Lelaki Gemuk Ini Juara Dunia Tinju

2,907

Tumbukan cross tangan kanan tepat ke dagu Andy.

Tumbukan hook tangan kiri tepat ke pipi Andy.

Serta merta tangan kanan Joshua bergerak menumbuk muka Andy, dan Joshua menyudahkan dengan hook tangan kirinya yang berbisa.

Serta merta Andy Ruiz Jr. terduduk di tengah gelanggang.

Ini merupakan pusingan ketiga perlawanan tinju professional antara Anthony Joshua dan Andy Ruiz Jr. Mempertaruhkan empat gelaran dari empat entiti tinju yang berbeza, pemenang akan membawa pulang gelaran Juara Tinju yang diiktiraf empat agensi tinju antarabangsa – World Boxing Association (WBA), International Boxing Federation (IBF), World Boxing Organization (WBO) dan International Boxing Organization (IBO).

Related image
Kredit Gambar: gq-magazine.co.uk

Anthony Oluwafemi Olaseni Joshua, atau lebih dikenali sebagai Anthony Joshua atau AJ, merupakan Juara Tinju sebelum perlawanan tersebut berlangsung. Namun begitu, hidupnya sebagai sang juara tidaklah semudah yang disangkakan.

Dari umur 16 tahun, Joshua menghadapi banyak masalah. Merupakan seorang pemain bola dan atlet pada masa tersebut, AJ pernah terlibat dalam pergaduhan sewaktu beliau sedang bermain bola untuk sekolahnya. Akibat dari pergaduhan itu, dia dikenakan amaran kerana melakukan kekerasan, dan pernah pada satu tahap, AJ direman akibat bergaduh di Reading, England.

Tuah membawa Joshua keluar dari hidup yang bermasalah.

Pada tahun 2007, sepupu Joshua, Ben Ileyemi, yang juga merupakan seorang peninju professional membawa AJ yang pada itu baru berusia 17 tahun ke gym tempat dia berlatih. Joshua pada waktu itu hanya mahu melakukan senaman ringkas dan angkat berat, namun apabila dia diberi peluang menyarungkan sarung tangan tinju, ternyata dia terasa ‘hidup’.

Sejak dari itu, Joshua mula fokus dalam berlatih tinju, mula menyertai pertandingan tinju amatur English bagi divisyen super-weight (amat berat). Dia menang kejuaraan tinju amatur tersebut, dan dalam masa 2 ½ tahun selepas itu, Joshua dipanggil untuk persiapan mewakili Great Britain dalam sukan Olimpik London 2012.

Dengan persiapan selama 2 tahun (bermula pada 2010), AJ dilatih oleh ramai peninju dan bekas juara tinju dari Britain, antaranya Richie Woodhall. Joshua menunjukkan semangat yang jitu sewaktu latihan, dan ternyata latihannya membuahkan hasil apabila AJ membawa pingat emas setelah berjaya menewaskan Roberto Cammarelle dari Itali, yang merupakan bekas pemenang pingat emas acara tinju di temasya Olimpik Beijing 2008.

Setelah berjaya menjadi Juara Olimpik, Joshua mula mengorak langkah dalam menjadi atlet tinju professional. Antara rekod utama yang dimiliki oleh Joshua pastinya adalah rekod tanpa kalah beliau. Bayangkan, 20 perlawanan menentang peninju professional lain, tanpa kalah?

Image result for andy ruiz
Kredit Gambar: thesun.co.uk

Berlainan kisahnya dengan Anthony Joshua, Andy Ruiz Jr. mula terlibat dalam sukan tinju sejak kecil lagi. Menurut beliau, ayahnya memaksa dia untuk bertarung sejak dari umur enam tahun. Dia menghabiskan setahun latihan di gym sebelum mula bertinju secara amatur di San Diego, California.

Mungkin berkat latihan dari bapanya, Andy berjaya memenangi dua pingat emas dalam Mexican National Junior Olympics serta menjuarai World Ringside Heavyweight Championship. Pada tahun 2008 di Olimpik Beijing, Ruiz mewakili Mexico dalam pusingan kelayakan namun kalah kepada peninju dari Cuba, Robert Alfonso, dan peninju Colombia, Oscar Rivas.

Road to Boxing Day

Pada asalnya, lawan Joshua bukanlah Andy. Niat asal Joshua adalah untuk bertarung dan merampas gelaran juara dari World Boxing Counci (WBC), Deontay Wilder. Wilder memiliki rekod tanpa kalah, dan sekiranya Joshua berjaya mengalahkan Wilder, dia akan mendapat gelaran Juara Baru dan memegang 5 title Juara Dunia dari agensi yang berbeza. Namun perlawanan ini tidak menjadi realitI kerana Wilder dijadualkan berlawan dengan seorang lagi perninju lain, Tyson Fury.

Setelah beberapa perbincangan bersama peninju lain berlaku, pihak Joshua bersetuju untuk bertarung menentang Jarrel Miller, peninju dari Amerika Syarikat dengan rekod 23-0-1 (20 KOs) pada 1 Jun 2019 di Madison Square Garden, New York. Perlawanan ini akan menjadi debut bagi Joshua di bumi Amerika, dan jualan pembukaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Namun begitu, sesuatu yang buruk terjadi. Pada 19 April 2019, Miller didapati bersalah kerana positif bahan terlarang, GW1516. Susulan daripada pengunguman dari Voluntary Anti-Doping Association itu, Miller tidak diberi lessen untuk bertinju oleh New York State Athletic Commission.

Pihak Joshua yang berang dengan perkara ini ingin membatalkan perlawanan tersebut. Namun begitu, akibat jualan tiket yang amat menggalakkan, adalah agak memalukan sekiranya perlawanan Joshua dibatalkan. Mereka mula mencari peninju alternetif lain, dan kumpulan Ruiz mula melobi Andy Ruiz Jr. sebagai ganti kepada Miller.

Dari segi kelayakan, Andy berada pada ranking yang agak baik dalam senarai peninju professional pada masa itu, dengan rekod 31-1 (20 KOs). Pihak Joshua bersetuju dengan cadangan tersebut, dan mereka dijadualkan berlawan pada tarikh yang telah ditetapkan sebagai perlawanan antara Joshua dan Miller (1 Jun 2019).

Jika dibandingkan kedua-dua peninju ini, mereka sebenarnya ibarat langit dengan bumi.

Anthony Joshua merupakan watak juara yang sempurna. Lihat sahaja bentuk tubuhnya. Dengan otot yang kekar dan susuk tubuh yang memang menampakkan beliau sebagai seorang atlet, ditambah dengan capaian (reach) nya yang lebih panjang berbanding Andy, Joshua dilihat berada dalam keadaan ideal untuk mempertahankan kejuaraan beliau.

Andy Ruiz Jr. pula, di satu sudut yang lain, merupakan seorang peninju dengan susuk badan berisi, tidak langsung menunjukkan tanda bahawa beliau merupakan seorang peninju professional. Namun kelebihan Andy yang diakui oleh lawannya adalah senjata power punch yang dia miliki, yang sekiranya hinggap di mana-mana bahagian badan, pastinya amat sakit dan pedih. Ruiz sendiri, dalam salah satu temubual mengatakan bahawa dia “terlalu gemuk untuk menjadi seorang peninju.”

Dalam usahanya untuk mengalahkan Joshua, Ruiz memberitahu pihak media bahawa dia mengulangkaji dengan menonton video pertarungan Mike Tyson, seorang lagenda heavyweight dan bekas juara tinju dunia. Dia yakin dia berjaya mengenalpasti kelemahan Joshua, dan dia akan buktikan hal ini di kanvas tinju nanti.

https://www.thepatriots.store/store/mahakarya/

1 Jun 2019. Hari perlawanan pun tiba. Odd atau kebarangkalian untuk Andy menang adalah 25-1, dengan majoriti penonton meletakkan harapan yang tinggi ke atas kemenangan Joshua.

Perlawanan bermula. Buat mereka yang tidak biasa menonton tinju, format pertarungan adalah 12 pusingan, dengan 1 pusingan berlangsung selama 3 minit. Sekiranya selepas 12 pusingan masih tidak berlaku knockout atau knockdown, maka keputusan akan diberikan kepada pihak juri.

Pada pusingan pertama dan kedua, Joshua dan Andy masing-masing cuba untuk melihat dan belajar stratergi pihak lawan. Cuba untuk size down opponent, melihat sejauh mana tumbukan mereka perlu dilepaskan untuk mengenai pihak lawan.

Pusingan ketiga menunjukkan peristiwa yang amat menarik. Andy berjaya dijatuhkan oleh Joshua, namun dia kelihatan tidak terjejas dengan perkara tersebut. Dia kembali bangun pada kiraan ke 8, sebelum Andy dan Joshua mula berentap sekali lagi di tengah gelanggang. Mereka saling bertukar tumbukan (exchanging blows), dan sewaktu berbalas serangan itu terjadi, tumbukan tangan kiri, left hook Andy mengenai bahagian atas kepala Joshua, dan dengan penuh kejutan, Joshua jatuh terbaring di tengah gelanggang.

Hal ini merupakan satu kejutan kerana, sepanjang kerjaya professional Joshua, dia hanya pernah dijatuhkan sekali sahaja. Akibat tumbukan padu Andy tadi, itu merupakan jatuhan kedua (second knockdown) sepanjang kerjayanya. Hal ini pastinya memberi bebanan mental dan emosi yang lebih tinggi kepada Joshua, dan memberi sedikit motivasi kepada Andy. “Kau tahu, kau bukanlah hebat sangat. Aku dah berjaya jatuhkan engkau.”

Tercengang dengan situasi tersebut, Joshua cepat-cepat bangun sewaktu count oleh pengadil sedang dilakukan. Pertarungan diteruskan, dan Andy nampaknya ingin terus melakukan asakan sebelum di clinch oleh Joshua. Di sepanjang baki pusingan ketiga, Joshua kelihatan cuba untuk mencari momentum dengan berterusan clinch Andy, manakala Andy berterusan cuba untuk mengasak dan bermain perang psikologi dengan Joshua. Dalam kes ini, reach Joshua membantunya mengawal asakan dari Andy, dengan dia cuba mengadakan sedikit jarak agar tumbukan Andy tidak mengenai mana-mana anggota badannya.

Di penghujung pusingan ketiga, satu lagi peristiwa menarik berlaku. Andy, mengetahui akan taktik Joshua untuk mengawal jarak antara mereka, kemudiannya sedikit demi sedikit membawa Joshua ke satu penjuru. Di penjuru tersebut, dengan Joshua kini sudah dikepung, Andy seterusnya tanpa belas kasihan melakukan tumbukan bertubi-tubi dengan menyasarkan bahagian kepala Joshua sebagai sasaran utama. Joshua cuba sedaya upaya untuk bertahan, namun sesaat dia cuba untuk melakukan slip, dia menurunkan guard nya dan tumbukan Andy tepat mengenai pipinya, menyebabkan Joshua terjatuh buat kali kedua dalam pusingan yang sama!

Dikelilingi oleh jurugambar di bahagian luar gelanggang, wajah Joshua seakan tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Kali ini dia mengambil masa yang agak lama untuk bangun, sebelum menunjukkan isyarat dia boleh dan mahu terus bertarung. Reaksi penonton di arena Madison Square amat kecoh. Tidak mereka sangka pilihan utama pertandingan hari ini bakal dihukum sedemikian rupa. Pengadil meneruskan pusingan ketiga beberapa saat sebelum loceng tamat pusingan dibunyikan.

Meneruskan pusingan keempat, Ruiz terus melakukan serangan tanpa menunggu reaksi Joshua. Joshua kelihatan sungguh tidak bersedia. Sewaktu rehat, jurulatihnya dilihat berteriak “You got to box, you got to defense yourself!” yang secara kasarnya menyuruh Joshua berada dalam keadaan bertahan dan mengambil nafas sebelum mula melakukan tindak balas. Melihat serangannya tidak berapa menjadi, Ruiz juga mengambil kesempatan di pusingan keempat untuk menjadi lebih berhati-hati, dan  mungkin turut mengambil nafas sedikit.

Pada rehat pusingan keempat, Ruiz pula yang dimarahi oleh jurulatihnya. Dia disuruh agar tidak memberi Joshua banyak ruang untuk bergerak. Ini merupakan peluang keemasan.

Di kem Joshua pula, dia disuruh untuk terus melontar jab, mengekalkan jarak dan fokus kepada pertahanan dan mencari momentum terlebih dahulu. “Keep the hands up”. Dan itu adalah apa yang Joshua lakukan. Dengan berbekalkan tangannya yang panjang, dia terus menerus melakukan jab, mengawal jarak antara dia dan Ruiz, serta berjaya melepaskan dua tumbukan padu pada penghujung pusingan kelima.

Joshua diarahkan oleh jurulatihnya untuk tidak terlalu fokus kepada power punch, sebaliknya fokus kepada bertinju. Power punch, merujuk kepada meletakkan daya yang tinggi dalam tumbukan, memakan lebih banyak tenaga berbanding tumbukan yang biasa. Oleh kerana daya yang diletakkan adalah lebih tinggi, power punch juga selalunya efektif dalam menjatuhkan pihak lawan (knockdown).

Pusingan keenam adalah pusingan Andy Ruiz. Dalam pusingan ini, dia perlahan-lahan masuk dan mencari tubuh Joshua sebagai sasaran tumbukannya. Joshua juga dilihat mula meninggalkan pertarungan jenis in-fight, di mana mereka berdua tidak lagi saling bertukar-tukar tumbukan, sebaliknya style Joshua lebih kepada out-boxer, mengawal jarak dan melepaskan jab untuk memenangi pusingan tersebut.

Pusingan ketujuh merupakan pusingan terakhir pertarungan ini.

Joshua, yang kelihatan telah pulih dari kekalahan psikologi pada pusingan ketiga tadi, kini dilihat telah mampu bertarung secara normal. Dari stlye out-boxer, Joshua kembali menjadi in-fighter, mula bertukar tumbukan dengan Andy Ruiz di tengah gelanggang. Ruiz yang tidak mensia-siakan peluang itu mula melontar hook dan mencari sisi luar kanan dan kiri Joshua, menyebabkan Jashua terjatuh dan dikira sebagai knockdown.

Berdiri semula, Joshua bangun dan cuba sekali lagi mengawal keadaan dengan menyasarkan bahagian kepala dan mencipta jarak. Namun begitu, mungkin kerana kepenatan, Ruiz dengan mudah mengejar posisi Joshua sebelum Joshua tersalah langkah dan melakukan cross punch yang kemudiannya dibalas dengan counter punch oleh Ruiz, sekaligus menjatuhkan Joshua buat kali kedua dalam pusingan ketujuh.

Image result for andy ruiz
Kredit Gambar: talksport

Bangkit dari jatuh kali kedua itu, mouthpiece Joshua terkeluar, dan Joshua berdiri dan mengambil sedikit masa di satu penjuru. Dia dididatangi oleh pengadil perlawanan yang bertanya sama ada ingin perlawanan diteruskan, dan dia mengatakan ya, sebelum darah keluar dari hidungnya dan pengadil bertindak menghentikan perlawanan. Kemenangan diberikan kepada Andy Ruiz Jr., dan dia merupakan Juara Tinju Dunia baru bagi WBA, IBF, WBO dan IBO.

Perlawanan Anthony Joshua melawan Andy Ruiz Jr. ini merupakan salah satu perlawanan yang tidak diduga kesudahannya. Terdapat beberapa teori konspirasi dari peminat yang mengatakan bahawa AJ sebenarnya tidak bersedia untuk berlawan dengan Ruiz, kerana persiapannya adalah untuk menentang Miller, dan ada juga yang berpandangan bahawa Joshua tidak berada pada tahap optimum untuk bertarung kerana lebih fokus kepada publisiti media. Ada juga mulut busuk yang mengatakan bahawa kemenangan Andy adalah akibat dari beberapa lucky shot, hanyalah sekadar nasib baik.

Komen dari Anthony Joshua sendiri, “It’s an upset, isn’t it… But the better man won. Respect to Andy. Now I move forward.”

Perlawanan semula Anthony Joshua menentang Andy Ruiz Jr. bakal berlangsung pada 7 Disember 2019 di Arab Saudi, dengan peminat menjangkakan Joshua mampu menebus semula kegagalan beliau mempertahankan kejuaraannya pada Jun lalu.

BACAAN LANJUT:

“Why Anthony Joshua Will Be A Heavyweight Champion Again?”, GQ Magazine. https://www.gq-magazine.co.uk/gallery/anthony-joshua-comeback

“10 Things You Didn’t Know About Andy Ruiz Jr.”, Boxing British News. http://britishboxingnews.co.uk/blogs/10-things-you-didn-t-know-about-andy-ruiz-jr

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.