Li Guang – Si Pemberani Longcheng

0
195
views

Bukanlah asing bagi mana-mana tamadun terdahulu mempunyai jeneral-jeneral terkemuka yang mengepalai kekuatan tentera bagi menangkis ancaman musuh atau menggerakkan usaha pembinaan empayar. Tamadun Islam pernah menyaksikan kebangkitan Khalid bin al-Walid r.a sebagai panglima tentera semasa era Nabi Muhammad s.a.w dan Khulafa’ Ar-Rashidin. Sementara Hannibal Barca dari Carthage pula menjadi mimpi ngeri Empayar Rom terutama selepas Pertempuran Cannae. Sementara Dinasti Han pula menyaksikan seorang jeneral yang digelar The Flying General, Li-Guang.

Lahir di Tianshui, Gansu, beliau merupakan pemain utama kempen terhadap orang Xiongnu di utara China yang dikuasai Dinasti Han. Musuh-musuhnya amat gerun dengan Guang kerana mahir bermain permainan perang kubu. Sehinggakan pada satu ketika, bila mereka melihat kelibatnya, itu sudah cukup untuk mereka membatalkan sebarang bentuk kepungan ke atas sesebuah bandar. Menurut sejarawan China Sima Qian, Guang merupakan seorang lelaki bertubuh tegap, mempunyai lengan yang panjang dan mahir memanah. Kemahiran memanahnya amat dikagumi sehinggakan beliau boleh memanah pada sebuah batu di mana panahnya dapat menembusi batu berkenaan dengan mudah. Kemahiran Guang sama dengan kemahiran seorang lagi sahabat Nabi s.a.w yang handal memanah dan dikatakan pernah sampai di China, Saad bin Abi Waqqas r.a.

Selain dikenali dengan kemahiran memanahnya, beliau juga dikagumi oleh rakan-rakannya kerana amat menjaga kebajikan dan kehormatan tenteranya. Sikapnya itu turut dicontohi beberapa jeneral lain seperti Wei Qing dan Huo Qubing. Malah tidaklah mengejutkan mengapa Maharaja Wen dari Dinasti Han amat mengaguminya. Ini kerana dalam titahnya, baginda menambah, “Sekiranya beliau lahir pada masa Maharaja Gaozu (pengasas Dinasti Han), sudah pasti baginda tidak teragak-agak mengurniakan pasukan tentera seramai 10,000 orang tanpa sebarang kesukaran.”

Pada tahun 166 Sebelum Masihi (BC), Li Guang menyertai tentera sebagai orang biasa bagi membantu Dinasti Han memerangi pemberontakan orang Xiongnu. Sembilan tahun selepas itu, beliau diberi kepercayaan sebagai jeneral tentera berkuda dan diberi tugas melindungi Maharaja Jing. Dan semasa pemberontakan dua putera Han iaitu Putera Wu Wang dan Putera Chu Wang, Li Guang mengikut Komander Zhao Yafu untuk menghapuskan pemberontakan dan berjaya mengalahkan pihak musuh dalam Pertempuran Chang Yi. Selepas pemberontakan itu ditamatkan, beliau dilantik sebagai gabenor dan digerakkan ke beberapa wilayah untuk memerangi orang Xiongnu.

Ada satu anekdot menarik berkenaan ekspedisinya di wilayah-wilayah itu. Pada satu ketika, Guang bersama 100 orang tentera mengejar tiga penunggang kuda Xiongnu selepas mereka bertanggungjawab membunuh pasukan pengawal yang menjaga keselamatan pegawai yang dilantik maharaja. Selepas berjaya membunuh dua penunggang dan seorang lagi berjaya ditahan, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kehadiran ribuan tentera Xiongnu. Pihak musuh menyangka angkatan Guang itu hanyalah umpan untuk menarik mereka keluar. Ini mendorong mereka berundur ke tempat lebih tinggi.

Anak-anak buah beliau yang ketakutan mahu saja menunggang dengan pantas meninggalkan kawasan berkenaan. Tetapi Guang mengingatkan, “Jika kita lari, kita akan dibunuh kerana kedudukan kita terlalu jauh dengan pasukan tentera utama. Tetapi jika kita tenang, maka mereka percaya bahawa kita hanya umpan dan tidak akan berani menyerang.” Lalu Guang mengetuai tenteranya menghampiri kedudukan tentera Xiongnu. Mereka berhenti beberapa satu kilometer dari kedudukan tentera musuh dan Guang menyuruh mereka turun serta berpura-pura mahu berehat. Pihak musuh yang kehairanan menghantar seorang pengintip untuk mengetahui kisah sebenar. Tetapi Guang segera menaiki kudanya dan memanah mati pengintip tersebut sebelum turun dari kuda. Pihak musuh yang ketakutan dan kebingungan menyangka Guang bersiap sedia menyerang mereka dalam kegelapan malam. Ini memaksa orang Xiongnu berundur manakala beliau dan orang-orangnya terselamat

Semasa era pemerintahan Maharaja Wu Di, Li Guang mengetuai tenteranya melalui kawasan YanMen Pass. Tanpa disangka-sangka, pasukannya diserang hendap dan dikepung sekumpulan besar tentera Xiongnu. Arahan pihak musuh mudah saja: tangkap Guang hidup-hidup. Tetapi semasa dalam perjalanan kembali ke kem mereka, beliau berjaya mencuri seekor kuda dan memanah mati beberapa orang tentera musuh sebelum berjaya pulang ke kem tentera Han. Peristiwa ini menyebabkan ramai menggelarnya The Flying General of Han. Tetapi disebabkan kesilapannya dalam pertempuran, Wu Di menitahkan beliau dijatuhkan hukuman mati. Tetapi Guang berjaya menebus dirinya dan kembali semula sebagai tentera biasa. Dan beliau kembali semula sebagai gabenor dan jeneral apabila Wu Di melantiknya sebagai Gabenor YouBeiPing menggantikan Han Anguo. Bila berita perlantikan tersebut diketahui orang Xiongnu, mereka segera membatalkan hasrat menyerang wilayah tersebut.

Waqaf Saham

Pada 120 BC, Li Guang keluar bersama 4,000 tentera berkuda untuk bergabung dengan angkatan Zhang Qian bagi memerangi kekuatan orang Hun. Malangnya, pasukannya dikepung 40,000 orang Hun dengan separuh daripada tentera berkudanya terbunuh dalam pertempuran. Dan tambah memburukkan keadaan, mereka juga semakin kekurangan anak panah. Namun, Guang mengarahkan anak buahnya terus memanah dengan beliau sendiri memanah seorang demi seorang pemimpin tentera Xiongnu. Nyata mereka amat kagum tetapi takut dengan keberanian luar biasa yang ditampilkan Guang dan anak-anak buahnya. Mereka berjaya bertahan sehingga pagi keesokan harinya apabila Qian datang membawa angkatan Han untuk menyelamatkan kedudukan beliau.

Setahun selepas itu, Guang yang berumur 60 tahun diberi tugas mengikut Komander Wei Qing untuk memburu orang Xiongnu. Bagaimanapun, tanpa pengetahuan beliau, Wei Qing diberi tugas menyerang kota Chanyu sendiri tanpa bantuan Guang atas arahan maharaja. Baginda merasakan faktor umur dan kekerapannya menjadi mangsa serangan pihak musuh sudah cukup untuk menjustifikasikan tindakan itu. Lalu Guang disuruh mengikut Jeneral Zhao Yiji yang bergerak dari sebelah kanan sementara Qing sendiri bergerak ke sebelah kiri dan meneruskan serangan ke atas Chanyu. Ketumbukan Guang dan Yiji terpaksa bergerak ke sebelah timur tetapi gagal tiba akibat masalah cuaca dan permukaan bumi. Sementara Qing pula gagal dalam cubaannya menawan Chanyu.

Dalam perjalanan pulang, beliau bertemu semula dengan ketumbukan Guang dan Yiji. Secara rahsia, Qing mahu berpakat dengan Guang untuk meletakkan kekalahan yang berlaku di Chanyu di bahu Yiji. Namun, perkara tersebut tidak dipersetujui beliau sekaligus menimbulkan kemarahan panglima tentera diraja Dinasti Han itu. Ini mendorong Qing menahan Guang dan mahukannya disoal siasat. Semua tahu tindakan ini akan menjurus kepada perbicaraan mahkamah tentera dan jika didapati bersalah, beliau boleh dihukum mati. Tatkala itulah Guang berkata, “Sejak aku menyertai tentera dari muda, aku sudah menyertai 70 pertempuran. Tetapi tanpa disangka-sangka, aku dipaksa Komander Wei Qing untuk menghadapi penghinaan ini. Cukuplah, aku tidak mahu pergi menghadap tribunal.” Saat itulah beliau mengelar lehernya dan mati disaksikan tenteranya yang setia.

Semasa Dinasti Tang, seorang penyajak bernama Wang Changli menulis sebuah sajak yang memuji keberanian Guang. Sajak tersebut bertajuk Outside the Fortress (Di Luar Kubu Itu).

Bulan yang pernah menyinari Qin masih bersinar
dan banjaran gunung yang pernah digunakan Han
masih gagah berdiri

Tetapi bagi manusia yang sudah bergerak lebih 10,000 li}
masih belum pulang

Andainya Si Pemberani Longcheng masih ada hari ini
tentera berkuda Hu tidak akan dapat
menyeberangi Pergunungan Yinshan

SUMBER

Sherry. (2009). China Archery. General Li-Guang. http://www.chinaarchery.org/archives/249

 

Previous articlePerkataan Terpanjang Dalam Pelbagai Bahasa
Next articleImpak Pertarungan Mcgregor-Khabib
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE