Sepertimana yang kita ketahui, Kesultanan Melaka adalah salah sebuah empayar kerajaan Melayu-Islam paling agung pernah wujud di Alam Melayu. Pengasasannya sekitar abad ke-13 (kajian pentarikhan baharu) atau akhir abad ke-14 membuka lembaran sejarah baharu di Semenanjung Tanah Melayu. Kira-kira sembilan orang Raja atau Sultan pernah memerintah sepanjang hampir 112-250 tahun empayar tersebut berdiri teguh. Seperti kebanyakan monarki yang lain, pewarisan takhta Kesultanan Melaka juga diturunkan daripada setiap Sultan Melaka kepada putera kandung mereka dan pewarisan takhta zuriat Parameswara tersebut yang merupakan putera raja Kerajaan Srivijaya di Palembang, Sumatera, tidak putus sehinggalah Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah.

Kekuasaan Empayar Kesultanan Melaka melangkaui hampir seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan pantai timur Kepulauan Sumatera. Empayar yang sangat masyhur dan kaya-raya tersebut mengawal lalu lintas Selat Melaka iaitu laluan perdagangan laut utama antara timur dan barat. Ini menyebabkan kuasa-kuasa Eropah menanam hasrat menakluk Selat Melaka untuk menguasai sepenuhnya laluan perdagangan laut tersebut. Serangan kali kedua tentera Portugis pada tahun 1511 menyebabkan pusat pemerintahan empayar tersebut iaitu Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis. Walau bagaimanapun, Sultan Mahmud Shah yang memerintah ketika itu sempat melarikan diri bersama orang-orangnya dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat di Johor, pada masa yang sama mereka melakukan beberapa siri serangan balas untuk mendapatkan kembali penguasaan Kota Melaka tetapi gagal. Penghijrahan terakhir Sultan Mahmud Shah dan orang-orangnya ke Kampar menyaksikan kemangkatan baginda.

Tetapi, legasi waris Kesultanan Melaka tidak terhenti setakat di situ. Beberapa buah kesultanan di Tanah Melayu diasaskan daripada Kesultanan Melaka dan sultan pertama kesultanan-kesultanan tersebut merupakan waris lelaki Sultan Melaka. Pertama, adalah Kesultanan Pahang yang diasaskan sekitar tahun 1470 ketika Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mansur Shah. Ketika anak kepada Tun Perak, Bendahara Melaka ketika itu, yang bernama Tun Besar sedang bermain sepak raga, bola sepak raga tersebut terkena pada kepala Raja Muhammad iaitu putera sulung Sultan Mansur Shah yang sedang berkuda sehingga jatuh destar baginda. Menganggap perlakuan tersebut sebagai suatu penghinaan, baginda bertindak menikam Tun Besar sehingga menyebabkan kematiannya. Perkara tersebut mengundang pertelagahan antara kedua-dua buah keluarga mereka. Sebagai seorang pembesar terkanan yang taat setia pada sultan, Tun Perak mendamaikan pertelingkahan tersebut dan membatalkan hak Raja Muhammad sebagai seorang pewaris takhta Kesultanan Melaka, tetapi baginda dirajakan di Pahang dengan gelaran Sultan Muhammad Shah. Baginda adalah Sultan Pahang pertama.

Waris lelaki baginda Sultan Muhammad Shah terus memerintah Kesultanan Pahang sehinggalah awal abad ke-17. Sultan Pahang ke-11 iaitu Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Shah dan putera sulungnya, Raja Muda Abdullah mangkat dibunuh oleh putera bongsunya iaitu Raja Alauddin pada tahun 1614. Raja Alauddin kemudian menaiki takhta sebagai Sultan Pahang ke-12 dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah tetapi tidak lama apabila baginda dimakzulkan daripada takhta setelah kalah dengan serangan tentera Aceh yang menawan Pahang pada tahun 1615. Setelah itu, Sultan Aceh ketika itu mengangkat seorang kerabat diraja Kesultanan Johor iaitu Raja Bujang (Sultan Abdul Jalil Shah III ibni Sultan Alauddin Riayat Syah III ibni Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah Johor) sebagai Sultan Pahang ke-13. Nenda baginda iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil ialah cucunda kepada Sultan Mansur Syah (Sultan Pahang kedua) melalui jurai bonda baginda. Walau bagaimanapun, tidak lama selepas itu, baginda juga dimakzulkan daripada takhta Kesultanan Pahang oleh Sultan Aceh.

Selepas Sultan Abdul Jalil III ditabalkan sebagai Sultan Johor ketujuh, Johor dan Pahang disatukan dalam Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga. Pahang diletakkan di bawah kekuasaan waris Bendahara Johor. Dari situ berakhirnya pemerintahan waris Sultan Melaka di Pahang. Kesultanan Pahang pada hari ini ialah daripada dinasti keturunan Bendahara Johor-Pahang apabila Tun Ahmad berjaya merampas kedudukan kakandanya, Tun Mutahir dan anak-anaknya sebagai Bendahara Pahang dalam beberapa siri peperangan saudara antara mereka. Tun Ahmad memenangi perang saudara tersebut dan ditabalkan sebagai Sultan Pahang dengan gelaran Sultan Ahmad al-Muadzam Shah pada tahun 1881.

Kesultanan kedua yang diasaskan daripada waris lelaki Kesultanan Melaka ialah Kesultanan Perak. Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, apabila bala tentera Portugis berjaya menawan Kota Melaka, Sultan Mahmud Shah bersama ahli keluarganya dan orang-orangnya berundur dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi pada masa yang sama mereka melancarkan beberapa kali serangan balas untuk mendapatkan kembali Kota Melaka. Dalam proses pengunduran tersebut, sekumpulan rombongan dari Perak yang diketuai oleh Tun Saban mengadap baginda memohon supaya membawa salah seorang putera baginda ke Perak untuk dirajakan di negeri tersebut. Sultan Mahmud Shah menyerahkan seorang putera baginda iaitu Raja Muzaffar kepada mereka. Raja Muzaffar dibawa ke Perak bersama alatan-alatan kebesaran diraja seperti Keris Taming Sari dan Pedang Cura Si Manjakini dan ditabalkan sebagai Sultan Perak pertama pada tahun 1528 dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah.

Kesultanan Perak terus diperintah oleh waris lelaki Sultan Muzaffar Shah sehinggalah Sultan Perak kesembilan iaitu Sultan Salehuddin Shah kecuali Sultan Perak keenam dan kelapan yang merupakan waris-waris sebelah bonda mereka. Sultan Perak ke-10 iaitu Sultan Muzaffar Shah II bukan daripada waris Sultan-Sultan Perak sebelumnya tetapi merupakan putera kepada Raja Siak. Baginda berkahwin dengan cicit kepada Sultan Mansur Shah I (Sultan Perak kedua) iaitu Raja Fatimah Puteh binti Raja Abdullah. Raja Fatimah Puteh adalah puteri kepada Raja Abdullah ibni Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Shah (Sultan Pahang ke-12). Bonda kepada Raja Fatimah Puteh ialah puteri kepada Sultan Mansur Shah I (Sultan Perak kedua) yang berkahwin dengan Sultan Aceh. Sultan Muzaffar Shah II digantikan oleh puteranya iaitu Sultan Mahmud Iskandar Shah sebagai Sultan Perak ke-11. Baginda masih lagi berdarah keturunan Sultan Muzaffar Shah ibni Sultan Mahmud Shah Melaka tetapi daripada jurai sebelah perempuan (bonda, nenda perempuan dan moyang perempuan baginda). Sultan Mahmud Iskandar Shah memerintah selama 67 tahun (1653-1720) dan oleh sebab itu penulis meletakkan baginda di kedudukan kedua sebagai Raja Melayu paling lama bertakhta dalam sejarah, hanya setapak di belakang Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II (Sultan Kedah ke-19) yang memerintah selama 68 tahun. Rujuk artikel penulis sebelum ini yang bertajuk “Raja-Raja Melayu Memerintah Paling Lama Dalam Sejarah” siaran pada 25 Oktober 2017.

Kesultanan Perak pada hari ini merupakan keturunan Raja Mansur ibni Sultan Muzaffar Shah II iaitu putera bongsu Raja Fatimah Puteh yang juga merupakan adinda kepada Sultan Mahmud Iskandar Shah. Ini juga menjadikan Kesultanan Perak pada hari ini ialah daripada dinasti Siak jika mengikut jurai keturunan lelaki. Kesultanan Perak mengamalkan sistem Raja Bergilir mengikut turutan enam pangkat kedudukan Raja-Raja Bergelar iaitu Raja Muda, Raja Di Hilir, Raja Kecil Besar, Raja Kecil Sulong, Raja Kecil Tengah dan Raja Kecil Bongsu.

Kesultanan ketiga yang mewarisi Kesultanan Melaka ialah Kesultanan Johor. Setelah kemangkatan Sultan Mahmud Shah Melaka di Kampar, puteranya, Sultan Alauddin Riayat Shah II meneruskan legasi Kesultanan Melaka dengan berdirinya Kesultanan Johor pada tahun 1528. Kesultanan Johor terus diperintah oleh waris lelaki Sultan Alauddin Riayat Shah II sehingga Sultan Johor kesembilan iaitu Sultan Mahmud Shah II (Marhum Mangkat Dijulang kecuali Sultan Johor ketiga, keempat, kelima dan ketujuh. Sultan Johor ketiga, kelima dan ketujuh merupakan waris (putera dan cucunda) kepada Sultan Johor keempat iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah. Baginda adalah cucunda kepada Sultan Mansur Shah ibni Sultan Muhammad Shah (Sultan Pahang kedua) melalui jurai bonda baginda. Sepertimana yang telah dibincangkan sebelum ini, Kesultanan Pahang juga merupakan waris Kesultanan Melaka. Oleh itu, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil masih lagi berdarah Kesultanan Melaka tetapi melalui jurai bonda baginda yang merupakan kerabat diraja Kesultanan Pahang. Cucundanya, Sultan Abdul Jalil Syah III (Raja Bujang) pernah ditabal sebagai Sultan Pahang oleh Sultan Aceh, kemudiannya ditabal sebagai Sultan Johor ketujuh sebelum menyatukan Johor dan Pahang dalam satu Empayar Kesultanan Johor-Pahang-Riau-Lingga. Pengakhiran pemerintahan Kesultanan Johor daripada keturunan Sultan-Sultan Melaka berlaku apabila Sultan Mahmud Shah II yang tidak meninggalkan zuriat mangkat dibunuh ketika sedang dijulang pada tahun 1699. Peristiwa berdarah tersebut masyhur dalam sejarah Melayu yang dikenali sebagai Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Sehingga kini, sejarah pemerintahan Kesultanan Johor telah melalui tiga fasa dinasti iaitu dinasti Melaka-Johor, dinasti Bendahara dan dinasti Temenggung. Baginda DYMM Sultan Johor pada masa kini ialah daripada dinasti Temenggung yang bersusurgalur daripada keturunan Bendahara Johor Tun Habib Abdul Majid melalui jurai lelaki dan kerabat diraja Bugis Johor-Riau (Daeng Perani) melalui jurai perempuan. Melalui jurai keturunan Bendahara Johor tersebutlah jugalah (kabilah Ahlul-Bait al-Aidrus), turunnya keturunan DYMM Sultan Terengganu dan DYMM Sultan Pahang yang sedang memerintah pada masa kini, begitu juga keturunan Sultan-Sultan Riau-Lingga dahulu.

Selain pengasasan ketiga-tiga kesultanan tersebut, terdapat juga beberapa orang Sultan di kesultanan lain di Alam Melayu yang merupakan waris lelaki (sebelah bapa) Kesultanan Melaka seperti Sultan Alauddin Mansur Shah dan Sultan Iskandar Thani Alauddin Mughayat Shah Johan Berdaulat (1636-1641), kedua-duanya memerintah dalam Kesultanan Aceh dan Ratu Kuning dari Kesultanan Pattani. Sultan Alauddin Mansur Shah yang memerintah Kesultanan Aceh sekitar tahun 1580-an merupakan putera kepada Raja Ahmad ibni Sultan Muzaffar Shah (Sultan Perak pertama). Apabila tentera Aceh menyerang dan berjaya menawan negeri Perak sekitar tahun 1570-an, beberapa orang kerabat diraja Perak ditawan dan dibawa ke Aceh termasuklah putera Raja Ahmad tersebut. Baginda kemudiannya dikahwinkan dengan salah seorang kerabat diraja Aceh. Baginda dipilih dan ditabal sebagai Sultan Aceh setelah kemangkatan tiga orang Sultan Aceh sebelumnya dalam tempoh hanya setahun akibat dibunuh. Sultan Mansur Alauddin Shah diceritakan sebagai seorang sultan yang soleh dan kuat beribadat.

Terdapat seorang lagi Sultan Aceh yang bersusurgalur lelaki daripada Kesultanan Melaka iaitu Sultan Iskandar Thani (Raja Mughal). Baginda yang memerintah Aceh selepas kemangkatan ayahanda mertuanya iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang masyhur dalam sejarah Melayu, merupakan putera kepada Sultan Ahmad Shah II (Sultan Pahang ke-12) yang ditawan di Pahang dan dibawa ke Aceh. Raja Mughal kemudian dikahwinkan dengan puteri kepada Sultan Iskandar Muda yang bernama Puteri Sri Alam dan ditabalkan sebagai Sultan Aceh setelah kemangkatan mertuanya kerana mertuanya itu tidak meninggalkan seorangpun putera. Setelah kemangkatan baginda, balu permaisurinya yang juga puteri kepada Sultan Iskandar Muda ditabalkan sebagai Sultanah Aceh dengan gelaran Sultanah Safiatuddin. Dari situ, bermulalah dinasti empat orang sultanah Aceh sebagaimana yang pernah dibincangkan oleh penulis dalam artikel penulis sebelum ini yang bertajuk “Srikandi-Srikandi dalam Sejarah, Lagenda dan Mitos Bangsa Melayu” siaran pada 19 Julai 2017.

Seorang lagi pemerintah waris Kesultanan Melaka daripada jurai sebelah bapa ialah Ratu Kuning. Ratu Kuning merupakan salah seorang daripada empat orang Ratu-Ratu Pelangi yang memerintah Kesultanan Pattani sekitar abad ke-17. Bonda baginda, Ratu Ungu adalah Sultanah Pattani sebelumnya yang berkahwin dengan Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Shah (Sultan Pahang ke-12) dan melahirkan Ratu Kuning, Ratu Pelangi terakhir. Ini juga pernah dibincangkan dalam artikel penulis yang bertajuk “Srikandi-Srikandi dalam Sejarah, Lagenda dan Mitos Bangsa Melayu.”

Kesultanan Melaka telah lama musnah tetapi legasinya dalam kesultanan-kesultanan Melayu yang masih kekal berdaulat pada masa kini tetap hidup sehingga ke hari ini. Kajian-kajian ilmiah masih lagi berterusan dilakukan oleh para sarjana sejarawan ke atas sejarah Kesultanan Melaka dalam pelbagai aspek dan ianya tidak akan hilang dalam sejarah Melayu.

Sumber rujukan:

  • Muhammad Hafiz Samsudin, “Sejarah Pengaruh Dinasti Yang Dipertuan Muda Bugis dalam Kesultanan Johor dan Riau-Lingga Pada Abad ke-18-19 M,” Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda seliaan Dr. Nurulwahidah Fauzi, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2013.
  • Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu (edisi pelajar), diselenggara oleh A. Samad Ahmad, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2013.
  • Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, Bangi, Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2005.
  • Ahmad Jelani Halimi, Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2008.
  • Christopher Buyers, laman web The Royal Ark, pautan: http://www.royalark.net/index.html, dirujuk pada Ogos 2018.
  • Wan Hashim Wan Teh, “Asal Mula Kesultanan Perak,” dalam laman web Utusan Online, 3 Mei 2015, pautan: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/asal-mula-8232-kesultanan-perak-1.87085, dirujuk pada Ogos 2018.
  • Laman web rasmi Portal Diraja Pahang, pautan: http://www.dirajapahang.my/portaldiraja/?page_id=115, dirujuk pada Ogos 2018.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.