Mungkin peminat sukan lari pecut tanah air masih lagi hangat dengan kejayaan Haiqal Hanafi di Sukan Asia Tenggara baru-baru ini. Namun harus kita ingat yang kita harus selalu memberikan sokongan terhadap atlet negara kita di kala jatuh dan bangunnya. Di samping itu, janganlah kita mendongak dengan kejayaan atlet negara kita itu kerana terdapat seorang lagi pelari pecut yang kehebatannya tidak dapat disangkal lagi namun tidak menyertai Sukan Asia Tenggara di Filipina baru-baru ini.

Keazaman yang tinggi, semangat inilah yang ditonjolkan oleh pelari pecut terpantas dunia untuk kategori umur bawah 20 tahun tahun lalu. Pelari pecut yang pada awal perlumbaan tidak dijangka langsung akan menyaingi pelari lain apatah lagi membawa pulang pingat emas ke negara asalnya. Namun itulah kenyataannya apabila pelari pecut muda yang berasal dari Lombok, Indonesia ini merangkul pingat emas di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun lalu.

Lalu Muhammad Zohri, pelari pecut berusia 19 tahun yang berasal daripada keluarga yang miskin itu membuktikan bahawa tiada apapun yang boleh menjadi penghalang untuknya berjaya. Zohri telah kehilangan ibu tersayangnya semasa beliau berada di bangku sekolah lagi dan bapanya pula dijemput ilahi pada usianya 17 tahun. Namun begitu, semangatnya tetap cekal dan beliau terus menerus beraksi dengan konsisten dalam setiap acara lari pecut yang disertainya.

Kehebatan Lalu Muhammad Zohri dalam sukan ini mula terserlah apabila beliau menyertai temasya Kejuaraan Olahraga Kebangsaan Bawah 18 dan Bawah 20 di Ibu Negara Indonesia, Jakarta. Pada temasya tersebut, beliau telah berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara 100 meter dengan catatan masa 11.18 saat. Potensinya yang begitu besar sekali lagi terserlah pada tahun berikutnya di kejohanan Minggu Olahraga Kebangsaan apabila beliau sekali lagi memenangi perlumbaan dalam acara 100 meter tetapi kali ini dengan catatan masa yang jauh lebih baik daripada tahun sebelumnya iaitu 10.28 saat, hampir 1 saat lebih baik.

Kecemerlangan Lalu Muhammad Zohri itu membuahkan hasil apabila beliau kemudian terpilih untuk menjadi atlet dalam Persatuan Olahraga Indonesia seterusnya menjadikan dirinya sebagai pelari pecut negara. Zohri berjaya mengaut pingat emas dalam acara 200 meter pertamanya untuk Indonesia dengan catatan masa 21.96 saat menjadikan beliau atlet harapan Indonesia. Hal ini membuatkannya dianggap sebagai Suryo Agung Wibowo yang baru pada ketika itu.

Penanda Aras Sukan Lari Pecut Di Asia Tenggara

Segalanya bermula pada tahun lepas di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun di Finland. Zohri yang berjaya melayakkan dirinya ke peringkat akhir dengan catatan masa 10.24 saat di peringkat Separuh Akhir dan catatan masa 10.30 saat di Pusingan Pertama itu tidak pernah disangka dan dijangka untuk menaiki podium apatah lagi untuk memenangi pingat emas dalam acara reben biru tersebut.

Namun begitu, Lalu Muhammad Zohri yang bermula di lorong yang kelapan bersebelahan dengan pelari dari Afrika Selatan, Thembo Monareng itu memulakan lariannya dengan baik sebelum mencapai tahap kelajuan maksimumnya di mana ketika itu beliau sudah berada di hadapan pelari-pelari pecut lain. Beliau memenangi perlumbaan tersebut dengan catatan masa 10.18 saat di hadapan dua orang pelari Amerika Syarikat iaitu Anthony Schwartz dan Eric Harrison yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa yang sama iaitu 10.22 saat.

Lalu Muhammad Zohri bukan sahaja merupakan atlet Indonesia pertama malahan atlet dari rantau Asia Tenggara yang berjaya memenangi pingat emas di kejohanan tersebut. Hal ini membuktikan kata-kata dari orang ramai yang bahawa atlet-atlet dari rantau Asia Tenggara hanyalah ‘Jaguh Kampung’ dan tidak mampu bersaing di peringkat dunia adalah salah.

Kejayaan Lalu Muhammad Zohri di Kejohanan Dunia itu tidak terhenti di situ sahaja. Pada bulan April tahun ini, beliau telah berjaya memungut pingat Perak di temasya Kejohanan Olahraga Asia. Zohri berjaya memecahkan rekod kebangsaan Indonesia (10.17 saat) milik Suryo Agung Wibowo dalam acara 100 meter dengan catatan 10.15 saat di peringkat separuh akhir.

Di peringkat akhir acara reben biru tersebut pula, beliau memecahkan lagi rekod kebangsaan yang telah diciptanya pada peringkat separuh akhir dengan catatan masa 10.13 saat di belakang pelari pecut dari Jepun, Yoshihide Kiryu (10.10 saat) seterusnya berjaya merangkul pingat perak dalam acara tersebut.

Hal ini menunjukkan yang Zohri ini merupakan pelari pecut yang konsisten dalam menambahbaik prestasinya dari semasa ke semasa. Ribuan pujian daripada peminat-peminatnya juga tidak pernah mengganggu fokusnya dalam usahanya menjadi pelari pecut terbaik. Sifat merendah diri dan sifat sentiasa ingin berusaha menjadi lebih baik yang terdapat pada Lalu Muhammad Zohri inilah yang harus kita semua contohi untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Ketekalan Lalu Muhammad Zohri tidak terhenti di Kejohanan Olahraga Asia sahaja. Beliau kembali menambahbaik rekod yang dimilikinya tetapi kali ini di Jepun pula. Zohri menyertai acara 100 meter di Kejohanan Golden Grand Prix Tokyo hanya sebulan selepas merangkul pingat perak di Kejohanan Olahraga Asia. Siapa sangka yang beliau mampu menyerlah di perlumbaan pada peringkat akhir apabila perlumbaan tersebut juga dibarisi oleh jaguh dunia, Justin Gatlin. Namun, tiada apa yang mustahil jika semangatnya yang wajar dijadikan sebagai pendorong utama dalam larian.

Lalu Muhammad Zohri memulakan lariannya di lorong kesembilan bersebelahan dengan pelari dari Amerika Syarikat, Kendal Williams. Di awal perlumbaan, Zohri kelihatan sedikit ketinggalan sebelum beliau mulai memecut dan mengejar pesaing-pesaing di hadapannya. Beliau kemudian menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 10.03 saat sekaligus memecahkan rekod lama miliknya.

Dalam perlumbaan tersebut, Zohri hanya berada sedikit sahaja dibelakang dua pelari di hadapannya iaitu Yoshihide Kiryu dari Jepun dan jaguh dunia, Justin Gatlin dari Amerika Syarikat yang masing-masing mencatat catatan masa 10.01 saat dan 10.00 saat. Walaupun hanya berada di tempat ketiga, ianya sudah cukup untuk Zohri melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo pada tahun hadapan dalam acara reben biru itu.

Siapa sangka atlet yang pada awalnya bermula dari bawah akhirnya kini menjadi jaguh lari pecut. Lalu Muhammad Zohri yang dikatakan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli kasut bagi menyertai perlumbaan ini kini sudah jauh meninggalkan pelari-pelari pecut yang lain di rantau Asia Tenggara ini. Sudah tentu lebih banyak kejutan yang bakal dilakarnya kerana beliau pun baru sahaja menginjak usia 19 tahun dan potensinya masih boleh digilap untuk menjadi jaguh dunia.

Catatan Penulis

Kisah Lalu Muhammad Zohri ini membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil untuk dicapai dalam dunia ini selagi mana kita terus menerus berusaha untuk menjadi lebih baik. Kisah beliau ini memang amat wajar untuk dijadikan contoh bukan sahaja kepada para atlet di negara ini malahan juga kepada orang kebiasaan. Sikapnya yang sentiasa merendah diri dan tidak termakan dengan pujian membuatkan dirinya fokus dan itu adalah faktor utama dalam siri kejayaannya.

Saya menjangkakan yang Zohri boleh menjadi atlet dari rantau Asia Tenggara yang pertama mencatatkan catatan masa bawah 10 saat dalam beberapa tahun akan datang dengan melihatkan prestasinya yang sentiasa meningkat saban hari. Harapan saya juga adalah untuk melihat pelari-pelari pecut negara mampu menyaingi kehebatan Lalu Muhammad Zohri seiring dengan slogan kita, “Malaysia Boleh”. Kita perlu buktikan yang kita mampu menyaingi Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia malahan mungkin mampu untuk menjadi yang lebih baik kerana tiada perkataan mustahil dalam kitab kejayaan Malaysia. Insyallah.

RUJUKAN :

  1. VIVA (n.d.). Lalu Muhammad Zohri. https://www.viva.co.id/siapa/read/892-lalu-muhammad-zohri
  2. The Guardian (2018). Indonesian sprinter who could barely afford shoes wins 100m gold. https://www.theguardian.com/world/2018/jul/13/indonesian-sprinter-lalu-muhammad-zohri-wins-100m-gold-iaaf-championships
  3. Olympic Channel (2019). LALU ZOHRI: INDONESIA’S 18-YEAR-OLD 100M SPRINTER COULDN’T AFFORD SHOES, NOW HE’S GOING TO TOKYO 2020. https://www.olympicchannel.com/en/stories/news/detail/lalu-zohri-indonesia-s-18-year-old-100m-sprinter-couldn-t-afford-shoes-now-he-s-/
  4. The Star Online (2019). Lalu shows why he’s on the way to greatness. https://www.thestar.com.my/sport/athletics/2019/04/24/lalu-shows-why-hes-on-the-way-to-greatness
  5. Indonesia All Sport (2018). DETIK DETIK LALU MUHAMMAD ZOHRI JUARA DUNIA SPRINT 100M DI FINLANDIA 2018 [VIDEO]. https://www.youtube.com/watch?v=7l4J7D1blgc&t=4s

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.