Lumrah jika kita berasa marah atau kecewa dengan sesuatu perkara, maka terkeluarlah perkataan-perkataan yang selayaknya menyebabkan mulut diletakkan cili kerana terlalu cabul. Dan silap haribulan, jika ia ditujukan kepada orang yang salah atau dinyatakan dalam situasi sensitif, ia boleh menjadi satu kesalahan jenayah dan berpotensi mengakibatkan si pelaku dipenjarakan, didenda atau kedua-duanya sekali.

Di Malaysia, jika anda mengeluarkan kata-kata kesat atau lucah yang mengaibkan kehormatan seseorang, anda boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574). Deskripsi akta berbunyi, “Barang siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat, atau menunjukkan apa-apa benda, dengan maksud supaya perkataan atau bunyi itu didengar, atau supaya isyarat atau benda itu dilihat oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.”

Di Britain atau di sesetengah tempat yang menguatkuasakan arahan perlindungan ruangan awam (PSPO), jika anda didapati menyeranah atau mengeluarkan kata-kata lucah, bersedialah menerima bahana denda dari pihak berkuasa. PSPO merupakan sebahagian daripada inisiatif Akta Polis, Jenayah dan Tingkah Laku Anti-Sosial 2014 yang digubal pada tahun 2014 bagi menangani isu tingkah laku anti-sosial di ruangan awam.  Tetapi akta tersebut mendapat kritikan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkan akta tersebut sebagai satu bentuk gangguan kebebasan bersuara.

Menurut peguam kumpulan hak asasi Liberty, Lara ten Caten, sekiranya PSPO terus dibiarkan berkuatkuasa, ia boleh mengakibatkan ramai golongan berisiko berhadapan tindakan perundangan yang berat dan kebimbangan salah laku kuasa membabitkan majlis perbandaran. Peguam itu turut mendakwa PSPO menyebabkan ramai anggota masyarakat memilih memencilkan diri dan meningkatkan lagi diskriminasi terutama terhadap orang kelainan upaya (OKU). Ini kerana di sesetengah tempat di Britain, perkataan kesat berbeza-beza mengikut wilayah dan bandar dan perkataan yang dianggap kabur maksudnya boleh disalahanggap sebagai satu bentuk kesalahan menyumpah.

Menerusi permohonan kebebasan maklumat yang difailkan oleh kumpulan kempen Manifesto Club yang menolak campur tangan kerajaan menguatkuasakan peraturan di ruangan awam, antara tahun 2017 hingga 2019 menyaksikan 15 majlis perbandaran menguatkuasakan PSPO termasuk melarang anggota masyarakat menyeranah di ruangan awam. Antara tempat yang dilarang bagi anggota masyarakat menyumpah ialah:

1. Happy Mount Park dan Heysham di Morecambe, Lancashire.

2. Gateford, Worksop dan Retford, Nottinghamshire.

3. Ashford, Kent.

4.  Poynton dan Congleton di Cheshire Timur.

5. Canterbury, Dartford dan Hanley, Stoke-on-Trent.

Tetapi bagi anggota majlis perbandaran, tindakan undang-undang yang diambil ke atas pelaku kesalahan ini mendapat sokongan penduduk tempatan terutama jika pelaku merupakan individu yang mempunyai rekod jenayah dan dikenali sebagai pengganggu keamanan masyarakat.

Malah berdasarkan PSPO itu sendiri, tindakan hanya boleh diambil sekiranya si pelaku mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah bila ia dianggap mengganggu, menimbulkan ketakutan dan tekanan terhadap penduduk. Ini yang ditegaskan kaunselor Majlis Perbandaran Lancaster, Alistair Sinclair.

Menurut beliau, PSPO hanyalah sebahagian daripada pelbagai alat yang digunakan majlis perbandaran itu dalam mencegah tingkah laku anti-sosial bandar berkenaan. Bukan sekali ramai anggota masyarakat dari pelbagai latar belakang menyuarakan kebimbangan dengan pihak berkuasa tempatan dari golongan peniaga hinggalah staf kesihatan.

Tambah Sinclair, majlis perbandaran mengambil berat isu-isu melanda golongan ini termasuk penyalahgunaan dadah dan berusaha membantu mereka sebaik mungkin. Selain PSPO, pihak majlis turut menggunakan kaedah lain seperti surat peringatan dan penguatkuasaan undang-undang perlindungan komuniti bagi memastikan komuniti bandar berkenaan sentiasa mendapat perlindungan sewajarnya.

Mungkin ada yang berpandangan perkara sebegini merupakan satu lagi bentuk pencabulan kebebasan bersuara. Tetapi soalannya, berbaloikah menyebut perkara-perkara yang tidak sepatutnya termasuk perkara-perkara sensitif hanya semata-mata nak menunjukkan sesetengah pihak lebih daripada orang lain walaupun berisiko mencetuskan kekacauan dan menimbulkan kemarahan ramai?


Kebebasan terutama kebebasan bersuara sememangnya merupakan hak manusiawi tetapi bila sudah melampaui batas, maka usah marah kalau ada bersedia meletakkan cili di mulut, menyimbah sebaldi air atau dikenakan denda beribu-ribu lemon. Bila sudah didenda dan dipenjara, baru nak serik dan menyesal?

Itu menyesal tahap buaya tembaga! Tidakkah lebih baik menuturkan kata-kata yang lebih indah dan santun kerana itu bukan saja bermanfaat malah berpotensi sebagai alat penambah pahala. Kalau asyik menyeranah, bukankah itu menggelapkan hati insani untuk jangka masa panjang?

RUJUKAN:

Burke, Claire. (2019). Polite society: why are British cities banning swearing?. The Guardian. https://www.theguardian.com/cities/2019/aug/07/polite-society-why-are-british-cities-banning-swearing-pspo


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.