Latar Belakang Sheikh Imran Hosein

2,021

Pra-tempah hanya di Shopee

Sheikh Imran Hosein (SIH) atau nama penuhnya Imran Nazar Hosein dilahirkan di kepulauan Caribbean di Trinidad pada tahun 1942. (Shariah Finace Watch, 2019) Nenek moyang beliau adalah imigran yang telah bermigrasi daripada India sebagai pekerja buruh. SIH pernah belajar di beberapa institusi pengajian tinggi, antaranya adalah termasuk Universiti Al-Azhar pada 1963 ketika beliau berumur 21 tahun, (Hosein I. N., hlm. xix)
Universiti Karachi, Universiti West Indies, dan juga Graduate Institute of Technology of International Relations di Switzerland. (Sheikh Imran Hosein, 2019)

SIH telah menghabiskan pengajian di Aleemiyah Institute di Karachi pada tahun 1971 ketika berumur 29 tahun. Menurut tokoh ini, dalam pengajian ilmu Islam, pemikiran guru beliau di Aleemiyah Institute of Islamic Studies iaitu Maulana Fazlur Rahman Ansari (MFRA) mempunyai pengaruh yang besar terhadap dirinya. (Hosein I. N., ms. xvii-xix)

Pernah tersenarai sebagai salah seorang tokoh daripada 500 individu muslim yang berpengaruh, SIH juga dikenali sebagai sarjana Islam yang mempunyai kepakaran dalam pemahaman kontemporari terhadap ilmu eskatologi Islam. (The Muslim 500, 2019)

Sebelum bergelar pendakwah sepenuh masa yang tanpa penat berkelana selama 2 hingga 3 tahun dalam sesuatu masa, SIH pernah berkhidmat selama beberapa tahun sebagai diplomat di Kementerian Luar Negeri kerajaan Trinidad dan Tobago, walau bagaimanapun, beliau akhirnya melepaskan posisi tersebut pada tahun 1985 untuk mendedikasikan kehidupannya untuk dakwah Islam. (Sheikh Imran Hosein, 2019).

Kerjaya Awal Sebagai Pendakwah

SIH tinggal di New York selama 10 tahun semasa beliau berkhidamat sebagai pengarah kepada Islamic Studies for the Joint Committee of Muslim Organizations of Greater New York (ISJCMO). Beliau memberikan syarahan berkenaan Islam di beberapa universiti, kolej, sinagog, penjara, dewan komuniti dan lain-lain di Amerika dan Kanada. Selain itu, SIH terlibat dalam banyak dialog antara agama yang mana beliau mewakili agama Islam dalam dialog dengan sarjana Kristian dan Yahudi di Amerika Syarikat.

Disamping memegang jawatan sebagai pengarah ISJCMO, beliau juga memberikan khutbah dan mengetuai solat Jumaat mingguan di pejabat utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Manhattan sebulan sekali dalam tempoh 10 tahun secara terus-menerus. (Sheikh Imran Hosein, 2019)

Hasil Karya SIH

Antara karya terawal beliau adalah Islam and Buddhism in The Modern World (1972). Karya ini dihasilkan SIH seawal ketika beliau masih belajar di Aleemiyah Institute of Islamic Studies. Berdasarkan catatan SIH dalam buku The Islamic Travelogue: 1428-1429H (2011), manuskrip buku tersebut ditulis oleh SIH dibawah seliaan guru yang sangat disanjunginya iaitu MFRA, seorang ulama dan juga tokoh sufi yang menurut SIH, telah banyak memberikan pengaruh pemikiran terhadap dirinya.

Manuskrip buku pertama SIH ini mendapat pembetulan daripada MFRA sendiri, malahan berdasarkan catatan peribadi SIH, buku ini juga memainkan peranan penting kepada penganugerahan Dr Ansari Medal for High Merit kepada dirinya semasa majlis konvokesyen pada 1971 di Aleemiyah Institute. (Hosein I. N., 2011)

SIH telah menerbitkan banyak buku dibawah siri-siri yang disebut sebagai Ansari Memorial Series. Buku yang ditulis olehnya dibawah siri buku ini adalah dedikasi beliau kepada almarhum gurunya iaitu MFRA. Antara buku yang ditulis beliau dibawah Ansari Memorial Series adalah Jerusalem in the Quran. Karya yang bertemakan isu antarabangsa ini merupakan buku laris beliau yang pertama. Diterbitkan pada tahun 2002, buku ini merupakan respon SIH kepada isu panas yang melanda tempat suci umat Islam iaitu Masjid Al-Aqsa pada tahun tersebut.

Berdasarkan catatan peristiwa pada waktu tersebut, Ariel Sharon yang merupakan Perdana Menteri Israel dari tahun 2001 hingga 2006 telah memasuki Masjid Al-Aqsa dengan memakai kasut beserta dengan ribuan tentera Israel yang mengikutinya. Tindakan biadap Perdana Menteri Israel yang menimbulkan kemarahan umat Islam pada ketika itu telah menggerakkan SIH untuk menangguhkan dahulu tulisan buku barunya iaitu Surah al-Kahf and the Modern Age, seterusnya menumpukan perhatian beliau dalam menulis buku Jerusalem in the Quran. (Hosein I. N., 2011)

Selain buku Jerusalem in the Quran yang mengupas isu Masjid al-Aqsa, beliau juga menerbitkan buku yang bertopikkan isu antarabangsa seperti Explaining Israel’s Mysterious Imperial Agenda pada 2011. Buku yang menghimpunkan esei yang ditulis oleh SIH dari sekitar tahun 2006 hingga 2011 ini mengulas pelbagai peristiwa semasa umat Islam yang berkait dengan Israel, seperti serangan terhadap Gaza pada tahun 2009 hinggalah kepada peristiwa Arab Spring pada tahun 2011. (Hosein S. I., 2011)

Antara buku-buku pelbagai tema oleh SIH yang pernah ditulis dan diterbitkan dibawah Ansari Memorial Series adalah seperti berikut (Hosein I. N., 2017):

1. The Prohibition of Ribā in the Qur’ān and Sunnah; 1997
2. The Importance of the Prohibition of Ribā in Islam; 1997
3. One Jamaat One Ameer: The Organization of a Muslim Community in the Age of Fitan; 1997
4. The Religion of Abraham and the State of Israel—A View from the Qur’ān; 1997.
5. The Strategic Importance of Isrā and Mirāj; 1997
6. The Strategic Importance of Dreams and Visions in Islam; 1997. Edisi kedua 2014
7. The Caliphate the Hejaz and the Saudi-Wahhabi Nation- State; 1997. Edisi kedua 2013
8. Fasting and Power; 1997. Edisi Kedua 2011
9. The Quranic Method of Curing Alcoholism and Drug Addiction; 2000
10. George Bernard Shaw and the Islamic Scholar; 2000
11. A Muslim Response to the 9/11 Attack on America; 2002
12. Jerusalem in the Qur’ān; 2002, Edisi Kedua 2002
13. Sūrah al-Kahf Text Translation and Commentary; 2007
14. Sūrah al-Kahf and the Modern Age; 2007
15. Signs of the Last Day in the Modern World; 2007
16. The Gold Dīnār and Silver Dirham—Islam and the Future of Money; 2007
17. The Islamic Travelogue; 2009
18. An Islamic View of Gog and Magog in the Modern World; 2009, Edisi Kedua 2011
19. Explaining Israel’s Mysterious Imperial Agenda; 2011
20. Iqbal and Pakistan’s Moment of Truth; 2011
21. Madīna Returns to Center-State in Ākhir al-Zamān; 2012
22. In Search of Khidr’s footprints in Ākhir al-Zamān; 2014
23. From Jesus the True Messiah to Dajjāl the False Messiah; (belum disempurnakan lagi)
24. Methodology for Study of the Qur’ān; 2016

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.