Lev Yashin: Pengasas Penjaga Gol Moden

0
1195
views

Sempena Piala Dunia 2018 ini, sudah menjadi kebiasaan bagi tuan rumah Rusia mempromosikan kejohanan tersebut dengan menyiarkan poster-poster berkenaan bandar dan stadium sesebuah perlawanan diadakan. Tetapi satu poster menunjukkan susuk badan seorang legenda yang merevolusikan taktik mengawal gawang dan memberi impak kepada semua penjaga gol yang kita kenali hari ini. Penjaga gol dahulu dan sekarang seperti Oliver Kahn, Gianluigi Buffon, Ederson dan Jordan Pickford patut berterima kasih kepada Lev Yashin kerana beliau memberi pengaruh besar kepada elemen penjagaan gol yang kita ketahui hari ini.

Anak jati Moscow ini dilahirkan pada tahun 1929 dalam sebuah keluarga pekerja kilang. Selepas Perang Dunia Kedua (WWII) tercetus atau lebih tepat Operasi Barbarossa, beliau bersama keluarganya dipindahkan dari Moscow pada musim luruh 1941 apabila tentera Wehrmacht Nazi Jerman hanya 70 kilometer saja dari ibu negara Soviet ketika itu. Sementara Leningrad atau St. Petersburg, bandar kedua terbesar Rusia itu pula dikepung dan dibedil dengan serangan artileri Nazi Jerman. Kepungan ke atas bandar tersebut merupakan kepungan paling dahsyat dalam sejarah di mana ia berlangsung selama 872 hari dan 750,000 penduduk dan askar terbunuh. Situasi kebuluran yang melanda Leningrad amat dahsyat sehinggakan penduduk merebut kulit tali pinggang mereka atau mengamalkan kanibalisme.

Dalam autobiografinya, Yashin menyatakan zaman kanak-kanaknya berakhir pada usia 11 tahun selepas beliau dan keluarganya berpindah ke Ulyanovsk, 800 kilometer timur Moscow. Lokasi tersebut dipilih sebagai lokasi selamat untuk menempatkan semula kilang peluru di mana bapanya bekerja. Dan menjelang usia 13 tahun, Yashin juga sudah bekerja di kilang berkenaan dengan membuat peluru. Beliau menulis, “Kanak-kanak lelaki dan perempuan dari generasi saya beratur untuk mendapatkan roti, mengimpikan kejayaan di barisan hadapan dan mengharapkan sedikit gula. Kami perlu berkorban lebih awal sebelum zaman kami.” Mereka terpaksa menarik mesin dalam keadaan bersalji dan membina kilang dalam keadaan terdedah. Makanan diperoleh dari sebuah perkampungan di mana mereka perlu menarik dengan kereta luncur sejauh 12 kilometer.

Selepas tentera Nazi Jerman dihalau keluar dari bumi Rusia, khabar berkenaan tersebar luas dalam kalangan pekerja. Selepas melihat Moscow kembali selamat, barulah Yashin dan keluarganya berpindah semula ke Moscow dan pada ketika itu, perang sudah berakhir. Yashin menambah dalam autobiografinya, “Dalam perang, kami menerima pengalaman mana-mana kursus tidak akan dapat mengajarkannya. Kami diajar bekerja bukan kerana takut atau janji tetapi demi kesedaran diri sendiri dan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Bila kami bertanding merebut kejuaraan, kami tidak memikirkan ganjaran kejayaan yang menanti, cuma rasa gembira kerana dapat bermain bola sepak.”

Tetapi satu perkara yang mengganggunya bekerja di kilang ialah perasaan gugup keterlaluan. Yashin menulis lagi, “Apakah ini satu kemurungan? Saya tak tahu. Tetapi keletihan yang terkumpul dalam diri selama bertahun-tahun mula menonjolkan dirinya dan akhirnya muncul sekaligus mematahkan diri saya. Pada ketika itu, saya tak rasa apa-apa kecuali kekosongan.” Gangguan ini menyebabkan beliau tidak datang bekerja dan sukan bola sepak berada di ambang kehilangan penjaga gol paling berbakat dalam generasinya.

Di sinilah seorang rakan mencadangkannya berkhidmat secara sukarela dalam pasukan tentera. Yashin menganggap cadangan tersebut penyelamatnya dan apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah. Dengan menggabungkan minatnya dalam bola sepak dan khidmat ketenteraan, Yashin menemui semula keghairahannya terhadap sukan ini dan mula berlatih lebih gigih. Bakatnya itu disedari oleh jurulatih pasukan remaja Dynamo Moscow dan bekas pemain bola sepak, Arkady Chernyshev.

Beliau membuat kemunculan pertamanya bersama Dynamo untuk satu perlawanan persahabatan pada 1950 tetapi ia satu detik yang mahu dilupakannya. Ini kerana dalam perlawanan tersebut, Yashin melepaskan gol mudah yang terhasil daripada tindakan pantas penjaga gol lawan. Selepas itu, beliau hanya muncul dalam dua perlawanan sahaja dan tidak membuat penampilan bersama pasukan utama sehinggalah tahun 1953.

Bagaimanapun, Yashin tetap bersabar dan menanti peluang beraksi bersama pasukan utama. Ini termasuklah mendapat bimbingan dan nasihat daripada mentor merangkap penjaga gol utama Dynamo ketika itu, Alexei Khomich. Sementara itu, Yashin juga aktif bersama pasukan hoki ais Dynamo dan dianggap pemain terbaik dalam posisinya dalam liga sehingga membantu Dynamo menjulang Piala Soviet pada Mac 1953 sebelum membantu pasukan bola sepak Dynamo menjulang kejuaraan sama empat bulan kemudian.

Figure 1: Alexei Khomich. Kredit: https://www.ranker.com/review/alexei-khomich/61989644

Pada ketika itu, beliau terus memberi fokus kepada kedua-dua sukan berkenaan sebelum memutuskan untuk fokus sepenuhnya kepada bola sepak pada tahun 1954. Selepas Khomich dan seorang lagi pesaingnya, Valter Vanaya meninggalkan Dynamo, jersi nombor satu menjadi milik Yashin sehinggalah tahun 1970. Menunjukkan reputasi sebagai one club man, beliau membantu Dynamo menang kejuaraan liga USSR sebanyak lima kali dan menjulang Piala Soviet sebanyak tiga kali. Dan di peringkat kebangsaan, Yashin merupakan benteng terakhir Soviet dan beraksi dalam empat edisi Piala Dunia, pencapaian terbaik membantu Rusia menduduki tempat keempat pada edisi 1966 di England. Sepanjang kariernya juga turut menyaksikan beliau menafikan 151 sepakan penalti dan berjaya mencatat rekod 270 perlawanan tanpa bolos.

Bagaimanapun, ada detik yang dilihat hampir menamatkan karier Yashin sebagai orang besi gawang Soviet. Isterinya, Valentina menceritakan insiden tersebut berlaku selepas Rusia tersingkir di tangan tuan rumah Chile di peringkat suku akhir Piala Dunia 1962. Yashin pada ketika itu berusia 32 tahun dan tidak menunjukkan prestasi baik di hadapan gawang. Tindakannya membenarkan gawang dibolosi dua gol mudah menyumbang kepada kekalahan pasukan dan media Rusia menjadikannya kambing hitam akibat kekalahan tersebut. Dan sekembalinya mereka ke tanah air, pasukan Soviet diherdik para penyokong di mana sesetengah mereka membawa papan tanda seperti ‘Yashin patut bersara’ dan ‘Sudah tiba masa dapatkan pencen anda’.

Waqaf Saham

Tingkap kediaman Yashin dipecahkan, mesej mengancam ditinggalkan pada kereta dan sesetengah penyokong menghantar surat layang ke alamatnya. Beliau menggelar hari-hari berkenaan hari paling pahit dalam karier bola sepaknya. Dan siapa tidak terasa kerana dua tahun sebelumnya, Yashin bertanggungjawab menafikan kebangkitan Yugoslavia untuk membantu mereka menjuarai Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 1960. Valentina berkata, “Apabila Lev kembali ke Moscow, penyokong sudah bersiul dalam stadium sebaik namanya diumumkan. Mereka menjerit dan mengejek. Mereka fikir ini semua salah dia kerana dia menyebabkan pasukan kalah, bukannya seluruh pasukan. Wartawan yang melaporkan perlawanan berkenaan tidak tahu apa-apa pasal sukan, tugasnya menulis dunia politik Amerika Selatan.”

Tetapi Yashin sentiasa membuktikan beliau boleh bangkit semula walaupun diuji dengan ujian mencabar seperti gangguan perasaan gugup itu. Dalam kes gugup, rahsia Yashin mengatasinya dengan merokok dan minum segelas arak yang kuat untuk menguatkan otot. Selepas apa yang berlaku di Chile, beliau mahu membuktikan dirinya masih penjaga gol terhebat Soviet dan dunia. Valentina masih ingat ia membabitkan satu perlawanan antara England dan Pilihan Dunia pada 23 Oktober 1963. Perlawanan tersebut diadakan bagi meraikan ulangtahun ke-100 Persatuan Bola Sepak (FA). Ketika itu, beliau bekerja sebagai wartawan radio dan menonton perlawanan berkenaan di skrin gergasi di bangunan jawatankuasa radio pusat di Moscow.

Figure 2: Fernando Riera

Yashin dipilih sebagai penjaga gol Pilihan Dunia pada babak pertama dan ironinya, lelaki yang memilihnya ialah pengurus Chile yang menewaskan Soviet setahun sebelumnya, Fernando Riera. Pada babak pertama, keputusan berakhir dengan 0-0 dengan Yashin menafikan beberapa percubaan England. Semasa rehat, beliau digantikan oleh penjaga gol Yugoslavia Milutin Soskic dan perlawanan berakhir dengan kemenangan 2-1 England hasil jaringan legenda Tottenham Hotspur, Jimmy Greaves. Valentina masih teringat dalam perjalanan pulang, beliau mengambil teksi untuk pulang dan mengambil anaknya dari pusat asuhan.  Beliau berkata, “Pemandu teksi itu berkata kepada saya: ‘Adakah awak mendengar perlawanan di London? Pasukan kita berada di atas.’ Saya membalas: ‘Apa maksud awak? Perlawanan berakhir dengan kekalahan 2-1.’ Pemandu itu berkata: ‘Oh, itu tak memberi makna apa-apa. Yashin bermain pada babak pertama dan keputusan masih 0-0 semasa beliau digantikan.’ Itulah reaksi apa yang berlaku di Moscow. Semua peminat kembali menjulangnya sebagai wira.”

Pada Disember tahun sama, Yashin diberi anugerah Ballon d’Or atau anugerah pemain terbaik dunia yang masih diberi sehingga ke hari ini. Beliau turut memegang rekod sebagai satu-satunya penjaga gol yang memenangi anugerah berkenaan. Pada musim tersebut, selain membantu Dynamo menjulang kejuaraan liga buat kali kelima, Yashin hanya membenarkan gawangnya dibolosi tujuh kali dalam 27 perlawanan, satu pencapaian yang membanggakan. Majalah France Football, majalah yang masih menganugerahkan anugerah berkenaan menyifatkan Yashin mengubah peranan penjaga gol secara radikal dengan bertindak sebagai pemain pertahanan tambahan dan memulakan serangan balas dengan kedudukan dan balingannya. Bagi pemerhati bola sepak, kenyataan sebegini sebenarnya merujuk kepada ‘sweeper-keeper’ yang menjadi pilihan beberapa pengurus bola sepak termasuklah Pep Guardiola di Manchester City dan Joachim Loew (Jerman) di mana ia membantu mereka memenangi kejohanan peringkat domestik dan antarabangsa. Sasterawan Rusia, Yevgheny Yevtushenko turut menulis sebuah sajak berkenaan Yashin di mana baris pembukaannya berbunyi:

Inilah revolusi bola sepak

Bila penjaga gol berlari

Keluar dari garisannya

Bagi Yashin, peranannya itu diibaratkan seperti sempadan yang harus dipertahankan habis-habisan. Mentaliti sebegini lahir daripada pengalaman perangnya semasa WWII dan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada bagaimana beliau bersedia menghadapi sesebuah permainan. Maka atas sebab itu, ramai menyanjungnya bukan saja atas sebab bola sepak tetapi juga dianggap sebagai wira negara. Valentina menambah, “Sebarang kesilapan yang dilakukan penjaga gol, semua orang akan lihat. Semua akan mengingatinya. Dan mereka akan bercakap mengenainya tanpa henti. Penjaga gol sentiasa merasa tertekan kerana mereka barisan terakhir pertahanan seperti pintu sempadan. Sekiranya sempadan tersebut diceroboh, maka gol akan terhasil.” Yashin juga dilihat sentiasa memikirkan tentang prestasinya sebagai penjaga gol walaupun semasa Dynamo menang kerana satu kesilapan menurut Valentina bagi Yashin sesuatu yang tidak boleh diterima.

Bagi setiap permulaan, pasti ada pengakhirannya. Yashin akhirnya menggantung but pada usia 41 tahun dan Valentina masih ingat perlawanan terakhirnya. Beliau bercerita, “Saya teringat salah satu perlawanan terakhirnya, Yashin mendarat selepas cuba menerpa ke arah bola dan terbaring. Saya fikir: ‘Adakah dia cedera?’ Dia pernah mengalami konkusi tiga kali dan setiap kali itu berlaku, dia berada di wad selama tiga hari dan saya fikir ini mesti konkusi lagi. Yashin hanya terbaring dan tidak bangun. Tetapi pada akhirnya dia bangun dan kembali semula ke gol. Dia membaling bola ke bahagian atas padang dan semuanya nampak baik. Saya tanya Yashin di rumah: ‘Kenapa awak tidak bangun? Saya bimbang. Orang di sekeliling saya juga bimbang.’ Dia menjawab: ‘Saya tidak terbaring lama pun. Bau rumput yang saya hidu amat bagus, saya rasa saya tidak mahu bangun langsung.’” Selepas bersara, Yashin bekerja dalam pelbagai jabatan bersama Dynamo Moscow dan tidak ketinggalan memberi fokus kepada hobi kegemarannya, memancing. Rakan-rakan lamanya dari kilang tempat beliau bekerja turut membuat satu kereta luncur supaya penjaga gol legenda itu dapat bersama mereka memancing di tempat ais pada musim sejuk.

Bagaimanapun, pada tempoh ini juga, Yashin turut diganggu dengan pelbagai masalah kesihatan seperti strok, sakit jantung, kanser perut dan masalah tromboflebitis yang mengakibatkan salah satu kakinya dipotong. Valentina menyifatkan punca kanser perutnya akibat membesar pada zaman perang dan makanan berkualiti rendah. Dan masalah jantungnya tercetus akibat merokok, satu tabiat yang dimulakan pada usia 13 tahun dan masih lagi diteruskan olehnya. Bagi Valentina, beliau merasa kasihan melihat suaminya dilanda masalah kesihatan sedemikian rupa sehingga menyebabkan Yashin merasa muram dan sukar untuk berjalan. Bagaimanapun perwatakannya yang jujur dan merendah diri masih lagi menebal dalam dirinya, satu perkara yang gagal dihakis penyakit-penyakit itu.

Ramai menyangka selepas bertelagah dengan pengerusi Dynamo, Yashin bakal dipinggirkan oleh satu-satunya kelab yang mengangkat kariernya sebagai pemain. Bagaimanapun, ada saja perancangan menanti penjaga gol legenda ini. Pada tahun 1989, sempena meraikan ulangtahunnya ke-60, Dynamo Moscow menganjurkan satu perlawanan istimewa membabitkan semua pemain Dynamo melawan Pilihan Dunia. Bagi pasukan Dynamo, mereka memilih pemain dari kelab-kelab satelit Dynamo dari Tbilisi, Minsk, Kiev dan Moscow sementara pasukan Pilihan Dunia membawa legenda Manchester United, Sir Bobby Charlton, pemenang Piala Dunia Jerman, Franz Beckenbauer dan legenda Portugal, Eusebio sebagai bintang utama. Selepas perlawanan, Yashin dibawa mengelilingi padang dengan menaiki kereta di mana bumbungnya dibuka. Selepas berpusing beberapa kali, kereta tersebut berhenti dan inilah peluang tetamu, pemain dan penyokong bersalaman dan mengambil gambar bersamanya. Semua tahu perlawanan tersebut merupakan detik terakhir mereka melihat penjaga gol legenda itu.

Pada Mac 1990, Yashin meninggal dunia akibat kanser perut. Berita kematiannya mengejutkan ramai ketika itu dan beliau diberi penghormatan pengebumian negara atas jasanya kepada bola sepak dan Rusia. Selain meninggalkan seorang balu iaitu Valentina, Yashin turut meninggalkan dua anak perempuan iaitu Irina dan Elena dengan salah seorang cucunya, Vasiliy Frolov pernah bermain bersama kelab datuknya, Dynamo Moscow. Selepas bersara pada usia 23 tahun, Frolov mengasaskan sebuah sekolah latihan penjaga gol untuk mencari generasi Lev Yashin seterusnya. Valentina mengakui Frolov tidak sehebat datuknya semasa di gawang dan ini diakui sendiri oleh Frolov. Dan antara sebab beliau mengundurkan diri dari dunia bola sepak ialah tidak dapat menanggung beban mental kerana mempunyai seorang datuk bertaraf penjaga gol legenda. Frolov berharap dengan penubuhan sekolah ini, ia dapat membantu meneruskan legasi datuknya yang menjadi asas kepada semua penjaga gol moden yang kita kenali hari ini.

SUMBER

  1. Storey, Daniel. (2016). Football365. Portrait of an icon: Lev Yashin. https://www.football365.com/news/portrait-of-an-icon-lev-yashin
  2. Jennings, Patrick. (2018). BBC. Yashin. https://www.bbc.co.uk/news/resources/idt-sh/yashin

 

Previous articleTarian Manortor Suku Batak
Next articleApabila Kotak Pandora Terbuka…
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE