Di Malaysia, kita amat bersyukur kerana dikurniakan pelbagai makanan yang banyak dan lazat. Tetapi tidak ramai tahu, sesetengah daripada makanan ini merupakan makanan orang terdahulu yang sudah melalui pelbagai perubahan hingga menjadi makanan moden hari ini. Berikut beberapa makanan orang lama yang bisa membuatkan anda terkejut…

  • Xocolatl

Jika anda menyedari sebutan perkataan ini hampir dengan perkataan coklat, telahan anda itu benar. Coklat berasal daripada perkataan Maya xocolatl yang bermaksud air pahit. Ia dianggap kurnia dewa-dewi kepada manusiawi kerana rasanya yang sedap, berkhasiat dan istimewa. Aktiviti penanaman coklat dikatakan bermula sekurang-kurangnya 900 Masihi di Mesoamerika. Pada zaman dahulu, xocolatl merupakan minuman tenaga kepada orang Maya dan bukan manisan seperti dinikmati ramai orang hari ini.

Bagi sesetengah orang, mereka merasakan xocolatl boleh ditambah perisanya dengan menambah elemen pedas pada minuman tersebut. Antara bahan yang ditambah bagi menghasilkan rasa pedas ialah lada hitam, serbuk cili atau cili. Resepi xocolatl mudah dan hanya memerlukan bahan-bahan iaitu air panas, biji koko yang kecil, cili, jagung bakar, madu dan vanila atau sejenis tumbuhan pedas bernama bunga telinga.

Semasa era Aztec, xocolatl hanya diminum oleh golongan elit seperti golongan pemerintah, bangsawan dan pendeta keagamaan. Tetapi bagi orang Maya, memandangkan ini merupakan kurnia dewa-dewi kepada manusia, maka semua orang layak menikmatinya tanpa mengira status.

  • Borscht

Bagi penduduk Rusia dan Ukraine, borscht merupakan makanan tradisi kebanggaan mereka. Walaupun wujud perdebatan makanan ini berasal dari mana, sejarawan makanan dilihat sudah tahu asal-usul borshct. Sup ini dikatakan wujud antara abad kelima hingga abad kesembilan Masihi di satu kawasan yang dikenali sebagai Ukraine.

Tetapi pada ketika itu, borscht berbeza dengan versi moden yang diketahui penduduk kedua-dua negara itu. Dari segi sebutan sahaja, sebutan borshct dalam Bahasa Slavik Lama ialah “b’rshch”. Sementara bahan utama versi terawal sup ini ialah parsnip lembu di mana ia selalunya dikutip pada bulan Mei sebelum pucuknya menjadi terlalu keras untuk dipetik. Selepas itu, semua bahagiannya termasuk daun dan bunga parsnip dipotong sebelum dimasukkan ke dalam periuk berisi air. Campuran akan dibiarkan bagi membolehkan ia melalui proses penapaian.

Apabila ia sudah siap, air masam itu dicampurkan dengan air rebusan daging atau ayam, kuning telur, krim atau milet untuk dijadikan sup. Ia dianggap penawar mujarab untuk menghilangkan gejala mabuk. Sebelum abad ke-17, borscht dianggap makanan orang miskin tetapi persepsi itu diubah menerusi pemilihan bahan-bahan lain seperti roti rai dan kobis.

Ia dibawa ke Amerika Syarikat oleh golongan Yahudi Ashkenazi dan tabiat mereka memakan sup tersebut di Pergunungan Catskill menyebabkan kawasan itu dikenali dengan gelaran Rantaian Borshct (Borscht Belt). Di Rusia, ia sudah menjadi makanan kegemaran seharian sehinggakan ia dihasilkan secara sejuk beku bagi membolehkan ia dibawa ke angkasa lepas.

  • Crowdie dan Cranachan

Di tanah tinggi Scotland, sudah menjadi tradisi bagi golongan petani menghasilkan sendiri keju mereka bernama crowdie. Crowdie sebelumnya merujuk kepada bubur dan keju lembut. Hari ini, crowdie sinonim dengan keju lembut di mana sesetengah petani turut meletakkan lapisan oat pada keju tersebut.

Bagi penduduk Scotland terdahulu, crowdie dihasilkan dengan cara susu lembu dibiarkan menjadi masam bila diletakkan di tepi tingkap atau berhampiran dengan api. Dari susu, dadih akan dikeluarkan dan baki yang tinggal dijadikan keju putih yang boleh dihancurkan. Selalunya ia dihidangkan dengan kek oat untuk majlis-majlis keraian.

Kadang-kadang sesetengah petani mencampurkan crowdie dengan biskut oat dan lada biji berwarna hitam untuk menghasilkan hidangan pencuci mulut yang dipanggil crowdie hitam atau Gruth Dubh. Manakala crowdie berkrim pula ialah crowdie yang dicampur dengan oat dan madu sebagai hidangan sarapan pagi. Crowdie berkrim inilah yang menjadi inspirasi pencuci Scotland terkenal iaitu cranachan.

  • Holishkes

Holishkes atau kobis gulung mungkin mempunyai asal-usul Yahudi. Tetapi prinsip di sebalik makanan ini boleh dijumpai dalam mana-mana bangsa di seluruh dunia. Resepinya mudah – gunakan sayur murah atau mudah didapati, menjimatkan penggunaan daging dengan menambah nasi dan memasaknya dalam hidangan yang lazat agar keluarga dapat menikmati hidangan sihat lagi mengenyangkan.

Sesetengah sejarawan Yahudi percaya makanan ini merupakan hidangan Yahudi Ashkenazi dan dikatakan wujud sejak 1,500 tahun yang lalu. Tetapi ramai percaya hidangan ini sebenarnya berasal dari Timur Tengah dengan versi terawal holishkes merupakan makanan alternatif tentera Iskandar Agung (Alexander the Great) selepas kehabisan bekalan daging. Dari situ, ia tersebar dan diubahsuai mengikut selera orang Eropah Timur apabila laluan perdagangan dibuka dan migrasi dilaksanakan.

Jika pergi ke negara-negara Eropah Timur, terdapat banyak versi holishkes dengan ramuan berbeza-beza. Di Bulgaria, ia dipanggil sami dengan ramuan termasuk daging anak lembu, daging babi, paprika dan yogurt. Orang Romania pula lebih suka menggunakan daging babi sebagai ramuan utama holishkes. Manakala orang Rusia menggelar holishkes sebagai merpati kecil dan menambah krim masam pada hidangan tersebut.

  • Khachapuri

Setiap negara mempunyai hidangan kebanggaan masing-masing. Bagi Georgia, hidangan kebangsaan mereka yang paling terkenal ialah khachapuri. Khachapuri ialah gabungan dua perkataan Georgia iaitu khacho (dadih) dan puri (roti). Dan wujud satu variasi dari Adjaria (sebuah wilayah di Laut Hitam) yang dipanggil lodachka atau bot kecil dalam Bahasa Rusia.

Lodachka mewakili geografi dan budaya Adjaria dan ini dapat dilihat dalam jelas dalam setiap komponen hidangan. Penduduk kawasan tersebut terkenal sebagai pembuat bot dan telur dalam lodachka mewakili matahari yang berenang dalam lautan keju. Hidangan savuri pastri ini dihasilkan dengan mencampurkan keju imeruli dan keju sulguni. Tetapi bagi yang mahukan versi tradisional, boleh saja mencampurkan keju segar, keju mozzarella dengan kelembapan rendah dan tat keju feta.

Mengikut cerita penduduk tempatan, khachapuri mesti dihasilkan dalam keadaan gembira. Jika khachapuri dibuat selain daripada perasaan sedemikian, ia dikatakan mengubah rasa hidangan tersebut sekaligus orang mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada pembuatnya.

RUJUKAN:

McDermott, A. (2021). Eating Like an Ancient: 5 Surprising Foods You Can Still Try Today. Ancient-Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.