Pendahuluan.

Mutakhir ini, isu LGBT semakin hangat diperkatakan, dan telah menjadi kegusaran yang meniti di bibir rakyat baik di dunia realiti mahupun di media sosial. Ada pihak yang menentang kewujudan golongan ini, namun ada juga pihak yang membela mereka. Tidak kurang juga ada sesetengah pihak yang menjadikannya sebagai suatu alat politik bagi menghangatkan lagi keadaan semasa.

Pada hemat penulis, biarpun polemik mengenai golongan LGBT semakin rancak, namun nasib mereka tidak ubah bagai jawi dikurung siang. Kamus Istimewa Peribahasa Melayu memberikan maksud peribahasa ‘bagai jawi[1] dikurung siang’ sebagai ‘sangat gelisah kerana tidak bebas’. Kegelisahan golongan LGBT serta para penyokongnya dapat dilihat dengan jelas apabila mereka tanpa henti meminta Malaysia mengiktiraf golongan ini termasuklah hak-hak mereka.[2]

Penulisan ini lebih tertumpu kepada peruntukan undang-undang sekular dan syariah yang dikuatkuasa di Malaysia. Penulis tidak mahu mengulas menurut perspektif Islam kerana telah jelas di dalam Al-Quran dan As-Sunnah bahawa amalan LGBT adalah haram serta bertentangan dengan perintah Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.

Hak sebagai LBGT

LGBT adalah sebuah akronim kepada lesbian, gay, bisexual dan transgender. LGBT adalah istilah terangkum bagi orientasi seksual, identiti dan ekspresi jantina. Antara hak sebagai LGBT yang banyak diamalkan oleh golongan LGBT pada negara-negara yang telah mengiktiraf golongan ini ialah hak beraktiviti seksual sejenis, perkahwinan sejenis, pengangkatan anak bagi pasangan sejenis, hubungan seksual sejenis, pengiktirafan jantina baru melalui pembedahan penukaran jantina, penukaran status jantina pada dokumen-dokumen rasmi, ekspresi melalui pemakaian (transvestit),[3] dan banyak lagi.[4]

Hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menyentuh perihal hak asasi, Tun Mohd. Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara, berkata ianya telah ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan dengan menggunakan perkataan kebebasan asasi dan terbahagi kepada 3 bahagian iaitu kebebasan beragama, kebebasan diri dan kebebasan ekonomi.[5] Mahkamah Persekutuan di dalam kes Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan v Victoria Jayaseele Martin and another appeal [2016] 2 MLJ 309 menyatakan bahawa kebebasan asasi telah diperuntukkan di Bahagian II dalam Perlembagaan Persekutuan, dari perkara 5 hingga 13, dan setiap daripadanya mempunyai peranan dan tujuan tersendiri. Walaupun kebebasan ini dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, namun Perlembagaan Persekutuan juga memberi kuasa kepada Parlimen di bawah perkara 149, untuk mengubal undang-undang yang berkemungkinan melanggari perkara 5, 9 dan 10. Perlembagaan Persekutuan juga membenarkan Yang di Pertuan Agong di bawah perkara  150 untuk isytihar darurat dalam keadaan tertentu dan Parlimen dibenarkan menggubal undang-undang yang melanggari kebebasan asasi dalam Perlembagaan Persekutuan.[6]

Malaysia tidak terikat dengan UDHR dan ICCPR.

Hak atau kebebasan asasi sebagai warganegara atau sesiapa sahaja yang berada di Malaysia dijamin oleh Kerajaan Malaysia sekalipun warganegara tersebut ialah seorang LGBT selagi mana hak atau kebebasan asasi itu tidak melanggar mana-mana undang-undang Malaysia. Malaysia, sehingga ke hari ini, masih lagi konsisten dalam menyekat dan tidak mengiktiraf golongan LGBT berhubungan dengan hak dan kebebasan mereka biarpun telah mendapat banyak desakan, kecaman dan kritikan daripada pelbagai pihak. Dalam persada Antarabangsa, terdapat beberapa peruntukan di dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) dan Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Awam dan Politik 1966 (ICCPR) yang melindungi golongan LGBT.

Namun demikian, Malaysia belum lagi ahli kepada perjanjian ICCPR dan tidak juga terikat kepada UDHR. Sesuatu perjanjian antarabangsa hanya akan mengikat sesebuah negara sekiranya negara tersebut adalah ahli kepada perjanjian itu. Hal ini telah dijelaskan oleh pihak Mahkamah Persekutuan (Kuala Lumpur) di dalam kes Mohamad Ezam Bin Mohd Noor v Ketua Polis Negara & Other Appeals [2002] 4 MLJ 449, bahawasanya apa-apa peruntukan yang dinyatakan di dalam UDHR tidak mengikat Malaysia di sisi undang-undang kerana ianya hanyalah sekadar perisytiharan dan bukannya undang-undang. Malaysia hanya akan terikat dan wajib turuti sekiranya Malaysia merupakan ahli kepada sesuatu perjanjian antarabangsa. Oleh itu, Malaysia tidak wajib untuk memenuhi apa-apa piawaian yang dinyatakan di dalam UDHR tersebut. Begitu juga dengan ICCPR, yang mana sehingga ke hari ini, Malaysia masih lagi belum menandatangani perjanjian tersebut.

Sekatan undang-undang terhadap hak sebagai LGBT

Terdapat berbagai sekatan undang-undang yang dihadapi oleh golongan LGBT di Malaysia terhadap hak sebagai LGBT, sama ada undang-undang sekular mahupun undang-undang syariah. Antara sekatan undang-undang yang dimaksudkan ialah:

  1. Sekatan perkahwinan sama jantina.

Sekatan berkenaan hal ini telah diperuntukkan dengan jelas di dalam seksyen 69(d) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164] yang mana melarang sesuatu perkahwinan melibatkan sama jantina sama antara sesama lelaki mahupun sesama wanita. Sehingga kini, belum ada lagi kes yang dilaporkan di Malaysia berkaitan dengan peruntukkan ini. Namun, contoh terdekat pemakaian peruntukan ini boleh dilihat melalui kes yang diputuskan di negara jiran kita, Singapura. Sebagai contoh, kes Lim Ying v Hiok Kian Ming Eric [1992] 1 SLR 184, di mana Mahkamah Tinggi di sana memutuskan bahawa perkahwinan melibatkan sesama jantina adalah terbatal dan tidak sah biarpun telah menukar jantina asalnya kepada jantina yang baru melalui proses pembedahan penukaran jantina. Hal yang sama turut dinyatakan di dalam kes Soon Ah See and Another v Diao Yanmei [2016] 5 SLR 693.

Seksyen 11 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] dan enakmen negeri-negeri lain yang mana sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, ‘menurut Hukum Syarak’, untuk menjadikannya sah. Menurut Hukum Syarak, nikah mempunyai 5 rukun iaitu: lafaz akad, pengantin perempuan (isteri), pengantin lelaki (suami), wali, dua orang saksi. Sekiranya salah 1 daripada rukun itu tidak dipenuhi, maka perkahwinan adalah tidak sah, hal ini seperti yang dijelaskan oleh hakim Mahkamah Tinggi Syariah di dalam kes Mohammed Khafidz bin Mohamad Ishak v Rabiah bt Sabri [2017] 2 SHLR 36.

  1. Sekatan pengambilan anak angkat.

Sekatan ini adalah bersangkut paut dengan sekatan yang pertama. Apabila perkahwinan sama jantina tidak diiktiraf, maka perkahwinan tersebut dikira terbatal. Kesannya, sijil atau dokumen rasmi perkahwinan tidak akan dihasilkan atau diberikan kepada pasangan sejenis ini. Kebiasaan bagi pasangan gay atau lesbian yang berkahwin, mereka akan mengambil anak angkat sebagai anak mereka. Inilah kebiasaan yang diamalkan di negara-negara yang telah mengiktiraf mereka.

Sungguhpun demikian, dalam konteks pengambilan anak angkat di Malaysia, permohonan boleh dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara di bawah seksyen 6(1) Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 [Akta 253] atau perintah mahkamah di bawah seksyen 3 Akta Pengangkatan 1952 [Akta 257].[7] Namun, semua pemohon anak angkat harus mematuhi beberapa syarat kelayakan terlebih dahulu sebelum dikira layak untuk mengambil anak angkat, seperti pasangan suami isteri mestilah memiliki dokumen perkahwinan yang sah.[8] Oleh kerana Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis, maka pasangan gay atau lesbian yang berkahwin sesama jantina tidak boleh mengambil anak angkat, tidak seperti negara-negara yang telah mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Akan tetapi, sekiranya individu LGBT hendak mengambil anak angkat, individu tersebut tidak dihalang oleh mana-mana perundangan. Undang-undang hanya menghalang pasangan LGBT, dan bukannya individu LGBT. Cumanya, ada syarat kelayakan terhadap individu LGBT ini, iaitu hendaklah sekurang-kurangnya berumur 25 tahun dan tidak kurang daripada 21 tahun lebih tua daripada anak angkat, tetapi keperluan terakhir ini boleh diketepikan oleh mahkamah jika pemohon adalah saudara atau ibu kepada anak.

  1. Sekatan melakukan hubungan seksual sama jantina.

Sekatan berkenaan dengan hal ini juga telah diperuntukkan dengan jelas di dalam seksyen 377A – 377D Kanun Keseksaan [Akta 574],[9] seksyen 25 (liwat)[10] dan seksyen 26 (musahaqah)[11] Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] serta enakmen negeri-negeri yang lain. Kesemua peruntukan undang-undang ini telah mendapat banyak kritikan dan kecaman daripada para penyokong dan pendukung komuniti LGBT dari dalam dan luar negara kerana meletakkan LGBT di dalam kerangka jenayah negara dan negeri.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh International Lesbian, Gay, Bisexual, Trans and Intersex Association (ILGA) 2016, Malaysia adalah di antara 72 buah negara dari serata dunia yang meletakkan LGBT sebagai suatu perbuatan jenayah di sisi undang-undang. Sehingga ke hari ini, Malaysia masih lagi kekal teguh dengan pendirian tersebut biarpun telah mendapat pelbagai kritikan dan kecaman dari pelbagai pihak.

  1. Sekatan pengiktirafan jantina.

S Nantha Balan, Hakim Mahkamah Tinggi (Kuala Lumpur), telah menyatakan di dalam kes Tan Pooi Yee v Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [2016] 12 MLJ 370 bahawa Malaysia masih belum mempunyai undang-undang yang khusus atau jelas mengenai pengiktirafan golongan LGBT terutamanya golongan transgender. Tidak seperti di United Kingdom, mereka mempunyai suatu akta yang khusus mengiktiraf golongan jantina baru bagi golongan transgender iaitu Akta Pengiktirafan Jantina 2004.

  1. Sekatan penukaran status jantina pada kad pengenalan.

Bagi mana-mana rakyat Malaysia yang telah melakukan pembedahan penukaran jantina, dan ingin menukar status jantina pada kad pengenalan mereka, mereka hendaklah mendapatkan suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi bahawa jantina baru mereka adalah sah. Hal ini dinyatakan di dalam Arahan Jabatan Pendaftaran Negara Bil 9/2007, perenggan 5.7.1. “Pindaan jantina dalam kad pengenalan adalah tidak dibenarkan kecuali atas Perintah Mahkamah”.

Untuk mendapatkan perintah ini, Mahkamah Rayuan di dalam kes Kristie Chan v Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [2013] 4 CLJ 627 telah menyatakan bahawa pemohon perlu mendatangkan bukti dan keterangan dari pakar perubatan dan psikiatrik tentang 3 perkara:

    1. Apakah yang dimaksudkan dengan jantina;
    1. Apakah yang membuatkan seseorang itu lelaki atau perempuan;
  1. Sama ada pembedahan penukaran jantina mengubah jantina seseorang untuk menjamin perubahan keterangan jantina dalam kad pengenalan orang itu.

Mahkamah Rayuan turut mendapati bahawa Arahan tersebut hanya terpakai berkenaan pindaan atau penukaran maklumat pada kad pengenalan sahaja, tidak termasuk sijil kelahiran. Maka, maklumat jantina yang tertera pada sijil kelahiran yang dikira sebagai jantina asalnya adalah kekal sehingga pemiliknya meninggal dunia.

Berdasarkan kepada rekod kes-kes di Malaysia, terdapat kes-kes yang membenarkan penukaran status jantina pada kad pengenalan,[12] namun, ada juga kes-kes yang menghalang.[13] Kesemuanya bergantung kepada bukti dan keterangan dari pakar perubatan dan psikiatrik yang di atas.

  1. Sekatan transvestit.

Merujuk kepada pendifinasian di dalam kes Wong Chiou Yong (P) v Pendaftar Besar/Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [2005] 1 MLJ 551, transvestit secara umumnya difahami sebagai orang yang berpakaian pakaian yang berlainan dengan jantinanya, kadang-kadang merujuk kepada cross-dressing.

Bila sebut tentang cross-dressing, kes State Government of Negeri Sembilan & Ors v Muhammad Juzaili bin Mohd Khamis & Ors [2015] 6 MLJ 736 kembali segar diingatan apabila Mahkamah Persekutuan mengubah keputusan Mahkamah Rayuan, seterusnya mengembalikan semula bidangkuasa Mahkamah Syariah berkenaan jenayah cross-dressing. Lagi sekali keputusan ini mendapat kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak yang menyokong serta mendukung golongan LGBT di dalam dan luar negara.

Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] dan juga pada enakmen negeri-negeri lain dengan jelas menyatakan mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Manifesto Pakatan Harapan.

Menjadi keresahan pada  rakyat Malaysia apabila merujuk kepada manifesto kerajaan Malaysia (Pakatan Harapan) yang dinyatakan pada janji ke 26, halaman 76, perenggan terakhir di dalam Buku Harapan yang menyatakan “Konvensyen-konvensyen antarabangsa yang sesuai tetapi belum diratifkasi akan diratifkasikan seberapa segera, termasuklah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Politik dan Sivil.[14]

Menurut kepada kenyataan di atas, antara konvensyen yang ingin diratifikasi dengan segera ialah ICCPR. Terdapat beberapa peruntukan di dalam ICCPR ini yang mengiktiraf atau memihak kepada hak LGBT seperti perkara 2(1), 7, 17, 21, 22, 26 dan banyak lagi. Peruntukan yang seringkali digunakan oleh golongan LGBT di luar negara ialah perkara 2(1) dan 17. Kedua-dua peruntukan ini menuntut hak kesamarataan dan perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang dengan meletakkan golongan LGBT di dalam kerangka perkataan “sex” dan “other status”.[15]

Pada hemat penulis, kerajaan boleh meratifikasi ICCPR, dengan syarat disertakan sekali pengecualian (reservation) terhadap beberapa peruntukan yang berkaitan dengan hak sebagai LGBT seperti yang telah dinyatakan di atas. Pengecualian terhadap peruntukan di dalam sesuatu konvensyen antarabangsa pernah dilakukan oleh kerajaan Malaysia, seperti di dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak 1995 (UNCRC), yang mana Malaysia telah mengecualikan beberapa peruntukan di dalam UNCRC seperti perkara 1, 2, 7, 13, 14, 15, 28(1)(a) dan 37, atas alasan ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Malaysia, polisi kerajaan Malaysia, termasuklah undang-undang Syariah.[16] Maka, Malaysia juga boleh membuat pengecualian terhadap peruntukan di dalam ICCPR berkenaan hak sebagai LGBT dengan menggunakan alasan-alasan yang sama. Ratifikasi boleh dilakukan, tetapi mestilah mengikut kesesuaian dengan norma dan adat Malaysia serta penerimaan masyarakat Malaysia.

Kesimpulan

Jelas di sini bahawa hak dan kebebasan golongan LGBT yang disekat oleh undang-undang hanyalah terhad kepada hak dan kebebasan mereka sebagai LGBT, dan bukannya sebagai warganegara Malaysia. Kebebasan-kebebasan yang disekat di atas adalah merupakan kebebasan golongan LGBT yang diamalkan di negara-negara yang mengiktiraf golongan LGBT. Sekiranya sekatan tersebut dibuang, maka ianya akan memberi ruang dan peluang kepada golongan ini untuk bergerak bebas mengamalkan budaya mereka yang jelas bertentangan dengan adat dan resam masyarakat Malaysia.

Selain itu, masyarakat Malaysia masih lagi belum dapat menerima kewujudan golongan ini serta budaya yang diperkenalkan oleh mereka. Tambahan lagi, dari aspek kesihatan pula, penularan virus HIV dan AIDS akan menjadi semakin serius. Seperti yang telah kita maklum, bahawa statistik terbaru Bahagian HIV/STI Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur menunjukkan 65 peratus jangkitan berpunca daripada golongan homoseksual dan biseksual, manakala 31 peratus jangkitan melalui hubungan seksual lelaki kepada wanita dan sebaliknya.[17] Jadi, sekatan ini boleh dihujahkan perlu demi menjaga kemaslahatan rakyat Malaysia secara umumnya. Oleh itu pelaksanaan Manifesto Pakatan Harapan berhubungan dengan isu LBGT ini perlulah dikaji semula mengambil kira penerimaan masyarakat kepada LBGT serta pendekatan yang pragmatik dan saksama di samping menghormati nilai dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Disediakan oleh:

Muhammad Hazim bin Ahmad

Mahasiswa Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah,

Universiti Sains Islam Malaysia.

Nota hujung:

[1] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘jawi’ mempunyai beberapa maksud: (1) Melayu; (2) Lembu, sapi; dan (3) akronim bagi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Maksud perkataan ‘jawi’ yang digunakan dalam penulisan ini lembu atau sapi.

[3] Rostosky, S. S., & Riggle, E. D. B. (2017). “Same-Sex Couple Relationship Strengths: A Review and Synthesis of the Empirical Literature (2000–2016)”. Psychology of Sexual Orientation and Gender Diversity. Advance online publication. http://dx.doi.org/10.1037/sgd0000216; Michael R. Woodford. (2010). “Same-Sex Marriage and Beyond”. Journal of Gay& Lesbian Social Services, Vol. 22(1-2), p. 1-8. DOI: 10.1080/10538720903332131; Takács, Judit & Szalma, Ivett & Bartus, Tamas. (2016). “Social Attitudes Toward Adoption by Same-Sex Couples in Europe”. Archives of Sexual Behavior. Vol. 45. p. 1787-1798. DOI: 10.1007/s10508-016-0691-9; Sharon Scales Rostosky et al. (2006). “Commitment in Same-Sex Relationships”. Journal of Homosexuality. Vol. 51 (3). p. 199-223; Richard Köhler et al. (2013). Legal Gender Recognition in Europe. Transgender Europe (TGEU) dan Elaine Marie Avanzado et al. (2016). “Level of Openness to Homosexual Crossdressers: A Correlation”. LPU- Laguna Journal of Arts and Sciences. Vol. 2(3). p. 96-108.

[5] Mohd. Salleh Abas. (2015). Prinsip Perlembagaan & Pemerintahan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[6] Mohamed Suffian bin Hashim. (2007). Tun Mohamed Suffian’s An Introduction to the Constitution of Malaysia. Selangor: Pacifica Publications; Shad Saleem Faruqi. (2008). Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia. Selangor: Star Publications (Malaysia) Bhd.

[8] Antara dokumen lain yang diperlukan: (1) Sijil Kelahiran anak yang ingin diangkat; (2) Persetujuan daripada ibu bapa asal; (3) Sijil Kelahiran anak-anak yang lain; (4) Sijil Pengangkatan (jika ada).

[9] Seksyen 377B meletakkan hukuman pemenjaraan selama tempoh maksimum 20 tahun dan sebatan; seksyen 377C meletakkan hukuman pemenjaraan tidak lebih 20 tahun dan sebatan; seksyen 377CA meletakkan hukuman pemenjaraan tidak lebih 30 tahun dan sebatan; seksyen 377D meletakkan hukuman pemenjaraan maksimum 2 tahun.

[10] Boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau disebat tidak melebihi 6 sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

[11] Boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau disebat tidak melebihi 6 sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

[12] Tan Pooi Yee v Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [2016] 12 MLJ 370; Re JG, JG v Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [2006] 1 MLJ 90.

[13] Kristie Chan v Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [2013] 4 CLJ 627; Wong Chiou Yong (P) v Pendaftar Besar/Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [2005] 1 MLJ 551 HC; [2005] 1 CLJ 622; [2004] 3 MLRH 127; Fau En Ji v Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [2015] 1 CLJ 803;

[14] Hak awam (sivil) dan politik merupakan hak yang melindungi kebebasan individu daripada pencabulan yang tidak wajar oleh kerajaan dan mana-mana pertubuhan baik kerajaan mahupun swasta, serta memastikan keupayaan seseorang untuk menyertai kehidupan sivil dan politik negara tanpa berdepan dengan diskriminasi atau penindasan.

[15] Seperti yang pernah diputuskan di dalam kes Toonen v Australia (488/1992), CCPR/C/50/D/488/1992 (1994); 1–3 IHRR 97 (1994), Joslin and Others v New Zealand (902/1999), CCPR/C/75/D/902/1999; 10 IHRR 40 (2003), dan C-249/96, Grant v South West Trains Ltd [1998] ECR I-621.

By: MHA


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.