Beliau dilahirkan di Kota Loja berdekatan dengan Granada pada 1312 dan meninggal dunia di Fez pada 1374.. Beliau merupakan Ulama polymath yang hidup pada zaman kejatuhan Islam di Al Andalus..

Polymath bermaksud beliau telah menguasai pelbagai cabang ilmu seperti Fiqh, Usul Fiqh, Hadis, Tafsir dan Nahu untuk ilmu agama dan Sejarah, Falsafah, Perubatan, Politik dan Muzik untuk ilmu dunia.

Lisanuddin bermaksud lidah agama kerana kepetahannya dalam berkata-kata dan gaya bahasanya yang cukup indah ketika membuat bait-bait puisi dan syairnya. Manakala gelaran Al-Khatib bermaksud anak kepada khatib. Ayah beliau merupakan seorang Khatib.

Menceburi Bidang Politik

Beliau mula memasuki arena politik Al-Andalus selepas Ibn Jayyab melantiknya sebagai pembantunya kerana ketika itu Al-Khatib sedang mengalami kemurungan setelah ayah dan abangnya syahid dalam Pertempuran Salado (1340).

Malah lagi mendukacitakan, umat Islam telah kalah teruk dalam peperangan ini. Sungguhpun kerajaan Granada dan Kesultanan Maghribi bergabung tenaga untuk menentang kerajaan Kristian Castille dan Portugal, mereka tetap kalah dan ramai yang terkorban.

Ibn Al Khatib telah berkhidmat dengan cemerlang dan kebijaksanaannya dalam bidang diplomasi dengan melunakkan Kerajaan Castille dan Aragon telah menstabilkan kerajaan Nasriyyah iaitu kerajaan Islam terakhir di Al-Andalus.

Beliau telah berkhidmat kepada Amir Yusuf I dan menjadi guru kepada anaknya iaitu Muhammad V. Pada 1354, baginda telah dibunuh ketika sedang solat dan takhta kerajaan diserahkan kepada Amir Muhammad V. Namun, sayang sekali telah beliau dipecat dan dibuang ke Banu Marin di Sale, sebuah perkampungan Sufi di Maghribi, setelah Amir Muhammad V digulingkan pada 1359..

Jarum Kebencian Mula Dicucuk dan Disulam

Beliau dilantik semula menjadi Wazir Pentadbiran dan Wazir Ketenteraan setelah Amir Muhammad V kembali berkuasa pada 1362.. Dengan ini pengaruh Ibn Khatib menjadi semakin besar dan kukuh.. Ketika ini beliau terkenal dengan gelaran Al wizaratayn iaitu dua menteri.

Kerana rasa dengki dengan kejayaan Ibn Khatib, Ibn Zamrak (Pembantu Ibn Khatib) memulakan komplot konspirasi untuk menjatuhkan Ibn Khatib dan berjaya mempengaruhi Amir Muhammad V. Jahat bukan? Sedangkan Ibn Zamrah merupakan pembantu kepercayaan Ibn Al Khatib.

Ibn Khatib kemudiannya dituduh sesat dan semua kitab tulisannya dibakar. Dengan hati yang berduka beliau berjaya meloloskan diri ke Istana Banu Marin dan menjadi pelarian di sana..

Dua Kali Kematian, Dua Kali Dikubur

Setelah Pembesar Banu Marin didesak beberapa kali oleh Amir Muhammad V dan Ibn Zamrak dengan melabel Ibn Khatib sebagai Zindiq yang berbahaya, akhirnya Ibn Khatib dipenjarakan. Beliau diseksa dengan kejam dan dibunuh dengan dijerut lehernya.

Kemudian segera dikuburkan di Bab Al Mahruq di Fez. Namun, seolah-olah belum lagi puas dengan nafsu dendam mereka, mayat Ibn Khatib digali semula dan dibakar hingga hangus sebelum dikuburkan semula di tempat yang sama.

Kematian yang cukup tragis ini cukup memilukan hati sahabat karibnya, Ibn Khaldun. Sebuah syair telah beliau tulis didedikasikan kepada Ibn Khatib. Syair tersebut berbunyi:

Jadi, bagitahulah kepada musuh, “Ibn Khatib telah mati, tapi adakah kalian tidak akan mati juga nanti?” 

Maka khabarkanlah kepada mereka yang meraikan berita ini, “Hanya mereka yang rasa mereka takkan mati akan meraikan berita ini!”

Moga Allah merahmati perjuangan Ibn Khatib yang telah dikhianati. Walaupun mayatnya dibakar, namun legasi pemikirannya tidak terhapus kerana masih banyak lagi buku-bukunya yang ada sampai sekarang.

RUJUKAN: 

Auni bin Haji Abdullah. (2018). Ulama Melawan VS Ulama Tertawan

Robert Irwin. (2018). Ibn Khaldun an Intelectual Biography. M/S 36.

Robert Irwin. (2018). The Alhambra. M/S 85-86.

Louis Werner dan Hamid Triki. (2015). Travelers Of Al-Andalus. AramcoWorld. https://www.aramcoworld.com/Articles/November-2015/Travelers-of-Al-Andalus-Part-VI-The-Double-Live

Artikel kiriman Dinieland untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.