Lakshmibai: Joan Of Arc Dari India

870

Dalam dunia perjuangan tanah air, setiap negara pasti ada tokoh-tokoh sejarah yang banyak menyumbangkan diri sebagai pejuang tanah air. Wanita juga tidak ketinggalan untuk mengorbankan diri demi kecintaan kepada negara dan rakyatnya.

Srikandi terawal dan popular yang mempunyai semangat nasionalisma ini adalah Joan of Arc dari Perancis, wali (saint) wanita yang sentiasa menanamkan semangat ini kepada para tentera Perancis dan sanggup berjuang bersama ketika Perang Seratus Tahun melawan England. Di India, terdapat seorang wanita persis perjuangannya dengan Joan of Arc, pembebas rakyat India dari penjajahan British. Nama srikandi ini ialah Rani of Jhansi.

Rani of Jhansi atau Lakshmibai dilahirkan pada 19 November 1828, bertempat di kota Varanasi, Uttar Pradesh. Dia berbangsa Marathi dan membesar dalam keluarga berkelas Brahmin. Nama sebenarnya adalah Manikarnika Tambe dan nama samarannya adalah Manu.

Ibu-bapanya berasal di negeri Maharashtra. Ketika Rani berumur 4 tahun ibunya telah meninggal dunia. Bapanya bernama Moropant Tambe bekerja sebagai pendeta di bawah Peshwa (pemerintah Empayar Maratha)bernama Bagi Rao II.

Rani mendapat pendidikan di rumah dan tidak seperti kanak-kanak lain, dia amat berdikari dan mempelajari ilmu pendeta dari ayahnya. Dia juga belajar menembak, melawan pedang, menunggang kuda dan sukan yoga bernama Mallakhamba bersama sahabatnya iaitu kerabat diraja bernama Nana Sahib dan Tatya Tope.

Biasanya dia menunggang kuda bersama dengan iringannya apabila berulang-alik antara kuil dan istana. Kadang kala dia menaiki sebuah palki, kenderaan yang dibawa oleh 4 orang pemandu. Kehidupan Rani ini memperlihatkan bahawa Peshwa amat menjaga golongan Brahmi dan keluarganya selagi mereka bertugas di bawah pemerintahannya.

Gambaran Ratu Rani atau Lakshmibai pada 1860-an.

Pada May 1842, Rani berkahwin dengan Maharaja negeri Jhansi bernama Raja Gangadhar Newalkar. Dari perkahwinan itu namanya bertukar kepada Lakshmibai sebagai tanda kehormatan kepada dewi pemberi rezeki Hindu bernama Lakshmi. Mengikut tradisi maharaja tersebut, menamakan isteri dengan nama dewi akan mendapat keberkatan hidup. Tahun 1851, Rani melahirkan anak lelaki bernama Damodar Rao namun telah meninggal dunia apabila menginjak umur 4 bulan.

Bagi memujuk hati Rani yang sedih atas pemergian anaknya, maharaja Jhansi itu mengambil anak sepupunya iaitu Anand Rao sebagai anak angkat lalu menukar nama kepada Damodar Rao. Ketika maharaja Gangadhar memperoleh anak warisnya, India berada dalam kekuasaan British dan Jhansi menjadi negeri naungannya. Jadi baginda harus menulis surat kepada pegawai politik British untuk memberitahu bahawa warisnya harus dihormati cara baik dan pemerintah Jhansi selepas pemangkatannya harus dipegang oleh isterinya.

Selepas kemangkatan Maharaja Gangadhar pada November 1853, British memungkiri janji. India di bawah kekuasaan British East India Company (kita panggil sebagai SHTI atau Syarikat Hindia Timur Inggeris yang pernah menjajah Kedah) menafikan pewarisan Damodar Rao sebagai pewaris dan memaksanya untuk melucutkan status negeri Jhansi dan menukarkan kepada wilayah jajahan SHTI. Tindakan penjajah mengundang kemarahan Rani kemudian melantang:

“Main meri Jhansi nahi doongi!” (Bermaksud: Saya tidak akan serahkan Jhansi saya!)

Namun ia sudah terlambat. Bagi menenangkan Rani dan kerabat diraja Jhansi, pampasan sebanyak Rs. 60,000 diberi oleh SHTI dan mengarahkan mereka keluar dari istana. Rani tidak merasakan kehidupannya berakhir sebagai hamba Inggeris di tanah sendiri. Dia pasti memulakan langkah baru untuk membebaskan negerinya dari menjadi rakusan SHTI. Dan langkah ini bermula dari Pemberontakan India.

Pada 10 Mei 1857, Pemberontakan India bermula di Meerut. Apabila berita ini sampai di Jhansi, Rani meminta kebenaran kepada pegawai politik British yang memerintah Jhansi, Captain Alexander Skene untuk menubuhkan sebuah pasukan tentera keselamatan untuk dirinya. Skene bersetuju atas penubuhan itu. Walaupun berita pemberontakan tiba di Jhansi, ia masih aman tanpa apa-apa pemberontakan.

Rani ketika awal Pemberontakan India masih tunduk kepada SHTI kerana merasakan belum masa lagi untuk dia lakukan hal sedemikian. Dia cuba mengambil kepercayaan SHTI dan pada yang sama dia menanamkan rasa kebencian kepada British dalam minda rakyat Jhansi. Contohnya di musim panas 1857, Rani mengadakan Haldi Kumkum (pertemuan tradisi antara wanita berkahwin) untuk menghasut mereka bagi membenci British.

Pada Jun 1857, tentera pemberontakan dari Bengal Native Infantry menawan kubu Star Fort of Jhansi dan membunuh 40 hingga 60 orang pegawai SHTI bersama isteri dan anak-anak. 4 hari selepas pembunuhan beramai-ramai, khuatir akan keadaan Jhansi lebih teruk selepas invasi pemberontakan akan datang, Rani rasa bertanggungjawab untuk mengambil alih takhta Jhansi. Dia menulis surat kepada Pesuruhjaya iaitu Major Erskine di wilayah Saugor untuk membenarkan tindakannya. Pada 2 Julai, Erskine membenarkan Rani mengambil ahli sementara sehingga kedatangan pegawai British baru.

Kebenaran Erskine adalah durian runtuh untuk Rani. Dengan segera dia menguatkan kubu istana Jhansi bersama bala tentera yang setia kepadanya. Dalam pemerintahan Rani, baginda berjaya mematahkan invasi dari wilayah-wilayah jajahan British dan negerinya aman selama 8 bulan. Pada Mac 1858, pasukan tentera British yang diketuai pegawai Hugh Rose tiba di Jhansi dan mereka terpegun dengan pertahanan kubu Jhansi yang kukuh dengan meriam dan para pengawal. Hugh Rose mengarahkan Rani untuk menyerahkan Jhansi dan Rani membalas dengan pengumumannya:

“We fight for independence. In the words of Lord Krishna, we will if we are victorious, enjoy the fruits of victory, if defeated and killed on the field of battle, we shall surely earn eternal glory and salvation.”

Gambaran peperangan di kubu Jhansi.

Pada 24 Mac 1858, bermulanya pembedilan Jhansi oleh British. Jhansi membalas balik serangan bedil dan pertahanan kubu masih kukuh. Kemudian muncul Tatya Tope dengan para tentera Sepoi seramai 20,000 orang untuk membantu Rani namun mereka gagal tiba di Jhansi kerana dihalang oleh tentera British. British meneruskan serangan ke atas Jhansi dan pada 2 April mereka memutuskan untuk melancarkan serangan kubu dengan menghancurkan dindingnya.

Dua pasukan tentera berjaya menembusi kubu kemudian terus menceroboh istana. Dengan kemaraan British yang tiada kesudahan, Rani harus keluar dari istana. Pertahanan Jhansi telah goyah dan Rani terpaksa melarikan diri dan bertemu dengan sahabatnya Tatya Tope.

Menurut kisah rakyat, Rani melarikan diri bersama anaknya Damodar Roa dengan menunggang kudanya bernama Badal. Mereka berdua selamat namun kuda kesayangannya telah mati. Mereka berdua terus melarikan diri diiringi oleh para pengawal. Rani menetap di kota Kalpi, di mana dia bertemu dengan Tatya Tope. Mereka kemudian mengukuhkan pertahanan Kalpi. British menghidu kehadiran Rani di sana dan kemudian menyerangnya pada 22 May. Rani dan pasukan tenteranya sekali lagi kalah.

Rani melarikan diri lagi, bersama Tatya Tobe dan seorang lagi pejuang bernama Rao Sahib. Mereka tiba di Gwalior dan bergabung bersama tentera India yang mempertahankan kota itu. Rani memujuk tentera Gwalior untuk perkukuhkan lagi kota bagi menahan serangan British seterusnya namun gagal kerana tentera Gwalior tidak menuruti perintah Rani ketika maharaja mereka keluar beperang. Pada 17 Jun, muncul skuad tentera berkuda iaitu 8th Hussars yang diketuai Captain Heneage di Gwalior. Maka, dari kehadirannya pemberontakan Rani akan berakhir.

Dalam pertempuran antara tentera berkuda British dan tentera Rani, seramai 5,000 orang tentera India dibunuh. Rani pula cedera teruk ditikam oleh pedang sabre musuh. Dalam keadaan teruk itu, Rani sempat menembak seorang tentera berkuda British. Mengikut kisah rakyat, Rani cedera teruk dengan berpakaian pakaian tentera berkuda dan tidak mahu British menyentuh tubuhnya, sebaliknya dia ingin seorang pertapa atau pendeta untuk membakarnya setelah masuk ajalnya. Selama tiga hari berperang, akhirnya Gwalior berada dalam genggaman British.

Dalam rekod perang British di India, Hugh Rose pernah merekod tentang perwatakan Rani Lakshmibai sebagai mempunyai personaliti, bijak dan cantik namun dia adalah berbahaya jika dibandingkan dengan kesemua ketua orang India. Rose juga merekodkan bahawa Rani dikebumikan dengan cara terhormat, membakar abu di bawah pohon temarin.

Legasi Rani Lakshmibai menjadi kebanggaan orang India kerana dialah satu-satunya ratu negeri yang sanggup melawan pemerintahan SHTI. Manakala bagi orang British di zaman Victoria, Rani digambarkan sebagai ratu yang rakus memrerintah, penyebab kepada pembunuhan beramai-ramai koloni British di India, dan wanita yang banyak skandal dengan para pegawai British. Perwatakan buruk Rani ini dinyatakan dalam novel-novel British itu sendiri.

Tugu Rani menunggang kuda bersama anaknya di Solapur, Maharashtra.

Walau bagaimanapun, India tetap mengagumi Rani sebagai pejuang pembebasan India. Banyak tugu Rani menunggang kuda bersama anaknya di setiap pelosok India. Malah banyak bangunan pendidikan dan penyelidikan mengambil nama Rani Lakshmibai. Tmabahan lagi, industry filem Bollywood mengangkat Rani dalam menghasilan filemnya.

Yang terbaru adalah filem Manikarnika: The Queen of Jhansi (2019). Dalam permainan video, Rani muncul dalam dua permainan video iaitu The Order: 1886 (Rani sebagai watak ketua rebel kepada United India Company) dan Fate/Grand Order (Rani sebagai Servant kelas Saber).

Lakshmibai dari The Order: 1886
Lakshmibai dari Fate/Grand Order

Subhadra Kumari Caudhan, pemuisi India terkenal pernah menulis puisi tentang Lakshmibai dalam puisi Jhansi ki Rani. Terdapat satu petikan popular dalam puisi ini:

From the bards of Bundela we have heard this story

She fought valiantly like a man, she was the queen of Jhansi.

RUJUKAN:

  • Jerinic, Maria (1997). “How we lost the empire: retelling the stories of the Rani of Jhansi and Queen Victoria”. In Homans, Margaret; Munich, Adrienne (eds.). Remaking Queen Victoria. Cambridge University Press.
  • Joyce Lebra (2008). Women Against the Raj: The Rani of Jhansi Regiment. Institute of South Asian Studies, Singapore.
  • Lowe, Thomas (1860) Central India during the Rebellion, cited in Edwardes, Michael (1975) Red Year. London: Sphere Books, p. 117 
  • Meyer, Karl E. & Brysac, Shareen Blair. Tournament of Shadows Washington D.C.: Counterpoint, 1999; pp. 138–45.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.