Moving Forward As One

Lambungan Duit Syiling Bantu Itali Menang Euro 1968!

412

PayLater by Grab

Tidak ramai tahu lambungan duit syiling membantu Itali menang satu-satunya Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 1968. Tindakan ini dibuat oleh pengadil selepas keputusan perlawanan separuh akhir antara Itali dengan Kesatuan Soviet berakhir dengan keputusan seri.

Bagi pihak Soviet, apa yang berlaku ini dianggap satu ketidakadilan kepada mereka. Tetapi ia sudah berlaku sebelum ini dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Sepanyol-Turki dan suku akhir Piala Eropah musim 1964-1965 membabitkan Liverpool dan FC Koln.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Dalam kedua-dua perlawanan, keputusan agregat masih lagi belum dikuatkuasakan. Sekiranya pasukan menang atau kalah dalam dua perlawanan pusingan kalah mati, mereka perlu bermain dalam perlawanan ketiga bagi menentukan pemenang. Sekiranya ia berakhir dengan keputusan seri, maka lambungan syiling menentukan siapa yang layak ke pusingan seterusnya.

Dalam kes Sepanyol-Turki, Sepanyol menang perlawanan pertama tetapi Turki berjaya menebus kekalahan mereka dalam perlawanan kedua. Apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan ketiga, perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2. Apabila lambungan syiling dibuat pengadil, ia memihak kepada Turki.

Sementara Reds pula menghela nafas lega selepas kedua-dua pasukan seri pada dua perlawanan pusingan kalah mati. Apabila perlawanan ketiga menyaksikan Koln berjaya mengikat Liverpool 2-2, maka lambungan syiling terpaksa dibuat. Sebaik saja pilihan yang dibuat kapten Ron Yeats memihak mereka, Reds mara ke peringkat separuh akhir Piala Eropah musim berkenaan.

Untuk tahun 1968 pula, format EURO ketika itu menyaksikan hanya empat pasukan layak menyertai kejohanan berkenaan. Malang bagi Itali kerana mereka perlu berdepan dengan Kesatuan Soviet. Soviet dianggap pasukan malang bagi Azzurri kerana berjaya menyingkirkan mereka dalam EURO 1964 dan Piala Dunia 1966.

Sepanjang perlawanan, Azzurri diuji dengan pelbagai dugaan. Pertama, kehilangan pemain perancang Gianni Rivera pada awal perlawanan. Memandangkan penggantian pemain masih belum wujud ketika itu, Itali terpaksa bermain dengan 10 orang pemain. Ini disusuli dengan kehilangan Giancarlo Bercellino pada masa tambahan sekaligus memaksa jurulatih Ferruccio Valcareggi menukar formasi mereka.

Selepas tamat masa tambahan, perlawanan berakhir dengan keputusan seri 0-0. Kedua-dua kapten pasukan diarah mengikut pengadil ke bilik pengadil bagi membolehkan lambungan syiling dibuat. Penyokong yang berdebar merasa gembira apabila kapten Giacinto Facchetti mengangkat tangan ke udara, tanda keputusan memihak kepada mereka.

Dengan keputusan itu, Azzurri layak ke peringkat akhir dan berdepan Yugoslavia sebelum bergelar juara. Bagaimanapun, perdebatan tentang keputusan lambungan syiling mendorong FIFA menguatkuasakan penentuan sepakan penalti untuk kejohanan besar pada tahun 70-an.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Penentuan sepakan penalti pertama dalam sejarah berlaku pada final EURO 1976 antara Czechoslovakia dengan Jerman Barat. Penentuan sepakan penalti menyaksikan Antonin Panenka muncul wira kepada pasukan Czechoslovakia dengan sepakan penalti lambungnya itu. Sepakan beliau dianggap ikonik dan kini dikenali sebagai teknik Panenka.

RUJUKAN:

Morris, N. (2021). Euro 1968: How a coin toss powered Italy to their only Euro title. Give Me Sport.

Ruangan komen telah ditutup.