Jika disebut tentang penemuan-penemuan arkeologi, tiada negara yang boleh menandingi negara Mesir. Mesir menyimpan khazanah sejarah yang amat besar, melibatkan banyak penemuan penting lagi misteri; bermula daripada Batu Rosetta, hingga ke Lembah Raja-Raja, hingga ke piramid-piramid gergasi di Giza. Makam-makam yang berlimpahan dengan harta karun dari zaman silam serta pelbagai jenis kuil yang menarik menjadi bukti kekayaan tamadun Mesir purba.

Walaupun kita masih belum menemukan keajaiban dunia yang lain kecuali Piramid Giza, ahli-ahli arkeologi terus berupaya menjumpai banyak artifak purba dan tapak arkeologi penting yang usianya melangkaui Zaman Pertengahan. Penemuan lama dan penemuan baru ini mengisyaratkan kepada kita bahawa Mesir masih menyimpan banyak khazanah sejarah. Justeru, kami berhasrat mahu mengedepankan beberapa penemuan mengagumkan dari tamadun agung ini.

Makam Tutankhamun menyimpan banyak artifak

MAKAM TUTANKHAMUN

Tanpa dapat dinafikan, Makam Tutankhamun merupakan ‘perigi’ yang menyimpan khazanah purba. Ia ditemui pada tahun 1922 oleh Howard Carter dan pasukan arkeologinya. Sehingga ke hari ini, makam tersebut masih memegang status sebagai khazanah sejarah paling masyhur yang pernah dijumpai dari Mesir purba. Antara harta karun yang ditemui dalam makam ini adalah topeng misteri milik firaun Tutankhamun, firaun yang era pemerintahannya komited dalam menyebarkan agama politheisme dalam kalangan rakyat. Artifak-artifak yang dijumpai dalam makam Tutankhamun ini berupaya memberikan maklumat tambahan terhadap kebudayaan, agama, hasil seni dan bahkan teknologi pada zaman beliau.

Topeng milik Tutankhamun ini diperbuat daripada emas dan disepuh dengan kaca berwarna dan batu permata

BATU ROSETTA

Ditemui pada tahun 1799, Batu Rosetta merupakan sebuah artifak purba yang usianya boleh dijejak kembali pada era Firaun Ptolemy V, firaun yang mula memerintah pada usia yang sangat muda. Pada batu tersebut terukir satu pengisytiharan penyerahan mahkota kepada Ptolemy V yang ketika itu baru sahaja berusia 13 tahun. Tambah menarik, titah pengisytiharan ini ditulis dalam tiga bahasa berbeza dan ianya dihasilkan oleh sebuah majlis kependetaan yang bertanggungjawab menjaga undang-undang kerajaan.

Sebagai maklumat tambahan, penterjemahan hieroglif Mesir berlaku pada kurun ke-19, di mana petunjuk-petunjuk yang terkandung dalam Batu Rosetta banyak membantu dalam usaha tersebut, Pada waktu itu, tidak ramai orang Mesir yang mampu membaca tulisan hieroglif purba. Justeru, kehadiran Batu Rosetta memberikan banyak kepingan maklumat yang hilang sekaligus mendorong kepada selesainya pelbagai teka-teki yang menyelubungi tamadun Mesir purba, termasuklah ‘Teka-Teki Sphinx’. Mungkin boleh dikatakan bahawa tanpa Batu Rosetta, penterjemahan penuh hieroglif Mesir bakal mengambil masa yang lebih lama.

Perincian dua daripada tiga bahasa yang terdapat pada Batu Rosetta


PAPIRUS OXYRHYNCHUS

Dalam tempoh sebelas tahun bermula dari tahun 1896, lebih setengah juta lembaran papirus ditemui di celah-celah runtuhan Oxyrhynchus dijumpai oleh dua orang ahli arkeologi terkemuka, iaitu Arthur Hunt dan Bernard Grenfell. Penyelidikan lanjut yang dijalankan ke atas papirus-papirus berkenaan mendedahkan bahawa bahan penulisan tersebut mula diperkenalkan sekitar 1800 tahun lalu. Dipercayai bahawa cuaca kering di bandar Oxyrhynchus merupakan faktor yang menyumbang kepada daya tahan papirus-papirus berkenaan. Dokumen-dokumen rasmi yang telah ditranskrip dan dihimpun dari Oxyrhynchus setakat ini meliputi:

  • Pelbagai kaedah rawatan buasir, katarak dan mabuk.
  • Kontrak seorang ahli gusti yang bersetuju untuk kalah dalam perlawanannya demi meraih bayaran tertentu.
  • Maklumat berkenaan aktiviti pengagihan bijirin, suatu aktiviti yang juga pernah berlaku di kota Rome.

Maklumat-maklumat kecil sebegini menyumbang kepada pengetahuan lanjut tentang kehidupan seharian masyarakat Mesir di zaman purba.


Papirus Oxyrhyncus 29

BARANG KEMAS METEORIK

Berusia dari tahun 3200SM, Barang Kemas Meteorik ditemui pada tahun 1911 dari dua buah makam berbeza yang bertempat di sebuah tanah perkuburan yang sama. Manik-manik logam yang diperakui sebagai artifak besi terua di bumi ini diperbuat daripada logam meteorit yang dipalu sehingga kecil. Manik-manik ini secara umumnya digunakan bagi menghasilkan rantai leher, bersama bahan-bahan lain seperti emas dan batu akik.

WABAK CYPRIA

Penemuan yang mengerikan ini dijumpai sekitar masa yang sama kota agung Luxor diekskavasi. Kejadian ini berlaku pada tahun 1997 hingga 2012 di sebuah tapak pengebumian yang berlokasi di Thebes. ‘Wabak Cypria’ merupakan nama yang diberikan kepada sebuah pandemik, mungkin melibatkan penyakit cacar, yang menyerang Empayar Rom pada tahun 250M dan berlanjutan sehingga era Krisis Kurun Ketiga.

Menurut ujian yang dijalankan ke atas tembikar-tembikar yang ada, kompleks ini didapati dibina semasa Empayar Rom diserang wabak misteri tersebut, yang meragut nyawa seramai 5000 orang di Rom. Menukil kata-kata Pontius dari Carthage, wabak yang mengerikan ini membawa kemusnahan yang besar dan ia menyerang hampir setiap rumah. Penemuan wabak ini adalah asas yang mendorong kepada kajian-kajian lanjut berkenaan penyakit demam berdarah seperti Ebola sekaligus menyumbang kepada bidang perubatan dunia.

Gerbang ke Kuil Luxor di Mesir


Kesemua penemuan yang disebutkan di atas ini memberi impak yang besar pada dunia, di samping menyumbang dan memajukan bidang pendidikan dan keilmuan masyarakat moden.

TERJEMAHAN:

Kaya Johnson. (1 November 2017). 5 Important Egyptian Archaeological Discoveries that Provided Leaps in Our Knowledge of the Past. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/5-important-egyptian-archaeological-discoveries-provided-leaps-our-021691


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.