Alam Melayu merangkumi sebuah kawasan kepulauan yang sangat luas yang meliputi hampir keseluruhan kepulauan Asia Tenggara, di samping kepelbagaian etnik Melayu yang mempunyai identiti mereka sendiri tetapi mereka disatukan dalam himpunan satu ikatan bangsa yang sama. Bangsa Melayu adalah bangsa pelayar dan kepulauan Alam Melayu adalah “kediaman besar” mereka. Mereka bebas merantau dan berdagang tanpa batasan negara seperti sekarang. Etnik Bugis adalah antara etnik Melayu yang terkenal dengan dunia pelayaran.

Dalam budaya mereka, terdapat satu semangat yang dikaitkan dengan dunia pelayaran yang mereka kenali sebagai “pesompe’.” Kapal pelayaran mereka yang terkenal dalam alam Melayu dikenali sebagai Phinisi. Negeri masyarakat Bugis ialah selatan Sulawesi, dan ibu kota dan pelabuhannya ialah Makassar dan Gowa. Pada pertengahan abad ke-17, pusat kerajaan Makassar ditakluk oleh pihak Belanda dan menyebabkan penghijrahan besar-besaran masyarakat Bugis kerana mereka tidak rela tinggal di bawah penaklukan Belanda dan mereka juga tidak bebas berdagang di pelabuhan mereka sendiri.

Dalam kitab Tuhfat an-Nafis, tiada cerita berkenaan penglibatan kelima-lima orang putera diraja Bugis dalam peperangan tersebut. Kemungkinan ketika itu, ayahanda mereka, Daeng Rilaga @ Rilekkek membawa mereka merantau ke negeri-negeri di Sulawesi, Borneo dan Kepulauan Laut Cina Selatan. Menurut Kitab Tuhfat al-Nafis, Daeng Rilaga merupakan salah seorang kerabat diraja Bugis-Luwu-Bone yang didakwa bersusur galur daripada keturunan Ratu Balqis pada zaman Nabi Sulaiman. Beliau dikurniakan lima orang putera yang sentiasa dibawa belayar bersama-sama. Kelima-lima orang putera tersebut bernama Opu Daeng Perani sebagai kakanda sulung, kedua Opu Daeng Menambun, ketiga Opu Daeng Marewah, keempat Opu Daeng Chelak dan adinda bongsu mereka ialah Opu Daeng Kemasi.

Penglibatan lima orang putera Bugis bersaudara dalam Kesultanan Johor

Johor adalah salah satu kuasa yang digeruni dan kesultanannya adalah legasi daripada Kesultanan Melaka. Walau bagaimanapun, Kesultanan Johor ketika awal abad ke-18 mula diperintah oleh sultan daripada keturunan Bendahara Johor. Ancaman daripada Siak menyebabkan Raja Muda Johor ketika itu, Raja Sulaiman, mengundang kelima-lima orang putera tersebut ke Johor untuk membantu baginda menghadapi ancaman tersebut.

Sebelum mereka menyatakan persetujuan mereka membantu kerajaan Johor, kedua-dua belah pihak telah membuat perjanjian dan bersetuju bahawa sekiranya Johor berjaya memenangi ancaman tersebut, maka salah seorang daripada kelima-lima mereka akan dilantik sebagai Yamtuan Muda (Yang Dipertuan Muda) yang nasihat mereka akan sentiasa diikuti oleh sultan dan jawatan tersebut akan kekal sehingga ke anak cucu. Setelah tentera Johor berjaya mengusir tentera Siak dengan bantuan tentera Bugis pimpinan kelima-lima orang putera Bugis tersebut, maka pada tahun 1722, Opu Daeng Marewah telah dipilih oleh mereka menjawat jawatan sebagai Yang Dipertuan Muda Johor yang pertama dan bermulalah dinasti Yang Dipertuan Muda Bugis bersama-sama Sultan Johor memerintah Johor sehingga akhir abad ke-19. Setelah itu, kelima-lima mereka menabalkan Raja Sulaiman sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Perihal ringkas kelima-lima orang putera Bugis tersebut

  1. Opu Daeng Perani ialah kakanda sulung. Selepas kemangkatan ayahanda mereka, beliau bertanggungjawab menjaga keempat-empat orang adindanya. Beliau telah menolak jawatan Yamtuan Muda dengan alasan beliau sudah berusia dan menyerahkan jawatan tersebut kepada adinda-adindanya yang lain. Walau bagaimanapun, beliau dilihat banyak membantu pentadbiran Yamtuan Muda dan terus menetap di Riau. Ketika pemerintahan adindanya, Daeng Marewah, beliau bersama ketiga-tiga adindanya yang lain telah banyak kali memimpin tentera Johor membantu Sultan Kedah ketika itu iaitu Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II menghadapi ancaman perang saudara dan Siak di Kedah. Disebabkan untuk membalas jasa, Sultan Kedah telah mengahwinkan adindanya dengan Daeng Perani. Dalam satu peperangan menentang tentera Siak, beliau telah syahid terkorban dan dimakamkan di sana.

 

  1. Opu Daeng Menambun ialah kakanda kedua. Sebelum kedatangan kelima-lima mereka ke Johor atas undangan Raja Sulaiman, mereka berlima telah membantu Sultan Zainuddin iaitu Sultan Kerajaan Matan di Kalimantan menangani peperangan di sana. Baginda kemudiannya telah mengahwinkan puterinya yang bernama Puteri Kesumba dengan Daeng Menambun. Ketika pentadbiran Daeng Marewah sebagai Yamtuan Muda di Johor, Daeng Menambun dan adinda bongsunya, Daeng Kemasi telah berlayar ke Sambas di Kalimantan atas undangan daripada Sultan Kerajaan Sambas ketika itu, Sultan Umar Akamuddin I, yang berhasrat untuk mengahwinkan puterinya, Raden Tengah dengan salah seorang daripada kelima-lima orang putera tersebut. Disebabkan Daeng Menambun telah berkahwin dengan Puteri Kesumba iaitu puteri kepada Sultan Zainuddin, maka beliau menolak tawaran tersebut dan mencadangkan adinda bongsunya iaitu Daeng Kemasi supaya dikahwinkan mereka berdua. Selepas perkahwinan adindanya, beliau ke Matan dan ditabalkan oleh Sultan Zainuddin sebagai Raja Mempawah pada tahun 1737 dengan gelaran Pangeran Emas Seri Negara. Beliau menjalankan pemerintahannya berdasarkan hukum agama Islam sehinggalah beliau mangkat pada tahun 1761.

 

  1. Opu Daeng Marewah adalah kakanda yang tengah atau yang ketiga. Beliau telah dipilih sebagai Yamtuan Muda Johor yang pertama dengan gelaran Sultan Alauddin Shah Raja Muda dan mentadbir Johor bersama sultan selama enam tahun. Sebelum dipilih dan dilantik sebagai Yamtuan Muda Johor, beliau telah mendapat gelaran Kelana Jaya Putera kerana membantu pihak Belanda menewaskan Pariaman di Kepulauan Jawa. Beliau dikahwinkan dengan Cik Ayu, balu kepada Sultan Mahmud Shah II. Ketika pentadbirannya sebagai Yamtuan Muda, beliau telah mewakilkan Raja Tua Daeng Menampok untuk menabalkan Tun Zainal Abidin, ayahanda saudara Sultan Sulaiman sebagai Sultan Terengganu yang pertama dengan gelaran Sultan Zainal Abidin I. Sepanjang pentadbirannya, beliau telah berjaya mematahkan serangan-serangan daripada Raja Siak ke atas Johor.

 

  1. Opu Daeng Chelak adalah adinda yang kedua bongsu. Ayahanda mereka (dalam hikayat lain Daeng Menambun) bermimpi bahawa ‘kemaluan Daeng Chelak menjulur menjadi naga dan kepala naga tersebut mengadap kearah barat.’ Ini menandakan bahawa daripada keturunan beliau, lahirnya pemimpin-pemimpin yang hebat dalam sejarah kesultanan di Semenanjung Tanah Melayu. Ini terbukti kerana enam daripada 10 orang dalam dinasti Yamtuan Muda adalah daripada keturunannya. Daripada keturunannya jugalah lahirnya sultan-sultan Johor daripada dinasti Temenggung Johor sehingga kini dan Kesultanan Riau-Lingga. Puteranya, Raja Lumu, ditabalkan oleh Sultan Perak sebagai Sultan Selangor yang pertama dengan gelaran Sultan Salehuddin. Daeng Chelak ditabal sebagai Timbalan Yamtuan Muda pada zaman pentadbiran kakandanya Daeng Marewah sebelum beliau ditabal sebagai Yamtuan Muda kedua pada tahun 1728 selepas kemangkatan kakandanya itu. Beliau dikahwinkan dengan Tengku Mandak, adinda Sultan Sulaiman. Beliau memegang jawatan tersebut selama 17 tahun sebelum kemangkatannya. Sepanjang pentadbiran beliau sebagai Yamtuan Muda, pelabuhan Johor di Riau amat maju dan penuh dengan kapal-kapal dagang yang membawa pelbagai jenis barang dagangan.

 

  1. Opu Daeng Kemasi ialah adinda yang paling bongsu. Bersama kakandanya, Daeng Menambun, mereka berlayar ke Sambas di Kalimantan atas undangan Sultan Umar Akamuddin I yang berniat untuk mengahwinkan puterinya, Raden Tengah kepada salah seorang daripada mereka. Atas cadangan kakandanya, Daeng Kemasi dikahwinkan dengan Raden Tengah dan dilantik sebagai Pembesar Kerajaan Sambas dengan gelaran Pangeran Mengkubumi.

Kita dapat lihat di sini ketokohan kelima-lima orang putera Bugis bersaudara. Mereka adalah pemimpin yang kuat bukan sahaja dari segi ketenteraan, bahkan mereka juga pemimpin yang berwibawa. Sepanjang sejarah mereka di Johor, berapa banyak ancaman daripada luar seperti Siak dan juga ancaman daripada dalam seperti sekumpulan orang-orang Melayu Johor sendiri berjaya dipatahkan dan juga diselesaikan dengan bijaksana. Pertahanan kerajaan Johor yang sebelum itu lemah menjadi ‘kebal’ semasa pentadbiran mereka di Johor.

Selain daripada bantuan ketenteraan, mereka menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan-kerajaan lain melalui ikatan perkahwinan dan kekeluargaan. Kita juga dapat lihat bagaimana luasnya pengaruh kelima-lima orang putera bersaudara tersebut dalam banyak kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu dan Kalimantan seperti Kedah, Perak, Matan dan Sambas, bahkan mereka juga memainkan peranan yang besar dalam pengasasan beberapa kesultanan di Tanah Melayu.

Sekurang-kurangnya dua orang Sultan Terengganu yang pertama ditabalkan melalui kuasa Yamtuan Muda Johor. Kesultanan Johor dan Selangor sehingga kini adalah daripada keturunan mereka (keturunan Daeng Chelak dan Daeng Perani). Bahkan Kesultanan Riau-Lingga yang pernah wujud suatu ketika dahulu sebagai kerajaan Melayu yang kaya dengan karya-karya agama dan kesusasteraan juga legasi daripada keturunan mereka (Yamtuan Muda Johor). Rujuk rujukan-rujukan ilmiah di bawah untuk mengetahui lebih lanjut lagi sejarah mereka yang penuh dengan kehebatan dan konflik.

Dalam sejarah mereka, kita dapat lihat bagaimana mereka bersatu sebagai adik-beradik dan juga bersatu bersama sebagai pemimpin dalam menentang musuh. Sebagai contoh, dalam Kitab Salasilah Melayu dan Bugis, Daeng Perani pernah mengatakan bahawa mereka lima beradik ibarat lima badan satu nyawa.

Pada zaman pemerintahan Daeng Menambun sebagai Raja Mempawah, beliau pernah memohon bantuan daripada kedua-dua orang adindanya daripada dua kerajaan iaitu Daeng Chelak sebagai Yamtuan Muda Johor ketika itu dan Daeng Kemasi sebagai Pembesar Sambas untuk menghadapi ancamana daripada tentera Dayak daripada Kerajaan Pinang Sekayuk pimpinan pemerintah kerajaan tersebut iaitu Pangeran Dipati. Ketiga-tiga pasukan tentera daripada Mempawah, Johor dan Sambas pimpinan ketiga-tiga putera bersaudara tersebut bersatu menentang musuh yang sama dan mereka berjaya memenangi peperangan tersebut. Turut bersekutu dengan mereka ialah tentera Ratu Bagus iaitu Pemerintah Kerajaan Landak. S

elepas peperangan tersebut, kaum Dayak yang terlibat diajarkan agama Islam. Jika Kesultanan Melaka mempunyai lima orang pahlawan bersaudara (seperguruan) iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu, maka ketahuilah bahawa dalam sejarah Kesultanan Johor juga mempunyai lima orang putera Bugis bersaudara.

——————————————

Rujukan

Raja Ali Haji, diselia oleh Virginia Matheson Hooker, Tuhfat al-Nafis, Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998.

Muhammad Hafiz Samsudin, “Sejarah Pengaruh Dinasti Yang Dipertuan Muda Bugis dalam Kesultanan Johor dan Riau-Lingga Pada Abad ke-18-19 M,” Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda seliaan Dr. Nurulwahidah Fauzi, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2013.

Abdullah @ Zakaria Ghazali, “Johor dan Kepulauan Riau: Berlainan Negara Tetapi Bersaudara,” dalam Malaysia dari Segi Sejarah, Bil. 39, Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 2011, hlm. 82-90.

Ahmad Farhan Abdullah @ Zakaria, “Opu Bugis Lima Bersaudara: Peranan Daeng Menambun ibni Daeng Rilekkek dalam Kerajaan di Alam Melayu Pada Abad ke-18,” dalam Malaysia dari Segi Sejarah, Bil. 39, Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 2011, hlm. 41-68.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

4 Comments

  1. Tengku Mahmud on

    anda mengatakan daeng perani syahid di kedah ketika menentang siak. Syahid ini utk istilah mereka yg meninggal ketika berperang demi agama. Apakah anda waras dan sihat pemikiran dgn menggelarkan daeng perani sbg syahid? Adakah beliau menentang siak demi agama?

  2. Tengku Mahmud on

    anda mengatakan daeng perani syahid di kedah ketika menentang siak. Syahid ini utk istilah mereka yg meninggal ketika berperang demi agama. Apakah anda waras dan sihat pemikiran dgn menggelarkan daeng perani sbg syahid? Adakah beliau menentang siak demi agama?

Leave A Reply