Lepas Rakam, Delete Tau

1,897

Sebuah negara didapati lebih terdedah kepada bahaya Internet berbanding pengembangan nuklear sendiri. Dengan evolusi fotografi digital bergerak sekali dengan teknologi sambungan atas talian, semua orang mungkin menemui gambar-gambar peribadi sekurang-kurangnya sekali setahun. Hari ini mungkin perempuan itu; kemudian mungkin perempuan ini.

Setiap sajian dinikmati, asalkan perempuan tersebut bukan ahli keluarga atau saudara terdekat. Impak gambar-gambar sebegini didapati juga lebih berat terhadap wanita berbanding lelaki.  Disebabkan itu juga subjek ini dipandang lucu kerana melibatkan seseorang yang melakukan barangkali kesilapan paling besar dalam hidup.

Di sebalik hilaian gelak tawa yang menghinakan, tiada siapa sebenarnya melalui pengalaman perempuan tersebut sehingga melakukan perbuatan sedemikian… melainkan perempuan itu sendiri. Sebahagian besar daripada gambar-gambar ini diambil oleh tuan tubuh sendiri. Ada yang siap menari pun. Tetapi dalam hubungan zaman sekarang, didapati paksaan seksual telah berkembang daripada fizikal ke atas talian.

Sebuah kajian dijalankan dengan penyertaan 480 (160 lelaki dan 320 wanita) graduan muda, yang 1/5 dalam kalangan mereka pernah mengamalkan kiriman seks tanpa kerelaan. Pelbagai taktik digunakan seperti minta tanpa henti yang membuatkan mereka rasa perlu memberi dan juga ancaman fizikal. Kiriman gambar-gambar peribadi sebegini mencetuskan trauma lebih teruk berbanding yang dialami mangsa-mangsa fizikal. Suatu lagi kajian mendapati kiriman dibuat sebenarnya berdasarkan paksaan untuk memuaskan teman, menepati permintaan atau mengelakkan konflik hubungan.

Trauma yang dimaksudkan menimpa Jessica Logan, seorang remaja di Ohio. Hanya sekeping gambar peribadi sahaja dihantar kepada teman lelakinya, yang selepas putus menyebarkan ke satu sekolah. Hanya beberapa minggu selepas tampil di televisyen untuk menasihati supaya orang lain tidak melakukan kesilapannya, Jessica ditemui mati gantung diri. Bertahun selepas kematiannya, tanpa henti peristiwa sama berlaku tidak kira terhadap remaja dan dewasa.

Tetapi tidak sama sekali boleh dinafikan bahawa sesetengah perempuan menghantarkannya hanya dengan permintaan tanpa paksaan keras pun. Sudah menjadi lumrah manusia untuk hilang pertimbangan rasional semasa dibuai nafsu. Tidak kira lelaki atau perempuan, minda manusia dalam hal ini berfungsi secara sehala. Apabila otak sedang fokus bagi kepentingan sulit, bahagian korteks hadapan hanya disalurkan darah dan okisgen cukup untuk berfungsi dalam keadaan stasis (tidak aktif) sahaja.

Maka inilah waktu-waktu yang mana otak kehilangan keupayaan untuk memproses secara rasional, kerana organ sulit sedang dalam keadaan sekurang-kurangnya aktif. Oleh kerana tidak mampu mengenalpasti baik buruk dalam keadaan sedemikian, maka tersebarlah gambar-gambar peribadi. Dengan dunia yang semakin berhubung ini, perbuatan sebegini telahpun dinormalisasikan lebih-lebih lagi apabila berlaku penyebaran.

Serangan Pemangsa

Pada 20 Januari 2018, berlaku sebuah protes di peringkat global yang mendebatkan isu-isu wanita. Antara sepanduk yang dinaikkan ialah slogan NO MORE D*CKPICS. Api kemarahan ini mencanak oleh kerana kekerapan para wanita berdepan dengan cyberflashing iaitu apabila lelaki menghantar gambar alat sulit tanpa diminta pun. Jangankan diminta – kadangkala tanpa apa-apa sebab pun terutamanya daripada orang tidak dikenali yang sangka gambar tersebut mampu mengghairahkan wanita disasarkan.

Empat daripada 10 wanita dianggarkan telah melaporkan bahawa mereka menerima gambar sedemikian tanpa diminta. Dan isu ini telah lama diremehkan, terutama sekali mengenai persoalan utama “kenapa?” Perasaan ingin tahu ini menghantui seorang pengkaji yang membuat suatu akaun palsu di Reddit untuk bertanya.

Apa yang dipelajarinya sangat menarik, bahawa para lelaki sendiri mempunyai pendapat berbeza. Antaranya ialah pengesahan, bahawa para lelaki sendiri berasa tidak yakin dan hanya perlu pendapat positif semata-mata. Tentu sekali cara sedemikian tidak menghalalkan niat, lebih-lebih lagi apabila pendapat-pendapat lain pula menggambarkannya sebagai cara memanaskan perbualan.

Bagi alasan-alasan lain, rata-ratanya berlandaskan nasib semata-mata. Selepas entah berapa ramai mengutuk dan mengecam, akhirnya datangnya seorang yang berkesan; maka berjayalah thrill bagi lelaki tersebut.

Rata-ratanya, isu melibatkan alat kelamin semakin serius oleh kerana dunia yang kian berhubung. Setiap manusia mempunyai kecenderungan syahwat – tetapi hanya melalui platform yang betul sahaja boleh tarikan semulajadi ini diuruskan. Pernah terfikir tidak – kenapa sebaran gambar-gambar bogel ini tidak begitu diterima dengan hangat jika bekas suami atau isteri yang melakukannya?

Salah seorang daripada mangsa sebegitu merupakan seorang pelakon popular di Hollywood, yang mana penyebaran gambarnya tidak mendapat sambutan panas pun berbanding peristiwa godaman iCloud pada tahun 2014.

RUJUKAN:

Ever Wondered Why You Lose Your Ability To Think Rationally When You Are Horny? https://medium.com/@meetdheeraj/why-do-you-lose-your-ability-to-think-rationally-when-you-are-horny-and-get-it-back-upon-fe42906ba0b4

“Send Nudes”: A New Study Shows How Often Boys Pressure Girls For Explicit Photos –https://www.amightygirl.com/blog?p=22076&fbclid=IwAR2rDL4ulsDDUFL1lv7CysZTTh653bACyr7H8wStSRGqwe_q_CM6BlszCbI

Sexting: A new, digital vehicle for intimate partner aggression?https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0747563215002836

Sexting coercion is on the rise – and can be as traumatic as partner violence https://www.elsevier.com/connect/sexting-coercion-is-on-the-rise-and-can-be-as-traumatic-as-partner-violence

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.