Landasan Hijjaz – Projek Mega Yang Dilupakan

1,285

Ibadah Haji merupakan rukun Islam yang kelima. Ibadah haji dilaksanakan pada bulan terakhir di dalam kalendar taqwim hijrah iaitu pada bulan Zulhijjah. Walaupun ibadah haji ini hanya wajib bagi mereka yang mampu, namun kita sebagai orang Islam dan beriman wajib mempunyai niat dan keazaman untuk mengerjakannya kerana ia juga merupakan salah satu rukun Islam.

Firman Allah di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah Ayat 96 bermaksud:

“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”

Dengan kemajuan teknologi pada hari ini, umat Islam menggunakan jalan udara untuk menunaikan ibadah haji di Mekah. Penggunaan kapal terbang membuatkan perjalanan menjadi lebih cepat dan efektif buat jemaah haji. Jemaah haji tidak perlu berjalan ataupun berlayar berbulan bulan untuk menunaikan rukun islam tersebut.

Jika kita imbau kembali pada zaman kegemilangan Islam iaitu Zaman Kerajaan Agung Turki Uthmaniyyah, Sultan Abdul Hamid II telah mencadangkan agar sebuah pengangkutan khusus dicipta bagi memudahkan perjalanan umat Islam bagi menunaikan ibadah haji yang dituntut ini. Pengangkutan khas tersebut merupakan penggunaan kereta api yang menghubungkan kebanyakkan negara yang berada di bawah jajahan takluk Turki Uthmaniyyah.

Laluan keretapi ini terbentang antara Damsyik (Syria) ke Amman (Jordan) sehinggalah sampai ke Madinah (Arab Saudi). Landasan keretapi ini digelar sebagai Landasan Keretapi Hijaz atau nama lainnya ialah Jalur Hijjaz. Landasan keretapi ini juga merupakan sebahagian daripada landasan yang akan menghubungkan di antara Istanbul (Turki) ke Haifa (Palestin).

Secara tidak langsung laluan ini mampu menghubungkan perjalanan dari sejauh Istanbul yang berada di Turki sehingga ke Mekah yang berada di Arab Saudi. Ini merupakan satu kemudahan yang sangat sesuai dan selesa untuk para jemaah yang ingin menunaikan haji pada masa itu. Mereka dapat menjimatkan banyak kos serta masa dalam perjalanan mereka untuk menghadap TUHAN.

Dianggarkan bahawa perjalanan dari Istanbul ke Mekah yang sejauh 2407.58 km hanya memerlukan 5 hari perjalanan untuk tiba ke destinasi. Kos yang diperlukan untuk projek mega ini adalah sebanyak 16 juta USD pada ketika itu. Kos ini telah mendapat sumbangan daripada kaum muslimin, para pemerintah dan tokoh masyarakat serta gabenor Mesir dan pemerintah Shah di Iran.

Pada mulanya, projek ini telah mula dicanang pada sekitar tahun 1840 namun hanya dapat direalisasikan pada tahun 1908. Pada ketika itu sempadan garisan arbitrari belum wujud lagi dimana semua orang bebas mengembara tanpa memerlukan sebarang pasport atau visa. Secara rasminya, laluan keretapi ini dibuka pada tahun 1913 dengan menjadikan Damsyik sebagai perhentian yang pertama.

Landasan keretapi ini juga direkabentuk bagi mengukuhkan empayar ketenteraan dan kawalan ke atas semua semenanjung Arab. Landasan ini juga merupakan satu projek infrastruktur kerajaan Turki Uthmaniyyah, selain usaha keras mewujudkan program telekomunikasi terancang melalui pemasangan kabel telegraf di seluruh wilayah kerajaan yang diperintah pada waktu itu yang merangkumi sebahagian Afrika Utara, Timur Tengah dan negara Balkan.

Terdapat pelbagai cabaran bagi merealisasikan projek buat umat ini. Ketika proses rundingan, peta rahsia laluan kereta api ini telah dibocorkan kepada pihak Eropoh yang pada ketika itu merupakan pihak yang bakal mengambil tender pembinaan landasan ini. Oleh kerana mereka sudah dapat mengesan kelicikan Sultan Abdul Hamid, kebanyakkan negara Eropah telah menolak projek mega ini.

Peta ini telah dibocorkan sendiri oleh pembesar Turki yang menjadi musuh dalam selimut kepada Turki secara khasnya dan kepada umat Islam secara amnya. Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas, penulis menyarankan agar pembaca menonton drama bersiri Turki iaitu Payitaht Sultan Abdul Hamid.

Pada mulanya pembinaan ini melibatkan penyambungan sehingga ke Mekah dan pelabuhan Jeddah, namun disebabkan masalah pembiayaan projek serta penentangan oleh penduduk di wilayah berkenaan, maka landasan itu berakhir sehingga ke Madinah sahaja. Pendapat lain pula mengatakan bahawa Syarif Husain bin Ali yang merupakan pemimpin Mekah pada saat itu memandang bahawa landasan kereta api ini mengancam kedudukannya di wilayah Hijaz sehingga menolak pembangunan landasan itu sampai ke Mekkah bahkan Jeddah.

Apabila Perang Dunia Pertama meletus pada tahun 1914, semua kerja pembinaan telah terhenti. Warga Arab yang diketuai oleh pegawai British iaitu T. E. Lawrence telah bangkit dan melakukan pemberontakkan terhadap penguasaan Turki. Semasa berlakunya pemberontakan, orang Arab yang bersekutu dengan British telah mengebom sebahagian dari landasan ini, ia merupakan punca utama kenapa pembangunan landasan ini terhenti. Bukan itu sahaja, perjalanan untuk menunaikan ibadah haji yang sepatutnya menjadi lebih mudah bertukar menjadi sebuah perjalanan yang membahayakan.

Selepas kejatuhan empayar Turki Uthmaniyyah, akhirnya laluan keretapi Hijaz ini berhenti dari beroperasi sepenuhnya. Apa yang lebih menyedihkan, hasrat untuk memudahkan laluan kepada jemaah haji akhirnya dimusnahkan. Hari ini, sebahagian besar gerabak kereta api telah ditinggalkan di tengah padang pasir dan sebahagiannya telah ditimbus pasir dan tersorok di dalam semak samun. Begitu sedihnya pengakhiran sebuah projek mega buat umat Islam ini.

Terdapat sebuah muzium di Madinah yang menjadi saksi bisu kepada mimpi besar Sultan Abdul Hamid II dalam usaha menyatupadukan umat Islam ketika zaman pemerintahannya. Pelbagai pihak dari setiap ceruk di muka bumi ini tidak akan berdiam diri apabila penyatuan Islam ingin dilakukan. Umat Islam pada hari ini perlu mengambil ibrah daripada peristiwa ini..

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.